Imam As-Syafie

AL-IMAM al-Syafie atau sebenarnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Othman bin Syafi’i bin al-Saib merupakan anak murid kepada al-Imam Malik yang paling masyhur. Beliau berketurunan Quraisy. Dibesarkan dan dilahirkan di Chazzah, Palestin. Selepas kematian bapanya, beliau tinggal bersama ibunya dalam keadaan amat miskin di Ghazzah.

Meskipun berada dalam kehidupan susah, namun kemiskinan bukan merupakan batu penghalang baginya untuk menimba ilmu pengetahuan. Berbekalkan kecekalan hati dan semangat yang berkobar diiringi pula dengan doa ibunya, beliau berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

Al-Syafie memulakan kariernya sebagai penuntut ilmu di Ghazzah. Pada peringkat permulaan ini beliau belajar al-Qur’an daripada ibunya sendiri serta menghafal kesemua ayat-ayat al-Qur’an yang dipelajarinya. Setelah berumur lebih kurang sepuluh tahun, beliau dibawa oleh ibunya berpindah ke Makkah. Di Makkah semangat beliau untuk belajar semakin berkobar apabila dia mendapati bahawa kota Makkah dihuni oleh para ulama’ muktabar.

Pada peringkat awal di Makkah, beliau memulakan pengajian dengan menghafal hadith nabi sahaja. Di samping itu, beliau juga meminjam kitab al-Muwatta karangan al-Imam Malik daripada seorang lelaki di kota Makkah dan menghafalnya. Dengan daya ingatan yang tajam, beliau dapat menghafal dan mengingati keseluruhan isi kandungan al-Muwatta’ dalam tempoh sembilan malam sahaja.

Dalam proses menghafal hadith tersebut, banyak hadith yang berkaitan dengan ilmu ditemui. Penemuan hadith dalam bab fiqh, telah menimbulkan keinginannya untuk menimba ilmu fiqh. Tidak cukup dengan apa yang dimiliki, beliau mula menceburi bidang fiqh dan berdamping dengan beberapa ulama’ terkemuka di Makkah seperti Muslim Ibn Khalid al-Zinji dan Sufian Ibn ‘Unaiyah.

Dalam tempoh perdampingannya dengan ulama’ fiqh di kota Makkah, beliau mengambil kesempatan mempelajari fiqh Ahl-Ra’y dan juga fiqh Ahli Hadith serta mengumpulkan segala data ilmiah yang berkaitan dengan kedua-dua mazhab fiqh tersebut. Menurut al-Syeikh Abu Zahrah, “Sesungguhnya al-Syafie telah mengumpul ilmu fiqh Ahlu Ra’y dan ilmu fiqh Ahli al-Hadith dengan kadar yang seimbang”.

Akibatnya, al-Syafie telah dibawa menghadap khalifah Harun al-Rasyid. Dengan mengemukakan hujah yang kukuh, akhirnya beliau didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Dalam proses pengadilan ini juga beliau bertemu dengan Muhammad Ibn al-Hasan, hakim Baghdad pada masa itu. Muhammad Ibn al-Hasan juga merupakan rakan sepengajian semasa sama-sama berguru dengan al-Imam Malik.

Atas dasar simpati ke atas bekas rakan sepengajiannya, Muhammad Ibn al-Hasan memohon dari-pada khalifah Harun al-Rasyid untuk menjamin al-Syafie serta membenarkan beliau menetap di rumahnya. Dalam tempoh sebagai orang jaminan di rumah Muhammad Ibn Hasan, beliau berkesempatan mempelajari fiqh aliran ahlu ra’y daripada tokoh berkenaan. Setelah lebih kurang tiga tahun berada di Baghdad, beliau kemudiannya kembali semula ke Makkah.

Terdapat banyak perbezaan pen-dapat antara mazhab fiqh, Hanafi dengan yang dipelajari. Namun dengan kecerdikan dan keilmuan yang ada, beliau mengkaji pendapat tersebut serta mengolahnya kembali. Dengan itu terbentuklah kaedahnya sendiri yang dikenali sebagai Usul-al-Fiqh.

Setelah sembilan tahun mengajar di Makkah, beliau merasakan penemuan terbaru ini perlu disebarkan demi kepentingan umat Islam. Dengan ini, pada tahun 195 Hijrah beliau memilih Baghdad sebagai pangkalan ilmu dan mengambil langkah untuk menuju ke kota tersebut sekali lagi. Di Baghdad, kelas pengajian yang dianjurkan oleh beliau begitu mendapat sambutan ramai termasuklah di kalangan ulama’. Antara tokoh yang sering mengikut pengajaran beliau ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishak bin Rawahaih, Daud al-Zahiri, Abu Tsaur, Ibn Jabir al-Tabari, Abu Yaakub Yusuf Ibn Yahya al-Buaiti, Abu Ibrahim Ismail Ibn Yahya al-Madani, al-Hasan Ibn Muhammad al-Za’farani, al-Rabiah bin Sulaiman bin Abdul Jabbar al-Muradi, dan lain-lain lagi.

Lantaran kebijaksanaan yang dimiliki, muridnya al-Imam Ahmad bin Hanbal menyifat serta mengiktiraf al-Syafie sebagai seorang Mujaddid kurun ke-2. Pengiktirafan ini berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada awal setiap seratus tahun seorang mujaddid yang akan membuat pembaharuan dalam urusan agama”.

Sesuai dengan itu, al-Imam Ahmad bin Hanbali turut berpendapat bahawa khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan seorang mujaddid pertama.

Dalam usaha menguasai ilmu hadith, Ahmad bin Hanbali pernah mengatakan, “Aku tidak mengetahui tentang nasikh dan mansukh hadith (masalah pemansukhan hadith) sehinggalah aku berdamping dengan al-Imam al-Syafie”.

Sebagai seorang ilmuwan agung, beliau turut menghabiskan sisa-sisa umurnya semasa berada di Baghdad dan di Mesir dengan mengarang kitab. Menurut Yaqut al-Hamawi seorang ahli kaji sejarah, sepanjang hayat beliau, selain kitab al-Umm dan kitab al-Risalah, al-Imam al-Syafie sempat menulis sebanyak 174 kitab (risalah kecil) dengan pelbagai tajuk. Semuanya membincangkan segala permasalahan fiqh masa itu. Pengorbanan beliau dalam bidang ilmu amat disanjung. Hasil khazanah ilmiahnya menjadi bahan rujukan para pelajar dan intelektual Islam hingga kini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s