HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 2 – Kembali ke Kuala Kedah

Bujang
Berusia 28 tahun

Kota Kuala Kedah dengan tembok batu yang tinggi berdiri megah di kuala sungai.

Di utara kota itu sebatang anak sungai telah dikorek hingga tembus ke Sungai Kubang Rotan. Di atas tembok batu itu ditempatkan berpuluh-puluh laras meriam tembaga, muncungnya yang gagah dihala ke arah laut sebagai pengawal setia kapal-kapal dagang yang singgah di perairan itu.Di dalam kota yang kukuh itu terdapat balai penghadapan tempat menerima tetamu kehormat,gedung senjata,balai pengawal,balai cukai,balai tetamu serta rumah-rumah penginapan. Di hadapan balai pengawal terpacak bendera warna hijau-putih-merah lambang Kompeni Belanda yang berkibar megah,kedudukannya lebih tinggi daripada bendera Negeri Kedah Darul-Aman.

Berpuluh-puluh orang pengawal yang bersenjata api sentiasa menjaga pergerakan keluar-masuk di pintu kuala itu.Sampan dan tongkang diperiksa dengan teliti.Pintu gerbang kota itu pula dikawal oleh dua orang pengawal berwajah bengis,lengkap dengan keris,pedang dan lembing.Manakala di dalam kota itu beratus-ratus orang pengawal lagi ditempatkan dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa.Di dalam kota itu juga,pengawal-pengawal yang tidak bertugas bermain sepak raga,berlatih silat atau berbual-bual kosong sambil main dam.

“Sepuluh tahun dulu,kota ini bukan begini,”cerita seorang pemain dam kepada rakan-rakannya yang sedang berkerumun.”Tapi,sejak Datuk Maharaja Kadzi membaikinya atas perintah Sultan,kita tak perlu takut pada sesiapa pun.Kita dah berkawan dengan Belanda.”

Rakan-rakannya hanya mencebik mendengar cerita yang berkali-kali mereka dengar.

“Eh,Dali,”katanya pada seorang pengawal berusia 40-an.”Aku dengar kau juga ada bersama Sultan ketika Kuala Kedah jatuh ke tangan Belanda dulu.”

“Betul tu,”balas Dali dengan bangga.”Kalau tak percaya,tanyalah Bachok,Semaun dan ramai lagi.Kami sama-sama berundur dari istana Kota Naga kemari.”

“Tapi sekarang,istana tu dah jadi hutan,”sampuk seorang pengawal,disambut dengan gelak-ketawa oleh pengawal-pengawal lain.

“Tidak juga,”Dali menafikan.”Aku dengar istana itu sedang dibaiki semula buat dijadikan tempat Sultan bersemayam. Khabarnya dah hampir siap pun.”

“Itu pun dengan bantuan Kompeni Belanda dan kuasa luar,”celah pemain dam.”Tengok sahaja bulan lepas,enam pucuk meriam itu Belanda yang hadiahkan.Sekarang kita guna duit Belanda.Kita tak guna lagi kupang,jembal dan rial. Betul tak,Dali?”

Dali yang ditanya itu tidak menjawab,sebaliknya memerhati dengan teliti ke kuala sungai.

“Apa kau tengok tu,Dali?tanya seorang pengawal di sebelahnya kehairanan.

“Lelaki tu,”Dali menuding ke arah sebuah sampan.”Lelaki berjambang yang sedang berdayung masuk ke pintu kuala. Rasanya macam aku kenal.”

“Entah benggali mana,kau kata kau kenal,”sindir seorang pengawal lain.Gelak-ketawa pecah berderai.Dali tidak pedulikan gelagat mereka.Dia terus menuruni tangga batu menuju ke pintu gerbang.Dari pintu gerbang yang dikawal dua pendekar bengis,dia memerhati gerak-geri lelaki berjambang itu.

Lelaki yang menarik perhatian Dali itu menambat sampannya pada tiang penambang. Kemudian,dia melompat ke darat sambil menjinjing sebuah buntil yang sudah lusuh. Dia mula memanjat tangga batu yang membawa ke pintu gerbang.Wajahnya kelihatan bengis dan garang. Misai yang tebal dan rambut yang panjang melepasi bahu menambahkan lagi sifat bengis dan garangnya. Namun,matanya tampak tenang. Tenang dan jernih. Di atas tangga di hadapan pintu gerbang,dia ditahan dengan kasar oleh dua pengawal yang tidak pernah senyum itu.

“ Mahu ke mana?”tanya salah seorang pengawal itu,lembingnya diacu.

“Ke dalam kota,”ujar lelaki itu ringkas,acuh tak acuh.

“Apa urusan kau?”jerkah pengawal yang kedua pula,memerhati lelaki itu  dari atas ke bawah,terutama pakaian lusuh yang tidak tentu warna lagi.

“Hamba dengar penghulu di sini bernama Perkasa,”sepatah sepatah lelaki itu meluahkan kata-kata.”Wan Perkasa.”

“Kau ada surat kebenaran?”tanya pengawal pertama pula.

“Surat kebenaran?”lelaki itu kelihatan bingung.

“Datuk Perkasa hanya berkuasa ke atas orang-orang Melayu di sini,”pengawal yang kedua pula bersyarah.”Orang asing dan orang luar macam kau ni mesti ada surat dari Tuan Joan Truijtman.”

“Siapa gerangan Tuan Joan ini?”tanya lelaki itu dengan tenang.

“Kau datang dari mana,hah?Dari hutan?”jerkah pengawal pertama pula.”Tuan Joan tu wakil Kompeni Belanda dan juga Syahbandar di sini,tahu?”

“Maafkanlah,”lelaki itu merendah diri.”Hamba orang hutan tidak tahu-menahu tentang perkara ini.”

“Baik,”pengawal kedua memberikan syarat.”Kalau tak ada surat kebenaran dari Tuan Joan,kau kena bayar wang.”

“Wang?”lelaki itu tertawa kecil.”Sekupang pun hamba tiada.”

“Eh,kami tak main kupang-kupang,tau,”pengawal yang meminta wang itu menyindir pedas.”Sekarang kami guna wang Belanda yang dipanggil florins.Memang betullah kau ni datang dari hutan. Sekarang,lebih baik kau pergi dari sini.”

“Pergi lekas,”rakannya pula mengacah dengan lembing.

Dali yang mendengar perbualan sejak dari awal lagi segera menahan.

“Tunggu,Seman,”Dali memegang tangan pengawal yang mengacah lembing itu.”Kau juga,Badek.Biar aku uruskan lelaki ini.”

“Biar aku periksa apa yang dibawanya,”Badek merampas buntil dari tangan lelaki itu. Ikatan buntil itu dibuka.”Apa ni?”Badek mengeluarkan sebilah keris panjang berhulu dan bersarung hitam.”Ada lambang kerajaan Negeri Kedah.”

“Biar aku tengok,”Dali mengambil keris itu dari tangan Badek  lalu membeleknya dengan teliti.”Keris Panjang Berayat. Juga dikenali sebagai Keris Hitam Bersepuh Emas. Keris ini bukan sebarang keris tetapi pakaian rasmi seorang panglima raja.”Dali memandang tepat ke wajah lelaki itu.”Dari mana kau mendapatnya?”

“Anugerah Sultan Rijaluddin,”ujar lelaki itu.”Sepuluh tahun yang silam.”

“Sepuluh tahun…?”

“Ini apa pula?”pengawal itu mengeluarkan pula sebilah keris pendek berhulu dan bersarung gading yang berhias batu permata.”Anugerah Sultan juga?”

“Tidak,”ujar lelaki itu dengan tenang.”Itu keris pusaka,hamba warisi dari ibu hamba. Dalam buntil itu juga terdapat sepasang persalinan lengkap seorang panglima.”

“Panglima?”mata Dali terbeliak.”Jadi,tuan hamba ini…?”

“Nama hamba Bujang,”lelaki berjambang itu memperkenalkan diri.

“Bujang?Yang bergelar Panglima Agung?”lekas-lekas Dali mengambil kedua-dua bilah keris itu lalu disimpan semula dalam buntil,buntil itu cepat-cepat pula dikembalikan kepada lelaki bernama Bujang,”Seman,Badek,kalau kau tak mahu mencium tanah,lebih baik kau melutut minta maaf pada lelaki yang kau pandang hina ini.”

Seman dan Badek hanya terkebil-kebil,samada hendak percaya atau tidak.

“Ramai orang mengatakan Panglima terbunuh di tangan Belanda,”Dali mula membuka cerita lama.”Bagaimana Panglima boleh terselamat?Ke mana Panglima pergi selama ini?”

“Panjang ceritanya,Dali,”Bujang menggalas buntilnya.”Lain kali sahaja hamba ceritakan. Sekarang,boleh hamba menemui adik ipar hamba Datuk Perkasa?”

“Tentu sekali boleh,Panglima,”Dali tidak melarang.”Rumah Datuk Perkasa yang besar sekali,dekat deretan kedai.Kalau tak silap hamba,rumah itu dibina di atas tapak asal rumah arwah ayahnya.”

“Terima kasih,Dali,”Bujang menepuk bahu bekas rakan perjuangannya itu.Tanpa meng-hiraukan kedua-dua pengawal yang sombong itu,dia terus masuk ke dalam kota.

“Kami mesti beritahu Tuan Joan,”kata Seman pada Dali.Badek angguk kepalanya.

“Kau nak beritahu,pergilah.Aku tak nak mencari geruh dengan Panglima Agung ayam tambatan Sultan,”balas Dali bersungguh-sungguh lalu meninggalkan mereka berdua.

Selepas meninggalkan bangunan kota itu dan masuk ke kawasan perkampungan,Bujang tercengang-cengang seperti rusa masuk kampung. Kawasan perkampungan itu sudah banyak berubah.Rumah-rumah lama yang habis dibakar Belanda dulu  sudah diganti dengan rumah-rumah baru yang lebih besar dan lebih kecil. Tapak rumah tempat dia dibesarkan juga sudah jadi milik orang lain. Surau yang runtuh terkena bedilan meriam sudah diganti dengan sebuah mesjid bertiang tinggi yang lebih besar dan lebih luas.Sawah bendang milik ayahnya dulu sudah diratakan,dijadikan tapak berdirinya deretan kedai.Dan,yang paling menyedihkan ialah anak sungai dengan airnya yang dingin lagi jernih tempat dia dan Teratai bermadu kasih dulu sudah dikorek dan diperbesarkan menjadi sebatang sungai di mana dibina sebuah jambatan kayu.Teratai…!

Bujang segera mencari rumah Datuk Perkasa.Rumah yang dimaksudkan oleh Dali itu terletak di tepi sungai,diperbuat daripada kayu,tersergam indah dengan empat anjung serta bumbungnya atap genting merah.Hatinya melonjak gembira bila terpandang seorang lelaki gemuk sedang mendukung anak di halaman rumah.Memang tidak salah lagi lelaki itu ialah Perkasa adik iparnya dan teman sepermainannya dulu.

“Assalamualaikum,”Bujang memberi salam dari hujung halaman sambil tersenyum.

“Waalaikumussalam,”Perkasa berpaling memandang Bujang,dahinya berkerut seolah-olah tidak mengenali Bujang.Ketika Perkasa masih terpinga-pinga,Bujang menghampirinya dengan senyuman yang tak lekang di bibir.

“Kamu ni siapa?”tanya Perkasa kehairanan.”Nak jumpa Datuk,ya?”

“Tidak,”Bujang  menjawab tenang.”Aku datang nak berjumpa dengan isteriku Teratai.”

“Teratai?”Perkasa terkejut,nyaris-nyaris anaknya terlepas dari dukungan.”Jadi….?”

“Ya,Perkasa,”ujar Bujang.”Akulah Bujang,suami Teratai,abang iparmu.”

“Bujang?”Perkasa hendak memeluk Bujang tetapi anaknya menjadi gangguan.Lalu dia hanya menghulurkan tangan bersalam dengan Bujang.”Abang Bujang.”

“Kekok  rasanya kau memanggilku abang,”tegur Bujang.”Kita ‘kan sebaya.”

“Kau kahwin dengan kakak aku, mestilah aku panggil kau abang,”bidas Perkasa.”Aku pun dah kahwin,tau.Dah ada dua anak pun.Tijah!Oh Tijah!”Perkasa memanggil isterinya keluar dari rumah.”Hah,itulah isteriku Tijah.Tijah,inilah abang ipar kita Bujang.”

“Oh,ini Abang Bujang,ya?”Tijah mengambil anaknya dari dukungan suaminya.”Abang Bujang yang dikatakan mati terbunuh sepuluh tahun yang lalu?”

“Umur abang masih dipanjangkan Allah,Tijah,”Bujang menjelaskan.

“Kau naiklah dulu,Bujang,”pelawa Perkasa.”Bersihkan badan,tukar pakaian,berihat. Aku ada perkara penting dengan Tuan Joan pagi ini.”

Bujang meraba jambangnya yang tidak terurus,”Kau ada pisau cukur?”

“Pisau cukur tak ada,”jawab Perkasa.”Tapi,kalau kau nak bercukur atau gunting rambut, kedai gunting ada di sana.”

“Aku manalah ada wang,”keluh Bujang.”Dah 10 tahun aku tak melihat wang.”

Perkasa menyeluk saku bajunya dan mengeluarkan sebuah uncang kecil berisi wang. Diberinya separuh wang  itu kepada Bujang,separuh lagi disimpannya.”Kau pergilah gunting rambut dan bercukur.Pakaian kau pun elok diganti,beli yang baru.”

“Terima kasih,Perkasa,”Bujang mengucapkan.”Aku pun tak mahu Teratai melihat keadaan diriku begini.”

Perkasa dan Tijah saling pandang-memandang,”Aku pergi dulu,Bujang.,”Perkasa tergesa-gesa minta diri dan segera beredar pergi. Gelagat Perkasa dan isterinya menimbulkan teka-teki pada Bujang. Baru Bujang membuka mulut hendak bertanya pada Tijah,Tijah pula mendukung anaknya naik ke atas rumah. Bujang rasa tidak sedap hati.Teringat wang yang baru diberikan oleh Perkasa,dia segera menuju ke kedai.

Pulang dari rumah Tuan Joan tengah hari itu,Perkasa tercengang melihat Bujang yang sedang berihat di atas buaian di bawah rumah.Bujang sudah berwajah baru.Rambutnya sudah digunting pendek,jambang dan janggutrnya dicukur licin,misainya dirapikan.Pakaiannya juga pakaian baru yang dipakai oleh kebanyakan orang muda di zaman itu.Hanya keris panjang dan keris pendek yang tersisip di pinggang membezakannya dari orang muda lain.

“Kau tak berubah langsung,Bujang,”tegur Perkasa memuji Bujang.

“Siapa kata aku tak berubah,”bantah Bujang.”Usiaku sudah 28 tahun.”

“Sepuluh tahun lamanya,”Perkasa terkenang peristiwa lalu.”Sejak kau menyelamatkan aku dari kapal itu,kita tak berjumpa lagi.Ramai orang mengatakan kau turut sama terkorban dalam peperangan itu.Ke mana kau menghilang selama ini?”

“Aku mengembara sambil menuntut ilmu,”jawab Bujang ringkas tanpa menjelaskan perkara itu selanjutnya.”Sekarang,boleh kau bawa aku berjumpa Teratai?”

“Teratai?”wajah Perkasa berubah.”Eh,kalau ya pun buat apa tergesa-gesa. Jemput makan dulu.”

“Aku sudah makan di kedai tadi,”Bujang menolak jemputan Perkasa.”Sekarang,tunjukkan padaku di mana rumah Teratai.”

Buat beberapa ketika mereka bertentang mata.Akhirnya Perkasa yang mengalah.

“Baiklah,Bujang,”suara Perkasa mengendur.”Mari ikut aku.”

Perkasa pun membawa Bujang ke belakang rumah di mana terdapat satu pusara lama tetapi masih dijaga rapi.”Inilah rumah Teratai,”kata Perkasa menahan tangisnya.Teratai kakakku dan isterimu.”

“Teratai sudah berpulang?Innalillahiwainnailaihrajiun….,”Bujang terus merebahkan badan berlutut di tepi pusara isterinya itu,wajahnya menekur bumi. Perkasa berpaling ke arah lain sambil mengesat air matanya,tidak sanggup melihat keadaan Bujang begitu.Kata-kata Teratai sepuluh tahun yang lalu terngiang-ngiang di cuping telinganya.

– “Tataplah wajah Teratai lama-lama.Pandanglah Teratai puas-puas” –

–  “Entahlah,abang.Teratai rasa seolah-olah kita tidak akan berjumpa lagi selepas ini.”-

– “Kata orang,hidup tunangnya mati.” –

-“ Teratai tetap sayang pada abang dari dunia hingga akhirat.” –

“Abang juga sayang pada Teratai dari dunia sampai akhirat,”ujar Bujang perlahan.

Perkasa terkejut mendengar Bujang bercakap seorang diri.Dia pun berpaling memegang bahu Bujang dengan lembut,”Sabarlah,Bujang.”

Bujang bangun perlahan-lahan,matanya masih terpaku pada pusara itu.

“Apa sakitnya?”tanya Bujang,suaranya agak parau

“ Dia mati bersalin,”Perkasa menerangkan perkara yang sebenarnya.

“Mati bersalin?”Bujang memaling mukanya ke arah Perkasa,matanya masih berair.”Jadi, maknanya,aku ada anak.”

“Ya,Bujang,”Perkasa tumpang tersenyum.”Kau ada seorang anak perempuan. Mukanya sebiji macam arwah ibunya.”

“Di mana anakku sekarang?Aku ingin menatap wajahnya,”gesa Bujang,tidak sabar lagi.

Perkasa terdiam sejenak sebelum menjawab,”Dia diambil dan dipelihara oleh Tunku Balqis sejak masih merah lagi.Namanya Wan Fatimah.Ada di istana Kota Naga sekarang.”

“Bukankah istana Kota Naga sudah musnah?”tanya Bujang.

“Memang musnah dalam peperangan dengan Belanda dulu tetapi dibaiki semula.”

“Aku mesti ke sana,Perkasa,”Bujang menyatakan hasratnya.

“Duduklah di sini dulu semalam-dua,”Perkasa cuba memujuk abang iparnya.

“Aku terpaksa pergi,Perkasa,”Bujang tetap menolak.”Pergi berjumpa anakku,agar terubat rinduku selama ini.”

Perkasa faham benar perangai Bujang,kemahuannya tidak boleh ditahan lagi.

“Baiklah,”Perkasa mengalah lagi.” Kau pergi jumpa Taukeh Wong dekat pekan sana.Kulinya mungkin nak ke Petani.Ketua kuli itu dipanggil Taiko.Ini wangnya,Bujang.”

“Tak apalah,Perkasa,”Bujang menolak pemberian itu.”Wang tadi masih ada.”

“Ambillah,”Perkasa berkeras juga.”Kau perlukan modal untuk memulakan hidup baru. Apa gunanya aku jadi adik iparmu kalau kau tidak kubantu.”

“Terima kasih sekali lagi,Perkasa,”Bujang terpaksa menerima pemberian itu.”Oh ya,nasib Teratai dan Balqis sudah kuketahui.Bagaimana dengan Kuntum?”

“Kuntum?”mulut Perkasa melopong.

“Kuntum yang kau tergila-gilakan dulu,”Bujang mengingatkan Perkasa,

“Oh Kuntum itu,”balas Perkasa sambil tersenyum.”Dia sekeluarga sudah balik ke Batu Sawar,Johor..Pak Guru Jalil pun sudah jadi Orang Kaya Temenggung.”

Bujang termenung sejenak,cuba membayangkan keadaan isterinya Kuntum  dan bapa mertuanya yang sudah sepuluh tahun tidak dilihatnya.Begitu juga dengan Tunku Balqis.

“Kalau begitu,aku pergi dulu,Perkasa,”Bujang minta diri sambil bersalam dengan adik iparnya.”Kirim salam pada isterimu Tijah.”

Ketua kuli yang dipanggil Taiko itu sedang memeriksa roda kereta lembunya di belakang kedai tengah hari itu apabila dia ditegur dari belakang.”Lu Taiko Chin kah?”

Taiko itu segera berpaling ke belakang,hendak ditengkingnya orang yang berani memanggil namanya begitu.Demi terpandang wajah Bujang dengan dua bilah keris tersisip di pinggang,dia tidak jadi marah.”Haiya,jangan panggil wa itu macam.”

“Habis nak panggil apa?”Bujang kehairanan.

“Wa punya nama Lim Kin Chin,”ketua kuli itu menerangkan dengan lenggok bahasa yang lintang-pukang.”Panggil Ah Lim atau Ah Chin. Jangan panggil Taiko.”

“Kenapa pula tak boleh panggil Taiko?”Bujang bertambah hairan.

“ Taiko Chin bunyinya macam Taik Kucing,”jelas Ah Lim.

Bujang ketawa mendengar penjelasan itu,kemudian berkata,”Hamba dengar lu kerap pergi ke Petani membeli beras untuk Taukeh Wong.”

“Haiya,wa sudah cukup olang,beras pun sudah banyak,”Ah Lim.”Lu mau beli beras,lain kali bolehlah.”

“Hamba bukan hendak membeli beras,”Bujang menjawab.”Hamba cuma ingin tumpang kereta lembu sampai ke istana Kota Naga.Ini wangnya.”

“Itu macam kah?Ho ho,lu boleh ikut wa,”Ah Lim bersetuju.”Lu tak payah kasi lui. Taukeh Wong sudah kasi lui sama wa. Sikit jam kita jalan.”

“Baiklah,”balas Bujang.”Hamba tunggu di masjid.”

“Ho ho,”sahut Ah Lim dengan ramah.”Wa pergi angkat lu.”

Ah Lim memandang penuh minat ketika Bujang beredar pergi. Ada sesuatu pada diri Bujang yang membuat Ah Lim segera tertarik padanya walaupun baru pertama kali berjumpa.Keris yang dipakainya juga bukan sebarangan tetapi keris milik hulubalang dari istana.

Petang itu tepat seperti yang dijanjikan,Ah Lim pun mengambil Bujang di masjid dengan kereta lembu. Oleh kerana tempat duduk hadapan hanya muat untuk seorang,Bujang terpaksa duduk di atas guni beras di belakang. Dia duduk bersandar pada dinding papan dan membiarkan sahaja Ah Lim mengendalikan dua ekor lembu penarik itu dengan menggunakan cemeti.Semasa terhentak-hentak di atas kereta lembu itu,ingatannya kembali kepada Kundang,Bachok,Semaun,Damak,Jerjaka dan ramai lagi rakan-rakannya yang turut sama berganding bahu mempertahankan Kuala Kedah sepuluh tahun yang lalu. Di manakah mereka?Apakah mereka masih hidup atau sudah mati?Kalau masih hidup,di mana kampung-halaman mereka dan kalau sudah mati di mana perkuburan mereka? Soalan itu berlegar-legar dalam kotak fikirannya.

Dia teringat pada iserinya Kuntum yang telah kembali ke Ujung Tanah bersama ibu dan bapanya.Kuntum sekarang sudah berusia 22 tahun. Tentu Kuntum telah bertukar dari seorang gadis sunti yang masih kebudak-budakan menjadi seorang perempuan muda yang cantik jelita lagi ayu dipandang.Sepasang lesung pipit di pipinya serta sebutir tahi lalat di sudut bibirnya pasti menambahkan lagi keayuanya.

Bila teringatkan Kuntum,Bujang teringat pula pada Balqis kerana mereka sebaya. Balqis pun sudah tentu menjadi seorang puteri raja yang  jelitawan,tidak angkuh lagi seperti dulu.

Dia semacam tidak percaya turun sahaja dari puncak Gunung Jerai,dia sudah memilki dua orang isteri. Tiga,jika dicampur dengan arwah Teratai. Macam bermimpi pula bila mendapat tahu dia mempunyai seorang anak gadis.Wan Fatimah diberi nama.Wajahnya persis wajah arwah ibunya.Tentu sekarang usianya lebih-kurang 9 tahun,bertaucang dua dan suka berlari-lari di halaman rumah seperti budak laki-laki. Bujang tersenyum sendirian dalam tidurnya.

Bila Bujang terjaga,kereta lembu tidak lagi bergerak. Dia hampir tidak percaya apabila melihat hari sudah gelap,bulan mengambang penuh di langit yang bertaburan jutaan bintang.

Rasanya dia hanya tertidur sekejap sahaja. Dia  menoleh ke arah Ah Lim yang masih membatu di atas tempat duduk hadapan.”Kenapa tak kejutkan hamba?”rungutnya pada Taiko cina itu.”Hamba nak sembahyang.”

“Sembahyang?”tanya Ah Lim tanpa melihat ke belakang.

“Ya,sembahyang,”Bujang menjelaskan.”Kami orang Islam wajib bersembahyang lima kali sehari-semalam.Tiga kali kalau sedang mengembara.”Tiba-tiba Bujang menyedari sesuatu yang tidak kena.”Kenapa kita berhenti?”

“Wa rasa depan sana ada perompak,”jawab Ah Lim sambil mengeluarkan sebilah pedang besar dari bawah tempat duduknya.

“Mana lu angkat pedang itu?”tanya Bujang sambil bangun.

“Wa bawa dari Tiongkok,”balas Ah Lim ringkas sambil memutar-mutar pedang itu.

“Dengan pedang itu,jangan kata manusia,gajah pun boleh mati,”Bujang bergurau.

Gurauan itu disambut dengan ketawa kecil oleh Ah Lim.”Lu pendekar kah?”

“Bolehlah setakat menepis dan mengelak,”Bujang merendah diri.

“Ho ho,kita jalan sekarang,”Ah Lim membuat keputusan sambil memukul cemeti supaya lembu bergerak.”Kalau ada perompak,lu mesti bantu sama wa. Itu perompak banyak jahat, suka bunuh orang,suka rampas harta-benda orang.”

Bujang hanya mengangguk.Diam-diam disimpannya dua bilah keris yang dipakainya itu di dalam buntil.Kerambit yang tersorok di belakang ditarik ke hadapan supaya mudah diguna-kan.Baru tidak sampai sepelaung kereta lembu itu bergerak,tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng mengepung mereka dari semua arah  dengan senjata yang tajam berkilat di tangan masing-masing.

“Haiya!”Ah Lim menyambar hulu pedangnya.

“Jangan cuba melawan!”seorang perompak yang besar-tinggi mengacu parang ladingnya ke leher Ah Lim.”Serahkan semua wang dan hartamu!Lekas!”

“Wa mana ada banyak duit,”Ah Lim cuba berdolak-dalik.”Barang pun tak ada.”

“Lu jangan cuba bohong,”perompak besar-tinggi yang melantik dirinya sebagai ketua itu memberi amaran.”Kami tahu kereta lembu ini milik Taukeh Wong.Dia selalu ke Petani membeli beras.Dia ada banyak wang.Serahkan semua wang itu kepada kami.”

“Itu Taukeh Wong yang kaya,”Ah Lim masih enggan.”Wa jadi kuli,maa.”

“Jangan cuba menegakkan benang basah,”suara ketua perompak itu mula naik.”Serahkan semua yang ada.Jika tidak,sayang jiwamu melayang dengan sia-sia!”

“Wa tak boleh kasi,”Ah Lim tetap berkeras.”Wa dibayar upah jaga ini wang semua.”

“Biadap!” ketua perompak itu mengangkat parang ladingnya.

“Tuan hamba,”Bujang menahan dengan menepis tangan ketua perompak itu..”Kami orang miskin.Kalau nak rompak,rompaklah orang kaya.”

Ketua perompak itu terpegun mendengar suara Bujang.Beberapa orang rakan-rakannya berhampiran saling pandang-memandang tanpa berkata sepatah pun.Namun begitu, dua-tiga orang lagi naik darah melihat tindakan Bujang terhadap ketua mereka.

“Kurang ajar!”kedua-dua perompak itu menyerbu hendak menetak Bujang.

“Tunggu!”Ketua perompak itu menahan mereka yang panas baran itu,kemudian cuba mengamati wajah Bujang di bawah cahaya bulan mengambang itu.”Handal juga kau,ya?

Apa urusan kau di tengah hutan begini?”

“Hamba hendak ke Kota Naga,”ujar Buujang tenang.”Berjumpa anak hamba.”

“Anak kau?”desak ketua perompak itu.”Siapa namanya?”

“Wan Fatimah nama diberi,dijaga oleh Tuan Puteri,”jawab Bujang.

Sekali lagi ketua perompak itu mengamati wajah Bujang dengan teliti.Bujang juga cuba meneka wajah di sebalik topeng hitam itu.”Siapa namamu.orang muda?”

“Nama hamba Bujang….”

“ Bujang yang bergelar Panglima Agung?”Ketua perompak itu mencelah.

“Benar,”Bujang mengaku.”Itulah gelaran yang dianugerahkan baginda Sultan.”

“Jangan cuba menjual nama orang lain,”suara ketua perompak itu meninggi.”Kami kenal siapa Panglima Agung. Dia turut bersama kami berperang di Kuala Kedah.Sayang sekali,dia mati dibunuh Belanda.”

“ Belum ajal berpantang maut,”tegas Bujang.”Membujur lalu melintang patah.”

Sekali lagi ketua perompak itu merenung tajam ke arah Bujang.”Sesiapa sahaja boleh menyamar menjadi orang lain.Apa buktinya kau Panglima Agung?”

“Ini buktinya,”Bujang mengeluarkan dua bilah kerisnya dari dalam buntil lalu menunjukkan kepada ketua perompak itu.”Keris Sempana Riau keris pusaka dari arwah bonda.Keris Hitam Bersepuh Emas anugerah dari Tuanku Paduka Ayahanda.”

Kali ini,lama betul ketua perompak itu merenung wajah Bujang dan memerhati Bujang dari atas ke bawah.Susana menjadi senyap sepi melainkan bunyi unggas malam. Tiba-tiba dia menepuk tangan ke arah rakan-rakannya.”Berundur semua!Panglima Agung bukan tandingan kita!”.

Dengan segera perompak-perompak itu berundur menghilangkan diri ke dalam hutan.

“Selamat kembali,Panglima,”ucap ketua perompak itu penuh hormat.”Syukurlah Panglima masih hidup.Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”ujar Bujang,masih tertanya-tanya siapa ketua perompak itu. Belum sempat dia menghulur tangan berjabat salam,ketua perompak itu berpaling lalu mengikut jejak-langkah rakan-rakannya.

“Haiya,lu pun pandai kungfu,”puji Ah Lim menepuk bahu Bujang.

“Sikit-sikit,”Bujang menyimpan semula dua bilah kerisnya.”Jauh lagikah Kota Naga?”

“Sudah dekat,”Ah Lim menggerakkan kereta lembu dengan cemetinya.”Lu mahu pergi istana bukan? Nanti wa bawa lu sampai sana.”

“Tak payahlah,Ah Lim,”Bujang menolak dengan lembut.”Turunkan hamba di mesjid yang berhampiran dengan istana.”

“Ho ho,”Ah Lim tidak berani membantah.

Istana Kota Naga yang terletak tidak jauh dari sebuah mesjid itu tidak jauh berbeza dari dulu selepas dibaiki oleh tukang-tukang yang handal.Malah,istana itu bertambah cantik setelah hampir-musnah sepuluh tahun yang lalu.Bumbungnya lima,anjungnya empat,didirikan di atas tiang kayu cengal yang tinggi.Bumbungnya atap genting dibawa dari luar,

tingkapnya kaca berwarna yang juga dibeli dari luar.Setiap anjung mempunyai tangga batu bertiingkat tujuh dengan tangga hadapan yang bertentangan dengan pintu gerbang utama dibuat lebih besar dan lebih cantik berhiaskan batu marmar.Di hadapan tangga yang cantik itu juga ditempatkan dua pucuk meriam tembaga dengan muncungnya dihala ke pintu gerbang.Setiap tangga dikawal dua pengawal berlembing sepanjang masa.

Di kanan istana terdapat Balai Penghadapan dan Balai Nobat.Balai Penghadapan yang juga dikenali sebagai Balai Rong Seri tempat baginda Sultan bersemayam dihadapan para pembesar manakala Balai Nobat pula tempat tersimpannya alat-alat kebesaran dan tempat diadakan upacara adat-istiadat. Di kiri istana pula dibina Balai Besar dan Balai Tetamu. Balai Besar tempat baginda Sultan berjumpa rakyat dan mendengar sebarang masalah mereka,Balai Tetamu pula seperti namanya adalah untuk penginapan para tetamu kehormat.

Di belakang istana terbentang luas taman larangan yang ditanam dengan berbagai pokok bunga dan pokok buah-buahan,dilengkapi pula dengan kolam ikan,kolam mandi,buaian dan panca persada.Seluruh istana itu dipagari tembok batu berjerejak besi yang diruncingkan di hujungnya,setiap penjuru dibina balai pengawal.Kebanyakan para pengawal tinggal dan berkeluarga di luar pagar istana supaya senang berulang-alik jika dijemput masuk mengadap.

Tunku Balqis mengeluh.Semua kemewahan itu tidak ada ertinya jika suami tiada di samping.Sudah sepuluh tahun dia hidup menjanda,janda berhias yang belum lagi disentuh suaminya.Berbagai lamaran diterima dari jauh dan dekat,namun tiada satu yang yang berkenan di hati,tiada satu pun yang boleh menandingi suaminya.Ramai orang bersumpah mengatakan suaminya turut terbunuh di tangan Belanda tetapi dia tidak mahu menerima hakikat itu selagi jenazah atau makam suaminya tidak dijumpai. Jauh di sudut hatinya,dia percaya suaminya masih hidup.Dia menganggap dirinya belum jadi janda dan itulah sebab utama ditolaknya setiap lamaran yang diterima.Dia masih menjadi isteri yang sah,haram hukumnya orang lain masuk meminang.

“Bonda,”seru satu suara halus dari belakangnya.Suara itu memang dikenalinya. Dia berpaling mendepakan tangan menyambut kedatangan.Gadis sunti berpakaian cantik itu tidak segan-silu menerkam memeluk ibunya dengan penuh manja.

“Buat apa Bonda di anjung ini?”tanya gadis sunti itu.

Tunku Balqis tidak menjawab,sebaliknya merenung wajah gadis sunti di hadapanya itu. Dia suka merenung mata itu kerana pada mata itu terpancar cahaya yang mengingatkan pada suaminya.Tiba-tiba dia perasan ada sesuatu pada wajah yang manis itu.

“Mengapa Fatimah bermuram durja?Mengapa hati gundah gulana?”tanya Tunku Balqis.

“Bonda,”mata jernih itu merenung mata Tunku Balqis.”Malam tadi Fatimah bermimpi. Fatimah bermimpi bertemu ayah dan ibu di taman yang indah.”

Tunku Balqis tersentak.”Bagaimana rupa mereka?”

“Tentulah cantik menawan,”kata Fatimah.”Ayah pun kacak orangnya.Mereka senyum sambil melambai-lambai tangan pada Fatimah.”

“Fatimah,”Tunku Balqis menahan sebaknya.”Anakanda pun tahu ibumu dan ayahmu sudah lama berpulang.Usah dikenang lagi pada mereka.Bonda ‘kan masih ada.Anggaplah Bonda ini sebagai ayah dan ibu Fatimah,ya?”

“Marilah kita berkunjung ke makam mereka di Kuala Kedah,”pinta Fatimah manja.

“Baiklah,Fatimah,”Tunku Balqis menyapu air matanya dengan lengan baju.”Besok akan Bonda maklumkan pada Paduka Nenda,kita ke sana naik kereta kuda.”

‘Kalau ayah Fatimah masih hidup,tentu dia sudah tua,ya,Bonda?”tiba-tiba Fatimah  menyebut lagi perkara itu.

“Tidaklak tua sangat,”Tunku Balqis terbayang-bayang sinar kejantanan yang ada pada Bujang.”Usianya waktu itu 18 tahun.Kalau dia masih hidup,tentulah usianya 28 tahun.”

“Tentu padan dengan Bonda ‘kan?”Fatimah mengusik.

Tunku Balqis lekas-lekas melarikan wajahnya yang merah padam dari dilihat Fatimah.

“Kalau padan pun,apalah gunanya,”dia memerhati alam yang bermandikan cahaya bulan purnama.”Ayahmu sudah mati dan tak mungkin hidup kembali. Kita hanya berangan-angan dengan perkara yang mustahil berlaku.”

“Betulkah Bonda akan bertunang?”tiba-tiba Fatimah menukar tajuk perbualan.

“Dengan siapa?”Tunku Balqis pura-pura bertanya.

“Dengan siapa lagi,tentulah dengan Mamanda Tun Mat,”jawab Fatimah nakal.

“Tunku Mat Akib hanya bercinta dengan bayang-bayang,”Tunku Balqis menatap wajah Fatimah.”Fatimah,orang bertunang kerana hendak berkahwin.Perkahwinan tidak akan berlaku tanpa kasih-sayang.Bonda tidak kasih dan tidak sayang pada Tunku Mat,jauh sekali untuk berkahwin dengannya.Bila Fatimah sudah dewasa nanti,Fatimah akan mengerti.”

Tunku Balqis berhenti demi melihat seorang lelaki kacak berusia awal 30-an menjenguk dari pintu anjung,wajah lelaki itu muram sahaja.

“Kanda Tunku Mahmud,”tegurnya,turut bersedih.”Ayahanda masih gering?”

Tunku Mahmud mengangguk lemah.”Ayahanda bertambah gering.Eloklah kita ke bilik peraduan.Manalah tahu…..!”

Tunku Balqis tidak menunggu lagi.Dia terus menarik tangan Fatimah mengajaknya ke bilik peraduan ayahandanya.Tunku Mahmud Raja Muda mengikut dari belakang,wajahnya masih sugul dan muram.

Baginda Sultan terbaring di atas peraduan dengan tidak bergerak,matanya terpejam rapat,hanya nafasnya turun-naik menandakan dia masih bernyawa. Raja Bendahara,Datuk Seraja Imam,Penghulu Istana,Pawang Di raja serta beberapa pembesar lain sudah hadir. Mereka duduk mengelilingi katil baginda sambil mulut kumat-kamit membaca sesuatu. Datuk Seraja Imam pula membaca kitab suci Al-Qur’an yang diletakkan di atas rehal tembaga. Tok Muda Pawang Di raja duduk membakar kemayan di atas dupa bara sambil membaca jampi-serapah dengan perlahan. Setiap kali kemayan ditabur,asap naik berkepul-kepul memenuhi ruangan bilik yang luas itu dengan keharuman. Tunku Balqis,Tunku Mahmud dan Fatimah duduk di hujung katil,masing-masing tunduk menekur lantai.

“Ampun Tuankun Raja Bendahara,”Datuk Bentara Dalam tiba-tiba masuk mengadap.”

Patik membawa seorang dukun muda.Katanya dia datang dari Gunung Jerai dan boleh mengubat sakit Ke Bawah Duli Tuanku.”

Semua pandangan tertumpu pada  dukun muda tersebut yang berpakaian seperti kebanyakan pemuda kampung,berkain selimpang serta membawa buntil.Hati Tunku Balqis berdebar-debar melihat buntil itu. Dia cuba mengamati wajah dukun muda bermisai tebal dari jauh tetapi wajah itu hanya tampak samar-samar di bawah cahaya lilin.

“Suruh dia rapat kemari,Bentara Dalam,”perintah Raja Bendahara yang sudah tua itu.

Datuk Bentara Dalam memberi isyarat kepada dukun muda itu supaya maju ke hadapan.

Bujang yakin tiada sesiapa yang mengenalinya ketika dia menghampiri peraduan baginda Sultan dan menyusun sembah.Namun,darahnya tersirap ke kepala bila dia terpandang Raja Muda,Tunku Balqis dan seorang gadis sunti yang saling tidak tumpah mengikut wajah arwah Teratai isterinya.Raja Muda tenang sahaja seolah-olah Bujang tidak dikenalinya. Berbeza dengan Tunku Balqis dan Wan Fatimah,mereka seakan-akan terkedu,lidah kelu untuk berkata-kata. Bila mata bertentang mata,degupan hati Bujang bertambah kencang. Dia cepat-cepat melarikan pandangannya dari mereka berdua.

‘Boleh diubati penyakit Ke Bawah Duli Tuanku,Dukun Muda?”pertanyaan Raja Bendahara bagaikan menyedarkan Bujang dari lamunan.

“Setiap penyakit Allah yang menyembuhkan,”ujar Bujang .”Kita sekadar berikhtiar.”

Mendengar suara Bujang,Tunku Mahmud tertarik untuk memerhati Bujang dengan lebih teliti.Dia menjeling pada adindanya Tunku Balqis,pandangan mereka bertemu.Namun tiada kata-kata keluar dari bibir mereka.

“Apa penyakitnya?”tanya Bujang,pura-pura tidak melihat telatah Tunku Balqis.

“Kata Tok Muda Pawang Di raja,baginda Sultan disampuk oleh keramat Tok Jambul Merah dari Bukit Keplu,”Raja Bendahara menyatakan.

Bujang diam membisu tanpa membalas kenyataan itu.Dia membuka sedikit buntilnya lalu mengeluarkan seutas tasbih berwarna putih bersih.”Hamba bukan tok pawang atau tabib,” katanya merendah suara.”Sama-sama kita berdoa dan bertawakal kepada Allah. Setiap penyakit ada ubatnya,kecuali maut.”

Bujang pun memejam mata berzikir dalam hati sambil membilang buah tasbih.

“Cari kulat tapak gajah,”dia bersuara,mata masih terpejam.”Dibelah,diambil lendirnya. Sapu lendir itu di kepala baginda,biarkan semalam-malaman.”

“Baiklah,”akur Raja Bendahara bila melihat Tok Muda Pawang Di raja angguk kepala.

“Cari ayam hutan,ambil hempedunya,beri baginda santap,”sambung Bujang,belum habis lagi.”Kalau boleh,dimakan mentah-mentah.Kalau  tak boleh,masaklah apa saja.”

“Tapi,hempedu rasanya pahit,”sampuk Raja Bendahara.

“Pahit itu penawar segala penyakit,”Bujang menegaskan.”Carilah teras delima atau akar pisang emas,direbus hingga airnya tinggal separuh,beri baginda minum sampai habis.”

“Itu sahaja,Dukun Muda?”tanya Raja Bendahara.”Atau ada lagi ubatnya?”

“Sembahyang hajat,minta doa pada Allah,banyak membaca selawat syifa’,”jelas Bujang sebagai penutup.Nada suara Raja Bendahara berbaur sindiran tidak dipedulikan.

“Boleh kita main puteri?”tiba-tiba Tok Muda Pawang Di raja bertanya.

“Main puteri?”Bujang bertanya balik sambil menyimpan semula tasbihnya.

“Kami sudah menjemput Kumpulan Main Puteri dari Petani sebagai ikhtiar terakhir mengubati penyakit Ke Bawah Duli,”Tok Muda menerangkan kepada Bujang.”Mereka sudah berada di Balai Besar menunggu perintah sahaja.”

“Mereka sudah sampai?”Raja Bendahara pula bertanya pada Tok Muda Pawang Di raja sambil matanya menjeling tajam pada Raja Muda.

“Sudah,Yang Mulia Tuanku Raja Bendahara,”sembah Tok Muda.”Pemain rebab,pemukul gong dan gendang serta peniup serunai semuanya sedang menunggu di sana.Patik pun akan membantu Tok Munduk dalam upacara buka panggung dan memanggil Tok Puteri.”

“Kalau begitu,kita berangkat ke Balai Besar sekarang juga,”Raja Bendahara memberi titah seperti seorang sultan.”Dukun Muda,kamu boleh pergi dari sini.”

Kerana Bujang tidak dijemput,dia menunggu semua pembesar keluar,baru dia bangun sambil mencapai buntilnya.Dia melihat Raja Muda,Tunku Balqis dan Wan Fatimah masih di situ bertafakur di hujung katil baginda Sultan.Dengan tidak semena-mena Tunku Balqis bangun merapatinya.”Dukun Muda,boleh kita berbicara di kamar beta?”

Bujang terkejut bercampur gembira.”Kurang manis kalau dilihat orang,”dia menolak pelawaan itu.”Patik rasa di anjung lebih sesuai.”

“Pergilah,Dinda,”Raja Muda tidak melarang.”Nanti Kanda minta dayang-dayang  tidurkan Fatimah.”Raja Muda tersenyum penuh makna.

Tunku Balqis turut senyum tanda terima kasih.”Mari,Dukun Muda.”

Bujang pun dibawa ke anjung hadapan.Dari situ dapat dilihat dengan jelas upacara ‘Main Puteri’ yang dimainkan di Balai Besar.Orang ramai sudah berkerumun.

“Duduklah dulu,biar beta sediakan minuman,”pelawa Tunku Balqis dengan mesra.

Bujang pun duduk di sebuah kerusi panjang yang menghadap ke Balai Besar.Itulah kali pertama dia dapat menyaksikan upacara ‘Main Puteri’ yang pernah didengarnya dan dia ingin menyaksikannya sampai habis.Dilihatnya Tok Muda Pawang Di raja dan Tok Munduk sedang membaca jampi-serapah sambil membakar kemayan. Jampi-serapah pula dibaca dalam bahasa yang tidak difahami. Setelah itu,Tok Munduk mula naik semangat seperti dirasuk sesuatu.

“Diam semua!”pekik Tok Muda.”Tok Puteri dah mari.”

Semua yang menyaksikan upacara itu terus diam,takut dimarahi Tok Puteri yang sudah memasuki badan Tok Munduk. Tok Munduk pun menari mengikut rentak paluan gong dan gendang,sekejap meliuk-lintuk seperti putera,sekejap pula terkinja-kinja seperti orang bersilat.

Bujang tercium bau harum.Rupanya Tunku Balqis sudah datang membawa dua cangkir berisi minuman,satu cangkir dihulurkan kepada Bujang.Alangkah terkejutnya Bujang bila Tunku Balqis tanpa segan-silu duduk di sebelahnya,paha mereka bergesel.

“Sudah besar rupanya anak gadis Tuan Puteri,”kata Bujang pembuka bicara sebagai menutup perasaannya.”Mana ayahnya,patik tak nampak-nampuk pun?”

“Fatimah cuma anak angkat beta tetapi sudah beta menganggapnya seperti anak kandung sendiri,”Tunku Balqis menjelaskan.”Kasihan,dia yatim piatu…ayahynya mati dalam peperangan,ibunya pula mati ketika melahirkannya.”

“Memang menyedihkan,”Bujang teringat kenangan silam bersama Teratai.

“Dukun Muda,boleh beta bertanya satu perkara?Buntil itu siapa yang memberinya?”

Bujang merasa serba-salah hendak menjawab pertanyaan itu.”Errr..patik dapat……!”

“Dapat dari istana ini juga,bukan?”Tunku Balqis menghabiskan ayat Bujang,kemudian menyambung lagi.”Tadi ketika Dukun Muda membuka buntil itu di bilik peraduan Paduka Ayahanda,beta ternampak dua bilah keris.Salah satunya ialah Keris Panjang Berayat anugerah Paduka Ayahanda pada seorang panglima sepuluh tahun yang lalu. Nama sebenar panglima itu ialah Tengku Alang Iskandar tetapi dia lebih suka dipanggil Bujang.Bergelar Panglima Agung.”

Bujang merasa seperti sebutir peluru meriam meletup di sebelahnya. Dia tidak berani bertentang mata dengan Tunku Balqis tetapi dia tahu mata isterinya itu tidak berkelip-kelip memandang kepadanya. Dia pura-pura tertarik pada upacara  ‘Main Puteri’ di Balai Besar. Namun dia tahu dia tidak boleh merahsiakan lagi perkara itu.

Tiba-tiba Tunku Balqis memaut lengannya dengan penuh mesra.

“Tak baik kita bersentuhan begini,Tunku”dengan lembut ditolaknya tangan Tunku Balqis.”Berdosa.Malu kalau dilihat orang lain.”

“Seorang perempuan tidak berdosa menyentuh kulit suaminya yang sah,”Tunku Balqis memulangkan paku buah keras sambil memaut semula lengan Bujang.Kali ini Bujang tidak menolak.Tangan Tunku Balqis diusapnya.

‘Jadi,Balqis sudah kenal dari awal abang yang datang tadi?”tanya Bujang.

“Balqis hanya menaruh syak,”Tunku Balqis merebahkan kepalanya ke bahu Bujang.”Tapi sekarang,Balqis sudah yakin Kandalah suami Balqis yang dikatakan mati itu.”

“Abang tidak mati,Balqis,”Bujang membelai-belai rambut isterinya pula.”Abang diselamatkan oleh seorang nelayan di Kuala Merbok. Selepas agak sembuh,abang terus dibawa ke puncak Gunung Jerai.”

“Dibawa?”tanya Balqis.”Maksud Kanda,kanda masih belum boleh berjalan?”

“Bukan begitu,Balqis,”Bujang menjelaskan lagi.”Abang sendiri tidak tahu bagaimana tetapi sedar-sedar abang sudah berada di puncak Gunung Jerai.Di situlah abang menuntut ilmu beberapa tahun sebelum abang ke Mekah menunaikan haji.”

“Haji?”Tunku Balqis kehairanan.”Kanda pergi ke Mekah naik kapal?”

“Itu pun sukar untuk dipercayai,”Bujang terus menjelaskan.”Kalau Balqis bukan isteri abang,takkan abang ceritakan. Abang ke Mekah dalam sekelip mata dan balik pun dalam sekelip mata sahaja.”

Tunku Balqis menatap wajah suaminya seperti ingin kepastian.”Selepas balik dari Mekah, abang terus kemari?”

“Abang menuntut ilmu lagi sehingga genap 10 tahun,”cerita Bujang lagi.”Selama tempoh itu,abang dilarang sama sekali bercampur-gaul dengan manusia,apatah lagi hendak balik kemari.”

“Kalau Kanda tidak bergaul dengan manusia,apa yang ada di sana?”

“Sebenarnya banyak lagi rahsia dan khazanah Gunung Jerai yang belum dicungkil orang,” Bujang berkata lagi,”Hanya orang-orang yang arif sahaja yang mengetahuinya.”

“Kalau Kanda benar-benar arif,cuba teka apa yang tersirat di hati Balqis?”tanya Tunku Balqis sambil memandang tepat ke wajah Bujang,matanya galak.

“Terkilat ikan di air,sudah abang ketahui jantan-betinanya,”Bujang tersenyum lebar.

“Pendayung sudah di tangan,sampan sudah di air,apa ditunggu lagi?”pandangan mata Tunku Balqis bertambah galak.”Kanda pergilah bersiram dulu,baru segar badan.”

‘”Abang sudah mandi di mesjid tadi,”beritahu Bujang pada isterinya.

“Kalau begitu,Balqis akan langiri kamar dengan wangi-wangian,”Tunku Balqis bangun mencubit manja pipi Bujang.”Kanda ingat lagi kamar yang kanda tumpangi dulu?Balqis tunggu Kanda di sana.”

“Dengan satu syarat,”pinta Bujang.”Jangan panggil Kanda lagi.Panggil saja abang.”

“Kanda itu panggilan di kalangan kaum-kerabat di raja,”Tunku Balqis membantah syarat suaminya.”Kalau Kanda di istana,Kanda terikat dengan adat-istiadat.Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”

“Abang tak biasa dengan adat-istiadat ini,”Bujang bangun mencapai buntilnya.”Kalau Balqis tidak mahu berubah,biarlah abang pergi dulu.”

“Kanda!”Tunku Balqis cuba menahan tetapi Bujang berpaling dan terus pergi.Dia menangis teresak-esak.

Bujang terus meninggalkan pekarangan istana tanpa menghiraukan upacara Main Puteri yang sedang berlangsung. Di luar pintu gerbang,hatinya berbelah-bagi,hendak ke kiri atau ke kanan.Dia tidak tahu keadaan di situ dan dia sendiri tidak tahu ke mana hala-tujunya selepas ini.Hajatnya untuk menatap wajah Fatimah sudah tercapai.Tetapi,dia malu pada diri sendiri kerana tarafnya tidak sama dengan taraf  keluarga bangsawan.Hidupnya tidak tentu arah,tanpa tujuan.Dia juga tidak ada sebarang pekerjaan untuk memberi nafkah anak-isteri-nya.Dia perlu memilih sumber pendapatan yang menjamin masa depannya.Biarlah jadi petani,jadi nelayan,jadi apa pun asalkan rezeki yang diperolehinya halal.

Dengan lafaz bismillah,dia memilih jalan di sebelah kanan dan terus mengorak langkah.Dalam kegelapan malam itu,dia berjalan mengikut gerak-rasanya tanpa sebarang panduan.Dia mengikut sahaja ke mana kakinya melangkah. Sekali-sekala dia tersepak tunggul. Selepas pandangan matanya dapat menyesuaikan diri dengan suasana di persekitaran, barulah nampak samar-samar lorong dan denai yang dilaluinya.Dia berjalan dan terus berjalan.Bunyi gendang,gong,serunai dan lain-lain peralatan “Main puteri” tidak kedengaran lagi.Istana Kota Naga semakin jauh.

Menjelang larut malam ketika Bujang melalui kawasan hutan,tiba-tiba sekumpulan lembaga hitam menghalangnya di tengah jalan.Dari topeng yang dipakai,nyatalah mereka adalah kumpulan perompak yang sama yang ditemuinya senja tadi.Dia cuba mencari-cari ketua perompak yang besar-tinggi itu tetapi tidak kelihatan.

“Nak ke mana ni?”sergah seorang perompak yang kurus melidi.

“Ke hadapan,”balas Bujang ringkas.

“Oh..,cakap pandai,ya?”marah perompak itu.

“Eh,kau jalan seorang diri malam-malam begini,tak takut kah?”tanya perompak lain pula.

“Apa yang nak ditakutkan?”balas Bujang selamba.

“Manalah tahu,ada hantu kah,perompak kah,”rakannya menokok-tambah.

“Hantu atau perompak,hamba tak gentar,”ujar Bujang sambil menunjukkan keris panjang,

“Eh,kawan-kawan,”seorang perompak lain mencelah.”Dialah yang kita tahan tadi dengan orang cina tu.Katanya,dia Panglima Agung.”

“Memang hamba bergelar Panglima Agung,”Bujang menghunus keris panjangnya. Melihat keris itu,mereka semua diam membisu.

“Maaflah,Panglima,”perompak kurus melidi akhirnya bersuara memohon.”Kami tak tahu Panglima ada di sini.Panglima hendak ke mana?”

Melihat kumpulan perompak itu berlembut,Bujang menyarungkan kerisnys.

“Hamba sebenarnya sedang mencari tempat yang sesuai untuk bertapa,”katanya.

“Kalau nak bertapa,pergilah ke Bukit Keplu,”cadang seorang perompak.

“Jauhkah tempat itu dari sini?”tanya Bujang,hatinya berminat.

“Kalau berjalan kaki,jauh juga,besok pagi baru sampai,”jawab perompak itu.

“Hamba pergi dulu,”pinta Bujang.”Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”jawab mereka beramai-ramai sambil sahaja Bujang bergegas pergi.

“Ke mana agaknya arah-tujuan Panglima Agung?”

“Katanya nak ke Bukit Keplu.”

“Aku percaya dia hendak ke tempat lain.”

“Merbahaya berjalan malam.Ada ular,kala jengking,babi hutan.Kalau bukan perkara penting,takkan dia berani mengharungi semua itu.”

“Elok kita adukan perkara ini kepada ketua kita,”salah seorang dari mereka menyarankan.

Mereka segera menghilangkan diri di dalam kegelapan itu.

Menjelang dinihari,Bujang ternampak samar-samar sebuah bukit yang kelihatan seperti sebuah kapal terbalik,tersergam di kelilingi hutan kecil dan perkampungan.Untuk ke sana, dia terpaksa melalui sawah-padi yang luas terbentang saujana mata memandang. Barangkali itulah Bukit Keplu seperti yang diceritakan oleh perompak tadi. Dia pun berjalan mengikut batas bendang menuju ke sana sambil menggalas buntilnya. Di kiri-kanannya,sawah dipenuhi air kerana padi belum ditanam.Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran, sekali-sekala diselang-seli dengan bunyi burung tukang.Dia berjalan terus.

Ketika fajar sudah menyingsing,sampailah Bujang di kaki bukit.Kedengaran bunyi air mengalir,tandanya ada anak sungai berhampiran.Dia terus mencari anak sungai itu sehingga berjumpa.Dia ternampak sebuah gua dari mana anak sungai itu mengalir.Setelah diperiksa dengan teliti,dia mendapati lantai gua itu keras seperti batu,hampir rata dan sesuai dijadikan tempat sembahyang.Dia pun memilih tempat itu buat sementara waktu.Cerah nanti akan dicari tempat lain yang lebih sesuai.Di situ dia mandi membersihkan diri dan di situ juga dia menunaikan sembahyang subuh seorang diri.Perutnya terasa lapar tetapi ditahannya juga.

Bila hari sudah terang-terang tanah,dia mengelilingi kaki bukit itu,meninjau dan mencari kawasan yang sesuai.Kadangkala dia terpaksa memanjat batu besar atau berpaut pada akar kayu yang berjuntai untuk tiba di tempat tujuan.Buah-buah hutan yang ditemuinya dimakan sebagai pengalas perut.Memang di sekitar kaki bukit itu terdapat beberapa buah kampung kecil tetapi dia lebih suka memilih tempat terpencil untuk bertafakur mencari ketenangan jiwa,Dia seperti anak ayam kehilangan ibu.Dia perlu memohon mendapat pertunjuk dari Allah.Gua-gua di situ juga banyak tetapi tiada bekalan air dan penuh dengan tahi kelawar.

Akhirnya,setelah puas berpusing-pusing di kawasan itu,menjelang tengah hari dia kembali ke tempat permulaan tadi.Dirasanya tempat itu paling sesuai.Terlindung dari hujan  atau panas,Bekalan air yang tidak putus-putus.Buah-buah hutan banyak kedapatan.Ikan juga banyak di kawasan lubuk yang bersempadan dengan sawah padi.Pendek kata,dia tidak akan mati kebuluran jika tinggal di sini.Dia menemui sebilah golok yang sudah berkarat tetapi masih tajam. Dengan golok itu,dia memulakan pekerjaannya.

“Buat apa tu,Panglima?”tiba-tiba Bujang ditegur.

“Oh,Tunku rupanya,”balas Bujang bila melihat Tunku Mahmud Raja Muda muncul entah dari mana.”Bagaimana Tunku sampai kemari begitu cepat.”

“Beta naik kuda,”Tunku Mahmud melihat lukah di tangan Bujang belum siap.”Khabar-berita yang beta terima mengatakan seorang lelaki berpakaian seperti dukun datang kemari. Orang seperti Panglima tidak sukar untuk dikenali.”

“Patik tak tahu di negeri ini banyak mata memandang,banyak telinga mendengar.”

“Banyak lagi yang Panglima tidak tahu tentang negeri Kedah ini,”Tunku Mahmud membidas.”Tentang lanun,tentang penyamun…”

“Maksud Tunku perompak?”tanya Bujang.

“Perompak atau penyamun sama sahaja,”balas Tunku Mahmud lalu duduk di atas seketul batu di tepi anak sungai.”Begitu juga dengan Bukit Keplu ini,Panglima tidak tahu apa-apa mengenainya.”

“Patik sudah meninjau di sekitarnya,”ujar Bujang.

“Tetapi,adakah Panglima meninjau di dalamnya?”Tunku Mahmud cepat-cepat menukar tajuk kerana menyedari tersasul.”Walau apa pun,seisi istana heboh tentang kehilangan Panglima.Adinda beta Tunku Balqis dah jadi separuh gila.Mengapa Panglima merajuk dan tinggalkan istana?”

“Patik orang kebanyakan,”kata Bujang.”Patik tidak layak tinggal di istana.”

“Panglima juga berdarah Tengku. Panglima berdarah bangsawan.”

“Apa ada pada  darah,Tunku.Bangsawan atau rakyat biasa,darah kita sama merah.”

“Beta tidak menolak kenyataan itu.Beta pun tidak pernah berbangga dengan darah keturunan beta.Beta percaya Adinda Tunku Balqis tersalah cakap.”

“Tunku Balqis masih bangga dengan kekayaan dan kemewahan di istana.”

“Tidak,kanda,”satu suara halus cepat-cepat meningkah dari belakang.

Terkejut,Bujang segera berpaling dan melihat Tunku Balqis bersama Wan Fatimah,kedua-duanya mengalirkan air mata.Demi terpandang sahaja anak gadisnya itu,hati Bujang yang keras menjadi cair.Dipeluknya Wan Fatimah erat-erat.Tunku Balqis turut memeluk suami dan anak tirinya.

“Sekarang,marilah kita balik ke istana,”Tunku Mahmud memecah keheningan itu sambil menyeka air matanya.”Main Puteri akan diadakan sekali lagi malam ini.”

oooooo

Upacara Main Puteri berlangsung juga pada malam itu walaupun ketiadaan Bujang dan Tunku Balqis..Tok Puteri yang menjelma dalam badan Tok Munduk tidak jemu-jemu menari sambil diperhatikan oleh Tok Muda Pawang Di raja,beberapa orang pembesar serta orang-orang kampung yang dibenarkan masuk oleh penjaga pintu gerbang.Tariannya kadangkala rancak kadangkala perlahan, sekejap meliuk-lintuk seperti ular,sekejap pula melompat-lompat seperti kera,sekejap membuat tarian bunga silat,sekejap pula menggelepar seperti merak mengawan.Tok Puteri membaca serapah dalam bentuk berirama dengan suara halus seperti perempuan melalui perantaraan Tok Munduk. Serapah itu walaupun tidak difahami kebanyakan orang bertujuan menyembuhkan penyakit baginda Sultan yang kononnya disebabkan oleh Tok Jambul Merah penjaga Bukit Keplu. Upacara itu berlangsung sepanjang malam.Ketika hampir subuh,barulah upacara itu dihentikan.

Bujang membuka jendela kamar itu,badannya berminyak bersimbah peluh.Dilihatnya upacara Main Puteri sudah pun tamat dan penonton berpusu-pusu meninggalkan Balai Besar. Tok Muda Pawang Di raja kelihatan berbual-bual dengan Tok Munduk dan anak buahnya.

‘Abang….,”terdengar suara manja Balqis dari belakang.

Bujang menoleh sejenak melhat isterinya masih berada di bawah selimut sambil melempar –kan senyuman,kemudian kembali memerhati ke luar jendela.Melihat Bujang tidak mahu lagi melayani kehendak nafsunya,Balqis bangun berkemban kain mendapatkan suaminya di jendela. Dipeluk suaminya dari belakang,dadanya sengaja ditekan  ke situ.

“Sepuluh tahun Balqis menunggu bak itik kehausan di air,malam ini baru dapat Balqis nikmati kepuasannya,”Balqis meluahkan rasa yang terpendam selama ini.

“Masakan tidak,”sindir Bujang.”Sepanjang malam asyik berdayung.”

“Bukan itu sahaja,”Balqis menjelaskan.”Balqis puas kerana tidak akan ada lagi yang berani masuk meminang.Tun Mat Akib pun masakan berani mengganggu Balqis lagi.”

“Maksud Balqis,Tunku Mat Akib Raja Bendahara?”Bujang mula rasa cemburu.

“Dia bukan seorang Tunku,hanya Tun,”Balqis membetulkan kesilapan suaminya.”Dia belum pun dinobatkan tetapi sudah memandai-mandai sebagai Bendahara. Si-tua itu memang miang-miang keladi,sudah ada tiga isteri masih cuba mengurat Balqis.”

“Tunku Mahmud tahu abang sudah kembali?”tanya Bujang menukar tajuk.

“Kanda tahu,”Balqis mengaku.”Semasa abang mengubat Ayahanda tadi pun dia kenal abang.Katanya dia bertemu dengan abang sebelum kemari.”

Bujang teringat kembali kejadian ditahan perompak bertopeng. Ketua perompak yang besar-tinggi itu serupa dengan susuk badan Tunku Mahmud Raja Muda. Mengapa pula seorang bakal sultan menjadi ketua perompak dan melakukan rompakan?

“Apa yang abang tengok di Balai Besar itu?”tanya Balqis,tidak mnengetahui apa yang berlegar dalam fikiran suaminya.”Upacara ‘Main Puteri’ dah lama selesai.”

“Ada sesuatu yang tidak kena perihal upacara itu,”ujar Bujang.

“Tentulah,”Balqis turut memandang ke sana.”Kata orang,upacara itu macam orang menurun juga.Menggunakan jin yang meresap masuk ke dalam badan.”

“Maksud abang,ada udang di sebalik batu,”Bujang menambah.”Upcara itu bukan untuk tujuan perubatan tetapi sekadar hiburan.Kita dikelirukan.”

“Balqis kurang mengerti maksud abang,”balas Balqis kehairanan.

“Balqis tahu apa sakit Ayahanda?”tanya Bujang.Tanpa menunggu jawapan,dia menerus-kan lagi.”Ayahanda terkena santau angin.Kalau tidak mati pun,Ayahanda akan merana dan sengsara seumur hidup.”

“Siapa gerangan yang tergamak melakukan begitu pada Ayahanda?Apa tujuannya?”

“Tujuannya untuk merebut tahta kerajaan,”Bujang memberi jawapan yang mengejutkan isterinya.”Siapa orangnya,kita kenalah usul dan periksa terlebih dahulu.”

“Masakan Kanda Tunku Mahmud,”Balqis mengomel.”Dia ‘kan Raja Muda.”

“Bukan Tunku Mahmud,”jawab Bujang penuh teka-teki.”Orangnya hampir dengan Ayahanda dan menjadi kepercayaan pihak istana.”

“Tun Mat Akib,”Balqis seperti meluat menyebut nama itu.

“Abang tidak berani menuduh tanpa bukti yang sah,”beritahu Bujang.”Mulai besok,jaga makan-minum Ayahanda,jangan benarkan sesiapa pun masuk ke dapur melainkan tukang masak.”

“Kalau begitu,Balqis akan maklumkan kepada Kanda Tunku Mahmud dengan segera.”

“Nanti dulu,”Bujang menyambar tangan isterinya.”Sekarang sudah waktu subuh.Mari kita pergi mandi.Lepas sembahyang,kita ‘main puteri’ lagi,ya?

Mula-mula Balqis tidak memahami kata-kata suaminya.Bila akhirnya maksud yang tersirat itu difahami,senyumannya meleret.”Mar!i.”ajaknya dengan tidak sabar-sabar lagi sambil menarik tangan suaminya.Selepas mandi dan mengerjakan sembahyang jemaah, mereka sambung semula perlakuan mereka.Ketika mereka sedang asyik belayar itulah, pintu kamar mereka dipecahkan dari luar dan muncul Raja Bendahara bersama beberapa orang pengawal.

‘Malu!Beta malu!”tengking Raja Bendahara di hadapan para pembesar yang dipanggil berkumpul di Balai Rong Seri itu.”Perbuatan ini sungguh keji!”.

Perhatian para pembesar tertumpu pada Bujang dan Tunku Balqis.Mereka sudah pun disuruh berpakaian sebelum diheret ke situ.Buntil Bujang ditinggalkan dalam kamar dan tidak diusik.Mereka dikawal empat orang pengawal berlembing.

“Semua ini fitnah!Palsu!”Tunku Balqis cuba membela diri.

“Palsu?Kain yang masih ada kesan darah ini bukan fitnah lagi!,”jerkah Raja Bendahara.”Sungguh memalukan,seorang puteri raja dari keturunan orang baik-baik ditangkap bermukah dengan lelaki yang tidak dikenali.”

“Kami tidak bermukah,Raja Bendahara,”Bujang pula cuba membela diri.”Apa yang kami lakukan adalah sah dari segi adat dan agama.Kami sudah menjadi suami-isteri.”

“Tutup mulutmu,biadap!”misai Raja Bendahara bergerak-gerak menahan marah.”Kau berdua akan dihukum suila sampai mati!”

“ Tanyalah Kanda Raja Muda,”Tunku Balqis merayu.”Dia menjadi saksi  bersama Datuk-Datuk lain. Datuk Seraja Imam yang menikahkan kami.”

Datuk Seraja Imam menggaru kepala.”Patik tak ingat menikahkan Tunku Puteri.”

“Sepuluh tahun yang lalu,di Kuala Kedah,”beritahu Tunku Balqis.”Ingat lagi?”

Datuk Seraja Imam cuba mengingatkan kejadian itu tetapi gagal.Dia hanya geleng kepala,menyatakan dia tidak ingat apa-apa.

“Nyawa kami jadi taruhan,Tok Imam,”kata Bujang dengan geram.

“Hamba kata tak ingat,tak ingatlah,”marah Datuk Seraja Imam bila dipaksa begitu.

“Barangkali ada Datuk-Datuk lain yang ingat,”Bujang mencuba nasib.

“Mereka ini tidak  ada di Kuala Kedah masa itu,”jawab Raja Bendahara.”Jangan kau cuba bersembunyi di sebalik telunjuk. Kau menyamar sebagai dukun dengan tujuan hendak berjumpa  dan berzina dengan Tunku Puteri!”

“Kaduk jangan naik junjung,Tun Mat,”Bujang mula hilang sabar dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa kata kau?Biadap!”Raja Bendahara menerkam hendak menampar muka Bujang.

“Raja Bendahara,”Tunku Mahmud yang baru masuk segera menahan.”Kalau hendak memukul harimau,lihat dahulu kuku dan taringnya.”

“Tuanku Raja Muda,”tegur Raja Bendahara,wajahnya berubah.”Bukankah Tuanku sudah berangkat ke Padang Jangam. awal pagi tadi?”

“Beta tidak jadi pergi,tak sedap hati.Kiranya cempedak menjadi nangka.”

“Betul,Tuanku,”Raja Bendahara memasukkan jarumnya.”Dukun muda ini telah membuat pesona dengan Adinda Tuanku. Kami ada saksi dan bukti.”

Lalu Raja Bendahara menayangkan kain cadar kuning yang mengandungi kesan-kesan darah kepada semua pembesar sebelum ditunjukkan kepada Raja Muda.

Kain itu tidak diendahkan oleh Raja Muda.”Beta telah dengar semuanya dan beta juga mempunyai bukti bahawa Adinda beta tidak berlaku sumbang dengan dukun muda ini.”

“Mana buktinya,Tuanku?”Raja Bendahara mencabar.

“Pengawal,”perintah Raja Muda.”Pergi ke kamar Tunku Puteri dan ambil buntil pakaian milik dukun muda ini.”

Setelah  pengawal itu menyusun sembah lalu pergi,Raja Muda menghampiri tiga orang pengawal lagi yang sedang mengawal Bujang dengan lembing.Raja Muda berhenti betul-betul di hadapan Bujang”Pengawal,pilih satu antara dua!Serang dukun ini bersungguh-sungguh dengan lembing itu sampai dia kalah,atau kamu bertiga beta pecat!”

Raja Muda kemudian memegang tangan Tunku Balqis menariknya ke tepi.

Tiga orang pengawal yang tidak tahu apa-apa itu patuh sahaja pada titah Raja Muda.

Bujang yang pada mulanya terkejut,kemudian memahami maksud Raja Muda itu.Tanpa berlengah lagi,ketiga-tiga pengawal itu  dengan serentak merodok lembing mereka ke arah Bujang.Apa yang berlaku seterusnya sungguh di luar dugaan.Bujang mengelak tikaman dari belakang sambil menguis kaki pengawal yang menyerang dari hadapan.Pengawal yang dikuis kakinya jatuh terlentang.Pada masa yang sama,telapak tangannya hinggap di muka

pengawal di belakangnya.Sesaat kemudian,belakang tangan Bujang singgah di muka pengawal ketiga.Mereka bertiga jatuh hampir serentak.Kejadian itu berlaku begitu pantas, tiada siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Bangun,”perintah Raja Muda pada pengawal bertiga itu.”Kalau dukun ini bersenjata,kamu bertiga sudah menjadi mayat!Pergi berkawal di luar.”

Setelah melihat mereka sudah keluar,Raja Muda menyambung.”Bukti yang pertama.”

“Memukul tiga pengawal?Bukti apa?”Raja Bendahara mencemuh,disambut dengan gelak-ketawa oleh beberapa orang pembesar.

“Tiga orang atau tiga ratus,tidak ada bezanya,”suara Raja Muda lantang menenggelami gelak-ketawa.”Beta percaya tidak ada satu manusia pun di Negeri Kedah ini yang mampu mengalahkan dukun ini.”

Pengawal yang dititah tadi kembali dengan buntil milik Bujang.

“Bukti kedua,”Raja Muda mengambil buntil itu lalu mengeluarkan sebilah keris panjang berwarna hitam.”Keris Hitam Bersepuh Emas,juga disebut Keris Panjang Berayat.Datuk-Datuk tahu kepada siapa keris panjang seperti ini dianugerahkan?”

“Kepada panglima,Tuanku,”jawab seorang pembesar.

“Tepat sekali,”Raja Muda menghulurkan keris itu kepada Bujang.”Keris panjang itu anugerah Ayahanda beta kepada Panglima Agung sepuluh tahun yang lalu.”

“Panglima Agung?”sampuk Datuk Seraja Imam.”Ya,benar,Tuanku.Baru patik ingat sekarang.Sepuluh tahun yang lalu,patik ada menikahkan Tunku Puteri dengan seorang panglima dari Kuala Kedah bergelar Panglima Agung.”

“Datuk-Datuk tidak ada di situ pada waktu itu kerana telah dititahkan  berundur ke tempat lain,” Raja Muda menjelaskan.”Yang hadir dalam pernikahan Adinda beta dengan Panglima Agung hanyalah beta,Adinda Tunku Pangeran,Ayahanda dan Datuk Seraja Imam.”

“Jadi,mereka memang tak bersalah kerana pernikahan itu sah di sisi syarak,”sampuk pula Datuk Seraja Imam sebagai menyokong dakwaan Raja Muda.

“Memang tidak bersalah,”Raja Muda memulangkan buntil Bujang.”Orang yang sudah berkahwin secara sah,tidak boleh dihukum kerana kesalahan bermukah atau berzina.”

Tunku Balqis terus menerkam memeluk suaminya di hadapan Datuk-Datuk semua.

“Nanti dulu,Kanda belum habis,”tegur Raja Muda pada adindanya,menyebabkan beberapa orang pembesar tertawa.Menyedari keterlanjurannya,Tunku Balqis segera melepaskan Bujang dari pelukannya,wajahnya merah padam menahan malu. Raja Bendahara yang mnerasa dirinya tidak dipedulikan lagi terus duduk di tempatnya,mukanya masam mencuka.

“Datuk-Datuk sekelian,”titah Raja Muda memerhati mereka semua.”Ayahanda beta sedang gering di peraduan.Sementara menanti Paduka Ayahanda sembuh,betalah yang mengambil-alih teraju pemerintahan Negeri Kedah yang berdaulat ini. Dengan kuasa yang ada pada beta,beta dengan ini memasyurkan majlis perkahwinan akan diadakan tujuh hari dari sekarang antara adinda beta Tunku Rahimah timang-timangan Tunku Balqis dengan Tengku Alang Iskandar timang-timangan Bujang yang bergelar Panglima Agung!”

“Daulat Tuanku!Daulat Tuanku!Daulat Tuanku!” sembah Datuk-Datuk semua.

“Datuk-Datuk semua jalankanlah tanggung-jawab masing-masing demi kelancaran majlis perkahwinan ini,”Raja Muda berpesan.”Baiklah,Datuk-Datuk semua boleh bersurai.”

Para pembesar pun menyusun sembah lalu berduyun-duyun keluar.

“Tunku Mat Akib,tunggu dulu,”Raja Muda menahan Raja Bendahara.Setelah pembesar-pembesar lain sudah keluar,dia menyambung lagi.”Lain kali jangan cuba memalukan kaum-kerabat beta di khalayak ramai,apa lagi di hadapan semua pembesar.Cubit paha kiri,paha kanan terasa juga.”

“Satu perkara lagi,”tahan Raja Muda bila Raja Bendahara berpaling hendak pergi.”Sedar-lah diri bahawa kamu hanya pemangku Raja Bendahara yang dilantik oleh Paduka Ayahanda,bukan beta.Selagi beta masih hidup,jangan kiamu bermimpi akan dinobatkan menjadi Raja Bendahara.Pergi dari sini.”

Tanpa membantah atau melawan,Raja Bendahara berpaling lalu tergesa keluar dari Balai Rong Seri.Raja Muda mengambil kain cadar kuning yang ditinggalkan oleh Raja Benda-hara,lalu memulangkan kepada adindanya.”Adinda berdua boleh balik merihat.Tapi ingat,

jangan sampai perkara yang memalukan ini berulang.Kalau ya pun kemaruk sangat,kuncilah pintu.”

Raja Muda terus keluar dari situ sambil tersenyum. Bujang dan Tunku Balqis tersenyum tersipu-sipu sambil melihat kain cadar kuning dengan kesan-kesan darah itu.

Mulai pagi itu,Bujang bebas keluar-masuk istana tanpa gangguan.Pakaiannya juga sudah bertukar,sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang panglima berdarah bangsawan. Bengkung merahnya berganti dengan bengkung kuning warna di raja,dastarnya warna kuning,malah baju layangnya juga dijahir perhiasan tepi warna kuning. Bujang naik rimas dengan semua itu tetapi demi menghormati kaum-kerabat isterinya,dia mengikut sahaja.

Sementara menanti tibanya hari perkahwinan,Bujang menghabiskan masa bersama isteri dan anaknya untuk menebus kembali kesilapan yang lalu kerana mengabaikan mereka. Mereka sering keluar bersiar-siar dengan menaiki kereta kuda yang dihadiah-kan oleh Kompeni Belanda.Sambil bersiar-siar,Bujang diceritakan tentang sejarah setiap tempat yang dikunjungi,juga tentang sejarah raja-raja Negeri Kedah yang bermula dari  Tun Derma Dewa,Tun Perkasa dan seterusnya  kedatangan Maharaja Derbar Raja dari Parsi yang mengasaskan kesultanan Kedah sekarang.Diceritakan juga tentang alat-alat kebesaran yang terdiri  daripada semambu ‘Mahaguru”,sejenis gendang yang dipanggil’Negara’,serunai,

nafiri,gendang dan gong berjumlah sembilan buah yang dinamakan ‘Nobat’.

Akhir sekali,Bujang diceritakan  tentang raja-raja Kedah yang membuka Kota Bandar di kawasan Baling,Kota Sidim,Kota Ok atau Aur,Kota Arung-arungan.Kota Bukit Meriam, Bukit Puteri,Bukit Penjara,Padang Jangam,Sungai Babur,Kota Sungai Mas,Kota Siputih Puteri

Lindungan Bulan dan Kota Naga.Diselitkan pula dengan kisah-kisah dongeng berkait-an tempat-tempat itu.

Setelah puas bersiar-siar di sekitar negeri Kedah bersama isterinya dan anaknya,Bujang belajar menunggang kuda pula. Dia belajar dari beberapa orang hulubalang yang mahir. Setelah merasa sudah mahir,dia mencuba kemahiran itu dengan menunggang kuda seorang diri di sekitar kawasan di negeri itu yang boleh dilalui kuda.Walaupun dia tidak pernah memperkenalkan diri,dia dikenali ramai di seluruh pelusuk sebagai Panglima Agung.

Nama gelaran itu menenggelamkan nama asal dan nama panggilannya. Orang ramai tidak kenal siapa Tengku Alang Iskandar atau Bujang.Orang ramai hanya mengenali Panglima Agung.Rompakan yang dulunya berleluasa kini tidak kedengaran lagi,seolah-olah semua perompak takut dan gerun pada Panglima Agung.

Jika ada kelapangan Bujang bermain sepak raga atau melihat latihan persilatan di bawah pimpinan Raja Muda serta dibantu oleh Tunku Pangeran.Latihan persilatan ditambah dengan bermain panah,lembing dan tekpi disamping parang lading yang menjadi senjata utama. Kesihatan baginda Sultan juga bertambah baik. Walaupun badan baginda masih lemah dan muka masih cengkung,baginda sudah boleh bercakap sikit-sikit dan santap sendiri tanpa perlu disuap lagi.Baginda masih juga terlantar di atas pembaringan.Bagi Bujang,dia sudah melakukan sedaya upayanya,selebihnya terserahlah kepada Allah. Dia turut menyaksikan kerja-kerja persiapan dilakukan sempena menyambut perkahwinannya dengan Tunku Balqis.Tetamu kehormat dari jauh mula datang lalu ditempatkan di Balai Tetamu. Oleh kerana Bujang jarang di istana kerana sering keluar bersiar-siar menunggang kuda  seorang diri ,dia hanya jadi pemerhati dan tidak terlibat langsung dalam persiapan itu.Anak-isteri-nya enggan mengikutnya lagi kerana takut kulit menjadi hitam akibat berjemur matahari. Oleh itu,dia memilih untuk menunggang kuda pada sebelah dan petang sahaja manakala pada waktu tengah hari dia berihat.Namun,siapa sangka air tenang tiada buaya.

Sehari menjelang hari perkahwinannya,dia menerima segulung bingkisan yang diikat dengan tiga perca kain berwarna merah,kuning dan hijau.Waktu itu dia sedang duduk berihat-rihat dalam taman larangan melihat isterinya dan anaknya bermain buaian. Mereka baru selesai bersarapan di istana.Bingkisan itu dilontar dari luar taman dan jatuh di tepi kaki Bujang. Bujang yang agak terkejut dan hairan terus mengambil bingkisan itu.Ikatan perca kain tiga warna itu dibukanya.Di dalamnya terdapat  beberapa pucuk lembaran bertulisan Jawi,tulisannya cantik dan kemas.Diam-diam dibacanya lembaran itu.Baru separuh membaca,tiba-tiba isterinya dan anaknya menghampirinya setelah penat bermain buaian.

“Warkah apa itu,abang?”tanya Tunku Balqis yang masih memegang tangan Fatimah.

“Tak ada apa-apa,”Bujang berahsia,lembaran itu digulung semula.

Tunku Balqis ternampak perca kain tiga warna yang terjatuh di atas rumput.Dia dapat menduga suaminya baru sahaja menerima bingkisan yang amat penting yang perlu dirahsia-kan.”Mari,Fatimah,kita pergi tengok anak ikan,”dia terus mengajak anaknya pergi.

Ketika isterinya dan anaknya asyik melihat anak-anak ikan di kolam,Bujang menyambung semula bacaannya.Dibacanya perkataan demi perkataan,baris demi baris,sampai habis. Selepas habis membaca,lembaran itu dikoyaknya satu persatu sehingga menjadi cebisan kertas yang halus.Cebisan-cebisan itu dibiarkan berterbangan ditiup angin pagi.

Dia termenung memikirkan kandungan bingkisan yang baru diterimanya itu.Perca kain tiga warna itu diambil,dililit pada hulu keris pendeknya lalu diikat kemas-kemas.

“Warkah apa tu,abang?”Tunku Balqis mengulangi pertanyaannya.Sifat ingin tahu kewanitaannya menyebabkan dia meninggalkan anaknya bermain keseorangan di tepi kolam ikan dan mendekati suaminya.

“Angkatan Panglima Agung,”Bujang mengamati wajah isterinya kalau-kalau nama itu pernah didengarnya.Riak wajah menunjukkan isterinya tidak tahu-menahu langsung.

“Kenapa abang koyakkannya?”tanya Tunku Balqis lagi lalu duduk di samping suaminya.

“Rahsia,”ujar Bujang ringkas.”Hanya boleh dibaca oleh orang-orang tertentu.”

“Balqis pernah tengok Kanda Tunku Mahmud menerima warkah seperti itu,”Tunku Balqis mendedahkan.”Lepas baca,dibakarnya jadi abu.Bila Balqis tanya mengapa,dia hanya berdiam diri.Bila Balqis usulkan pada Kanda Wan Sara,dia berpesan supaya jangan mengambil tahu urusan dan pekerjaan suami.”

Bujang memaling memandang Tunku Balqis.Dia suka memandang isterinya yang gemar berpakaian cantik dan pandai menghias diri.Pagi itu isterinya berpakaian baju kurung Kedah dan kebaya biru muda,sama seperti yang dipakai oleh anaknya Fatimah.Namun,pakaian itu gagal menutupi bentuk badan isterinya yang menghiurkan.Sejak pertemuan semula tempoh hari,setiap malam dia menggauli isterinya tetapi dia tidak pernah merasa jemu.Pagi itu,nafsu mudanya terangsang lagi demi melihat tubuh isterinya.Dia mnenelan air liur.

Tunku Balqis juga nampaknya memahami perasaan yang bergelora di dada suaminya kerana wajahnya serta-merta bertukar menjadi merah padam.Dia mencubit paha suaminya lalu menuding jari pada Fatimah.Bujang hanya tersenyum seribu makna.

“Kata orang,jatuh-bangunnya seorang suami terletak pada isterinya,”Bujang berfalsafah sambil memerhati Fatimah bermain di kolam ikan.”Bolehkah Balqis dipercayai menyimpan rahsia tentang pergerakan Angkatan ini?”

“Jangan kata menyimpan rahsia,nyawa dan badan Balqis rela serahkan jika perlu,”tegas Tunku Balqis.”Rahsia tetap tinggal rahsia,biarpun pada anak sendiri.”

“Rahsia lain boleh dikongsi,rahsia Angkatan ini jangan sekali-kali,”Bujang memberi ingatan.”Abang pertaruhkan nyawa Abang di tangan Balqis.”

“Balqis pernah mendengar tentang Angkatan ini dari Awang Kerambit.”

“Awang Kerambit?”Bujang memandang isterinya kehairanan.

“Kami juga ada kumpulan sendiri,”sekali lagi Tunku Balqis mendedahkan.”Dulu dikenali sebagai Kumpulan Tun Fatimah.Sejak Awang Kerambit mengambil-alih,diubahnya nama kumpulan ini.”

“Awang Kerambit ini lelaki atau perempuan?”tanya Bujang.

“Tiada siapa yang tahu atau pernah berjumpa dengannya,”jelas Tunku Balqis.”Tapi,kalau mengikut namanya,tentulah orang lelaki.Kami berjuang untuk membebaskan bumi Melayu ini dari penjajah.”

“Perjuangan kami juga sama,”balas Bujang.”Cuma namanya kurang sesuai.Abang kurang gemar nama Abang digunakan.”

“Mungkin juga untuk memperingati perjuangan Abang yang dipercayai terkorban di tangan Belanda,maka nama Abang dipilih sebagai memberi semangat,ilham dan kekuatan,” Tunku Balqis berhujah.

“Siapa yang mula-mula menubuhkan Angkatan ini?”tanya Bujang lagi.

“Balqis pun kurang maklum,”balas Tunku Balqis.”Setahu Balqis,Kumpulan Panglima Agung dan Kumpulan Awang Kerambit lahir hampir serentak selepas Kota Melaka jatuh ke tangan Belanda.”

“Panglima Dermang?”Bujang cuba mengorek rahsia.

“Tidak mungkin,”Tunku Balqis mengesahkan.”Datuk Panglima Dermang turut terbunuh di Kuala Kedah dan tidak kedengaran lagi namanya sehingga sekarang.”

Bujang terdiam sejenak mendengar berita kematian sahabat karibnya itu.

“Supaya sesuai dengan hasrat dan perjuangan suci kita,Abang namakan angkatan ini dengan nama baru.Angkatan Fisabilillah,”Bujang mengumumkan.”Cogankata perjuangan ini ialah ‘amal maaruf nahi mungkar.’.”

“Sedap nama itu,Abang,sesuai benar,”Tunku Balqis memuji.

“Kalau boleh abang mahu kedua-dua angkatan ini disatukan,”Bujang meluahkan.”Kalau kita bernaung di bawah satu bumbung,perjuangan kita bertambah kuat.Bersatu teguh, bercerai roboh.”

“Tentang perkara itu,abang kena tanya Awang Kerambit sendiri,”ujar Tunku Balqis.

“Pernahkah Balqis mendengar nama Adimala Tunggal?”tanya Bujang seterusnya.

“Tak pernah pula,”Tunku Balqis menggelengkan kepala.”Kenapa,abang?”

“Dialah satu-satunya penghubung antara abang dengan semua ahli Angkatan Fisabilillah di merata ceruk dan rantau,”Bujang menerangkan.”Abang tidak mengenalinya.”

“Kalau begitu,bagaimana hendak berhubung dengannya?”Tunku Balqis cuba mencungkil.

“Entahlah,”Bujang mengeluh.”Abang cuma diarah melilit perca kain tiga warna ini pada keris sebagai tanda pengenalan dan abang akan dihubungi oleh Adimala Tunggal.”

Perbualan mereka terhenti apabila Fatimah kembali membawa seekor anak ikan yang disauknya dalam tapak tangan.”Bonda,ayah,..tengok ni!”

“Kenapa anak ikan itu ditangkap,Fatimah?”Tunku Balqis bertanya lembut.

“Anakanda geram melihatnya,”tingkah Fatimah.”Ingin anakanda simpan dalam balang.”

“Kasihan,tentu ibubapanya merinduinya,”tambah Bujang pula.”Kalau Fatimah jadi anak ikan,Fatimah pun tentu tidak suka kalau ditangkap dan dibubuh di dalam balang kaca,bukan?”Melihat Fatimah mengangguk,Bujang menyambung.”Kalau begitu,lepaskan dia kembali ke kolam.Tempatnya bukan dalam balang.”

Fatimah berhati-hati menatang anak ikan di tapak tangan dan membawanya ke kolam.

“Bijak betul abang mengambil-hati dan memujuknya,”puji Tunku Balqis.

“Abang pun masih belajar menjadi seorang ayah,”jawab Bujang merendah diri,mereka sama-sama tertawa.”Oh ya,abang ingin keluar bersiar-siar.Balqis nak ikut?”

“Tak mahulah,”Tunku Balqis menolak.”Besok ‘kan hari perkahwinan kita?Abang duduk-duduk  sahaja di istana hari ini”

Bujang geleng kepala.”Terasa janggal pula berkahwin dua kali.”

“Apa salahnya,”pujuk Tunku Balqis.”Dulu mengikut syarak,sekarang mengikut adat. Dulu tidak ramai yang tahu,sekarang akan dimasyurkan ke seluruh negeri.”

“Abang pergi dulu,ya?”Bujang bangun meminta diri.”Malam nanti jumpa lagi.”

“Yalah,”Tunku Balqis tidak berani membantah kemahuan suaminya.Dia dapat menduga suaminya ingin keluar bukan sekadar hendak bersiar-siar tetapi ada sesuatu perkara yang lebih penting.

Dugaan Tunku Balqis tepat sekali.Ketika Bujang ke kandang kuda untuk memilih kuda tunggangan yang sesuai,bulu romanya tegak berdiri seolah-olah dirinya sedang diperhati-kan.Dia pura-pura tidak menyedarinya dan berlagak seperti biasa.Selepas siap memasang pelana,pelapik kaki dan tali kekang kudanya,dia terus menunggang keluar melalui pintu gerbang belakang berhampiran taman larangan.Dia memecut kudanya laju-laju supaya tidak diekori.Setelah dirasanya cukup jauh,dia  segera memberhentikan kudanya,melompat ke tanah dan mengusir kuda itu pergi dengan nemampar pahanya kuat-kuat.Kerana kesakitan, kuda itu mencanak pergi seperti kumbang putus tali. Dia tahu kuda itu sudah dilatih supaya balik sendiri ke istana jika tidak bertuan.Cepat-cepat dia lari bersembunyi di sebalik belukar di tepi jalan itu.Tidak lama kemudian,kedengaran bunyi kaki kuda berlari kencang.Bujang mengintai dari balik belukar dan sempat melihat seorang pendekar berpakaian hitam memecut lalu di situ sebelum lesap.Pendekar itu tidak kenalinya.Setelah bunyi kaki kuda tidak kedengaran lagi,Bujang pun keluar dari tempat persembunyiannya. Dia tidak mengikut jalan itu untuk pulang ke istana.Sebaliknya dia memilih lorong dan denai lain yang hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki.Lorong dan denai seperti itu menghubungkan Kota Naga dengan Tok Jalai,Bukit Pinang,Anak Bukit,Tanah Merah dan kampung-kampung lain di sekitar istana,seterunya menghubungkan dengan tempat-tempat lain di seluruh negeri Kedah termasuk Kerian,Langkawi dan Padang Jangam.Lorong-lorong itu melalui perkampungan kecil,sawah padi,dusun buah-buahan dan juga hutan-hutan kecil.Dia faham benar kerana hampir seluruh kawasan sudah dijelajahnya dengan menunggang kuda.

Sampai di istana,Bujang memilih kuda lain. Dia menunggang ke arah Kota Siputih. Matahari hampir tegak di atas kepala apabila dia tiba di sana.Hasratnya untuk menemui Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan yang menjaga istana Kota Siputih terpaksa ditangguh kerana waktu

zohor sudah hampir.Dia pun singgah di masjid berhampiran di luar pekarangan istana.Setelah menambat kudanya di belakang mesjid,dia pun membawa buntilnya ke kolah air.Di situ dia mandi menbersihkan diri dan bersiap-sedia untuk menunai-kan tanggung-jawabnya kepada Allah.

Tengah hari itu,Bujang berjemaah bersama beberapa orang penduduk kampung berimamkan imam dari kampung itu juga.Begitulah corak kehidupannya.Sejak dari kecil lagi,dia sudah dilatih supaya tidak meninggalkan sembahyang lima waktu  walau dalam keadaan apa sekali pun.Sembahyang itu tiang agama,ayah angkatnya yang juga mertuanya selalu  berpesan.Sedangkan orang sakit lagikan wajib bersembahyang,inikan pula dirinya yang masih muda,sihat-bugar dan masih bertenaga.Kadangkala bila dirasanya jarak yang ditempuh sudah melebihi dua marhalah,dia mengerjakan sembahyang jamak.Tengah hari itu juga tidak terkecuali.

Setelah bersalam dengan tok imam dan para jemaah yang boleh dibilang dengan jari,dia duduk bersila di hadapan mimbar lalu berzikir sementara menunggu waktu asar. Seperti biasa setelah mata dipejamkan,rasa khusyuknya datang.Seluruh hati,telinga dan semua pancainderanya tertumpu sepenuhnya kepada Allah.Sakit-demam,lapar-dahaga,suka-duka dan semua perkara keduniaan luput dari ingatan,hanya akhirat matlamat hidup.Di kala itu hati dan jiwanya terasa amat tenang sekali,terasa satu macam kenikmatan yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata. Di kala dalam keadaan seperti itulah akan datang berbagai-bagai ilham dan petunjuk.Kerap juga dia terdengar suara bisikan entah dari siapa,bisikan yang memberikan pedoman dalam menghadapi sesuatu kesulitan.Sekali-sekali hanya lintasan yang datang ke hatinya,yang tiba-tiba sahaja diletakkan di situ.

“Assalamualaikum,”terdengar suara Tunku Mahmud Raja Muda memberi salam dari sisi.

Bujang membuka mata dan tersenyum menyambut kedatangan abang iparnya.

“Waalaikumussalam,”Bujang bersalam.”Duduklah,Tunku.”

Tunku Mahmud duduk bersila di sebelah Bujang,sikapnya cukup berhati-hati dan penuh takzim seolah berhadapan dengan ayahandanya baginda Sultan.

“Kanda tidak mengganggu Tengku Panglima?”tanya Tunku Mahmud penuh hormat.

“Tidak,Tunku,”balas Bujang.”Dan,usahlah bertengku dengan patik.Panggil panglima sahaja sudah memadai.”

“Bijak betul Panglima mengelirukan kami,”Tunku Mahmud memuji sambil mengerling pada perca kain tiga warna di keris Bujang.”Begitulah corak perjuangan kita.Ibarat menarik benang dalam tepung,tepung ditarik tidak tumpah,benang tidak putus.Ikut rasmi penyu,usah diikut rasmi ayam.Hidup berkeramat,mati berhantu.Dalam menanti kita menyerang,dalam menyerang kita menanti.”

Bujang diam seribu bahasa dan cuba memahami kata-kata yang padat berisi itu.

“Biarlah Kanda berterus-terang,”kata Tunku Mahmud lagi.”Kanda diutus oleh Adimala Tunggal untuk menyampaikan beberapa amanat penting.”

“Tunku kenal dengan Adimala Tunggal?”tiba-tiba Bujang menyampuk.

“Dia pemimpin besar perjuangan kita,”Tunku Mahmud enggan mengulas lanjut.”Dan, sekarang,kepimpinan itu diserahkan kepada Panglima sebagai kesinambungan perjuangan bangsa Melayu menentang penjajah.Kanda diarah supaya mengajar Panglima segala-gala-nya yang perlu diketahui dan menyimpan rahsia ini sampai ke liang lahad.”

“Cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar,”Bujang memberi amaran sambil memandang ke kiri dan ke kanan.

Tunku Mahmud tersenyum.”Jangan bimbang,Panglima.Seluruh mesjid ini dikawal rapi, tiada siapa yang dibenarkan kemari ketika kita di sini.”

“Hebat betul Angkatan Fisabilillah,”puji Bujang penuh kagum.

“Angkatan Fisabilillah?Ya,molek benar nama baru itu,”sokong Tunku Mahmud dengan gembira,kemudian meneruskan.”Pertama,Panglima akan bersembahyang sunat memohon restu dan hidayah dari Allah.Kedua,Panglima kena bersumpah menjunjung Qur’an melafazkan bai’ah dan ikrar perjuangan kita.Ketiga,Panglima akan menerima Watikah perlantikan yang turut dipersetujui

raja-raja Melayu lain. Keempat,Panglima akan diberi kunci khazanah dan perbendaharaan kita yang disembunyi di sebuah pulau di Melaka.Sekarang ini,kunci itu ada pada sayap kiri kita iaitu Kumpulan Awang Kerambit.Dan,yang kelima,Panglima akan diajar tentang semua isyarat rahsia tanda pengenalan sesama ahli dalam kumpulan. Cukup lima rukun ini,sahlah Panglima sebagai pemimpin agung Angkatan Fisabilillah.”

“Kalau begitu kita mulakan sekarang,Tunku,”Bujang mencadangkan.

“Silakan,”pelawa Tunku Mahmud.

Kerana wuduknya belum batal,Bujang pun bangun mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat,memohon supaya Allah memberi restu serta pertolongan dalam perjuangan suci menegakkan agama Islam dan mengenmbalikan kedaulatan bangsa Melayu. Selepas sembahyang sunat itu,Bujang pun mengangkat sumpah dengan memegang senaskah kitab Al-Qur’an di tangan kanan.Antara sumpahnya ialah memegang amanah yang diberi, menyimpan semua rahsia pergerakan mereka dan berjuang berasaskan amal maaruf nahi mungkar.

Tunku Mahmud kemudian menghulurkan segulung watikah  berbungkus kain kuning.

“Di dalam watikah ini terdapat cap mohor raja-raja Melayu yang menyokong perjuangan kita,”jelasnya pada Bujang.”Simpanlah baik-baik,jangan terlepas ke tangan musuh.”

“Tunku simpanlah dulu di tempat yang selamat,”Bujang menolak.

“Kalau begitu,Kanda akan simpan dalam peti besi di istana Kota Siputih,”sambung Tunku Mahmud pula.”Terlupa Kanda hendak maklumkan.Selepas majlis perkahwinan Panglima besok,Paduka Ayahanda akan menyerahkan istana Kota Siputih sebagai tempat bersemayam Panglima dengan Adinda Tunku Balqis turun-temurun selagi adanya bulan dan matahari.”

“Alhamdulillah,terima kasih banyak-banyak,”ucap Bujang dengan terharu.

“Untuk mendapat kunci khazanah,Panglima kena cari ketua Kumpulan Awang Kerambit di Melaka,”Tunku Mahmud meneruskan.”Jadi,biar Kanda ajar segala isyarat rahsia supaya mudah Panglima mengenali dan dikenali.”

Setelah hampir senja,barulah Bujang pulang seorang diri ke istana Kota Naga.Keadaan istana terang-benderang dipasang dengan lilin,tanglung dan lampu beraneka jenis serta riuh-rendah dengan bunyi bising tetamu-tetamu yang datang dari jauh dan dekat meskipun majlis perkahwinan hanya akan berlangsung besok hari.Bujang menyusup di celah-celah banjir manusia itu dengan harapan dia tidak dikenali.Namun,ketika berjalan ke bangunan istana selepas menyimpan kudanya,dia terasa beberapa pasang mata mengekori setiap gerak-gerinya.Dia pura-pura tidak menyedarinya dan berjalan seperti biasa.Dua pengawal yang berjaga di tepi tangga menyusun sembah ketika dia menaiki anak tangga batu.Dia mengenali hampir semua pengawal walaupun nama mereka tidak dikatahui.Dua pengawal itu dicamnya sebagai mereka yang dititah Raja Muda menyerangnya di Balai Rong Seri dulu.

“Maafkan hamba kerana memukul tuan hamba berdua tempoh hari,”mohon Bujang.

“Tak mengapa,Tengku,”jawab salah seorang pengawal sambil tersengih.

Seperti di luar,di dalam istana juga riuh-rendah dengan berbagai kegiatan.Penghulu Istana dilihat paling sibuk memberi arahan itu dan ini.Bujang cepat-cepat masuk ke kamar Tunku Balqis.Isterinya sedang mencuba beberapa helai pakaian dengan dibantu oleh anaknya.

“Ke mana abang menghilang diri?Puas Penghulu Istana mencari,”tegur Tunku Balqis.

“Abang berjumpa…,”Bujang terhenti bila teringatkan sumpahnya pada Tunku Mahmud siang tadi.”Abang berjumpa Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan.”

“Abang ke Siputih,ya?”sambut Tunku Balqis.”Kanda Tunku Mahmud pun ke sana mengambil surat pegangan tanah untuk diserahkan kepada Ayahanda.”

“Ayahanda apa khabar?”Bujang memintas cakap isterinya.

“Ayahanda sudah beransur sembuh,”Tunku Balqis menyampaikan berita baik itu dengan ceria.”Sudah boleh berjalan tetapi perlu dipapah.Nampaknya ubat yang abang cadangkan itu benar-benar mujarab.”

“Alhamdulillah,”Bujang memulangkan pujian itu kepada yang berhak dipuji.

“Abang pilihlah mana-mana pakaian yang sesuai,”pinta Tunku Balqis sambil mencuba pakaian lain pula bersama Fatimah.”Cincin pun ada di sana,cubalah yang mana muat.”

“Kalau cincin Balqis,tetap muat di jari abang,”sahut Bujang penuh erti.

“Eh,jari ayah sama besar dengan jari Bonda?”Fatimah tiba-tiba menyampuk.

“Ayahmu merepek aje,Fatimah,”bidas Tunku Balqis menjeling tajam pada Bujang dengan wajah merah padam kerana dia memahami benar maksud kata-kata suaminya. Bujang ketawa melihat telatah anak-isterinya.Bujang turut sama mencuba beberapa pasang persalinan pengantin yang sudah ditempah khas.Dia tidak cerewet.Asalkan warnanya sesuai dan boleh muat dengan selesa,itulah pilihannya.Cincin yang yang dipilihnya pun sama.

“Oh ya,”tiba-tiba Bujang teringat sesuatu.Dia lantas mengambil buntilnya.Dari buntil itu dikeluarkan beberapa butir batu delima sebesar mata ikan.Ditunjukkan batu-batu delima itu kepada anak dan isterinya.

“Eh cantiknya…mana ayah dapat?”tanya Fatimah sambil membelek-belek batu itu.

“Memang cantiklah,abang,”Tunku Balqis turut memuji.”Minta sebutir.”

“Nah,seorang sebutir,”Bujang menghadiahkan.”Sebutir lagi buat abang.Pemberian lelaki berjubah tempoh hari.”

“Balqis tak nampak pun dia memberikan pada abang,”sahut Tunku Balqis.

“Waktu itu hari dah siang,Balqis dengan Fatimah tidur keletihan,”Bujang menceritakan kembali.”Abang terjumpa banyak batu delima.Betul-betul di tempat lelaki berjubah itu berdiri.”

“Apa khasiatnya,abang?”Tunku Balqis mencuba batu itu di atas jari manisnya.

“Pakai sajalah,buat perhiasan,”Bujang enggan mengulas lanjut.”Hadiah dari alam ghaib.”

“Nanti Balqis perintahkan tukang cincin membuatnya sepasang untuk kita.”

“Untuk abang,ikat sahaja dengan cincin ini,”Bujang menyerahkan contoh cincin yang telah dicubanya bersama batu delimanya kepada Balqis.Bujang keluar dari kamar itu untuk mengambil wuduk dan menunaikan sembahyang maghrib.

“Mari,Fatimah,”ajak Tunku Balqis,meninggalkan semua pakaian dan cincin di situ.”Kita jemaah bersama ayahmu.Tumpang berkatnya.”

Selepas mengerjakan sembahyang maghrib dan isyak bersama isteri dan anaknya,Bujang turun ke bawah bercampur-gaul dengan orang ramai yang masih sibuk menyudahkan  kelengkapan dan persiapan perkahwinannya. Dia sengaja memakai pakaian biasa supaya tidak dikenali ramai.Kedua-dua kerisnya ditinggalkan di kamar.Dia hanya membawa kerambitnya yang disembunyikan di dalam baju. Dilihatnya para tetamu kehormat yang datang dari jauh sudah pun berihat-rihat di Balai Tetamu sambil berbual-bual kosong dalam kelompok sendiri.Semua penghulu dan ketua kampung ditempatkan pula di Balai Besar sebagai tempat penginapan.Dia tercari-cari kalau ternampak Perkasa tetapi kelibat adik ipar-nya tidak kelihatan pun di mana-mana.Ketika dia berjalan-jalan itulah,dia terserempak dengan beberapa pegawai Kompeni Belanda sedang minum-minum dengan gembira di bawah istana,masing-masing memegang bekas arak.Mereka nampaknya sudah mabuk kerana mulut mereka berbau arak.

Vergeet niet,men!Don’t zorg over de gang.Just krijgen hun leader Panglima Agung morgen.Morgen!”,kata seorang yang berpangkat paling tinggi kepada anak buahnya.{Remember,friends.Don’t care about the gang.Just get their leader Panglima Agung tomorrow.}

Don’t zorgen,Captain.We krijgt him.Now laten we drinken en vrolijk worden! “balas salah seorang pegawai itu.Mereka minum lagi.{Don’t worry,Captain.We will get him.Now,let’s drink and be merry.}

Pada mulanya memang Bujang tidak pedulikan mereka.Lagipun,dia tidak memahami bahasa Belanda yang mereka tuturkan.Namun,bila namanya disebut dalam perbualan itu, dia tertarik hati untuk mengetahui apa yang diperkatakan mereka.Tetapi selepas itu,mereka terhoyong-hayang keluar dari bawah istana menuju ke Balai Tetamu.Bujang tidak jadi mengikut mereka.Dia berjalan-jalan lagi,dalam hati tertanya-tanya.

Ketika dia melalui bahagian belakang di mana tukang-tukang masak sedang menyediakan makan-minum buat para tetamu,dia terserempak dengan Perkasa.

“Bujang,ikut aku,”Perkasa terus menarik tangan Bujang ke taman larangan yang jauh dari kesibukan itu.

“Ini taman larangan,”Bujang cuba membantah.

“Tak apa,Bujang.Kami dapat kebenaran Raja Muda,”lekas-lekas Perkasa memotong cakap abang iparnya.”Dengar sini baik-baik,Bujang.Aku datang sebagai mewakili ahli-ahli lain, bukan sebagai adik iparmu atau kawanmu.Besok,kami akan membunuh Gabenor-Jeneral Belanda.Kami jangan dihalang!”

“Tapi,Perkasa…,”Bujang cuba membantah lagi.

“Ingat tu,Bujang.Kau dah jadi khalifah kami,”Perkasa mencelah dan terus keluar dari taman larangan itu meninggalkan Bujang.Sebentar sahaja,dia hilang lesap di celah orang ramai.Bujang termangu-mangu seorang diri,tidak percaya dengan apa yang didengarnya tadi.Gabenor-Jeneral Belanda hendak dibunuh pada hari perkahwinannya!Perasaannya bercampur-aduk.Dia perlu mencari Tunku Mahmud Raja Muda dengan segera.

Puas Bujang keluar-masuk istana,Raja Muda tidak juga dijumpai.Mujurlah dalam keadaan tergopoh-gapah itu,dia terserempak dengan salah seorang hulubalang yang dikenalinya.

“Kau Pendekar Kundang,bukan?”dia bertanya pada pendekar yang sedang mengawal panca persada.

“Sekarang dah jadi hulubalang,Tengku Panglima,”Kundang tersengih-sengih.

“Tak payahlah bertengku dengan hamba,Kundang,”Bujang menegur.”Kita ‘kan kawan lama.Mana Bachok,Semaun,Damak dan kawan-kawan lain.”

“Ada yang terbunuh di Kuala Kedah,ada yang berkhidmat dengan pembesar-pembesar kita di tempat lain,”Kundang seperti cuba menyembunyikan suatu.

“Mengapa tidak datang berjumpa hamba? Kau  sombong,ya?”tanya Bujang.

“Bukan sombong,Tengku,”Kundang menafikan.”Seganlah. Kami cuma pendekar dan hulubalang,Tengku Panglima berdarah bangsawan,menantu ke Bawah Duli Sultan pula.”

“Perkara seperti inilah yang menyebabkan hamba kadangkala menyesal dilahirkan sebagai Tengku Alang Iskandar,”Bujang meluahkan kekesalannya.”Alangkah baiknya jika kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah,tanpa mengira pangkat dan darjat.”

Kundang terdiam,terpesona dengan kata-kata bernas itu.

“Kundang,kau mesti tolong hamba,”tegas Bujang.”Tolong cari ipar hamba Raja Muda sampai dapat.Katakan padanya ini perihal penting.”

“Patik ditugaskan mengawal panca persada ini,”Kundang memberi alasan menolak.

“Panca persada ini tidak akan lari ke mana-mana,”sindir Bujang.”Pergi sekarang.”

“Baik,Tengku Panglima,”Kundang tergesa-gesa pergi.

“Abang…,”Tunku Balqis tiba-tiba menghampirinya.”Di sini rupanya abang. Abang mesti balik ke istana kita malam ini juga.”

“Istana kita?”Bujang kehairanan.”Bila pula kita dapat istana?”

“Abang belum tahu? Ayahanda sudah berkenan menganugerahkan istana Kota Siputih kepada kita sempena perkahwinan ini,”Tunku Balqis menerangkan.”Jadi,abang mesti balik ke sana malam ini.Besok pagi,rombongan pengantin lelaki akan diarak dengan gajah dari sana hingga ke istana ini,kononnya untuk menjemput pengantin perempuan.Selesai majlis perkahwinan,baru kita dibolehkan balik dan bersemayam di sana.”

“Tetapi,abang sedang mencari Tunku Mahmud,”Bujang agak keberatan hendak ke sana.

“Kanda Tunku Mahmud keluar istana,katanya ada perkara penting,”Tunku Balqis  menjelaskan.”Sekarang abang pergi bersiap.Semua orang sedang menunggu abang.”

“Baiklah,”Bujang tidak dapat menolak lagi.

Di suatu tempat tersembunyi tiada jauh dari istana,kumpulan penyamun yang berpakaian serba hitam dan bertopeng itu berkumpul.

“Kita terpaksa berpindah dari sini,”kata ketuanya yang besar-tinggi.

“Kenapa pula?”tanya penyamun kurus melidi.

“Sekarang tidak selamat lagi,”jawab ketua mereka.”Siapa berani lawan Panglima Agung.”

“Kalau begitu,tidak ada penyamun  seperti kita yang berani lagi bermaharajalela di negeri Kedah ini,selagi Panglima Agung ada di sini,”sampuk seorang penyamun lain.

“Hoi,jaga sikit mulut tu,”marah seorang penyamun lain pula.”Kita bukan penyamun atau perompak! Kita berjuang menentang penjajah Belanda laknat itu!”

“Sabar,kawan-kawan,”ketua penyamun itu mententeramkan mereka.”Biar apa pun orang menggelar kita,yang penting niat kita.Apa kata kita bergabung dengan Panglima Agung?”

“Hamba kenal benar siapa Panglima Agung,”balas penyamun kurus melidi.”Dia memang benci penjajah,sama seperti kita.Kalau kita ajak bergabung,dia pasti tidak menolak.”

“Apa kata kalau kita menyertai angkatannya?”tanya seorang lagi penyamun.

“Beginilah,”ketua penyamun itu membuat keputusan.”Beritahu semua kawan-kawan kita yang ada di negeri Kedah ini supaya beramai-ramai masuk ke dalam angkatan Panglima Agung.Siapa yang menolak,bererti dia kumpulan haram dan musuh kita.”

“Bagaimana dengan Tunku Mahmud?”sampuk seorang penyamun pula.

“Berapa kali hamba beri amaran,kita tidak ada nama!”marah ketua penyamun pada yang menyampuk.”Tentang perkara itu,akan hamba runding dengannya.Kita harus ingat siapa dirinya,Jadi,nama baiknya dan maruahnya mesti dijaga.Faham,semua?’

“Faham!”mereka menjawab beramai-ramai.

“Baiklah,bersurai semua!”ketua penyamun itu memberi arahan. Mereka tidak membantah lagi,terus bersurai dan hilang di dalam gelap itu.

Keesokan harinya,rombongan pengantin lelaki yang diarak dengan gajah dari istana Kota Siputih akhirnya tiba di hadapan pintu gerbang istana Kota Naga.Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan selaku pengapit turun dari kuda masing-masing untuk mempersila-kan pengantin lelaki turun.Bujang yang berpakaian serba kuning dan berkeris dua melompat turun setelah gajah direndahkan,lalu segera dinaungi payung kuning berenda oleh ketua pengiring. Pintu gerbang dibuka.Dari dalam kedengaran bunyi nobat di raja memainkan lagi rasmi khusus untuk upacara penuh istiadat itu. Setelah bunyi nobat berhenti,kedengaran bunyi paluan kompang,gong dan gendang seiring dengan tiupan seruling dan serunai. Diapit oleh Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan,Bujang diiring ke panca persada. Sebuah pelamin yang indah sudah didirikan di atas panca persada itu.

Di hadapan panca persada,Mak Inang menghalang perjalanan mereka.

“Nanti dulu wahai teruna,jangan duduk sebelum berdiri,hendak naik ke peterana,bayar dulu tebusan diri,”Mak Inang selaku Mak Andam berpantun sambil menghulur tangan.

“Mak Andam bijak bistari,bersanggul lintang sungguh bergaya,ini dia penebus diri,wang emas sepuluh saga,”Datuk Setia Raja menjawab pantun lalu menyerahkan hantaran yang diminta.Mak Andam membuka batil emas itu dan mengira wang satu persatu.Tiba-tiba Mak Andam melenting,tidak berpuas hati dengan hantaran itu.

‘Pagi-pagi bertanak pulut,pulut dicampur dengan ragi,tebusan ini tidak cukup,kalau berkenan berilah lagi,”Mak Andam berpantun lagi.

“Pokok pegaga tumbuh bercambah,pokok padi rebah melintang,sepuluh saga kami tambah,kalau tak hendak kami pulang,”Datuk Johan Pahlawan berpantun pula sambil meng-hulurkan sebuah batil emas lagi kepada Mak Andam. Mak Andam membuka batil itu, kemudian mengangguk lalu berpantun,”Teruna bangsawan gagah perkasa,kacak lawa berkeris dua,pintu kota sudah dibuka,kalau sudi apalah kiranya.”

Bujang tersenyum kerana pantun itu ditujukan padanya.

Penghulu Adat dan Mak Andam tampil mengambil-alih Bujang dari Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan. Bujang dipimpin naik ke atas panca persada. Kemudian didudukkan di atas pelamin. Dua orang dayang-dayang tampil mengipas Bujang sementara Mak Andam berdiri di

sebelah tempat pengantin perempuan yang masih kosong. Penghulu Adat turun dari panca persada dan masuk ke dalam istana untuk menjemput pengantin perempuan pula.

Semasa menunggu kedatangan Tunku Balqis,mata Bujang berkisar memerhati setiap tetamu yang berdiri di hadapannya.Dia ternampak beberapa orang pegawai Kompeni Belanda duduk di bawah naungan mengerumuni seorang pegawai yang kelihatan seperti berpangkat tinggi.Mungkin itulah Gabenor-Jeneral Belanda.

Pengantin perempuan muncul dari istana diapit oleh Tunku Mahmud Raja Muda dan Tunku Pangeran manakala Penghulu Adat menunjuk jalan ke panca persada. Tiba di tepi panca persada,Mak Andam turun menjemput pengantin perempuan lalu dipimpin tangan ke atas pelamin dan didudukkan di sebelah pengantin lelaki.Lagu bunyi-bunyian pun dimainkan dari Balai Nobat berhampiran.Tunku Mahmud Raja Muda dan Tunku Pangeran berpaling dan meninggalkan panca persada. Bujang mengerut kerana tidak sempat hendak bercakap dengan Tunku Mahmud.Dia merenung ke arah Gabenor-Jeneral Belanda yang kelihatan santai tanpa menyedari nyawanya dalam bahaya.

“Kenapa masam saja muka pengantin lelaki?”Mak Andam mengusik ujang.”Senyumlah.”

Bujang tersenyum mendengar usikan Mak Andam.

“Hah,macam itulah,Tengku,”kata Mak Andam pada Bujang.

“Balqis,”bisik Bujang tanpa menoleh.”Yang mana satu Gabenor-Jeneral Belanda?”

Tunku Balqis yang sentiasa tunduk sejak tadi terkejut bila ditanya begitu.

“Masa bersanding,tak boleh bercakap,”bisiknya kembali pada Bujang.

“Jawab sajalah,”bisik Bujang lagi,mendesak.

“Yang duduk di tengah-tengah tu,kepala botak sikit,”bisik Balqis.”Namanya Cornelis Van de Lijn.” Melihat Mak Andam menjeling tajam ke arahnya,dia tunduk semula,mukanya merah padam.

Bujang diam selepas itu.Sementara mereka berdua menjadi tontonan ramai,mata Bujang juga mengamati setiap penonton lelaki,terutama sekali yang membawa senjata.Di sebelah hujung duduk kaum-kerabat di raja di atas kerusi yang disediakan termasuk Wan Sara isteri Tunku Mahmud Raja Muda dan Paduka Permaisuri yang memeluk Wan Fatimah. Kerana kesihatan Baginda Sultan belum begitu mengizinkan,baginda dibaringkan di atas tandu yang diusung empat pendekar.Tunku Pangeran pun ada tetapi Tunku Mahmud tidak kelihatan, tempatnya di sebelah Wan Sara kosong.Hati Bujang tertanya-tanya lagi. Siapa yang akan membunuh Gabenor-Jeneral Belanda dan bagaimana caranya

Kemudian Raja Muda mengetuai bebarapa orang tetamu kehormat menepung-tawar kedua mempelai itu.Kaum-kerabat juga tidak ketinggalan.Terakhir sekali ialah Fatimah.

“Mak Andam,”tanya Bujang perlahan.”Selepas upacara ini,kita ke mana?”

“Sepatutnya Adat Bersiram di Taman Larangan,”Mak Andam,tidak berani menegur perbuatan Bujang.”Tapi Penghulu Adat minta diringkaskan sahaja atas permintaan Tunku Puteri dan Tunku Raja Muda. Datuk Seraja Imam pun tidak berkenan dengan adat-adat yang melanggar hukum syarak.”

“Mak Andam pergi cari Tunku Raja Muda,”perintah Bujang.”Katakan padanya nyawa Gabenor-Jeneral Belanda dalam bahaya.Ada orang ingin membunuhnya.”

“Tapi,Tengku,patik kena kipas Tengku,”Mak Andam cuba membantah.

“Tak payahlah dikipas-kipas,hamba bukan panas,”tegas Bujang.”Pergi lekas.”

Mahu tidak mahu Mak Andam terpaksa mengalah.Dia menyerahkan kipas kepada seorang dayang-dayang dan terus turun dari panca persada.

“Betulkah begitu,abang?”tanya Tunku Balqis,membiarkan dirinya dikipas dayang-dayang.

“Nampaknya begitulah,”balas Bujang.”Kita perlu berhati-hati.”

Dayang-dayang yang sedang mengipas mereka berpandangan sesama sendiri,masing-masing kelihatan cemas tetapi mereka tidak berani minta diri.

Tiba-tiba masuk beberapa orang pendekar ke depan panca persada,dipimpin oleh Tunku Mahmud.Hati Bujang berdebar-debar melihat parang lading yang dibawa oleh mereka.

Tunku Mahmud berdiri di tepi manakala anak buahnya mula membuat pertunjukkan bunga silat  di hadapan Bujang dan Tunku Balqis.Debaran hati Bujang bertambah kuat apabila ternampak perca kain tiga warna diikat pada hulu semua parang lading mereka.Bujang bingkas bangun,mengepal hulu keris panjangnya.Dihunusnya keris itu separuh,kemudian disarungkan kembali dan dibalikkan sarung keris ke arah tubuh.Itulah salah satu isyarat Angkatan Fisabillah sebagai tanda pengenalan persaudaraan. Bujang duduk kembali setelah memberi salam perguruan dengan menangkup kedua-dua tangannya dan dibawa ke kiri dada. Dia berharap mereka memahami maksudnya itu.

Selepas membuat tarian silat,mereka berundur ke tepi,meninggalkan dua orang pesilat yang akan membuat persembahan selanjutnya. Kedua-dua pesilat itu mula bertetak dan berparang seolah-olah betul-betul berkelahi,parang lading memercikkan bunga api setiap kali berlaga. Bujang duduk memerhati dengan teliti kalau-kalau salah seorang dari mereka meluru ke arah Gabenor-Jeneral. Dia menarik nafas lega apabila pertunjukan itu tamat dan kedua-dua pendekar itu berundur ke tepi.Dipimpin oleh Tunku Mahmud,mereka keluar  beramai-ramai dari kawasan di hadapan panca persada itu. Sempat Bujang melihat Mak Andam berkata sesuatu pada Tunku Mahmud sambil menunjuk ke arah pelamin.

Tamatnya pertunjukan silat itu bererti tamatlah masanya Bujang dan Tunku Balqis di-pertontonkan di atas pelamin.Mak Andam dan Penghulu Adat segera datang mengiringi mereka turun dari panca persada.Sebaik sahaja mereka menaiki tangga masuk ke istana, pertunjukan hadrah pun dimulakan di Balai Besar.Ketika menoleh ke belakang,Bujang nampak Gabenor-Jeneral Belanda diiringi para pegawainya mengikut lain-lain penonton yang berpusu-pusu ke hadapan Balai Besar.

Bujang dan Tunku Balqis diiringi setakat kamar mereka sahaja.Selepas itu,Mak Andam dan Penghulu Adat meninggalkan dengan senyum menguntum. Bujang dan isterinya terus masuk ke kamar mereka yang juga dijadikan kamar pengantin. Bujang beredar ke jendela melihat permainan hadrah manakala Tunku Balqis sibuk memeriksa hadiah-hadiah yang diterima dari para tetamu.

“Abang perlu tukar pakaian,”katanya setelah berfikir sejenak.

“Nanti apa pula kata Mak Andam,”rungut Tunku Balqis sambil membelek-belek hadiah yang diberi.”Lepas ini majlis Santapan Di raja,semua tetamu hadir.”

“Termasuk Gabenor-Jeneral itu?”tanya Bujang menoleh ke arah Tunku Balqis.

“Tentulah,”balas Tunku Balqis.”Apa abang risau pasal Tuan Gabenor-Jeneral itu?Kalau ada orang hendak membunuhnya,biarlah.Pucuk dicita ulam mendatang.”

“Balqis tidak faham,”ujar Bujang kembali memerhati pertunjukan hadrah,tetapi fikirannya tidak ke situ.” Kalau dia dibunuh pada hari perkahwinan kita,nama abang  turut tercemar. Sementelah lagi,abang tidak mahu orang merosakkan majlis perkahwinan kita.”

“Terpulanglah pada abang,”Tunku Balqis lebih tertarik pada hadiah-hadiahnya.

Bujang pun menukar pakaian pengantin dengan pakaian panglima.

“Abang tunggu di bawah,’katanya pada Tunku Balqis lalu keluar dari kamar itu. Tiba di bawah,dia tiba-tiba terasa hendak buang air kecil. Matanya melilau mencari tempat yang sesuai yang tidak ramai orang.Teringatkan Taman Larangan,dia terus ke sana. Dengan mengambil sebekas air kolam,dia pun bertenggek di sebalik belukar. Ketika asyik melepas hajat,tiba-tiba dia terdengar tapak kaki orang berjalan.Lekas-lekas diselesaikan hajatnya. Kemudian dia menguak sedikit belukar itu dan mengintai ke sana. Dua lelaki yang tidak dikenali  terhendap-hendap menuju ke pintu keluar taman.

“Kali ini mampuslah orang putih jahanam itu,”kata seorang lelaki gempal.

“Kau yakinkah Jusuh berani mati?”tanya rakannya yang tinggi-lampai.

“Dia orang Petani,Mat,”balas lelaki gempal.”Dia percaya kalau kita mati dibunuh orang kafir,kita mati syahid.Syahid dalam perang sabil.”

“Yalah,Komeng,aku setuju,”tiba-tiba Mat terhenti bila ternampak Bujang.”Eh,ada orang nampak kita!”Mereka segera menghunus golok masing-masing.

Bujang segera keluar dari tempat persembunyian dan bersemuka dengan mereka.

“Heh!Apa kau buat di sini?”sergah Mat,mengacu goloknya.”Tidakkah kau tahu ini Taman Larangan?Kami diarah berkawal di sini!Orang luar tak boleh masuk!”

“Maafkan hamba,”Bujang pura-pura menyerah diri.”Hamba tidak tahu taman ini Taman Larangan. Biarlah hamba pergi.”

“Eh,Mat!Itu Panglima Agunglah!”jerit Komeng.

“Panglima Agung?”.Mereka terus menyerang Bujang.

Bujang mengelak tetakan Komeng sambil memaut tengkuk Mat lantas mengilas tangannya ke belakang.Golok dari tangan Mat segera dirampasnya.Bila Komeng menyimpat keluar, Bujang mengelak sedikit sambil mematahkan tengkuk Mat.Sekelip mata kemudian,golok ditangannya menyantas leher Komeng. Dia melepaskan Mat. Mat dan Komeng jatuh terkulai ke tanah hampir serentak,tengkuk Mat patah manakala Komeng menggelepar seperti ayam disembelih sebelum mati.

“Jusuh…,”Bujang teringat nama yang disebut mereka.

Dia mengambil sarung golok di pinggang Mat,menyarungkan golok itu dan segera keluar dari Taman Larangan. Dia menghala ke hadapan Balai Besar di mana pertunjukan hadrah  sudah berakhir dan diganti  dengan persembahan ronggeng.Lagu rancak yang dibunyikan menyebabkan berapa orang tampil ke depan untuk menari.Beberapa orang pegawai Belanda turut menari terkinja-kinja seperti kera kena belacan. Mata Bujang mencari Gabenor-Jeneral.

Pegawai tertinggi Belanda itu duduk bersama beberapa orang tetamu berbangsa cina,dilayan oleh tiga pelayan yang menuangkan air kuning berbueh-bueh ke dalam bekas minuman mereka.Beberapa orang pendekar juga kelihatan tetapi mereka berada berjauhan dan asyik menumpukan perhatian pada penari-penari ronggeng.Bujang mencari-cari di mana bakal pembunuh itu.Ketika salah seorang tunduk sedikit untuk menuangkan minuman keras itu ke dalam bijana Gabenor-Jeneral,Bujang ternampak sebelah lagi tangannya menyeluk ke bawah baju untuk mengambil sesuatu.

“Jusuh!”jerit Bujang dengan lantang,menyebabkan pertunjukan ronggeng berhenti.

Pelayan itu terkejut,lantas menghunus sebilah lawi ayam lalu menerpa hendak menikam leher Gabenor-Jeneral. Jarak yang agak jauh tidak memungkinkan Bujang tiba tepat pada masanya.Hanya satu pilihan yang ada padanya.Golok di tangannya itu dihunus secepat kilat, secepat kilat pula dibaling ke arah pelayan bernama Jusuh itu.Golok itu tepat menembusi tengkuk Jusuh. Jusuh terhoyong-hayang dan jatuh tersembam di hadapan Gabenor-Jeneral,kaki dan tangannya menggelepar kesakitan.Pegawai-pegawai Belanda yang asyik menari sebentar tadi meluru ke arah Jusuh lalu menembak Jusuh bertubi-tubi. Jusuh tidak bergerak lagi,lawi ayamnya masih tergenggam kukuh.

Bujang menghampiri mayat Jusuh.Orang ramai mula berkerumun untuk melihat lebih dekat.Kemudian,Bujang memandang tepat ke wajah Gabenor-Jeneral.Mereka bertentang mata.Gabenor-Jeneral itu tampil menghulurkan tangan pada Bujang.

“Hartelijk dank voor het redden van mijn life,”dia mengucapkan terima kasih pada Bujang dalam bahasanya.”I moet je altijd onthouden.

Tangan yang dihulurkan itu tidak disambut oleh Bujang.Sebaliknya dia merenung tepat ke arah pegawai-pegawai Belanda lain. Dia terdengar Gabenor-Jeneral Belanda itu memberi perintah kepada orang-orangnya,”Annuleren onze plan!Dismiss!”

Bujang tidak tunggu lama lagi.Dia terus menyusup di celah orang ramai untuk menjauhkan diri dari tempat itu. Dia terserempak dengan Tunku Mahmud di atas tangga istana.Abang iparnya tidak berkata sepatah jua pun,hanya menggelengkan kepala penuh kesal. Bujang juga membisu seribu bahasa,hanya matanya merenung Tunku Mahmud penuh tanda tanya.Dia terus masuk ke dalam istana dan bergegas ke kamarnya.

“Abang telah merosakkan majlis kita,”Tunku Balqis yang meninjau semuanya dari jendela kamar itu melemparkan cemuhan sebaik sahaja Bujang membuka pintu.

“Oh!”Bujang menutup pintu dengan menghempasnya.”Jadi,Balqis lebih suka Si-Jusuh itu merosakkan majlis kita dengan membunuh Gabenor-Jeneral keparat itu?”

Tunku Balqis terdiam,menyedari dia telah terlanjur kata dengan suaminya.

Bujang menghunus kedua kerisnya lalu diletakkan di atas almari.Dastarnya ditanggalkan, dilonggokkan di atas katil.Bengkungnya pula menyusul.

“Balqis mohon ampun dan maaf,”Tunku Balqis memujuk,memeluk lengan suaminya penuh kesal.”Balqis tak sepatutnya berkata begitu pada abang.”

Bujang menepis tangan Tunku Balqis dan berpaling untuk menghamburkan isterinya dengan kata-kata pedas.Mujurlah kemunculan Fatimah dan Tunku Mahmud menyelamatkan keadaan.Fatimah berlari masuk menunjukkan hadiahnya pada Bujang dan Tunku Balqis.

“Ayah,Bonda..,tengok ni!Fatimah pun dapat hadiah!”jeritnya keriangan sambil menunjukkan sebuah peti kayu yang bersalut damar berkilat.

“Apa bendanya itu,Fatimah?”tanya Bujang,turut melihat peti itu.Kemarahannya menurun.

“Inilah peti nyanyi,”Fatimah menerangkan.”Bila kita buka pintunya,keluar perempuan menari berpusing-pusing.”

“Cantiknya,”puji Tunku Balqis.”Siapa yang beri?”

“Tuan Gabenor tu,”balas Fatimah menuding ke arah jendela terbuka.

“Tuan Gabenor?”suara Bujang berubah.

Menyedari dia telah membuat kesilapan kali kedua,Tunku Balqis lekas-lekas mengajak anaknya keluar,”Mari kita tunjukkan pada Nenda.”

“Duduklah dulu,Tunku,”pelawa Bujang,suaranya tertahan-tahan menahan marah.

“Tak apalah,”Tunku Mahmud mengalah demi terpandang wajah Bujang yang masih membara.”Lain kali sahaja kita berbicara. Kanda pergi dulu.”

Sekali lagi Bujang terselamat dari berlakunya perang mulut.Sejak akhir-akhir ini mengapa dia terlalu cepat melenting?Dia telah diasuh dan dididik supaya mengutamakan kesabaran, mengapa sekarang dia terlalu lekas hilang sabar?

Bujang menutup pintu kamar dan duduk di jendela memandang ke luar.

– (“Manusia mampu mendaki gunung yang paling tinggi,manusia mampu menyelami ke dalam lautan yang paling dalam,manusia mampu menguasai jin dan haiwan,tetapi manusia terlalu sukar menguasai hawa nafsu sendiri.”)-

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata gurunya ketika di Gunung Jerai dulu.

Bujang mulai sedar sekarang,manusia yang dimaksudkan oleh gurunya itu tidak lain tidak bukan adalah dirinya sendiri.Kekangan hawa nafsu boleh membawa kepada kebinasaan.

“Kelmarin kenangan,hari ini kenyataan,besuk tidak ketahuan,”dia memerhati wajahnya di dalam cermin.Maksudnya segala yang telah berlaku tidak dapat diubah lagi,tetapi yang dlakukan pada hari itu akan menentukan corak masa depannya.Dia telah membunuh anak buahnya sendiri di hadapan Gabenor-Jeneral Belanda.Namanya akan tercemar di kalangan Angkatan Fisabilillah dan Ketua Pemerintah Kompeni Belanda itu sudah mengenali dirinya.

Bujang mengeluh sendirian mengenangkan dirinya.Dilihatnya di kamar itu ada satu tempayan besar berisi air bersih.Dia mengambil wuduk dan mengerjakan sembahyang sunat memohon ilham dari Allah.Hanya dengan jalan sembahyang sahajalah segala kekusutan dapat dihurai.Penyudah sembahyang itu ialah berzikir.Dia pun duduk bersila,memejam mata,menumpukan semua pancaindera pada yang SATU dan mula berzikir perlahan-lahan mengikut tarikan nafasnya.Setiap kali nafas ditarik,dibayangkan kalimah Allah berkilauan masuk melalui rongga hidungnya,masuk ke dalam fikirannya,keluar melalui ubun-ubun,mengalir ke muka dengan cahaya gemilang,masuk ke dada,meresap ke dalam hati, berlegar dalam perutnya,keluar melalui ari-ari.Dibayangkan kalimah Allah itu mencuci bersih setiap anggota badan yang dilaluinya,terutama sekali hati.Bila nafas dihembus,dia membayangkan segala kekotoran,segala sifat-sifat mazmuah keluar dari dirinya.Begitulah yang dilakukan,menarik nafas dengan kalimah lailahaillallah,melepas nafas juga dengan kalimah lailhaillallah,seperti yang diajar dalam tarekatnya.

“Abang…,”Bujang terdengar namanya diseru. Dia membuka mata dan melihat Tunku Balqis tersenyum di sebelahnya.”Majlis santapan di raja.”

“Cepatnya,”Bujang kagum dengan masa yang begitu pantas berlalu.

“Dah tengah hari pun,”Tunku Balqis menjawab,tidak memahami maksud suaminya.

“Abang kena tukar pakaian,”melihat isterinya berpakaian indah,Bujang bangun.

“Pakai persalinan panglima pun tidak mengapa,”Tunku Balqis memberi kelonggaran.

Bujang pun mengambil dastar dari atas katil lalu memakainya.Tunku Balqis pula membantu suaminya memakai bengkung merah dan baju layang. Sambil menyisip kedua-dua bilah kerisnya di pinggang,dia segera mengikut isterinya keluar. Di Dewan Santapan, semua kaum-kerabat sudah menunggu kecuali baginda Sultan.Para pembesar serta beberapa orang tetamu terpilih sudah hadir.Bujang melihat Gabenor-Jeneral Belanda juga turut hadir bersama beberapa orang raja Melayu dari negeri berhampiran.

Majlis Santapan Di raja dimulakan dengan bacaan doa oleh Datuk Seraja Imam. Kemudian,Bujang dan isterinya diminta menyuapkan nasi ke mulut masing-masing. Selepas itu,barulah para tetamu mula menjamu selera.Tiada siapa yang bersuara.Yang kedengaran hanyalah bunyi sudu,bunyi pinggan dan sekali-sekala bunyi air dihirup. Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.Bujang habis dahulu,diikuti oleh Tunku Balqis dan Fatimah.

Mereka bangun hendak beredar tetapi ditahan oleh Raja Muda.

“Tunggu dulu,Dinda Tengku Alang Iskandar,”titak Raja Muda.”Tuan Gabenor-Jeneral ingin memberi hadiah istimewa kerana menyelamatkan nyawanya.”

Seorang budak suruhan membawa talam beralas kain kuning menghampiri Gabenor-Jeneral.Pegawai Tertinggi Belanda itu meletakkan segulung kertas dan seketul logam berwarna emas di atas talam itu.Dengan berhati-hati,talam itu dibawa kepada Bujang. Bujang pun menerimanya tanpa banyak karenah dan mengangguk pada Gabenor-Jeneral tanda terima kasih.

“Yang bulat itu dipanggil jam,”Tunku Mahmud menerangkan tanpa diminta.”Ia diperbuat daripada emas.Mahal harganya.Orang barat menggunakannya untuk mengetahui masa.

Yang bergulung itu pula ialah surat kebenaran.”

“Surat kebenarang?”Bujang teringat pertama kali dia tiba di Kuala Kedah tempoh hari.

“Pada zahirnya surat itu hanya sekeping kertas,”Tunku Mahmud menerangkan lagi.”Tetapi nilainya amat tinggi.Dengan surat ini,Kanda boleh pergi ke mana-mana pelabuhan di dunia, untuk berniaga,berdagang,bersantai dan lain-lain tujuan.”

“Dinda pacal yang hina menjunjung kasih,”Bujang menuturkan.

“Dinda boleh berangkat sekarang,”Tunku Mahmud memberi kebenaran.

Bujang pun bangun semula bersama isteri dan anaknya lalu keluar  dari Dewan Santapan.

“Tolong simpan barang-barang ini,”pinta Bujang pada isterinya setelah agak jauh.”Abang hendak keluar sekejap mencari Perkasa.” Isteri dan anaknya tidak membantah.

Bujuang terus keluar dari istana menuju ke masjid berhampiran. Dia masuk ke masjid mengerjakan sembahyang zohor. Dugaannya tepat. Selepas memberi salam,bahunya dicuit dan Perkasa menghulurkan tangan bersalam.

‘Aku tidak boleh berlama di sini,Bujang,”Perkasa memulakan perbualan.”Hari ini juga aku akan balik ke Kuala Kedah.”

“Tentu kau ingin bercakap perihal Jusuh,”Bujang membuat serkap jarang.

“Siapa Jusuh?”Perkasa pura-pura tidak tahu.”Aku tak kenal Jusuh.Perihal ini melibatkan Angkatan kita.Oleh kerana kau sudah jadi Imam Khalifah kami,kami ingin tahu tentang rampasan perang yang ada dalam simpanan kami?”

“Rampasan perang?”tanya kehairanan.

“Kami rampas barang-barang dari saudagar,pedagang dan sebagainya,”Perkasa menceritakan.”Kami ambil sikit buat belanja,selebihnya kami sembunyikan di Tanjung Jaga dekat lereng Gunung Jerai.”

“Habis tu?”tanya Bujang.

“Kami semua berkongsi sama rata,”kata Perkasa.”Kau nak bahagian kau?”

“Kamu semua simpanlah,”Bujang menolak.”Aku tak hendak walau sebahara pun.”

“Jadi,kami bolehlah terus merompak dan menyamun?”Perkasa ingin tahu.

“Kalau kau rompak harta-benda Belanda dan kuncu-kuncunya,aku tidak melarang,”Bujang mengingatkan Perkasa.”Tetapi,kalau kau rampas dari orang-orang lain dari itu,tanggunglah dosanya di akhirat nanti.Matlamat tidak menghalalkan cara,Perkasa.”

“Baiklah,aku faham sekarang,”jawab Perkasa berpuas hati.

“Bagaimana dengan Jusuh?’Bujang mengulangi pertanyaan itu.

“Aku dah cakap tadi….”

“Jangan cuba berselindung di balik telunjuk,Perkasa,”celah Bujang.”Terkilat ikan di air, sudah kutahu jantan betinanya.”

“Yang aku tahu,dia orang baru dalam Angkatan kita,”Perkasa memberi alasan.”Dia hanya mengikut arahan.Dia tidak tahu siapa ketua sebenarnya.”

“Mulai saat ini,aku yang memberi arahan,”Bujang menegaskan.”Hitam atau putih,aku yang akan mewarnakannya.Maklumlah kepada semua ahli.”

“Baiklah,aku akan maklumkan,”Perkasa akur.

“Satu perkara lagi,Perkasa,”tanya Bujang.”Siapa Adimala Tunggal.”

“Aku tak pernah dengar nama itu,”jawab Perkasa,tidak berani bertentang mata.”Aku pergi dulu,Bujang.Sampaikan salam pada kemanakanku Fatimah.”

“InsyaAlllah,”mereka bersalam-salaman.Perkasa tergesa-gesa keluar dari mesjid itu.

Acara kemuncak petang itu memang ditunggu-tunggu kerana persembahan silat dan tomoi akan diadakan.Penonton sudah  lama berkerumun di sekitar Balai Besar,lebih-lebih lagi ada khabar angin  mengatakan Raja Ligor yang turut hadir sebagai tetamu kehormat membawa bersamanya panglima-panglima handal dari Siam yang dijangka mempertontonkan permainan tomoi yang luar biasa.Raja Muda bersama anak buahnya mewakili silat Melayu khabarnya akan memperlihatkan kekuatan kebatinan..Para pembesar dan tetamu kehormat mengambil tempat masing-masing di Balai Besar manakala penonton yang datang berpusu-pusu itu hanya berdiri di bawah terik matahari.Bujang,Tunku Balqis dan Fatimah hanya menyaksikan dari jendela kamar mereka.

Tidak lama kemudian Tunku Mahmud masuk ke gelanggang bersama anak buahnya. Kemunculan mereka mendapat sorakan bergemuruh dari penonton.Mereka tidak membuang masa,terus memulakan pertunjukan.Seorang demi seorang menyelak baju manakala Tunku Mahmud menetak mereka dengan parang lading satu persatu tetapi tiada yang cedera. Tunku Mahmud kemudian mengambil periuk berisi minyak panas yang sudah disediakan.Seorang demi seorang anak buahnya dituangnya dengan minyak yang masih menggelegak itu. Seperti biasa,tiada kesan terbakar atau melecur pada badan mereka.Penonton bersorak gembira memberi perangsang.Acara seterusnya ialah permainan silat bersenjata. Dua pesilat yang paling handal tampil menunjukkan kelincahan masing-masing.Mereka menikam, menetak dan memarang bersungguh-sungguh seperti pertarungan betul,parang lading yang berlaga memercikkan bunga api.Penonton terdiam,kagum dengan ketangkasan dan kehandalan mereka.Bila pertunjukkan selesai,bergemuruh bunyi tepukan dan sorakan.

Tunku Mahmud nampaknya seperti tidak berpuas hati bila melihat beberapa orang panglima Raja Ligor seakan menyindir pertunjukan silat itu. Dia tampil ke tengah gelanggang bersama seorang pendekar tegap”Datuk-Datuk,tuan-tuan dan rakyat beta sekelian!”suaranya lantang,semua penonton diam untuk mendengar dengan teliti.”Inilah Pendekar Daik,anak murid beta yang paling kanan dan paling handal!Mari kita berlawan cara persahabatan tanpa menggunakan senjata!Kepada siapa yang berani turun gelanggang, beta cabar!Datanglah,tak kira Melayu,Cina atau Siam!”

“Kanda Tunku Mahmud mulalah tu nak tunjuk takbur,”Tunku Balqis mencebik menyatakan pada Bujang di sebelahnya.Bujang hanya mendiamkan diri,perhatiannya ditumpukan  pada adegan yang bakal berlaku di Balai Besar.

“Silakan!”kali ini Tunku Mahmud mengulangi cabarannya kepada para pembesar dan tetamu kehormat.”Melayu,Cina,Siam,Orang Putih,silakan kalau berani!”

Para penonton mula bercakap-cakap.Raja Ligor dilihat mengatakan sesuatu kepada barisan panglimanya.

“Abang hendak turun ke bawah,”Bujang menegaskan sambil mencapai kedua-dua kerisnya dari atas almari lalu bergegas keluar.Sambil melangkah panjang-panjang,dua bilah keris itu disisip kukuh-kukuh di celah bengkung merahnya.Dia merasa tidak sedap hati dan perlu campur tangan bagi mengelak pertumpahan darah.Kerana para penonton bersesak-sesak,dia menghadapi kesukaran menghampiri Balai Besar.Bila dia berjaya tiba di tepi balai itu, seorang panglima Raja Ligor yang tegap sasa sudah berada di tengah gelanggang berdepan dengan Pendekar Daik.Tunku Mahmud berundur ke tepi memberi ruang.Orang ramai tidak berani bersuara,suasana sepi bagaikan dilanggar garuda.

Panglima Siam itu membuat persembahan bunga tomoinya sebelum mara dengan berani merapati Pendekar Daik.Pendekar Daik juga mempamirkan persembahan bunga silat yang cantik sehingga memukau ramai penonton.Kemudian,Pendekar Daik melakukan kesilapan yang membahayakan dirinya.Dia sepatutnya membuat penantian menunggu serangan lawan. Sebaliknya,dia terus melakukan serangan dengan menumbuk dan menyepak.Peluang seperti itulah yang ditunggu-tunggu oleh lawannya.Panglima Siam itu dengan tangkas menangkis setiap serangan dengan lutut dan sikunya,matanya liar mencari peluang menyerang balas.

Peluang itu terbuka bila kaki Pendekar Daik tergelincir akibat dikuis.Kedudukannya tidak tegap lagi.Macam kilat,Panglima Siam itu memaut leher Pendekar Daik,lututnya bertubi-tubi ditujukan ke rusuk kiri dan rusuk kanan Panglima Daik.Ketika Pendekar Daik menyeringai menahan kesakitan,,kedua-dua siku panglima Siam hinggap pula di mukanya. Pukulan siku yang dilepaskan seperti baling-baling itu menyebabkan hidung,mulut dan matanya cedera,darah merah membasahi muka.Pendekar Daik mula lemah.Kesempatan itu tidak dilepaskan.Sambil melompat tinggi,panglima Siam itu melepaskan satu hentakan siku yang kuat tepat mengenai ubun-ubun Pendekar Daik.Pendekar Daik jatuh terkulai seperti layang-layang putus tali.Penonton terdiam,tidak ada yang bersorak.Tunku Mahmud segera mendapatkan pendekar harapannya yang terbaring tidak bergerak.Sedar-sedar Bujang juga berada di sisi abang iparnya.

“Nah,itulah balasan orang yang takbur,”Bujang menyindir pedas.

Tunku Mahmud menjeling pada Bujang,kemudian memandang pada Pendekar Daik.

“Dia matikah?”tanya Tunku Mahmud,suaranya cemas.

“Nyawa-nyawa ikan,”balas Bujang,menjeling tajam pada panglima Siam itu.

Panglima Siam itu memusing badannya menghadapi penonton.”Hoi,orang Melayu!Mana lagi orang kuat kamu!”jeritnya megah sambil menepuk dadanya.”Ini Kutcai!Mari lawan sama Kutcai!Kutcai kuat!Melayu lemah!Melayu bodoh!”

Beberapa orang anak buah Tunku Mahmud tampil ke hadapan dengan wajah bengis.

Tunku Mahmud juga kelihatan berang.”Bagus!Sekarang ajar si-bangsat itu betul-betul!”

Anak buahnya mula membuka langkah silat.Panglima Siam menanti sambil tersenyum sumbing.Tunku Mahmud terus menyerbu.Namun,belum sempat mengatur langkah,satu tamparan kencang hingga di belakang tengkuknya,menyebabkan dia terjatuh ke tanah. Dia memusing badan sambil menyambar hulu kerisnya.

“Cis!”Bujang memijak tangan abang iparnya sebelum sempat keris itu dihunus.”Sifat takbur Tunku telah menjatuhkan maruah orang Melayu.Sekarang,maruah itu terpaksa patik tebus.”

Tanpa mempedulikan Tunku Mahmud,Bujang mara sambil memberi isyarat kepada anak buah abang iparnya supaya berundur.Dia tahu cabaran panglima Raja Ligor itu ditujukan padanya.

“Cincai,,cuba ulang lagi kata-katamu tadi,”Bujang mencabar,tangan berpeluk tubuh.

“Kutcai!Nama aku Kutcai,bukan Cincai!”Panglima Siam itu menengking marah kerana namanya dipersendakan begitu rupa.”Jaga kau,Melayu!”

“Betulkah orang Melayu bodoh dan lemah?”Bujang mendesak.

“Kalau kau boleh kalahkan aku,kau kuat!”Kutcai mencebik.

“Tiada yang kuat melainkan Allah,”tegas Bujang.Di saat itu,terkenang kembali perbuatan orang-orang Siam dan membantu Belanda sehingga menyebabkan Kuala Kedah menjadi padang jarak padang tekukur.

“Kau minta pada Tuhan kau,aku minta pada Tok Put!”Kutcai mula menujuk-nunjukkan bunga tomoi seolah-olah mencabar Bujang menyerangnya. Tetapi,Bujang tidak sebodoh itu.Dia tidak akan termakan umpan yang dijaja di depan mata. Dia tahu caranya untuk menjerat umpan itu.Dia juga tidak memasang kuda-kuda seperti kebanyakan pendekar.Sebaliknya,dia hanya tercegat menanti serangan,tangannya masih berpeluk tubuh. Kaedah itulah selalu digunakan Sunan Kalijogo,salah seorang Wali Sembilan,ketika berhadapan dengan musuh dari Kerajaan Majapahit.Kaedah seperti itu  juga diajar sendiri oleh Sunan Kalijogo ketika Bujang berguru di Gunung Jerai.

Barangkali kerana terlalu jemu menunggu,tiba-tiba Kutcai melepaskan sepakan kencang ke arah batang tengkuk Bujang.Pergerakannya cukup pantas,dibuat secara mengejut di saat disangkanya Bujang lalai.Namun,betapa pantas sepakan itu,pantas lagi Bujang bertindak. Bujang tidak berundur,malah maju setapak sambil membuat tetakan gunting ke leher Kutcai dengan kedua-dua tapak tangannya.Sekelip mata kemudian,penumbuk kirinya singgah di tengah dada Kutcai.Bujang merendahkan badan,penumbuk kanannya pula hinggap di celah kangkang Kutchai.Penyudahnya,Bujang bangun memaut tengkuk Kutchai dengan tangan kiri,siku kanannya dilepaskan tepat ke pelipis Kutcai.Sebagai melepaskan geram,diterajangnya dada Kutcai kuat-kuat.Kutcai jatuh terlentang macam batang pisang.Tepukan  serta sorakan dari penonton bergemuruh hebat,jauh lebih hebat dari tadi.Bujang berundur dan berpeluk tubuh semula seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Rakan-rakan Kutcai menyerbu ke gelanggang sambil membawa pedang.Melihat Kutcai tidak bernyawa lagi,mereka terus menyerang Bujang seperti singa kelaparan. Bujang tidak bertangguh lagi.Keris panjangnya dihunus.Dia menyerbu dan menikam,mengelak dan  merodok,kedua-dua kakinya bagaikan tidak berpijak di tanah,keris panjangnya begitu pantas   dan ligat sehingga tidak kelihatan pada pandangan mata kasar. Tidak sampai senafas,empat panglima Siam itu bergelimpangan di tepi mayat Kutcai dan menggelepar lemah,darah mencurah-curah dari liang luka di perut dan dada masing-masing.Kali ini,penonton tidak bersorak lagi. Semua bagaikan terpukau dengan kejadian yang berlaku begitu pantas. Bujang berundur ke sisi Tunku Mahmud yang sedang memeriksa Pendekar Daik. Bila Bujang menoleh ke arahnya,dia hanya menggelengkan kepala mengatakan Pendekar Daik sudah tiada. Bujang masih tercegat,keris panjangnya terhunus di tangan menanti perkembangan selanjutnya.

Nampaknya tiada lagi tindakan susulan.Saki-baki pengiring Raja Ligor turun ke gelanggang mengusung mayat rakan-rakan mereka keluar dari situ.Raja Ligor tidak berkelip-kelip mamandang Bujang.Bujang hanya menyusun sembah persilatan sebagai tanda hormat pada Raja Ligor.Kemudian,dia menyarungkan kerisnya,menghunus sekerat,lantas menyarungkan semuala.Dia agak terperanjat melihat pergerakannya ditiru oleh ramai pendekar dan hulubalang di situ,menandakan mereka juga ahli Angkatan Fisabilillah. Anggukan dari Tunku Mahmud mengesahkannya.

“Pendekar Daik tidak ada peluang langsung,”kata Tunku Mahmud setelah memberi isyarat kepada anak buahnya membawa mayat itu pergi.

“Pukulan tomoi memang merbahaya,”Bujang ternampak kesan tamparan masih merah di tengkuk abang iparnya.”Maafkan patik kerana menampar Tunku tadi. Patik hilang pertimbangan melihat sikap biadap Kutcai.”

“ Tak mengapa,Dinda,”Tunku Mahmud memberi maaf.”Kadangkala Kanda memang patut diajar supaya tidak lupa diri. Kalau orang menjual,baru kita membeli.”

“Seeloknya begitulah,Tunku,”Bujang gembira kerana abang iparnya sudah insaf.

Pertunjukan Mak Yong dengan barisan penarinya yang jelita berjaya mengalih perhatian penonton dari peristiwa berdarah yang baru disaksikan. Bujang menepuk bahu abang ipar-nya dan segera berundur dari keriuhan itu.

Malam itu ketika pertunjukan wayang kulit berlangsung di Balai Besar,Bujang ditahan di tengah jalan oleh sepuluh orang lelaki yang tidak dikenali selepas selesai menunaikan jemaah Isyak di masjid berhampiran. Bujang tidak membawa kedua-dua bilah kerisnya tetapi kerambitnya masih tersembunyi di celah bengkung.

“Kami kawan-kawan Jusuh,”seorang lelaki yang melantik dirinya sebagai ketua menyatakan kepada Bujang.Bahasanya ada pelat-pelat Siam. Dia bersama rakan-rakannya semua membawa senjata yang tajam berkilat.

Bujang tidak menjawab,hanya mengamati mereka satu persatu. Dia tahu mereka berani bersemuka dengannya kerana mereka menyangka dia tidak bersenjata.

“Kami mahu tahu apa salah Jusuh sehingga dia dibunuh begitu kejam,”jerkah ketua itu.

“Dia dibunuh kerana engkar perintah,”balas Bujang dengan tenang.

“Perintah siapa?”desak ketua kumpulan itu.”Jusuh diperintah supaya membunuh Orang Putih jahanam itu!Siapa pula yang berani melarangnya?”

“Panglima Agung,”balas Tunku Mahmud yang muncul dari dalam gelap.”Kamu semua baru datang dari Petani,bukan?Mungkin kamu tidak tahu.Kumpulan Panglima Agung sudah dibubarkan.Kita semua menjadi Angkatan Fisabilillah.Panglima Agunglah  ketua dan imam khalifah kita mulai dari sekarang.”

Mereka semua segera menyarungkan senjata masing-masing dan menyusun sembah di hadapan Tunku Mahmud.

“Inilah Panglima Agung,”Tunku Mahmud menepuk bahu Bujang.”Dia juga adik ipar beta.Air dicincang takkan putus.Cubit paha kanan,paha kiri terasa sakit juga.Faham semua?”

“Faham,Tuanku Raja Muda,”mereka menjawab hampir serentak.

“Sekarang baliklah ke Petani,jangan berdendam lagi,”perintah Tunku Mahmud.

“Nanti dulu,”Bujang menahan mereka.”Biar hamba jernihkan yang keruh. Tindakan Jusuh itu kurang bijak.Kalau bukan hamba yang membunuhnya,dia pasti dibunuh oleh pegawai-pegawai Belanda itu.Bukan begitu caranya mati syahid.”

“Sebenarnya bukan Panglima Agung yang membunuh Jusuh,”Tunku Mahmud mengguna-kan akal culasnya.”Panglima Agung sekadar mencederakannya.Pegawai-pegawai Belanda itulah yang menembak Jusuh sampai mati. Kalau masih ragu-ragu,tanyalah kawan-kawan beta yang lain.”

“Kami percaya pada Tunku Raja Muda,”kata ketua mereka.”Kami minta maaf kerana tersalah sangka.Kami mohon diri.Daulat Tuanku!”

Mereka segera menghilangkan diri dalam kegelapan malam itu.

“Bijak betul akal bicara Tunku,”Bujang memuji abang iparnya ketika mereka berjalan pulang.”Patik sendiri tidak terfikir tentang tipu-muslihat itu.”

“Kadangkala kita terpaksa menggunakan tipu-muslihat untuk terus hidup,sama seperti Panglima menggunakannya ketika menentang Kutcai dan rakan-rakannya petang tadi,”ujar Tunku Mahmud dengan padat.”Tetapi,perihal Jusuh itu bukan tipu-muslihat.Hakikatnya,dia memang mati dibunuh Belanda.Kanda sendiri melihat mayatnya.Golok yang dibaling hanya sipi mengenai urat mari.Dia mati akibat peluru yang bersarang di belakangnya.”

“Patik kagum dengan kepintaran Tunku,”Bujang memuji lagi dengan ikhlas.

“Kanda belajar dari Belanda juga,”balas Tunku Mahmud sambil menepuk buntut pistol yang tersisip di pinggangnya.”Kita perlu belajar dari orang Barat.Dalam beberapa perkara, mereka lebih baik dari kita.”

Bujang diam-diam mengakui hakikat itu meskipun dia menentang Belanda.

“Oh ya,”sambung Tunku Mahmud lagi apabila mereka tiba di hadapan pintu gerbang.”Paduka Ayahanda sudah hampir sembuh,berkat bantuan Panglima dulu.Besok kita akan bersidang di Balai

Rong Seri.Khabarnya Ayahanda akan memberi anugerah kepada Datuk-Datuk yang banyak berjasa.”

“InsyaAllah,patik akan ke sana besok,”Bujang berjanji.

“Kanda akan menemui orang-orang kita di Bukit Keplu,”Tunku Mahmud merendahkan suaranya.”Panglima ada rancangan malam ini?
“Patik ingin menyaksikan wayang kulit,”Bujang memberi alasan.

“Kalau begitu,besok kita berjumpa di Balai Rong Seri,”balas Tunku Mahmud.

Setelah Tunku Mahmud hilang di dalam gelap,Bujang masuk ke pekarangan istana melalui pintu gerbang.Dia melihat sekali imbas sahaja pertunjukan wayang kulit yang sedang berlangsung itu biarpun ramai penonton berkerumun. Lagipun malam itu malam terakhir sambutan majlis perkahwinannya.Dia perlu berkemas-kemas untuk berpindah ke istana Siputih keesokan harinya.Dilihatnya tetamu kehormat pun ramai yang sudah meninggalkan istana Kota Naga sejak peristiwa berdarah petang tadi,termasuk Raja Ligor dan Gabenor-Jeneral Belanda.Yang tinggal hanyalah beberapa orang raja Melayu.Ketika dia melintas di hadapan Balai Penghadapan atau Balai Rong Seri,kelihatan baginda Sultan dan Bonda Permaisuri,Tunku Pangeran,Fatimah,Wan Sara dan lain-lain kerabat bersama beberapa orang pembesar sedang asyik menyaksikan persembahan Mek Mulong dengan iringan serunai,rebana dan gong..Dilihatnya Tunku Balqis isterinya tidak ada di situ. Dia segera masuk ke dalam istana.

Sampai di kamarnya,dia mendapati keadaan dalam kamar itu gelap tidak berlampu.

“Kunci pintu rapat-rapat,abang,”suara isterinya kedengaran manja dari atas katil. Samar-samar dilihatnya isterinya sudah berada dalam selimut.

“Balqis pun nak main wayang kulit?”sindir Bujang sambil menjenguk ke luar jendela di mana pertunjukan wayang kulit sedang diadakan di Balai Besar.

“Balqis ada permainan yang lebih baik dari wayang kulit,”balas Tunku Balqis dengan suara manja.”Permainan ini dipanggil bersentuh kulit.”

Bujang tertawa lalu menutup jendela itu.

Pagi itu ketika Bujang bersiul-siul melangkah dengan riang menuju ke Balai Rong Seri,

dia ditahan oleh kakak iparnya Wan Sara yang kelihatan pucat dan cemas.

“Kenapa,Kanda?”tanya Bujang,wajah riangnya berubah.

“Fatimah,”Wan Sara cuba menerangkan.”Dia…dia pengsan di kamar Bonda.”

Bujang mendahului Wan Sara memasuki kamar peraduan emak mertuanya Bonda Permaisuri.Fatimah terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dikerumuni dayang-dayang,mulutnya berbueh.Bujang terus mencempung anaknya itu,dibawa balik ke kamarnya.Tunku Balqis yang sedang bersolek sambil menyanyi perlahan terperanjat bila suaminya mengetuk-ngetuk pintu dari luar.Dia bingkas bangun meninggalkan cermin dan meja solek lalu membuka pintu itu.Tambah terperanjat lagi apabila suaminya masuk mencempung anaknya yang kelihatan pucat seperti mayat.

Bujang terus membaringkan Wan Fatimah di atas katil tanpa menghiraukan isterinya yang mula menangis teresak-esak.”Dayang-dayang,bawa air kemari,”perintahnya.

Di Balai Rong Seri,semua pembesar sudah hadir untuk memulakan persidangan. Baginda Sultan mencari-cari Bujang tetapi menantunya itu belum datang lagi.Baginda menoleh ke arah Bonda Permaisuri,kemudian ke arah dua orang puteranya Tunku Pangeran dan Tunku Mahmud Raja Muda. Tunku Mahmud hanya menggelengkan kepala sambil melihat tempat kosong di sebelahnya yang dikhaskan untuk Bujang.

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,”sembah Tunku Mat Akib Raja Bendahara.”Eloklah kita mulakan persidangan ini,memandangkan semua pembesar sudah hadir.”

“Molek,”baginda menjawab antara rela dengan tidak.”Dauk-Datuk sekelian,beta merasa bangga dan bertuah kerana orang Belanda banyak membantu kita memakmurkan negeri ini. Kali ini,Tuan Gabenor-Jeneral Cornelis Van de Lijn menawarkan bantuan panglimanya yang terhandal, Datuk Awang Kelana ,yang bergelar Datuk Maharajalela Bunuh Tidak Bertanya. Datuk Awang

Kelana ini berasal dari Perak tetapi sudah lama berkhidmat dengan Kompeni Belanda sebagai Ketua perajurit.Tujuan Datuk Awang Kelana ke negeri kita ini ialah untuk menghapus segala penyamun,perompak dan lanun yang masih berleluasa. Dengan bangganya beta memperkenalkan Datuk Awang Kelana!”

Datuk Awang Kelana yang gempal dan tegap,bermisai keras melenting,berjanggut dan berjambang bangun menyusun sembah kepada baginda Sultan,mengangguk ke kiri dan ke kanan kepada Datuk-Datuk,kemudian duduk semula.Namun,semua sempat melihat pedang dan pistol yang dibawanya.

Baginda Sultan beralih pandangan kepada Tunku Mahmud Raja Muda.”Anakanda selaku Raja Muda,dan juga Anakanda Tunku Pangeran Raja Temenggung,berilah sokongan dan kerjasama kepada  Datuk Awang Kelana untuk menghapuskan kumpulan haram itu.”

Tunku Mahmud dan Tunku Pangeran menyusun sembah tanda taat setia.

“Datuk-Datuk sekelian,”baginda bertitah lagi.”Beta juga berkenan menganugerahkan kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar jawatan Laksamana yang membawa gelaran Tengku Laksamana Agung Raja Laut.”

Ketika baginda Sultan menyebut ‘agung’,Tunku Mahmud sengaja batuk-batuk kecil supaya nama itu tidak jelas didengar.”Kenapa gerangan,Anakanda?”

“Ampun Anakanda,Paduka Ayahanda,”sembah Tunku Mahmud sambil batuk-batuk kecil lagi.”Anakanda kurang sihat hari ini.”

“Tak mengapa,Anakanda,”ujar baginda Sultan.”Persidangan kita tidak lama.”

“Datuk-Datuk,”baginda meneruskan.”Selaras dengan gelaran itu,Tengku Alang Iskandar akan dianugerahkan istana Kota Siputih sebagai tempat bersemayam.Kawasan pegangannya pula bermula dari Tanjung Jaga hingga ke Sungai Kerian,termasuk juga Pulau Langkawi, Pulau Pinang serta pulau-pulau di sekitar. Anugerah ini kekal turun-temurun selagi adanya bulan dan matahari.”

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah durhaka patik sembahkan,”tiba-tiba Tunku Mat Akib menyusul sembah.”Patik musykil kenapa seorang anak muda yang baru setahun jagung diberi anugerah yang begitu tinggi sedangkan patik yang sudah lama berjasa pada Tuanku masih lagi menjawat pemangku Raja Bendahara.”

“Jadi?”tanya baginda Sultan.

“Ampun Tuanku,patik mohon limpah kurnia Tuanku supaya patik diberi gelaran tetap Raja Bendahara kerana banyak juga jasa dan kebaktian patik pada negeri Kedah ini.”

“Tunku Mat Akib tetap berkuasa seperti Raja Bendahara walaupun masih berjawatan pemangku,”baginda Sultan menerangkan dengan lanjut.”Apakah belum berpuas hati? Usah khuatir,tidak ada orang lain yang akan merampas jawatan itu.”

Raja Bendahara menyusun sembah tanda setuju walaupun riak wajahnya menunjukkan dia belum lagi berpuas hati.

“Sekarang,beta akan mengumumkan Datuk-Datuk yang dinaikkan pangkat kerana telah banyak membuat jasa kepada beta dan negeri ini,”sambung baginda Sultan.

Di kala baginda Sultan menyebut nama-nama itu satu persatu,Bujang sibuk mengubati Fatimah dengan air sejuk yang dibawakan oleh dayang-dayang.Bujang membaca ayat Qursi pada air dalam bekas itu.Walaupun bacannya perlahan tetapi jelas kedengaran pada mereka di situ.Tunku Balqis hanya mampu mengalirkan air mata sambil menatap wajah Fatimah yang masih pucat lesi,bueh-bueh berterusan meleleh dari celah bibir.Genap tujuh kali Bujang membaca ayat itu,dihembusnya ke dalam bekas air.Air itu kemudian disapunya ke muka Fatimah bermula dari ubun-ubun hingga ke dagu.Tiba-tiba Fatimah celik,matanya terbeliak tidak berkelip,badannya kejang. Wan Sara dan dayang-dayang berundur selangkah ke belakang. Tunku Balqis juga mengesot sedikit menjauhi anaknya.Bujang bertentang mata dengan Fatimah,telapak tangan kanannya dihala ke muka anaknya.

“Siapa kau?”tanya Bujang pada Fatimah.

“Tok Purba,puaka Bukit Tembaga!”jerkah Fatimah,suaranya lantang dan garau seperti  suara lelaki tua.Dia cuba meronta tetapi seluruh tubuh badannya bagaikan dirantai.

“Apa kau buat di sini?”tanya Bujang lagi,masih menghala tangannya ke muka Fatimah.

“Aku disuruh gigit orang tua itu sampai mati,”jawab Tok Purba.

Bujang tahu orang tua yang dimaksudkan itu ialah baginda Sultan.

“Siapa yang suruh kau?”Bujang terus bertanya.

“Orang tua itu,”Fatimah menunjukkan ke arah Balai Rong Seri.

Bujang juga tahu siapa yang dimaksudkan itu.

“Kau nampak apa ini?”Bujang menayang tapak tangannya pada Fatimah.

“Aku nampak!”Fatimah meronta-ronta melarikan mukanya dari tapak tangan Bujang.

“Apa yang kau nampak?”Bujang mendesak,terus menayang tapak tangannya.

“Kalimah…kalimah Allah.,”Fatimah tidak berani melihat tapak tangan itu.

“Dengan kalimah ALLAH,keluarlah kau dari tubuh budak perempuan itu.”

“Aku tak mau!”jerit Tok Purba melalui mulut Fatimah.

“Kalau kau enggan,kau akan kubakar hangus menjadi abu,”Bujang mengancam.

“Baiklah..baiklah,aku keluar,”Tok Purba mengalah.

“Jangan kau masuk lagi ke dalam badan anakku sampai hari kiamat,”pesan Bujang.

“Ya,ya,..aku tak akan masuk lagi,”Tok Purba berjanji.

“Sumpah,”tegas Bujang merapatkan tapak tangannya ke muka Fatimah.

“Aduh!Panas!Aku sumpah!Sumpah!Aku takkan masuk lagi!”jerit Tok Purba.

Sebentar kemudian badan Fatimah menjadi lembik,matanya tertutup rapat. Wajahnya tidak pucat lagi dan dia kembali bernafas seperti biasa.Tunku Baalqis mengesat bueh-bueh yang masih melekat di bibir anaknya.

Bujang menyerahkan bekas air itu kepada dayang-dayang.”Mandikan anak hamba dengan air ini selepas dia sedar,”katanya.Wan Sara dan dayang-dayang pun keluar.Tunku Balqis duduk berjuntai kaki menatap wajah anaknya,pipinya masih bergenang air mata. Bujang beredar ke jendela dan meninjau ke arah Balai Rong Seri. Dilihatnya baginda Sultan dan para pembesar sedang keluar beramai-ramai dari situ.Persidangan baru sahaja selesai.Bila terpandang Tun Mat Akib,Bujang cepat-cepat memandang ke arah lain,wajahnya tiba-tiba bengis.Dia mengepal-ngepal hulu keris menahan geram.

“Abang,apa kita nak buat dengan Fatimah ini?”suara Tunku Balqis bertanya melegakan perasaan yang bergejolak dalam dadanya.

“Biarkan sahaja,dia akan sembuh,”Bujang kembali duduk di sisi isterinya dan sama-sama merenung Fatimah.

“Apa penyakitnya,abang?”Tunku Balqis mengesat air mata dengan lengan baju.

“Fatimah tersalah masuk kamar,”Bujang menjelaskan sambil mengusap muka anaknya.

“Barang itu ditujukan pada Ayahanda tetapi terkena Fatimah.”

“Barang apa?”Tunku Balqis ingin tahu.

“Tuju-tuju. Orang di seberang memanggilnya santet,”jelas Bujang.”Menggunakan puaka Bukit Tembaga sebagai perantaraan. Sihir! Semuanya sihir.”

“Kenapa tidak bunuh sahaja puaka itu?”tanya Tunku Balqis dengan geram.

“Dia juga makhluk Allah,cukup sekadar diberi amaran dulu,”jelas Bujang.”Mulai dari sekarang,berhati-hatilah dengan Tun Mat Akib. Dia manusia berhati iblis.”

“Kalaulah Balqis lelaki,tahulah Balqis mengajarnya,”Tunku Balqis melepas geram.

“Kekuatan zahir tidak dapat menewaskan orang sepertinya,”balas Bujang.

“Bagaimana dengan keberangkatan kita ke Kota Siputih?”tanya Tunku Balqis.”Mahu ditangguhkan dulu sampai besuk-lusa?”

“Buat apa ditangguhkan?Datuk Setia Raja sudah pun membuat persiapan…!”

“Ayah..,Bonda…,”Fatimah tersedar dari pengsannya dan terkebil-kebil kehairanan.

“Fatimah…!”Tunku Balqis terus memeluk anaknya sambil menangis gembira.

“Kenapa Bonda menangis?Ayah,kenapa dengan Fatimah?Fatimah sakit?”

“Tidak,Fatimah tidak sakit,”Bujang turut menyeka air matanya.”Tadi Fatimah pengsan sikit.Sekarang dah sembuh.”

“Mari kita bersiap-siap,”Tunku Balqis mengajak  anaknya.”Kita balik ke istana kita.”

Pagi itu juga mereka tiga beranak berangkat ke istana Kota Siputih dengan menaiki dua ekor gajah,seekor itu mereka tunggangi,seekor lagi untuk membawa barang-barang dan kelengkapan.Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan berada di hadapan sekali menuntun kuda-kuda tunggangan mereka yang dihadiahkan baginda Sultan. Pemergian mereka dihantar oleh semua kaum-kerabat dan para pembesar serta seisi istana Kota Naga. Ada yang mengalirkan air mata tanda perpisahan itu. Ketika Bujang,isteri dan anaknya melambai-lambai tangan membalas lambaian mereka,Bujang ternampak Datuk Awang Kelana tetapi dia tidak mengenali pendekar bermisai panjang,berjanggut dan berjambang lebat itu. Sangkanya tentulah pendekar itu berkhidmat di istana juga,walaupun pistol yang tersisip di pinggang membezakannya dari pendekar lain. Setelah agak jauh,barulah mereka berhenti melambai.Menjelang tengah hari,sampailah mereka dengan selamat di istana baru mereka.

Sekarang sudah seminggu Bujang bermastautin di istana Kota Siputih bersama isteri dan anaknya.Mungkin istana itu baru bagi Bujang tetapi sudah berusia hampir 300 tahun. Istana itu tahan lama kerana diperbuat daripada kayu cengal dan kayu jati,tanpa sebatang paku pun. Menurut cerita Tunku Balqis,moyangnya almarhum Sultan Sulaiman Shah yang mula-mula bersemayam di istana ini.Kemudian diperbesarkan sedikit demi sedikit oleh almarhum Sultan Ata’allah,almarhum Sultan Muhamad Jiwa,almarhum Sultan Mahmud Shah dan almarhum Sultan Muzaffar Shah sehingga menjadi seperti sekarang.Selepas itu ayahandanya pula bersemayam beberapa lama sebelum berpindah ke istana Kota Naga yang baru dibina. Di sinilah juga tempat ayahandanya berlindung kira-kira sepuluh tahun lalu setelah istana Kota Naga hampir musnah diserang Belanda dan kuncu-kuncunya.

“Sekarang istana tua ini menjadi milik kita turun-temurun,”Tunku Balqis menjelaskan lagi kepada Bujang dan Fatimah ketika mereka bersiar-siar dalam taman.”Termasuk juga taman bunga ini,dusun buah-buahan,taman larangan,sawah padi dan seluruh kampung ini.”

“Bagaimana dengan Datuk berdua itu?”tanya Bujang sambil memetik sebutir rambutan.

“Datuk Setia Raja dan Datuk Johan Pahlawan hanya menjaga istana ini ketika ketiadaan kita,”jelas Tunku Balqis,turut sama memetiki rambutan untuk Fatimah.”Mereka berumah-tangga di luar istana. Seluruh penduduk kampung ini bukan orang lain,saudara-mara dan suku-sakatnya juga.”

“Di sinilah mulanya dongeng Puteri Berdarah Putih yang Balqis ceritakan dulu,”kenyataan Bujang lebih menjurus kepada soalan.

“Ini bukan cerita dongeng,abang,”Tunku Balqis mempertahankan kebenaran cerita moyangnya itu.”Nanti Balqis tunjukkan makamnya yang tidak pernah kena cahaya bulan.Sebab itulah orang menggelarnya Puteri Lindungan Bulan.”

Tunku Balqis pun membawa Bujang ke kawasan permakaman di raja yang dipanggil langgar.Di situlah ditunjukkan makam Sultan Ibrahim Shah,Sultan Sulaiman Shah,Sultan Ata’allah

Muhammad Shah,Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin,Sultan Mahmud Shah dan Sultan Muzaffar Shah.Semua makam itu dibuat daripada batu marmar,nisannya dibalut kain kuning.

“Itulah makam Siputih Puteri Lindungan Bulan,puteri Sultan Sulaiman”Tunku Balqis menunjuk ke makam yang hampir diliputi akar-akar pokok.”Dia ditikam mati supaya tidak terlepas ke tangan Raja Acheh yang telah berjaya mengalahkan Kedah.”

“Siapa yang menikamnya?”tanya Bujang,kagum dengan cerita lama itu.

“Seorang hulubalang yang dititahkan Sultan Sulaiman,”balas Tunku Balqis.”Ada juga yang mengatakan Sultan Sulaiman sendiri yang menikamnya.”

“Hei,kejamnya,”sampuk Fatimah.”Mengapa seorang ayah sanggup bunuh anaknya sendiri?

“Kerana dia sayang pada anaknya,”jawab Tunku Balqis.

“Kalau sayang,kenapa bunuh?”tanya Fatimah,terkeliru,memandang Bujang pula.

“Kadangkala,kasih-sayang memerlukan pengorbanan yang tinggi,termasuk nyawa anak sendiri,”Bujang cuba menjelaskan kepada anaknya.

“Kata Bonda,puteri ini berdarah putih,”Fatimah mengomel lagi.”Betulkah darah manusia putih macam susu,Bonda?”

“Dengan kuasa Allah,yang mustahil jadi tidak mustahil,”Tunku Balqis bandingkan pula dengan pengalaman mereka.”Ingat lagi pada  tiga orang tua  berserban dan berjubah putih

yang terbang dari langit dan ghaib begitu sahaja?Itu pun kuasa Allah.”

“Fatimah tak fahamlah,”Fatimah menggaru-garu kepala.

“Bila dah dewasa nanti,Fatimah akan faham,”Bujang menggosok kepala anaknya.”Mari kita sedekahkan fatihah dan berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.”

Tunku Balqis berterima kasih pada suaminya dengan renungan matanya kerana menyelamatkan keadaan.Tidak perlu lagi dia melayani pertanyaan anaknya yang bukan-bukan. Lalu masing-masing diam bertafakur menghadiahkan surah fatihah dan memanjatkan doa kepada semua arwah-arwah di permakaman tersebut. Bujang terpegang batu nisan puteri berdarah putih itu. Dengan tidak semena-mena cuaca pada pagi itu berubah.Angin menderu kencang .Hujan rebut pun turun.Kilat sambar-menyambar,halilintar membelah bumi.

Dalam hujan lebat itu,tiga lembaga yang basah kuyup menjelma.Seorang gadis yang amat cantik muncul bersama dua lelaki berkeris yang kelihatan seperti hulubalang raja.

– “Dupa,kita ditimpa bala,”kata seorang hulubalang.”Sultan dikerat kepala.”-

–  “Apa daya kita?”tanya Dupa melihat gadis itu.”,Putih yang jelita?”-

– “ Titah suruh bunuh dia,biar Acheh berputih mata”,tegas rakannya.

-“ Tak sampai hati,”Dupa geleng kepala.”Dikau saja beri mati.”-

– “ Ampun patik Puteri jelita,titah raja daku terpaksa,”hulubalang menikam tembus ke belakang.Darah putih memancut-mancut tumpah ke bumi.

-“Aduh bisanya…..!Ya Allah..ampuni dosa….!”puteri itu terkulai mati.

– Puteri sudah mati,mari kita bergalang bumi,”kata Dupa mengacu keris pada rakannya.

-“Dikau rodok daku tikam,jumpa kita di lain alam!”mereka sama-sama menikam.

Kedua-dua keris menembusi badan masing-masing.Darah memancut lagi ke bumi.

Ketiga-tiga lembaga itu semakin menghilang.Sayup-sayup kedengaran “Allah..Allah…” beberapa kali sebelum menghilang.Kilat dan halilintar lesap begitu sahaja.Hujan berhenti tiba-tiba.Angin kencang tidak menderu lagi.Cuaca kembali seperti biasa.

“Subhanallah…!”Bujang menyeru,terharu dengan kebesaran Allah memperlihatkan peristiwa silam.Bila ditoleh pada isteri dan anaknya,wajah mereka pucat lesi.

“Balqis dengan Fatimah juga nampak?”tanya Bujang pada mereka.

“Nampak,”Tunku Balqis menutup matanya dengan tangan,sedih dengan kejadian itu. Fatimah hanya memeluk emaknya erat-erat seakan-akan tidak mahu melepasnya lagi.

Bujang memerhati sekitar kawasan makam yang mengandungi seribu rahsia itu.

“Itulah jawapannya,”kata Bujang seolah-olah pada diri sendiri.”Allah memperlihatkan kekuasaanNya. Puteri Siputih bukan dibunuh oleh ayahnya sendiri.”

Tunku Balqis dan Fatimah masih berpelukan,lidah kelu untuk berkata-kata

“Mari kita balik,”dia mengajak mereka.Tanpa bertangguh lagi mereka mengikutnya.

Setelah agak jauh,baru Tunku Balqis dan anaknya berani menoleh ke belakang.Kawasan makam purba itu masih kelihatan menyeramkan,meremangkan bulu roma.Mereka segera berlari mengekori Bujang.

“Selalukah kejadian seperti itu berlaku pada abang?”tanya Tunku Balqis ketika mereka bertiga menjamu selera tengah hari itu.

“Tidak juga,”ujar Bujang sambil menyuap nasi.”Kalau pun berlaku,bukan dengan kehendak abang.

“Tetapi,kenapa abang mengalami kejadian pelik-pelik itu?”tanya Tunku Balqis.

“Wallahualam,setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,”balas Bujang.

Tiaba-tiba mereka dikejutkan oleh suara lantang yang memekik dari pekarangan istana.

“Hoi!Tengku Alang Iskandar! Mari keluar!Ini Awang Kelana!”

Bujang dan anak-isterinya berpandangan sesama sendiri.Dia segera membasuh tangan.

“Hati-hati,abang,”pesan Tunku Balqis pada suaminya,wajahnya mula cemas.

Bujang mencapai keris panjangnya yang tergantung pada dinding lalu menuju ke ruang hadapan istana.Pintu istana itu dibuka.Di halaman istana tercegat seorang hulubalang yang menunggang seekor kuda putih.

“Tuan hamba Awang Kelana?”Bujang melangkah ke atas tangga.

“Datuk Awang Kelana,”tegas hulubalang itu sambil memintal misai panjangnya,matanya ditenung tajam ke arah Bujang seolah-olah Bujang hendak ditelannya.

“Adat bertandang memberi salam,”Bujang masih bersikap tenang mengawal perasaannya.

“Teman bergelar Datuk Maharajalela Bunuh Tidak Bertanya,”Awang Kelana membelai-belai janggut dan jambangnya yang lebat.”Teman mencari Panglima Agung.”

“Buat apa Datuk mencarinya?”Bujang bertentang mata dengan Awang Kelana.

“Itu bukan urusan mika!”tengking Awang Kelana,matanya terbeliak.”Teman dengar Panglima Agung gagah perkasa.Handal.Kebal. Sayang sekali,dia ketua penyamun!”

“Panglima Agung tidak ada di sini,”Bujang berbohong.

“Mika kawan Panglima Agung?”Awang Kelana meludah air sirih ke tanah.”Kalau mika jumpa dia,khabarkan padanya teman mencarinya.”

“Kalau berjumpa dengan Panglima Agung?”tanya Bujang.

“Teman ingin membunuhnya!”Awang Kelana meludah lagi ke tanah.”Kepalanya akan teman pancung!Badannya akan teman cincang lumat-lumat!Bininya akan teman ambil!”

“Tidak semudah itu Datuk hendak membunuh Panglima Agung,”Bujang membela diri.

“Hei,ini Datuk Awang Kelana yang kebal perkasa,mata boleh dipahat,sudah biasa minum darah manusia!”Awang Kelana mendabik dada.”Seratus orang macam Panglima Agung , teman tak gentar sebesar bulu sekali pun!”

“Baiklah,”Bujang membalas.”Kalau hamba berjumpa dengannya,akan hamba maklumkan hajat Datuk yang tidak terperi ini.”

“Mika halau teman!”Awang Kelana menghunus pistolnya.

“Datuk datang tidak dijemput,pergi pun tidak dihalau,”Bujang menjawab tenang,bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika Awang Kelana menembak.

“Kalau teman mahu,teman boleh tembak mika macam babi hutan!”Awang Kelana mengacah-acah dengan pistolnya.”Nyawa mika dalam genggaman teman!”

“Jangan takbur,Datuk,”Bujang memberi ingatan.”Tuhan murka pada orang yang takbur!”

Tiba-tiba Awang Kelana ketawa terbahak-bahak sambil menyimpan pistolnya.

“Orang macam mika buat membazir peluru teman saja!”cemuhnya lalu memalingkan kudanya memecut pergi dengan laju dari pekarangan istana.

“Sombong betul orang itu,ya,Ayah?”tegur Fatimah.Rupanya isteri dan anaknya turut datang bersembunyi di sebelah ambang pintu.

“Mari kita pergi makan,”ajak Bujang sambil menutup pintu istana seolah-olah kejadian itu tidak pernah berlaku dan Awang Kelana tidak pernah wujud dalam hidupnya.Tetapi berbeza pula dengan Tunku Balqis.

“Kita ini nama sahaja hidup dalam istana  tetapi serba-serbi kena dibuat sendiri,”Tunku Balqis mengeluh ketika duduk berihat di bawah rimbunan asam jawa petang itu,kemudian menjeling pada Fatimah yang sedang bermain buaian.”Fatimah pula jadi macam kera sumbang,tidak ada kawan.”

“Bertanyalah pada orang kampung kalau-kalau ada yang ingin menjadi dayang-dayang dan budak suruhan kita,”Bujang memberi kebenaran.

Tunku Balqis mengukir senyum.”Nanti Balqis minta Datuk Johan Pahlawan atau Datuk  Setia Raja tolong carikan,”katanya gembira.”Bukannya apa,Balqis tak mahu pisang berbuah dua kali. Kalau ada pengawal yang menjaga pintu gerbang dan istana,barulah terasa selamat sikit dari orang seperti Awang Kelana.Biadap betul perangainya,ya?”

“Sudahlah datang tidak dijemput,bersikap biadap pula,”cemuh Tunku Balqis lagi.

“Orang seperti Awang Kelana bukan boleh dilayan,”ujar Bujang.”Kalau dilayan,makin menjadi-jadi perangainya.”

“Abang perlu lebih berhati-hati,”Tunku Balqis berpesan.”Balqis tengok Awang Kelana itu merbahaya orangnya,padan dengan gelarannya.”

“Dia belum bertemu buku dengan ruas,”sambut Bujang.

“Assalamualaikum!”terdengar orang memberi salam dari arah pintu gerbang.

“Waalaikumussalam,”Bujang menoleh ke sana.”Oh,Datuk Setia Raja. Silakan,Datuk.”

Datuk Setia Raja datang menyusun sembah sambil menegur,”Apa khabar Tengku Laksamana,Tunku Puteri,Tengku Wan Fatimah?”

“Alhamdulullah,baik adanya,”Bujang menjawab bagi pihak anak dan isterinya lalu menjemput Datuk Setia Raja duduk.”Kami baru bercerita pasal Datuk.”

“Tengku mengumpat pasal patik,ya?”Datuk Setia Raja bergurau.

“Isteri hamba baru berkira-kira hendak mengambil orang bekerja di istana ini,”beritahu Bujang.”Maklumlah,kami bertiga sahaja,terasa sunyi pula.”

“Perkara itulah yang membawa patik kemari,Tengku,”Datuk Setia Raja menyatakan hasratnya.”Tengah hari tadi,kami semua nampak apa yang berlaku.Walaupun tidak diberi perintah,patik bersama Datuk Johan Pahlawan sudah bersedia mengangkat senjata menentang Datuk Awang Kelana bersama orang kampung semua.”

“Jangan dicuba,”Bujang melarang.”Awang Kelana bukan tandinganmu.”

“Dia merasa sombong kerana dia bekerja dengan Belanda,”Datuk Setia Raja melemparkan cemuhan.”Dia tahu tidak ada orang yang berani menyentuhnya.”

“Anjing penjajah sepertinya tidak akan hidup lama,”Bujang turut mencemuh.”Oh ya, bagaimana dengan tawaran pekerjaan itu,Datuk?”

“Kecil tapak tangan,nyiru patik tadahkan,”balas Datuk Setia Raja.”Hari ini juga patik akan bertanya pada semua orang kampung.Patik percaya ramai yang mahu kerana mereka pun biasa bekerja dengan Duli Tuanku dulu.Anak-anak muda pun ramai juga yang pandai bersilat.”

“Pucuk dicita ulam yang mendatang,”Bujang menuturkan.”Terima kasih,Datuk.”

“Kalau begitu,patik mohon diri dulu,Tengku Laksamana,”Datuk Setia Raja menyusun sembah.”Assalamualaikum,”katanya sambil menarik dan menyorong kerisnya.

“Waalaikumussalam,”ujar Bujang sambil membalas tanda isyarat itu,bangga kerana Datuk Setia Raja juga menjadi ahli Angkatan Fisabilillah.

“Dah puas hati Balqis?”tanya Bujang seakan menyindir setelah Datuk Setia Raja pergi.

“Tentulah,”selar Tunku Balqis.”Barulah Balqis boleh jadi Permaisuri.”

“Fatimah pula jadi Tuan Puteri,”sambut Fatimah dari atas buaian. Bujang dan isterinya hanya ketawa melihat perangai keletah anak tunggal mereka.

“Mengapa Tunku datang tidak diberitahu?”tanya Bujang pada Tunku Mahmud malam itu di anjung istananya.Anak dan isterinya berada di dalam berbual-bual dengan beberapa orang dayang-dayang yang baru diambil bekerja.

Tunku Mahmud termenung seketika sambil memerhati api lilin di tiang anjung.Dia bangun pula meninjau langit yang bersih ditaburi berjuta bintang.Bulan sudah terbit.

“Ceritakanlah apa hajat sebenar Tunku datang kemari,”Bujang dapat menelah hati iparnya.

“Susah hendak Kanda nyatakan,”Tunku Mahmud seperti cacing kepanasan.”Ditelan mati emak,diluah mati ayah.Kanda datang perihal Datuk Awang Kelana juga.”

“Nampaknya Awang Kelana semakin terkenal di negeri ini,”Bujang menyindir.

“Dia memang suka bercakap besar,”Tunku Mahmud melahirkan bencinya.”Ke mana saja dia pergi,dikutuknya nama Panglima Agung,diugut orang-orang kampung,diganggu kaum perempuan tanpa mengira anak dara atau isteri orang.Dia ingat negeri ini negeri bapa dia!”

Bujang hanya menelan kata-kata abang iparnya itu,hatinya membungkam.

“Tetapi,bukan kerana itu Kanda kemari,”Tunku Mahmud kembali duduk bersila di hadapan Bujang.”Kanda kemari kerana Paduka Ayahanda juga.”

“Apa ,Duli Tuanku gering semula?”tanya Bujang,agak terkejut.

Tunku Mahmud tersenyum.”Ayahanda bertambah-tambah sihatnya,”katanya,kemudian wajahnya menjadi muram.”Kerana hasutan Tun Mat Akib dan beberapa orang pembesar lain,Paduka Ayahanda telah menawarkan seribu rial kepada sesiapa yang dapat menangkap ketua penyamun hidup atau mati.Ditambah seribu rial lagi oleh Kompeni Belanda.”

“Maksud Tunku,Duli Tuanku bersekongkol dengan Belanda?”Bujang terkejut.

“Bukan dengan sengaja,”Tunku Mahmud masih membela ayahnya.”Paduka Ayahanda sebenarnya tidak tahu siapa ketua penyamun atau perompak. Tun Mat Akib dan pembesar-pembesar lain juga tidak tahu.Tetapi mereka kenal siapa Panglima Agung.Lalu mereka membuat andaian Panglima Agunglah ketua perompak itu.”

“Bagaimana dengan pendekar dan hulubalang?”Bujang bertanya lagi.

“Semua mereka menyertai Angkatan Fisabilillah,lebih-lebih lagi setelah Panglima mengambil-alih kepimpinan,”jelas Tunku Mahmud.”Sekarang,kebanyakan mereka menjadi serba-salah.Hendak setia pada raja atau taat pada imam khalifah.”

“Kerja raja dijunjung,kerja sendiri dikilik,”sampuk Bujang.

“Tepat sekali,Panglima,”sokong Tunku Mahmud.”Sayang,Kanda hanya menjadi Raja Muda. Kalau Paduka Ayahanda sudah tiada,tahulah Kanda mengajar orang seperti Tun Mat Akib dan kuncu-kuncunya.”

“Apa akal bicara Tunku sekarang?”Bujang ingin tahu.

Tunku Mahmud menangguh dahulu jawapannya apabila seorang dayang-dayang datang menghidangkan minuman dan cucur cempedak yang masih panas.

“Jemputlah santap,Tunku,”Bujang mempelawa.

“Santap cempedak malam-malam ni,kembung perut,”Tunku Mahmud pura-pura menolak.

“Tapi,baunya cukup sedap,tak tahan Kanda!”lalu dicapainya sebiji cucur cempedak ,lantas dikunyahnya dengan rakus.Bujang tersenyum melihat telatah abang iparnya.

“Kanda sudah titahkan kepada semua pendekar dan hulubalang supaya jangan memberi kerjasama pada Datuk Awang Kelana,”Tunku Mahmud menjelaskan lagi sambil menikmati cucur itu.”Tetapi kalau Paduka Ayahanda,Kanda tidak boleh memberi jaminan.Bukankah Ayahanda itu Sultan negeri ini?Membantah titah Sultan bererti mendurhaka,orang yang mendurhaka hukumannya mati!”

“Patik akan tambahkan pengawal di istana ini,”hanya itu yang mampu Bujang jawab.

“Itu pun tidak ada gunanya,Panglima,”bantah Tunku Mahmud.”Lambat-laun dia akan tahu juga siapa Panglima Agung dan siapa ketua perompak sebenarnya.Tidak ada siapa yang boleh melawannya.Dia kebal,tidak lut oleh sebarang jenis senjata.”

“Tidak ada ilmu kebal di dunia ini,”Bujang menafikan kenyataan itu.

“Kanda sendiri yang nampak,”dakwa Tunku Mahmud.”Datuk Awang Kelana sekarang berkampung di rumah Tun Mat Akib. Setiap pagi dia berlatih silat dan menunjukkan ilmu kebalnya di halaman rumah.Dilontarnya lembing yang tajam bergetah,ditahannya dengan dadanya atau belakangnya.Kadangkala disuruhnya orang menembaknya dengan pistol. Tembaklah di mana-mana pun,dia tetap kebal dan tidak lut oleh sebarang senjata.”

“Bukankah anak buah Tunku ramai yang kebal?”sindir Bujang.

“Kebal kami bermusim dan hanya untuk pertunjukan,”Tunku Mahmud membela diri.”Kalau semua orang kebal,masakan Kedah kalah di tangan Belanda dan Siam.”

“Itulah hakikat ilmu kebal yang sebenarnya,”Bujang mendedahkan.”Manusia kebal kerana bersahabat dengan jin,samada jin kafir atau jin Islam.Jin itu melindungi kulit manusia. Jika jin lari,manusia tidak menjadi kebal lagi.Lainlah kalau kebal anugerah Allah,tetapi kebal jenis ini bukan sebarang orang mendapatnya.”

Tunku Mahmud terdiam mendengar penerangan Bujang itu.Termasuk juga ke dalam akalnya.Bujang juga diam,tidak mahu berhujah dengan panjang-lebar perkara itu.Hanya kedengaran bunyi mulut mengunyah cucur atau menghirup minuman.

“Tiada jalan lain lagi melainkan membunuh Awang Kelana,”tegas Bujang.

Tunku Mahmud tersedak.”Barangkali Panglima kurang pendengaran,”sahutnya.”Awang Kelana itu kebal.Sementelah lagi,dia orang harapan Tuan Gabenor-Jeneral di Betawi. Menyentuhnya bererti kita menjolok sarang tabuan.”

“Kalau tidak dijolok,kita pula disengatnya,”bidas Bujang.

“Dalam perkara ini,Kanda serahkan pada kebijaksanaan Panglima,”Tunku Mahmud membuat keputusan.”Mana-mana yang boleh Kanda bantu,akan Kanda bantu. Jangan lupa, seluruh Angkatan Fisabilillah berada di belakang Panglima.”

Bujang menjenguk ke dalam.”Hanya patik mohon perkara Awang Kelana ini janganlah ketahuan pada anak-isteri patik. Patik tidak mahu mereka susah hati kerana patik. Mereka jangan sekali-kali dilibatkan dalam kancah ini,Tunku.”

“Mahu tidak mahu,mereka sudah terlibat,”balas Tunku Mahmud.”Paduka Ayahanda terlibat,Datuk-Datuk terlibat,orang kampung ini terlibat,malah seluruh rakyat negeri Kedah turur terlibat.”

Bujang termenung panjang selepas Tunku Mahmud pulang. Kata-kata abang iparnya itu masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. Bujang akui memang ada kebenarannya. Sama ada Awang Kelana dibunuh atau tidak,masalah itu tidak akan selesai. Dia akan terus diburu Belanda dan dia akan terus membahayakan nyawa isterinya,anaknya serta orang-orang lain yang mengenalinya. Dia tidak mahu kerana dirinya orang lain mendapat susah. Dia tidak mahu kerana dirinya Belanda menyerang Kedah. Dia perlu melakukan sesuatu.Setelah ditimang dan ditilik,setelah difikir masak-masak,setelah dikaji baik dan buruknya,dia mengambil keputusan untuk membunuh Awang Kelana.

“Apa yang dimenungkan sampai larut malam ini?”Tunku Balqis datang memicit-micit bahunya.”Kalau pun ada kesulitan,bawalah tidur,baru tenang fikiran.”

“Mana Fatimah?”Bujang menukar tajuk perbualan.

“Dia tidur dengan dayang-dayang,”jawab Tunku Balqis penuh bermakna sambil menggeselkan dadanya ke belakang Bujang. Bujang terangsang.Namun,ada perkara jauh lebih penting dari melayani nafsu isteri.

“Balqis pergilah tidur dulu.nanti abang kejutkan,”Bujang menepis godaan itu.

“Kenapa pula?”Tunku Balqis bertanya,nada suaranya berbaur kekeciwaan.

“Abang ingin membuat sedikit amalan Qiamullail,”jelas Bujang.”Sembahyang tahajud.”

“Kalau nak bertahajud,kena tidur dulu walau sekejap,”Tunku Balqis menegur.

“Ya tak ya juga,”Bujang bersetuju.

“Kalau begitu,apa salahnya kita bermesra dulu sebelum tidur,”Tunku Balqis memberi cadangan menggoda.”Lepas itu,abang bangun dan buatlah amalan sampai ke subuh.”

Bujang tersenyum lebar.”Mari,” dia berpaling mencapai tangan isterinya. Sambil berpegangan tangan seperti merpati dua sejoli,mereka melangkah ke kamar tidur.

Pagi itu sebaik sahaja matahari terbit,Datuk Awang Kelana sudah terpacak di tengah halaman rumah Raja Bendahara. Dia hanya berseluar hitam dengan ikat pinggang berwarna kuning. Rambutnya yang agak panjang dan berkerinting itu dililit semutar,juga berwarna kuning. Warna kuning warna kebanggannya kerana dikaitkan dengan keturunan di raja. Dia percaya dia mempunyai pertalian keluarga dengan keturunan bangsawan di Batu Bara dan Kerinci. Setelah menarik nafas menyedut udara pagi yang nyaman,dia memulakan dengan senaman ringan untuk melonggarkan sendi-sendinya dan membangunkan ototnya. Dia membuat senaman harimau,senaman rajawali menyerang dan senaman ular bersalin kulit. Setelah pecah peluh dan kulitnya kemerah-merahan,barulah dia membuat senaman keras seperti yang dipelajarinya di Gunung Tunggal dan Tanjung Hantu di negerinya. Tendangannya pantas dan jitu,tumbukannya padat dan padu. Pergerakan silatnya banyak meniru pergerakan harimau,Oleh itu,setiap kali membuat jurus,dia akan bertempik dan mendengus seperti seekor harimau. Hanya dua-tiga orang sahaja yang menyaksikan dia berlatih silat di halaman,kebanyakan yang lain sudah muak dengan perangainya yang suka meninggi diri.

Puas dia bersilat,diambilnya pula sebatang lembing yang terpacak pada perdu kelapa. Lembing itu ditimangnya beberapa kali,kemudian dilontarnya tinggi dengan mata ke bawah. Dia menahan dadanya yang berminyak dengan peluh itu. Lembing itu jatuh semula,mata lembing singgah di dadanya dan melantun ke tanah. Diambilnya lembing itu,dilontarnya sekali lagi ke udara. Bila lembing itu jatuh,dia menahan pula dengan  matanya.Matanya tidak luka walau seguris.Lembing yang jatuh ke tanah itu dibiarkan sahaja.

“Mika!”dia memanggil seorang budak suruhan Raja Bendahara.”Ambil pistol teman!”

Budak suruhan itu terkial-kial mengambil pistol yang tergantung pada tiang rumah lalu segera membawanya kepada Datuk Awang Kelana.

“Tembak teman,”Datuk Awang Kelana mencabar.”Tembak di kepala,di dada,di perut,tembak di mana sahaja,teman tidak gentar!”

Budak suruhan itu terketar-ketar menghampiri Datuk Awang Kelana.

Datuk Awang Kelana memegang laras pistol itu,muncungnya dihala ke dadanya sendiri.

“Tembak!”perintahnya lantang.Budak suruhan itu mengangkat pelantuk dan terus menarik picu.Satu ledakan kuat kedengaran,asap keluar berkepul-kepul.Datuk Awang Kelana tersenyum bangga,peluru yang hinggap di dadanya langsung tidak meninggalkan bekas.

“Pergi isi peluru,”perintahnya pula.”Lekas sikit!Teman nak menunggang kuda!”

Sementara menunggu pistolnya disi semula dengan peluru,Datuk Awang Kelana mengesat  peluh di badannya dengan kain basahan. Dia menyarungkan baju hitamnya yang mempunyai lambang VOC,lambang Kompeni Belanda.Lambang itu disulam benang emas. Kain ikat pinggang diganti dengan bengkung kulit yang ditempah khas. Dia kemudian memakai dastar kuning,juga berlambangkan Kompeni Belanda. Biar satu dunia tahu dia orang kanan Tuan Gabenor-Jeneral di Betawi.

“Bawa pedang teman kemari!”perintahnya pada budak suruhan itu.

Setelah pedang dan pistol dihulur,dia menyisip kedua-dua senjata itu pada sarung khas di bengkungnya.”Bawa kuda teman pula!”

“Buat apa berkuda,Datuk?”balas budak suruhan itu.”Berjalan kaki lebih baik.”

“Sialan!Berani mika menjawab!”Datuk Awang Kelana berpaling,hendak dilempangnya budak suruhan yang bermulut celupar itu. Melihat siapa yang berdiri di hadapannya,dia tergamam seketika.

“Mika!”tengkingnya pada Bujang.”Teman bunuh mika!”

“Janganlah marah,Datuk,”sindir Bujang sambil menghunus kerambitnya.”Kalau cepat marah,nanti cepat tua.”

“Cis,berani mika!”Datuk Awang Kelana menghunus pedangnya.”Mana keris mika?

“Kerambit ini pun sudah memadai,Datuk,”Bujang seperti bermain-main.

“Mika ingat teman takut?”Awang Kelana mencebik.”Sedangkan keris,pedang,lembing dan pistol tidak mampu menembusi kulit teman,inikan pula kerambit buruk itu!”

“Aku tahu kau kebal,Awang Kelana,”suara Bujang tiba-tiba bertukar.”Tetapi setiap kekebalan ada kelemahan.Akan kubuktikan dengan kerambit ini.”

“Celaka!”Awang Kelana menyerbu hendak memarang Bujang dengan pedangnya. Macam kilat,kerambit di tangan Bujang melibas ke arah dada Awang Kelana.Awang Kelana berundur beberapa tapak,dadanya terasa sakit.Dia tunduk melihat dadanya.Darah?

“Jangan bimbang,Awang Kelana,”tegas Bujang.”Lukamu tidak seberapa.”

Awang Kelana mula cemas.Dia yang berilmu kebal tiba-tiba dilukai kerambit buruk itu.

Lantas dihunusnya pistol,diacu ke arah Bujang. Bujang tidak berganjak dari tempatnya. Awang Kelana terus menembak ke arah Bujang. Bujang mengelak sedikit kepalanya dan peluru yang ditujukan itu hilang lesap entah ke mana. Awang Kelana bertambah cemas.

Macam mana seorang anak muda yang tidak dikenali tiba-tiba boleh mengelak peluru pistol-nya?

“Siapa mika?”tanya Awang Kelana,pistolnya dicampak ke tanah.

“Namaku Bujang,”Bujang memperkenalkan diri.”Akulah Panglima Agung yang kau cari-cari itu.”

“Panglima Agung?Ketua perompak itu?”Awang Kelana terus menyerbu hendak menetak Bujang dengan pedangnya.Rupanya dia tidak belajar dari kesilapan lalu.Kali ini Bujang tidak memberi peluang lagi. Mata kerambitnya menembusi baju Awang  Kelana dan terbenam di kiri perutnya. Belum sempat Awang Kelana mengaduh kesakitan,kerambit itu disimbat ke kanan.Perut Awang Kelana terbelah dua,darah menyembur dan semua isi perutnya terburai keluar.Awang Kelana jatuh terduduk,pedangnya terlepas dari tangan. Dia cuba memasukkan isi perut melalui liang luka tetapi darah semakin mencurah-curah mengotori pakaiannya.Banyak darah lagi mula menganak-sungai di atas tanah. Akhirnya dia jatuh terlentang,kaki dan tangannya menggelepar,mata terbeliak dan mulut terlopong.

Tunku Mahmud,Tunku pangeran serta ramai lagi pendekar dan hulubalang keluar dari persembunyian seperti ketam keluar dari lubang. Mereka semua mengerumuni Bujang dan Awang Kerambit.Tunku Mahmud tampil menghulurkan kedua-dua bilah keris Bujang. Bujang membersihkan kerambitnya di atas rumput dan menyarungkannya di   celah bengkung. Keris pendek dan keris panjang yang dihulurkan itu diambilnya.

“Dia sudah mampus,”kata Tunku Mahmud,memerhati mayat Awang Kelana seketika.

Bujang tidak menjawab,hanya menyisip kedua-dua kerisnya ke pinggang.

“Dua-tiga orang kamu,bawa bangkai si-pembelot ini,campakkan ke dalam sungai!Biar dimakan buaya!”titahnya pada pendekar dan hulubalang di situ. Beberapa orang pendekar mengusung mayat Awang Kelana pergi dari situ.

“Bagaimana dengan Tun Mat Akib?”Bujang bertanya pada abang iparnya.

“Kami sudah kurung dia dalam istana,”Tunku Mahmud menerangkan.”Dia tidak tahu-menahu langsung tentang pembunuhan Awang Kelana.Sebenarnya kami memberinya makan candu sehingga dia pengsan.”

“Bagaimana dengan orang-orangnya,Tunku?”tanya Bujang lagi,tersenyum.

“Orang-orangnya menyebelahi kita,”Tunku Mahmud memerhati pendekar dan hulubalang yang berkerumun di situ.”Mereka yang menyaksikan kejadian ini sudah bersumpah tidak akan membocorkan rahsia.”

“Ke Bawah Duli Tuanku?”Bujang terus bertanya.

“Pada Paduka Ayahanda,akan Kanda katakana bahawa Awang Kelana sudah balik ke Betawi kerana gagal menangkap Panglima Agung,”Tunku Mahmud menepuk bahu Bujang penuh yakin.”Jangan bimbang,tidak ada sesiapa pun yang akan mengganggu kita lagi.”

Bujang hanya mendiamkan diri,kurang yakin dengan kata-kata abang iparnya.

Hampir dua minggu lamanya Bujang menjalani kehidupannya seperti biasa di istana Kota Siputih. Masa-masa yang terluang dihabiskan bersama isteri dan anaknya,melayani segala kemahuan dan kehendak mereka.Setiap petang dia bermain sepak raga dengan para pengawalnya di pekarangan istana. Kadangkala dia keluar melawat kawasan kampung, beramah-mesra dengan penduduk,mengambil-tahu susah-senang mereka. Dalam kampung itu,dialah raja manakala Datuk Setia Raja sebagai Bendahara dan Datuk Johan Pahlawan sebagai Temenggung. Buah-buahan dalam dusun dikutip,diambilnya sedikit untuk dimakan keluarga,selebihnya disedekahkan kepada pengawal dan orang-orang kampung. Selama tempoh itu,nama Awang Kelana tidak sebut-sebut lagi. Banyak khabar angin yang bertiup tetapi akhirnya hilang begitu sahaja,seolah-olah Awang Kelana ditelan bumi.

Petang itu,Bujang melakukan sesuatu yang baru. Dia membantu isterinya menumbuk emping untuk jamuan malam nanti. Dia yang mengendalikan alu kaki manakala isterinya dan anaknya menguis emping dalam lesung supaya tidak tumpah.Dayang-dayang pula tolong mengasingkan padi muda untuk dijadikan emping.Sambil kakinya menekan alu, Bujang terbayang jamuan yang akan dinikmatinya amalam nanti.Emping yang dicampur serbuk gula kabung,digaul pula dengan kelapa parut,dimakan pula bersama kopi panas, pasti menyelerakan. Sudah sepuluh tahun dia tidak menikmati makanan seperti itu.

Namun di sebalik kegembiran itu,hatinya tetap berbunga dengan kebimbangan. Dia tahu hanya mulut tempayan boleh ditutup,mulut manusia lambat-laun akan membocorkan rahsia.

Pasti ada yang mudah terpengaruh dengan kekayaan,pasti ada yang boleh disuap,pasti ada yang akan membelot jika diumpan dengan janji-janji manis. Rambut manusia sama hitam, hati lain-lain. Manusia boleh tidur sebantal tetapi mimpi tidak sama.

“Tengku,”seorang dayang-dayang menunding ke arah pintu gerbang.Bujang menoleh ke arah yang ditunjuk dan kakinya yang memijak alu terhenti. Seorang pendekar berkuda memecut dengan kencang melalui pintu gerbang tanpa menghiraukan pengawal yang cuba menghalangnya.Wajah pendekar itu dicamnya.

“Kundang,”katanya perlahan,menyebut nama pendekar itu.Dia segera meninggalkan alu dan lesung, berlari keluar dari bawah istana dan  menuju ke pekarangan menyambut kedatangan Kundang yang mengejutkan itu.Hatinya berdebar-debar seolah-olah ada petanda buruk. Kundang terus memberhentikan kuda dan melompat turun.

“Tengku,”Kundang termengah-mengah,mukanya cemas.”Cepat lari,Tengku!Askar-askar Belanda datang!”

“Bawa bertenang dulu,”Bujang menasihati Kundang.

“Tengku,”Kundang menerangkan setelah agak tenang.”Istana Kota Naga dikepung Belanda.Ke Bawah Duli,Tunku Raja Muda,kaum-kerabat dan semua pembesar telah ditangkap oleh Tuan Joan Truijtman dan askar-askar dari Kuala Kedah. Mereka menuduh Ke Bawah Duli bersubahat di atas kehilangan Datuk Awang Kelana.Ramai pendekar dan hulubalang ditawan.Siapa yang cuba melawan,habis ditembak mati.”

Bujang terasa berita yang baru diterimanya itu bagaikan halilintar membelah bumi.

“Di mana askar-askar itu sekarang?”Bujang memandang kepada isteri dan anaknya yang masih menumbuk emping di bawah istana bersama dayang-dayang.

“Mereka baru berkira-kira hendak kemari,”Kundang menjelaskan.”Mereka orang Jawa Madura, Tengku.Didatangkan khas dari Melaka.Khabarnya orang Madura gagah-berani,

Berhati kering dan tidak takut mati.Mereka tidak teragak-agak untuk membunuh.”

“Kau berpatah balik dan biarkan dirimu ditangkap,”perintah Bujang.

“Hah?”mata Kundang terbeliak kehairanan.”Hamba akan dibunuh!”

“Kau tidak akan dibunuh kalau membawa berita baik,”balas Bujang.

“Berita baik?”Kundang bingung.

“Kau beritahu mereka yang hamba sudah melarikan diri ke Kuala Kedah,”Bujang menjelaskan.”Tentu mereka tidak akan menyerang Kota Siputih. Terselamatlah seluruh kampung ini dari bencana.”

“Kalau mereka tidak percaya,Tengku?”Kundang ragu-ragu.

“Hamba ada rancangan sendiri supaya mereka percaya,”balas Bujang.”Sekarang pergi!”

“Baiklah,,Tengku gunalah kuda ini,”Kundang berlari kencang meninggalkan pekarangan istana.Tanpa sepatah kata,Bujang naik ke istana dan terus masuk ke kamarnya untuk mengemaskan barang-barang.Tunku Balqis yang tidak sedap hati melihat perubahan perangai suaminya bangun merenung ke atas istana.

“Fatimah tolong dayang-dayang,”katanya pada anaknya lalu berlari naik ke istana.

Ketika Tunku Balqis tiba di dalam kamar itu,Bujang sudah siap berpakaian pendekar dan sedang memasukkan barang-barang lain ke dalam buntil.

“Abang nak ke mana tergesa-gesa ni?”tegur Tunku Balqis kehairanan.

“Istana Kota Naga sudah ditawan Belanda,”beritahu Bujang sambil berkemas.”Mereka sedang mencari abang. Abang terpaksa lari,Balqis.”

“Abang nak lari ke mana?”Tunku Balqis mula cemas.

“Lari ke mana sahaja,”balas Bujang.”Abang terpaksa lari demi menyelamatkan Balqis, Fatimah dan seluruh penduduk kampung ini.”

“Abang tak kasihankah pada kami?Pada Fatimah yang baru hendak mengenali kasih-sayang seorang ayah?”Tunku Balqis menggosok perutnya.”Pada Balqis yang berbadan dua?”

“Balqis berbadan dua?”Bujang berteriak keriangan,terlupa seketika pada masalahnya yang sedang dihadapi.”Benarkah bagai di kata,Balqis?”

“Benar,abang,”Tunku Balqis menitiskan air mata.”Sudah dua minggu Balqis tidak datang bulan.”

Bujang terus mendukung isterinya.”Alhamdulillah,berhasil juga pahit-jerih kita bercucuk-tanam siang-malam!Akhirnya,abang akan menjadi seorang ayah sekali lagi!”

Tunku Balqis tersenyum-senyum sambil menangis melihat telatah suaminya.

“Tetapi..,”Bujang menurunkan semula isterinya.”Abang terpaksa bersembunyi dari buruan Belanda sehingga sengketa ini berakhir.”

“Abang bersembunyilah di Pulau Pinang,”Tunku Balqis memberi cadangan.”Pulau Pinang dan Langkawi sudah menjadi pegangan abang.Pulau Pinang tempatnya cantik.Kawasannya berbukit-bukau,ada air terjun,sungainya jernih,pantainya putih bersih.Binatang perburuan pun banyak.”

“Tidak ada orangkah di pulau itu?”Bujang tertarik dengan cadangan itu.

“Ada sebuah-dua kampung nelayan di pinggir pantai,”Tunku Balqis gembira kerana cadangannya diterima suaminya.”Tetapi,kalau ke darat lagi,tiada manusia yang tinggal, masih ditumbuhi hutan tebal.Udara dipuncaknya nyaman dan dingin.”

“Menarik nampaknya Pulau Pinang itu,”Bujang berkenan memilih tempat itu.

“Tentulah menarik,”tambah Tunku Balqis.”Dulu Ayahanda kerap juga membawa kami berkelah dan bermain-main di sana.”

“Baiklah,”Bujang memutuskan.”Abang akan singgah di sana sehari-dua sebelum abang ke Johor mencari Kuntum.”

“Kuntum?”rasa cemburu bercambah di hati Tunku Balqis.”Maksud abang…?”

“Kuntum itu madumu juga,Balqis,”Bujang mengikis rasa cemburu isterinya.

“Balqis bukan cemburu ,abang,”Tunku Balqis cuba menegakkan benang basah.”Tetapi, sepuluh tahun telah berlalu.Apakah abang yakin dia belum bersuami lain?”

“Kalau dia masih setia,dia tidak akan menuntut cerai,”Bujang masih menaruh harapan.

“Terpulanglah pada abang,tepuk dada tanya selera,”Tunku Balqis terpaksa menerima hakikat itu.”Jadi,abang hendak pergi juga hari ini?”

Bujang memasukkan beberapa helai lagi pakaiannya ke dalam buntil.

“Abang sayang hendak meninggalkan tempat bertuah ini.Kata orang,tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat bermanja.Tetapi,apa boleh buat,”Bujang mengikat buntilnya.

“Kalau abang sayang,kenapa abang tidak berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan?”Tunku Balqis menyelar suaminya.”Bukankah fikir itu pelita hati?”

“Perbuatan sudah terlanjur,nasi sudah menjadi bubur,”Bujang menyesali nasib yang menimpa dirinya.”Tangan yang terdorong,jiwa menanggung akibatnya.”

“Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna lagi,”selar Tunku Balqis lagi.

“Tetapi,abang pasti kembali untuk menjernihkan segala kekeruhan,”Bujang bertekad sambil menggalas buntilnya.

“Tunggulah dulu,nanti Balqis sediakan bekalan,”pinta Tunku Balqis.

“Baiklah,abang tunggu di bawah,”sambut Bujang. Bujang pun menggalas buntil turun ke bawah untuk meninggalkan pesan sepatah-dua pada Fatimah.Dilihatnya Fatimah tertidur keletihan di atas buaian di bawah istana setelah didodoi dayang-dayang.

“Dia baru sahaja tidur,Tengku,”seorang lagi dayang-dayang menyatakan.”Agaknya terlalu kenyang makan emping.”

Bujang hanya tersenyum sambil menatap wajah anaknya.

“Ini dia bekalnya,abang,”Tunku Balqis turun mendapatkan suaminya.

Bujang mengambil bungkusan daun pisang itu,diciumnya.”Sedap baunya.”

“Pulut,berlauk ikan pekasam dan daging bakar,tak sempat kita jamah makanan ini bersama malam ini,”Tunku Balqis menitiskan air mata.

“Sudahlah,”pujuk Bujang.”Abang pergi bukannya lama.”Kemudian Bujang menatap wajah bersih anaknya sekali lagi,”Tidurlah,anakku.Demi kebaikanmu dan ibumu,ayah terpaksa pergi.Namun,kasih-sayang ayah tidak akan luput ditelan zaman.”

Selepas puas menatap wajah anaknya,dikucupnya dahi itu dengan penuh kasih-sayang.

“Jagalah diri baik-baik,Balqis,”pesan Bujang pada isterinya pula,mata bertentang  mata,tanpa mempedulikan dayang-dayang yang memasang telinga.”Terutama sekali anak kita dalam kandungan itu. Mana tahu kalau-kalau dia bakal menjadi sultan Kedah.”

Tunku Balqis tersenyum sambil mengesat air matanya. Bujang memeluk isterinya tanpa segan-silu,mengucup dahinya dan terus berpaling menuju ke kuda yang ditinggalkan Kundang.Sekali lompat,dia sudah berada di atas belakang kuda itu.Dia terus memecut sambil melambai-lambai ke arah Tunku Balqis.

Sebaik sahaja dia berada jauh dari istana Kota Siputih,Bujang mula mengorak langkah seterusnya.Rasa hiba dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan isteri dan anaknya,biarpun untuk sementara waktu,terpaksa diketepikan dahulu.Buat masa sekarang,dia perlu memikirkan cara bagaimana hendak menyekat atau melengahkan kemaraan askar-askar upahan di bawah pimpinan Joan Truijtman.Mereka perlu dilencong ke arah lain dari Kota Siputih. Untuk tujuan itu,dia memerlukan umpan.Di saat itu,umpan yang paling baik ialah dirinya sendiri.Dia pun memecut terus ke Kota Naga.

Hari sudah pun lewat petang bila dia tiba di perkampungan Kota Naga yang terdapat di sekitar istana Kota Naga. Dia mengelilingi pagar istana itu dari jarak yang agak selamat, memerhati dan mengamati dengan teliti. Dari pintu gerbang utama yang ternganga,baru tampak kekecohan yang berlaku.Tiada lagi kelihatan pendekar dan hulubalang yang membuat kawalan. Tiada kelihatan baginda Sultan dan para pembesar.Askar-askar upahan Belanda yang berpakaian seragam,lengkap dengan istinggar dan pistol,berkeliaran di pekarangan istana.Ramai lagi kelihatan keluar-masuk istana sesuka hati.Dan,yang paling menyakitkan mata,sebuah bendera warna hijau-putih-merah dengan lambang VOC kelihatan berkibar angkuh dari anjung istana.

Diam-diam Bujang berundur ke masjid.Kudanya ditambat di kawasan langgar di belakang masjid yang agak tersembunyi dari penglihatan ramai.Dalam kesuraman perkuburan itu,dia menyalin pakaiannya.Dia menyarungkan pakaian biasa seperti kebanyakan pemuda kampung,pakaian pendekarnya disimpan di dalam  buntil bersama lain-lain pakaian dan barang-

barang.Dua bilah kerisnya juga disimpan di dalam buntil yang diikat kukuh pada pelana kuda.Kerambitnya diselit di celah ikat pinggang,disembunyikan di dalam baju. Dengan hanya bersemutar seperti kebanyakan pemuda,dia pergi ke kolah untuk mengambil wuduk.Masuk waktu maghrib,dia berjemaah bersama beberapa penduduk kampung tanpa disyaki oleh sesiapa.Sementara menunggu waktu isyak,dia berwirid,berzikir dan membaca qur’an.Terasa lengang masjid itu kerana jemaah lain pulang sebaik sahaja habis sembahyang maghrib,tinggal dia keseorangan di bawah cahaya pelita damar.Bila pelita itu terpadam kerana kehabisan bahan bakar,dia membaca pula di dalam gelap.Mujurlah,semua ayat-ayat suci Al-Qur’an sejumlah lebih enam ribu itu dapat dihafalnya,sama ada surah pendek mahu pun surah panjang. Setelah diyakini telah masuk waktu isyak,tiada siapa yang kembali. Dia pun bersembahyang seorang diri. Selesai tanggung-jawabnya,diam-diam dia keluar dari masjid itu dan meraba-raba di dalam gelap itu sehingga terjumpa kudanya.

“Tengku,”terdengar suara yang dikenalinya seperti orang berbisik,hampir dengannya.

“Ada apa,Kundang?”tanya Bujang,matanya meliar ke kiri dan ke kanan.

Kundang muncul seperti hantu.”Patik dapat berita dari dua-tiga orang yang ke masjid tadi,”beritahu Kundang dengan perlahan.”Patik dah agak tentu Tengku Laksamana.Bila patik jumpa kuda patik,memang sah.Kami semua sudah bersiap-sedia.”

“Siapa yang bersiap-sedia?”tanya Bujang,masih keliru.

“Angkatan Fisabillah yang terselamat dari ditangkap,”Kundang menjelaskan.”Ada kira-kira seratus orang,tidak dikira dari kampung-kampung lain.Hanya menunggu perintah dari Tengku sahaja.”

“Ada membawa panah?’tanya Bujang,dalam kepalanya sudah tergambar rancangannya.

“Ada,Tengku,”Kundang menghulurkan busar dan anak panahnya.”Patik boleh beritahu kawan-kawan lain supaya membawa panah.”

“Ingat lagi rancangan kita sepuluh tahun yang lalu di Kota Naga juga?”tanya Bujang.

“Masakan tidak,Tengku,”gigi Kundang kelihatan putih dalam kegelapan itu bila dia mengukir senyum.”Ramai juga askar-askar upahan Siam dapat kita bunuh secara serang-hendap.”

“Cara itulah yang akan kita lakukan,”Bujang mengikat sarung berisi anak panah pada pinggangnya.”Kau kumpulkan seberapa ramai ahli-ahli kita,kepung istana ini,jangan benarkan walau seorang pun musuh terlepas dari perangkap.”

“InsyaAllah,Tengku,”jawab Kundang.”Boleh dilakukan.”

“Yang penting,selamatkan baginda Sultan dan kaum-kerabat dulu,”Bujang menerangkan secara ringkas.”Tetapi sebelum itu,hamba akan menjadi umpan.”

“Umpan?”Kundang tidak faham maksud Bujang.

“Hamba akan mengumpan askar-askar Madura itu supaya mengejar hamba,”jelas Bujang lagi.”Ketika hamba dikejar,serang-hendap mereka,kalau boleh bunuh semua.Tapi ingat, jangan sampai orang-orang kita tertangkap.Rahsia ini jangan dibocorkan sama sekali.”

“Baru patik faham,Tengku,”Kundang terangguk-angguk seperti burung belatuk.”Beri kami tempoh satu jam untuk bersiap-sedia.”

“Satu jam?”giliran Bujang pula tidak memahami maksud itu.

“Itu cara baru mengira masa,”Kundang memberitahu.”Kira-kira empat kali bacaan Yasin.”

“Baiklah,hamba faham,”balas Bujang,menyedari bahawa banyak lagi yang perlu diketahui sejak dia hilang selama sepuluh tahun.

Selepas bersalam dengan Bujang,Kundang terus menghilangkan diri.Tinggal Bujang sebatang karah di kawasan langgar yang lengang dan menyeramkan itu.Sambil memegang busar panah,dia pun bertenggek di tepi sebuah makam purba lalu mula membaca ayat-ayat suci dengan perlahan.Dia tidak membaca surah Yasin seperti yang dicadangkan Kundang,

Sebaliknya dia membaca Ayat Kursi kegemarannya,menggunakan jari untuk mengira jumlahnya. Sambil membaca,matanya meliar juga memerhati di sekitar langgar itu. Bukan dia takut pada hantu atau syaitan tetapi dia berharap apa yang berlaku di pusara Siputih Puteri

Lindungan Bulan akan berulang.Benda-benda pelik seperti itu memang dinanti-nantikan untuk menyaksikan kebesaran Allah serta menguatkan lagi imannya.Angin malam menderu perlahan,daun-daun seakan berbisik,sekali-sekala kedengaran bunyi burung pungguk memanggil sang rembulan yang belum menjelma. Namun,setelah genap seratus kali bacaan Ayat Kursi,tiada apa-apa yang berlaku. Dia pun beredar senyap menghampiri kudanya.Kuda itu dipanjatnya.Sambil menepuk tengkuk kuda seolah-olah memujuknya,dia pun menarik tali kekang dan menunggang perlahan-lahan keluar dari tempat persembunyian itu.Tiba di bawah pokok tidak jauh dari pintu gerbang utama,dia menunggu saat yang sesuai untuk bertindak.

Entah dari mana,kedengaran bunyi burung merbuk memecah kesunyian. Disusuli pula oleh bunyi burung murai,burung pungguk,burung merbah dan berbagai jenis burung yang tidak ketahui namanya,berselang-seli,datangnya dari berbagai arah dan tempat di sekitar pagar istana.Teringat semula isyarat yang pernah digunakannya dulu.Dia pun bersiul meniru bunyi burung tekukur,burung pilihannya. Serta-merta bunyi burung lain senyap. Fahamlah dia maksud yang ingin disampaikan.Dia pun memasang anak panahnya pada tali busar. Melalui pintu gerbang yang masih ternganga,dia menenang ke arah beberapa orang askar upahan yang mundar-mandir di pekarangan istana. Dia melepaskan anak panahnya. Seorang askar upahan yang bernasib malang jatuh tersungkur,lehernya ditembusi anak panah. Askar-askar upahan lain mula mengerumuni mayat rakan mereka.Sekali lagi dia bertindak. Kali ini dia sengaja keluar dari kawasan gelap di bawah pokok supaya dilihat musuh.Dengan tenang, dia memanah seorang lagi askar upahan Belanda.Salah seorang askar di situ menunjukan ke arahnya.Rakan-rakannya memandang ke arah luar dan ternampak seorang penunggang kuda dengan panah di tangan. Mereka terus melepaskan tembakan ke arah itu.

Memang itu yang ditunggu-tunggu oleh Bujang.Tanpa memnghiraukan hujan peluru yang berdesip-desip di sekelilingnya,dia menggalas busar panahnya,memusing kudanya dan terus memecut dengan laju membelah angin malam.Setelah agak jauh dari situ,terdengar bunyi kuda yang ditunggangi beberapa orang askar upahan mengejarnya.Dia tersenyum. Umpannya sudah ditelan musuh,jeratnya sudah mengena. Dia terus memecut kudanya,membiarkan mereka mengejarnya. Tidak lama kemudian,kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan, menandakan kumpulan askar itu telah diserang-hendap oleh Kundang dan rakan-rakannya.Dia menunggu sebentar.Bila bunyi tapak kuda kedengaran lagi  menandakan dia masih dikejar,dia menjerit lantang ke arah mereka.

“Hoi!Ini Panglima Agung!Kalau berani,rapatlah!”

Bujang menanti dengan panahnya.Sebaik sahaja nampak samar-samar kumpulan itu merapatinya,dia terus memanah tepat mengenai salah seorang dari mereka.

“Hadiah dari Panglima Agung!”Bujang menjerit lagi kuat-kuat sambil memalingkan kudanya dan memecut pergi seperti ribut.Terdengar beberapa das tembakan dilepaskan ke arahnya tetapi tiada sebutir peluru pun yang kena sasaran.Dia sengaja membiarkan mereka kenal siapa dirinya supaya mereka terus mengejarnya. Walau bagaimana pun,menjelang tengah malam,tidak kedengaran lagi bunyi tapak kuda mengejarnya.Dia tahu saki-baki askar-askar upahan itu akan kembali mendapatkan bantuan.Rancangannya untuk mengelirukan pihak musuh telah berjaya.Musuh tidak akan mencarinya lagi di Kota Siputih.Anak- isterinya terselamat dari mara bahaya.Sambil tersenyum puas,dia menunggang kudanya dengan tenang menuju ke Kuala Kedah.

Perkasa yang menuju ke perigi untuk mandi dan mengambil wuduk subuh hari itu terperanjat besar bila melihat susuk tubuh seorang pemuda yang sedang menggalas buntil menghalangnya di tengah jalan.

“Siapa kau?”dia mencabar sambil membuka langkah silat,kainnya nyaris-nyaris terlondeh.

“Akulah,”Bujang memperkenalkan diri.”Kau ni asyik bersilat sahaja,Perkasa.”

“Bujang?”Perkasa tergamam,kakinya bagaikan terpaku di tanah.”Bukankah kau….?”

“Kau macam terkejut melihatku,Perkasa,”tegur Bujang.

“Memanglah terkejut,”Perkasa menyembunyikan perasaanya lalu merapati Bujang dan bersalam dengannya.”Semua orang mengatakan kau sudah ditangkap Tuan Joan dan akan dibawa ke sini untuk dihukum gantung.”

“Kuda Kundang ada kutambatkan dekat masjid,”pinta Bujang,hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.”Tolong pulangkan padanya.”

“Kau nak ke mana,Bujang?”Perkasa ingin tahu.

Bujang teringat kata-kata isterinya Tunku Balqis.”Aku bercadang hendak bersembunyi di Pulau Langkawi,”dia berbohong.”Pulau itu luas,banyak pulau-pulau kecil di sekitarnya.”

“Aku bersetuju kau bersembunyi di situ,”Perkasa menyokong,memotong cakap Bujang agak tergesa-gesa.”Tentu sukar pihak Belanda mencarimu. Bolehlah kita jadikan markas Angkatan Fisabilillah mengatur serangan dan merampas kapal-kapal dagang yang belayar di perairan itu.”

“Ada kapal yang hendak ke sana?”tanya Bujang memandang ke arah pelabuhan.

“Rasanya ada,”balas Perkasa.”Kau kena tanya nakhodanya.Kalau nak ke sana,ambillah sampanku dekat pengkalan.Kau tak tunggu dulu?Kita sembahyang,sarapan…!”

“Aku sudah sembahyang subuh di masjid tadi,”Bujang menolak kerana merasakan ada udang di sebalik batu.”Tentang sarapan,bekalan yang isteriku berikan belum kusentuh. Terima kasih sajalah,Perkasa.”

“Betulkah kau tak nak singgah dulu?”Perkasa ajak-ajak ayam.

“Aku perlu pergi sementara hari masih gelap,”Bujang memberi alasan.”Sampaikan salam pada rakan-rakan kita semua.Asaalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”balas Perkasa.

Setelah Bujang pergi,Perkasa tidak jadi ke perigi. Dia berpatah balik ke rumahnya.

Di pengkalan,dengan mudah Bujang mendapat sebuah perahu.Dua-tiga orang pengawal yang mengawasi pengkalan itu  kelihatan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk dan tidak menyedari kehadirannya.Setelah menyimpan buntilnya dalam perahu itu,dia mendayung perlahan-lahan melintasi pintu kuala,berhati-hati dia menguak pendayung supaya bunyinya tidak kedengaran. Dia merasa lega melihat beberapa buah perahu nelayan kelihatan di laut.

Sekurang-kurangnya orang akan menyangka dia juga seorang nelayan.Selamatlah dia menyeberangi pintu kuala tanpa dikesan pengawal. Banyak kapal dagang kelihatan berlabuh di laut,lampu tanglung masih tergantung dari tiang layar.

Bujang pun mendayung ke arah sana. Baru sebentar sahaja,tiba-tiba dia berhenti mendayung lalu melemparkan pandangan ke arah rumah Perkasa.Entah kenapa,dia merasa tidak sedap hati. Dia tidak jadi menumpang salah satu kapal yang berlabuh itu. Perahunya ditukar haluan. Dia pun mendayung menyusuri pesisir pantai menuju ke Pulau Pinang.

Dia mula rasa mengantuk.Sepanjang malam dia menunggang kuda,baru terasa letihnya. Namun,digagahnya pula. Ketika matahari kelihatan di celah-celah daun nipah,dan kedinginan subuh semakin menghilang,matanya tidak dapat ditahan-tahan lagi. Dia pun mendayung perahunya memasuki kawasan hutan nipah itu.Setelah agak jauh ke dalam dan dirasakan tidak dimasuki manusia,dia pun menambat perahunya di bawah rimbunan pohon rendang.Dengan menggunakan buntilnya sebagai bantal dan kainnya sebagai penutup muka ,dia pun melelapkan mata…!

5 thoughts on “HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 2 – Kembali ke Kuala Kedah

  1. Assalamualaikum pak cik.. karna belum kelua bab 8,saye ulang2 bace lagi lah.. di bab 7,dikatekan taiko lim sudah islam dr dlm kandungan yg berarti die islamlah,ne teringat saye pas bace bab 2 ni,die macam tekejut pas bujang bilang sembahyang.. mungkin mksud lain atw saye yg kurang mengerti… di tunggu bab 8 ye pakcik… wassalam….

  2. Salam boleh saya tau siapa yg menulis kisah ni sy nk tw detail sangat berminat sbb sy xsuka sbnrnye bce novel or dlm internet kisah panjang2 mcm ni..tp bila sy baca kisah ni hati mula minat lain mcm tarikan cerita ni..menakjubkan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s