RSS Feed

HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 5 – Sayembara di Tanah Jawa

CandiPagi-pagi lagi sebaik sahaja selesai sembahyang subuh dan berwirid pada hari Khamis 3 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 26 Oktober 1652 Masehi,Bujang sudah berada di atas geladak memerhati Pelabuhan Betawi yang semakin jelas walaupun diseliputi kabus nipis.Kampit kulit berisi barang-barangnya turut sama dibawanya. Kapal dagang yang ditumpanginya sudah memasuki kawasan pelabuhan. Mulut Nakhoda Mamat bicuk memberi arahan kepada jurumudi dan jurubatu supaya kapal itu dapat dikendalikan dengan selamat tanpa berlanggar dengan ratusan lagi kapal-kapal kecil dan besar yang keluar-masuk dan berlabuh di perairan itu. Kapal-kapal itu datang dari pelbagai tempat dengan pelbagai bentuk dan rupa. Armada Belanda dengan bendera VOC berkibar megah kelihatan  di merata tempat untuk menjaga keselamatan pelabuhan tersebut dan juga sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.Kawasan penempatan soldadu Belanda yang dipanggil ‘berek’ juga didirikan di sekitar pelabuhan.

Panglima Kahar muncul tidak lama kemudian sambil membimbit buntil pakaiannya. Melihat Bujang,dia pun menghampiri anak saudaranya itu lalu sama-sama memerhati pelabuhan Betawi.Panglima Kahar diam sahaja melihat Kartini tidak ada bersama Bujang.Bujang pula begitu asyik menyoroti setiap wajah di pelabuhan itu,mencari-cari wajah Chendana yang sudah lama tidak ditatapnya.

“Tongkang itu membawa barang-barang dari kapal dagang ke Pasar Weltevreden tidak jauh dari pelabuhan,”Panglima Kahar bercerita tanpa diminta.”Terusan itu dipanggil Kali Besar atau Ciliwung.Di hadapan terusan itu berdiri Kota Batavia,dulu dikenali sebagai Kota Jayakarta semasa pemerintahan Sultan Fatahillah dulu.”

Bujang memerhati setiap inci kota bertembok tinggi dan tersergam angkuh di pinggir terusan itu. Kota Batavia dilengkapi dengan berbagai jenis meriam besar dan kecil”Seperti Kota A’Famosa yang didirikan di atas runtuhan istana Sultan Melaka,” rungutnya perlahan tetapi dengan nada suara yang tersirat kebencian.

Akhirnya,kapal itu berlabuh dengan selamat di pengkalan.Sauh diturunkan ke air,layar digulung,tali dicampak ke darat untuk diikat pada tunggul pancang yang disediakan. Papan lebar berdinding dipasang supaya penumpang boleh naik-turun ke pengkalan.

“ Dah bersedia,Bujang?”Panglima Kahar melirik pada anak saudaranya.

Bujang hanya mengangguk,matanya tidak lepas-lepas memerhati kawasan pengkalan.

“Ada bawa ‘pass’ atau surat kebenaran Kompeni?”Tanya Panglima Kahar lagi.

Sebagai jawapan,Bujang mengeluarkan segulung watikah pemberian Gabenor-Jeneral Cornelis Van de Lijn pada majlis santapan di raja dulu lalu menghulurkan kepada bapa saudaranya. Panglima Kahar membuka watikah itu,menatapnya seketika.Dia berpuas hati dengan apa yang dilihatnya.Watikah itu dikembalikan kepada Bujang.

“Paman faham apa yang tertulis?”Tanya Bujang sambil menggulung watikahnya.

“Sikit-sikit,”balas Panglima Kahar.”Baru belajar mengenal huruf Rumi.Tapi watikah itu juga bertulis Jawi dengan cop mohor Sultan Kedah,menerangkan siapa sebenarnya Bujang. Rupanya Bujang bergelar Tengku Laksama Agung Raja Laut Negeri Kedah Darul-Aman.”

“Mari,Paman,”Bujang mengajak Panglima Kahar naik ke pengkalan.

“Isterimu Kartini bagaimana?”tanya Panglima Kahar.

“Pandai-pandailah dia membawa diri,”suara Bujang seperti orang merajuk.

Tanpa sepatah kata lagi,Panglima Kahar mengikut anak saudaranya turun dari kapal. Menjejak kaki di pengkalan,beberapa orang soldadu Belanda membenarkan mereka melepasi pintu pemeriksaan tanpa banyak soal-jawab setelah melihat watikah yang ditunjukkan oleh Bujang.Bujang pun mengajak pamannya bersarapan pagi di pasar.

“Kalau Paman tanya satu soalan,marah tak?”tanya Panglima Kahar ketika mereka menjamu selera di sebuah kedai makanan.”Soalan ini bersangkut-paut dengan Kartini isterimu.”

“Tanyalah apa sahaja,Paman,”balas Bujang bena tak bena.

“Bujang kenal Sultan Hamengku Buono?”Panglima Kahar terus bertanya.

“Ini kali pertama Bujang mendengar namanya,”jawab Bujang dengan ikhlas.

“Dia pemerintah Jawa Tengah yang berpusat di Jokjakarta,”Panglima Kahar mula bercerita sambil menjamah sarapan.”Sepuluh tahun yang lalu,dia berkahwin dengan seorang puteri Jawa berdarah Ningrat.Dek kerana sifat panas barannya dan cemburu yang terlalu kuat,puteri itu diceraikan dengan talak tiga.Kerana malu,puteri itu meninggalkan Tanah Jawa.”

“ Apa kena-mengena dengan Kartini?”sampuk Bujang.

“ Nama sebenarnya ialah Raden Adjeng Kartini,janda Sultan Hamengku Buono,” Panglima Kahar terus bercerita.”Kerana diceraikan dengan talak tiga,mereka tidak boleh disatukan semula.Melainkan jika ada orang yang sanggup menjadi ‘cina buta’.”

“ Cina buta?” tiba-tiba selera Bujang hilang.Pinggan berisi makanan itu ditolaknya.Dia bangun dengan penuh hormat.Panglima Kahar yang hairan degan perubahan sikap anak saudaranya itu juga bangun.Rupanya Bujang bangun kerana menyambut kedatangan seorang puteri Bugis yang diapit oleh beberapa orang pengawal bersenjatakan lembing.Panglima Kahar tidak kenal siapa puteri itu tetapi dia kenal Andika yang turut sama menemani puteri tersebut. Bujang kenal siapa Daeng Ratna dan Andika lalu dia menyusun sembah tanda hormat. Daeng Ratna mengarahkan para pengawalnya pergi,kemudian merapati meja Bujang bersama Andika.

“Datuk Panglima Kahar,”tegur Andika sambil tersenyum.”Hamba gembira kita berjumpa lagi. Mari diperhamba tunjukkan pasar-pasar di sini.Yang Mulia Daeng Ratna Sari ingin berbicara empat mata dengan Tengku Panglima Agung.”

“Baiklah,”Panglima Kahar mengerti maksud Andika. Dia pun mengikut Andika beredar pergi dari situ,meninggalkan Bujang bersama puteri Bugis itu.

“Izinkan diperhamba duduk,”Ratna memohon kebenaran dari Bujang.

“Silakan,Yang Mulia Puteri,”Bujang mempelawa sambil menghulurkan kerusi.Setelah Ratna duduk,Bujang memanggil pekedai lalu memesan makan-minum tambahan.Diam-diam Ratna menjamu selera bersama Bujang,sepatah kata pun tidak diucapkan.Ratna kelihatan tunduk seolah-olah malu bertentang mata dengan Bujang.Bujang juga tunduk tetapi sekali-sekala matanya melirik ke kiri dan ke kanan kalau-kalau Kartini muncul.Dia tidak mahu berlaku perang mulut di khalayak ramai yang menyebabkan mereka bertiga mendapat malu.

“Mengapa nian nampak gelisah?”Ratna bertanya lembut sambil membasuh tangan.

Bujang tersentak.Lekas-lekas dia menghabiskan sarapannya.

“Barangkali di sini kurang cocok,”pelawa Ratna.”Ayuh kita ke pesanggerahan dinda.”

“Baiklah,”Bujang mengikut sahaja pelawaan Ratna tanpa bantahan.

“Biar dinda bayar ongkosnya,”Ratna mencelah bila melihat Bujang menggamit ke arah pekedai.Dia meletakkan beberapa keping wang Belanda di atas meja,kemudian bangun mempelawa Bujang,”Mari ikut dinda.”

Seperti kerbau dicucuk hidung,Bujang mengikut sahaja permintaan Ratna.Mereka berjalan beriringan tetapi tidak berpegangan tangan. Para pengawal muncul entah dari mana lalu mengiringi mereka dari belakang.Hati Bujang berkata-kata namun mulut membisu seribu bahasa.Bau harum dari pakaian Ratna menyebabkan Bujang terasa seperti berkhayal. Sedar-sedar mereka sudah sampai di hadapan sebuah rumah tumpangan dua tingkat yang diperbuat daripada batu,bumbungnya genting merah.

Ratna member isyarat kepada pengawalnya supaya bersurai,kemudian berpaling ke arah Bujang dengan senyuman terukir di bibir.”Inilah pesanggerahan dinda buat sementara waktu. Orang Holanda menyebutnya hotel. Silakan,Tengku Panglima.”

“Panggil saja ‘panglima’,”Bujang menegur Ratna,mata mereka bertentangan.

“Baiklah,Kanda Panglima,”Ratna tunduk,wajahnya merah padam.

“Abang ‘kan lebih manis,”tegur Bujang lagi,menyebabkan wajah Ratna bertambah merah.

Dengan tersipu-sipu,Ratna mempelawa Bujang masuk ke rumah tumpangannya.

“Perbuatan kita ini menjolok mata,”Bujang menolak bila mereka tiba di hadapan pintu.

“Mengapa pula?”Ratna menangkis.”Kita hanya berbicara.Lagipun,sekarang sudah siang.”

“Nafsu tidak mengenal siang atau malam,”tegas Bujang.”Maafkan hamba.”

Tanpa berlengah lagi,Bujang berpaling lalu bergegas meninggalkan bilik itu.Ratna terpinga-pinga melihat telatah Bujang. Sebentar kemudian,pintu itu dibuka dan muncul beberapa orang dayang-dayang. Mereka turut sama memerhati Bujang tergesa-gesa meninggalkan tempat itu.

“Waduh..orangnya tampan,”seorang dayang-dayang memuji.” Memang pantas Tuan Puteri jatuh hati padanya.” Melihat Ratna menjeling tajam ke arah mereka,tidak ada yang berani bersuara lagi.Dayang-dayang yang celupar mulut itu tunduk kemalu-maluan.

“ Panglima Agung memang seorang pria yang budiman,”Ratna memuji dengan ikhlas. Dayang-dayangnya hanya mampu mengangguk tanda bersetuju dengan pendapatanya.

Dalam perjalanan mencari kedai tadi,Bujang tersesat jalan.Dia sudah lupa arah yang dilalui bersama Panglima Kahar dan Ratna.Sementelah lagi,dia baru pertama kali menjejak kaki dan belum mahir dengan selok-belok kawasan Betawi. Tambahan pula,fikirannya masih keliru dan berkecamuk dengan tindak-tanduk puteri dari Bugis itu. Apa muslihat Ratna membawanya ke tempat seperti itu?Tidak mungkin untuk menggodanya kerana Ratna kelihatan seperti orang baik-baik.Kalau untuk berbicara,banyak lagi tempat yang lebih sesuai yang tidak mengundang fitnah orang.Pening kepalanya memikirkan sikap dan tingkah-laku Ratna itu.

Bandar Betawi mula bangun. Manusia berbagai bangsa berpusu-pusu dengan urusan masing-masing.Gedung,kedai-kedai dan rumah kediaman kelihatan di merata tempat. Jalan bersimpang-siur,penuh dengan orang ramai dan kenderaan berkuda.Daripada tercangak-cangak seperti rusa masuk kampung,Bujang mengambil keputusan untuk mengikut sahaja ke mana kaki melangkah.Fikirannya yang munasabah memilih untuk menghala ke arah pelabuhan di mana banyak kapal berlabuh.Sambil menggalas kampitnya,dia pun mengatur langkah dengan tenang,matanya sentiasa berhati-hati kalau-kalau ada yang berniat jahat.Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Bujang bernasib baik. Setelah puas berjalan-jalan tanpa arah dan tujuan,dia ternampak sebuah masjid menjelang tengah hari.Masjid batu itu terletak berhampiran sebatang sungai yang mengalir ke laut.Air sungai itu jernih sekali,anak-anak ikan kelihatan berenang-renang di dalamnya.Kerana memikirkan waktu zohor kian hampir,dia pun singgah di masjid itu. Berbeza dengan keadaan di luar,keadaan di dalam masjid itu sejuk dan nyaman seperti waktu pagi. Dia menuju ke belakang masjid di mana terdapat sebuah kolah yang bertembok dan berturap dengan batu putih.Sebuah baldi kayu yang bertali juga kelihatan di situ. Dengan kain basahan yang tergantung pada ampaian,dia pun menceduk air kolah yang sejuk lagi berbau wangi itu lalu mandi dengan sepuas-puasnya.Mendengar laungan azan,dia lekas-lekas menukar pakaiannya dan masuk ke dalam untuk menunaikan sembahyang zohor.Tengah hari itu,dia berjemaah bersama beberapa makmum yang semuanya berpakaian serba putih.Imamnya pula berjubah dan berserban hijau seperti Raja Abal Yusuf yang ditemuinya dulu.

Selepas berwirid dan berdoa,mereka bersalam-salaman dengan Bujang tanpa sepatah suara pun.Hanya bibir mereka tidak henti-henti berzikir.”Air margajiwa,”kata imam mereka sambil memandangke arah kolah di luar masjid.Kemudian,sekali gus mereka hilang dari pandangan.

“Subhanallah…,”hanya itu yang mampu Bujang tuturkan. Kejadian seperti itu sudah tidak asing lagi baginya. Siapa imam dan makmum itu,hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia duduk berihat dalam masjid itu sambil membaca kitab-kitab lama yang bertulis Jawi sementara menunggu waktu asar kalau-kalau dapat berjumpa lagi dengan imam dan makmum tadi. Namun,tiba waktu asar,tiada siapa yang berkunjung datang. Lantas,dia pun bersembahyang seorang diri.

Matahari petang sudah hilang sengatnya tatkala Bujang meneruskan perjalanan sambil menggalas kampitnya. Petang itu,dia memakai pakaian hijau sedondon  anugerah dari Pangeran Ratu Jambi.Dua bilah kerisnya tersisip di celah bengkung.Dia menyusuri tebing sungai untuk sampai ke pengkalan.Sungai itu seakan-akan terusan yang dilihatnya dari laut pagi tadi. Anehnya,Kota Batavia kemegahan Belanda sudah hilang.Tempatnya diganti dengan sebuah istana besar yang lengkap dengan pintu gerbang,tembok batu dan meriam-mariam lama yang dipasang di sekitar kota.Bendera hijau bertulis kalimah Allah berkibar dari sebatang tiang di hadapan pintu kota,dikawal oleh beberapa orang pendekar berlembing. Rupa paras mereka seperti orang Melayu tetapi mereka berpakaian ala Jawa.

Bujang berjalan terus hingga ke pengkalan.Kerana cuaca tidak lagi panas,ramai orang berkeliaran mengambil angin.Penumpang dari kapal-kapal yang berlabuh di situ juga turun bersiar-siar.Bujang mencari-cari kapal Nakhoda Mamat yang ditumpanginya kelmarin. Ternyata kapal itu sudah belayar entah ke mana.Bujang jadi tergamam. Fikirannya buntu seketika.Masakan bapa saudaranya juga turut menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Bujang berpatah balik ke Pasar Weltevreden. Di situ akan ditemui jawapannya. Dia mengikut jalan yang dilalui bersama Panglima Kahar pagi tadi.Tidak lama kemudian,dia pun sampai di kedai makan tersebut.Hatinya bersorak riang demi terpandang bapa saudaranya sedang duduk  menjamu selera. Tanpa membuang masa,dia terus meletak kampitnya lalu duduk di kerusi tadi.

“Ke mana Bujang menghilang diri?”rungut Panglima Kahar sambil mengunyah makanannya.” Sebut saja tentang ‘cina buta’,Bujang terus bangun dan pergi.”

“Bujang cuma…,” dia jadi bingung,tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Sempat pula tukar pakaian lain,”rungut Panglima Kahar lagi,melihat Bujang ke atas dan ke bawah yang dibaluti pakaian serba hijau dari Jambi.

Tiba-tiba Bujang teringatkan sesuatu.Rungutan bapa saudaranya itu tidak dihiraukan. Makanannya didapati masih tinggal separuh,air minumannya pula baru dihirup dua-tiga teguk.

“Sebentar lagi,kita akan dikunjungi tetamu,”katanya perlahan seolah-olah pada diri sendiri.

“Siapa?” tanya Panglima Kahar kehairanan,matanya melilau ke kiri dan ke kanan.

“Daeng Ratna Sari dari Bugis,”balas Bujang,matanya memicing memandang ke hadapan.

“Tak kenal pun,”jawab Panglima Kahar acuh tak acuh.”Siapa itu?”

“ Paman tentu kenal sepupunya Daeng Andika,”Bujang menjelaskan,hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.Sungguh tidak masuk akal.Daeng Ratna Sari muncul diiringi para pengawal berlembing serta ditemani oleh Daeng Andika.Apa yang berlaku berulang kembali di depan matanya.Daeng Andika berkata sesuatu kepada sepupunya,kemudian mara merapati mereka mereka.

““Datuk Panglima Kahar,”tegur Andika sambil tersenyum.”Hamba gembira kita berjumpa lagi. Mari diperhamba tunjukkan pasar-pasar di sini.Yang Mulia Daeng Ratna Sari ingin berbicara empat mata dengan Tengku Panglima Agung.”

Ternyata Panglima Kahar amat mengenali Andika.”Baiklah,”ujarnya sepatah s sambil melirik pada Bujang dan Ratna,kemudian bangun hendak mengikut Andika pergi dari situ.

“Jangan,”Bujang menahan,memegang bahu bapa saudara.”Jika Paman pergi,kita tidak akan berjumpa lagi buat selama-lamanya.”

Panglima Kahar terkejut.Begitu juga dengan Andika.

“Apa yang Bujang cakap ini?”Panglima Kahar hampir-hampir memarahi anak saudaranya.

“Percayalah,”Bujang menoleh kepada Ratna yang masih tercegat tidak jauh dari situ.” Sebentar lagi,Daeng Ratna akan menyuruh para pengawal pergi dari sini,kemudian mara ke meja kita dan mempelawa hamba ke rumah tumpangan yang dipanggil ‘hotel’.”

Panglima Kahar dan Andika saling pandang-memandang. Belum sempat mereka bersuara lagi,Ratna terus memerintah para pengawalnya beredar dari situ. Ratna melenggang merapati meja mereka dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

Izinkan diperhamba duduk,”Ratna memohon kebenaran dari Bujang.

“Silakan,Yang Mulia Puteri,”pelawa Bujang sambil menyorong kerusi menyuruh Ratna duduk.Sesaat kemudian,baru dia sedar kata-kata itulah yang diucapnya pagi tadi. Ratna pun duduk tanpa mengesyaki apa-apa.

“Paman dengan Andika jangan ke mana-mana,tunggu di meja sebelah,”Bujang cepat-cepat melarang bila melihat mereka hendak pergi.

Sekali lagi Panglima Kahar dan Andika bertukar pandangan.Namun,mereka patuh pada kehendak Bujang.Tanpa sebarang bantahan,mereka beredar ke sebuah meja lain tidak berapa jauh dari situ. Tinggal Bujang berdua-duaan dengan Ratna.Bujang memanggil pekedai lalu memesan sarapan untuk Ratna.Ketika menunggu sarapan tiba,baru Bujang sedar matahari masih berada di ufuk Timur dan belum tergelincir ke Barat.Hari masih pagi.Petang belum lagi menjelang tiba!

Bila makanan yang dipesan tiba,Bujang pun mempelawa Ratna makan.Puteri Bugis itu pun makan sambil tunduk,mmengunyah lambat-lambat penuh sopan,matanya sekerdip pun tidak diangkat melihat Bujang.Sambil menjamu selera,Bujang juga sedar peristiwa yang dialaminya ketika itu belum lagi berlalu sedangkan dia sudah mengalaminya.

“Mengapa nian nampak gelisah?”Bujang bertanya bila melihat Ratna membasuh tangan.

Ratna terperanjat besar,wajahnya pucat.”Panglima..boleh membaca isi hati dinda?”

“Bukan begitu,Tuan Puteri,”Bujang juga membasuh tangannya.”Allah Taala bukakan kasyafNya seketika.Tuan Puteri hendak mempelawa hamba ke hotel,bukan?”

Ratna masih kelihatan pucat.”Bagaimana Panglima tahu rancangan dinda?”

“Hotel itu dua tingkat,diperbuat dari batu,”Bujang meneruskan.”Letaknya tidak jauh dari sini.”

“Benar,”Ratna mengaku.”Tempat itu dijadikan pesanggerahan sementara dinda dan dayang-dayang sebelum kami belayar. Bagaimana Panglima tahu semua ini?”

“Hamba sudah pergi ke tempat itu,”Bujang berterus-terang.”Percaya atau tidak,itulah hakikat yang sebenarnya.”

“Selepas itu,apa yang berlaku pada Panglima?”Ratna mula berminat ingin tahu.

“Hamba menolak bila dipelawa masuk. Nafsu tidak mengenal siang atau malam,kata hamba pada Tuan Puteri,”Bujang menerangkan lagi.”Ketika meninggalkan tempat itu,hamba tersesat jalan. Hamba temui sebuah masjid di pinggir sungai.Hamba sembahyang jemaah di masjid tersebut. Malah,hamba turut mandi dari kolah air margajiwa serta menukar pakaian.”

“Bagaimana rupa masjid itu,Panglima?”Ratna bertanya lagi.

“Hamba tak berapa ingat,”jelas Bujang selanjutnya.”Yang hamba tahu udaranya sejuk dan nyaman. Makmum berpakaian serba putih.Tok Imam berjubah dan berserban hijau.”

“Berjubah dan berserban hijau?”tanya Ratna.

Bujang mengangguk.”Mirip pakaian Abal Yusuf,raja jin Islam.”

Ratna diam sejenak,terkedu dengan cerita luar biasa itu.Bujang memanggil pekedai untuk membayar harga makan-minum.

“Biar dinda bayar ongkosnya,”Ratna mencelah sambil mengeluarkan uncang wangnya.

“Tunggu,”Bujang menahan.”Tuan Puteri akan membayar dengan beberapa keping wang Belanda. Betul tak?”

Ratna membuka genggamannya.”Empat florin. Benar,memang wang Holanda.”

“Tuan Puteri masih sangsi pada hamba?”Bujang menduga.

“Memang sukar untuk dipercaya,”balas Ratna.”Tetapi,dinda yakin Panglima bercakap benar.Panglima tidak akan berbohong pada orang yang Panglima kasihi.”

“Pada siapa?”Bujang menyoal balik.

Menyedari keterlanjurannya,Ratna menggigit bibir,wajahnya merah padam.

“Pada orang yang hamba kasihi?”Bujang mengajuk kata-kata Ratna.

“Izinkan dinda bermohon diri,”Ratna bangun tergesa-gesa,wajahnya yang merah bertambah merah.”Andi,kita pulang sekarang. Semoga kita berjumpa lagi,Panglima.”

Bujang melihat sahaja Ratna meninggalkan tempat itu dengan ditemani Andika serta diiringi para pengawalnya.Kemudian,dia bangun mendapatkan Panglima Kahar lalu mengajak bapa saudaranya beredar pergi.

“Pernah Paman mendengar perihal air margajiwa?”tiba-tiba Bujang bertanya ketika mereka berjalan-jalan di sekitar pasar.

Air margajiwa,”Panglima Kahar diam sejenak mencari modal.”Paman belum pernah melihatnya.Menurut cerita orang,sesiapa yang mandi air margajiwa walaupun setitik, dia tidak akan dimakan usia. Dia sentiasa awet muda hinggal ke akhir hayat.”

“Di mana boleh kita menemuinya?”Bujang terus bertanya.

“Memang sukar sekali,”ujar Panglima Kahar.”Air margajiwa hanya wujud di alam ghaib, di alam bunian. Ada juga orang mengatakan itulah air bahtera Nabi Noh Alaihissalam selepas banjir besar menenggelami bumi.Bujang bertanya ini ada apa-apa ke?”

“Saja bertanya,”Bujang berdalih.”Di mana harus kita mencari Chendana?”

“Paman rasa eloklah kita berpecah,”Panglima Kahar membuat cadangan.”Paman ke utara, Bujang ke selatan Batavia. Malam nanti kita berjumpa di atas kapal Nakhoda Mamat.”

Bujang teringat pada Kartini yang menunggu di kapal itu.”Kita berjumpa di masjid berhampiran istana,”tegas Bujang tanpa berfikir panjang.Panglima Kahar angguk.

Selepas berpisah dengan bapa saudaranya,Bujang terus menghala ke arah yang dipersetujui sambil menggalas kampitnya.Dia singgah di beberapa tempat bertanya tentang isterinya Chendana tetapi tidak membuahkan hasil. Tiada sesiapa yang kenal siapa Chendana atau perempuan Melayu yang menyerupai Chendana.Namun,dia tidak putus asa. Dia terus juga bertanya tanpa jemu-jemu.

Menjelang waktu rembang,dia sudah berada semakin jauh dari pengkalan.Gedung,kedai dan rumah-rumah kediaman semakin berkurangan.Melihat matahari hampir tergelincir ke barat,dia pun singgah di sebuah warung.Kebetulan berhampiran warung itu terdapat sebuah surau tua yang sudah lama ditinggalkan orang. Warung itu dilupakan dulu.Dia perlu membersihkan diri sebelum sembahyang zohor.Tanpa berlengah lagi,dia pun singgah di surau tua.Mujurlah terdapat sebuah perigi.Air perigi itu kelihatan jernih dan bersih walaupun di sekitarnya semak ditumbuhi rumput liar.Melihat tiada baldi di situ,dia mengambil upih pinang lalu dibentuknya menjadi seperti cebok. Dia pun menukar pakaiannya dengan kain basahan lalu mandi.Pakaiannya dibasuh,diperah lalu dijemur.Keadaan di atas surau tua itu pula berselerak,lantainya berhabuk,dinding dan lelangit penuh dengan sarang labah-labah.Dikerat-nya beberapa helai daun pisang,dihampar dijadikan sejadah. Dengan hanya berkain pelikat dan berselimpang kain cindai pemberian Ratna,dia pun mengerjakan solat jamak taqdim.Sementara menunggu pakaiannya kering,dia berwirid dan berzikir seorang diri,dirinya hanyut ke alam lain yang serba indah,aman damai lagi tenteram.Sementelah lagi keadaan di surau tua itu redup kerana dinaungi pepohon yang rendang.

Menjelang petang,setelah Bujang nyaris-nyaris terlelap,baru dia bangun menyarungkan pakaian pendekarnya. Pakaian serba hijau pemberian Ratu Jambi yang sudah kering itu dilipat disimpan di dalam kampitnya. Dengan bertanjak,berbengkung serta berkeris dua,dia pun menyarungkan capalnya lalu beredar ke warung berhampiran. Beberapa orang yang tidak dikenali melihat sahaja kampit yang digalasnya tetapi tidak ada yang berani menegurnya.

Bujang meletakkan kampit itu di atas meja,matanya meninjau lauk-pauk yang tersaji di dapur..”Air kopi satu,”katanya pada pembantu warung yang menghampiri mejanya.”Nasi satu.Lauk ikan goreng.”

“Kopi dua,nasi dua,hamba yang bayar,”terdengar suara yang macam dikenalinya. Pembantu kedai itu angguk kepala lalu meninggalkan mereka. Bujang menoleh ke sebelah memandang orang yang baru datang itu. Memang tidak salah lagi. Pemuda cina yang tersenyum padanya itu memang dikenalinya meskipun dibaluti pakaian Melayu.

“Duduklah,Taiko Chin,”pelawa Bujang dengan ramah.

“Taiko Chin lagi,”keluh pemuda itu sambil duduk,bahasa Melayunya fasih.”Nama hamba Lim Kin Chin,Panglima. Panggil saja Ah Lim. Kalau Taiko Chin,bunyinya tak sedap.”

Bujang tergelak.”Kedah tempatnya jauh. Ah Lim buat apa di sini?”

“Hamba tak bekerja dengan Taukeh Wong lagi,”jelas Ah Lim.”Sekarang hamba bekerja di atas kapal,ikut Tuan Jourdain.Sama Nakhoda Ali.”

“Hamba kenal dengan Nakhoda Ali,”sampuk Bujang,teringat kembali kapal yang ditumpanginya dari Pulau Pinang ke Melaka bersama Andika dan rakan-rakan lain.

Pembantu warong membawa makanan yang dipesan. Mereka pun makan dengan tenang.

“ Hamba dengar Panglima mencari isteri Panglima,”Ah Lim menukar tajuk.

“Ya,benar,”akui Bujang.”Namanya Chendana.Berlesung pipit di pipi. Bertahi lalat di hujung bibir sebelah kanan.Kulitnya kuning langsat.Rambut ikal mayang.Dia dipercayai masih berada di sini.”

“Sudah dibawa ke tempat lain,”Ah Lim membuat kejutan dengan beritanya.

“Ke mana?”suara Bujang tiba-tiba meninggi,tangannya menepuk meja,menyebabkan air daslam cawan berkocak dan hampir tumpah.Beberapa orang memandang ke arah mereka.

“Kata orang,ke Madiun di Jawa Tengah,”balas Ah Lim dengan tenang.”Dijual kepada seorang pegawai Belanda untuk dijadikan gundik. Hamba dapat berita ini dari seorang perempuan yang baru turun dari kapal bersama isteri Panglima.”

“Cis,”Bujang memengkis,menahan geram.Kalau diikutkan hati,roboh meja itu dan terpelanting pinggan-mangkuk dibuatnya.Namun,tidak ada gunanya dia melepaskan geram tidak bertempat.Ah Lim dan orang-orang di situ tidak bersalah. Lantas dia menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati. Rasa marahnya padam seperti api dijirus air. Dia duduk semula menyambung makannya.

“Kamu mesti tolong hamba,Ah Lim,”pinta Bujang setelah hatinya tenang.”Cari sesiapa yang boleh menunjuk jalan ke sana.Upahnya lumayan.”

“Beginilah,Panglima,”Ah Lim memberi cadangan.”Pedati hamba ada di sana. Kita balik ke pengkalan,biar hamba tanya orang kalau-kalau ada yang mahu ke Madiun.”

“Kamu ttidak ikut serta?”tanya Bujang.

“Hamba masih terikat janji dengan Tuan Jourdain,”Ah Lim menjelaskan.”Orang Inggeris menyebut contract. Tempoh contract hamba dan rakan-rakan hamba selama tiga tahun.Tapi, hamba akan membantu Panglima setakat mana yang termampu.”

Petang itu juga mereka naik pedati balik ke pengkalan.Sementara Bujang menunggu di sebuah masjid,Ah Lim keluar bertanya khabar dan mencari orang yang boleh membantu dalam pekerjaan tersebut dengan berbekalkan sedikit wang pemberian Bujang.Tinggal Bujang bertawakaf seorang diri di mesjid berhampiran pasar itu.  Menjelang senja,Ah Lim yang ditunggu-tunggu tidak datang,sebaliknya Panglima Kahar yang muncul dengan wajah berseri-seri.

“Paman bertemu Ah Lim tadi,”Panglima Kahar menyampaikan berita baik itu.”Dia sudah balik ke kapal kerana Tuan Jourdain hendak belayar malam ini.Tapi,dia berjaya menemui orang yang sanggup ke Madiun.Besok pagi,orang itu akan berjumpa dengan kita di hotel.”

“Bujang bercadang hendak bermalam di masjid ini,”Bujang cuba menolak.

“Tak bolehlah begitu,”Panglima Kahar berkeras.”Paman sudah berjanji nak jumpa di sana.”

“Baiklah,”Bujang terpaksa akur meskipun hatinya memberontak.

Di atas kapal Nakhoda Mamat,Kartini semakin gelisah. Sejak balik dari pengkalan pagi tadi,hatinya tidak tenteram. Dia telah cuba mencari suaminya namun gagal.Pelabuhan Betawi bukannya kecil seperti Kota Melaka.Selepas menemui beberapa orang tentang urusannya,dia pun kembali ke kapal. Dia mengurungkan diri sepanjang hari,matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis mengenangkan nasibnya. Remang-remang senja baru dia muncul di atas geladak mengambil angin. Dia masih bersendirian tanpa mempedulikan anak-anak kapal atau penumpang lain.Setelah matahari tenggelam di ufuk Barat,dia membuat keputusan nekad untuk naik ke

darat.Untung-untung suaminya bermalam di hotel. Semua barang-barangnya dikemas dan dimasukkan ke dalam bakul rotan.

“Cik Puan nak ke mana malam-malam begini?”Nakhoda Mamat yang kebetulan berada di geladak menegur bila melihat Kartini hendak turun dari kapal.

“Mencari suami kulo Datuk Panglima Agung,”balas Kartini dengan loghat Jawa.” Kulo bosan menunggu sehari-suntuk.”

“Kok iya pun tunggulah sampai Datuk pulang,”Nakhoda Mamat menyarankan.

Kulo sudah edan kasmiran,”tegas Kartini,lantas naik ke pengkalan. Nakhoda Mamat hanya mampu menggelengkan kepala melihat kedegilan Kartini itu.Di pengkalan,Kartini terus mendekati sebuah pedati yang sedia menunggu penumpang di situ. Dalam bahasa Jawa yang fasih dan pekat,dia minta supaya dihantar ke sebuah hotel yang paling mahal di Betawi.

Bujang dan Panglima Kahar baru berkira-kira hendak menyewa  rumah tumpangan yang dimaksudkan apabila pedati yang dinaiki Kartini berhenti di hadapan pintu masuk. Mereka sama-sama menoleh ke belakang kerana menyangka Ah Lim yang datang. Demi terpandang isterinya,Bujang segera menoleh ke arah lain.”Memang sudah kuduga,”rungutnya perlahan.

Panglima Kahar pura-pura tidak mendengar rungutan Bujang.”Silakan,Puan Kartini,”pelawa-nya dengan senyum yang dibuat-buat.”Memang kami bercadang hendak mengundang Cik Puan bermalam di sini. Rupanya Cik Puan lebih cepat.”

“Terima kasih,Datuk Panglima,”Kartini segera mendapatkan suaminya.”Sudah abang tempah biliknya?”

“Belum,”jawab Bujang sepatah.

“Berikan kami bilik yang paling baik,”perintah Kartini pada kerani yang bertugas.

“Satu ratus florins,”kerani berbangsa Serani itu menghulurkan kunci bilik yang diminta.

“Abang tolong bayar ongkosnya,”Kartini mencapai kunci itu lalu berlari-lari anak menaiki tangga menuju ke bilik tersebut.Tanpa sepatah kata,Bujang menyerahkan dua keping wang emas Belanda kepada kerani itu.Kerani itu membelek wang itu seketika,kemudian mengangguk tanda setuju. Bujang berpaling menaiki tangga tanpa menoleh kepada bapa saudaranya lagi.

“Mengapa kita berhenti di sini?”desak Tunku Balqis pada Ketua Hulubalang yang juga Nakhoda lancang itu.

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,Tuan Puteri,” sembah Nakhoda itu.”Patik sekelian tak dapat meneruskan pelayaran kerana laut masih bergelora.Di sinilah kita berlindung.”

“Berapa lama pula kita harus menunggu?”desak Tunku Balqis lagi sambil merenung malam pekat tidak berbintang yang diselang-seli dengan petir.

“Lebih-kurang dua bulan,Tuan Puteri,”balas Nakhoda,takut-takut.

“Dua bulan?”Tunku Balqis seperti harimau lapar.”Apa,tak ada kah jalan lain yang lebih selamat tanpa menunggu dua bulan di sini?”

“Ampun Tuan Puteri,memang ada,”sembah Nakhoda itu.” Ikut Selat Melaka dan Pulau Jawa. Tapi jaraknya berlipat-kali ganda jauhnya.”

“Tunggu pun tunggulah,”Tunku Balqis mengalah akhirnya lalu masuk ke dalam kurungnya di bawah geladak. Chendana dan Wan Fatimah sedang bermain congkak di bawah sinaran cahaya lampu lilin.

“Kita terpaksa menunggu di sini selama dua bulan lagi,”keluhnya seperti merajuk.

“Musim tengkujuh belum berakhir,”Chendana menjelaskan sambil terus bermain.” Mahu tidak mahu,di Kuala Singapura inilah tempat perlindungan yang paling selamat.Lainlah kalau Kakak mahu berpatah balik ke Batu Sawar dan menunggu di sana.”

“Kalau kita berpatah balik,apa jaminan Chendana yang kita akan dibenarkan belayar ke Tanah Bugis selepas musim tengkujuh?”tanya Tunku Balqis.

“Tidak ada jaminan,Kak,”Chendana berterus-terang.”Namun,kita boleh berusaha dan memujuk.Kalau kena gayanya,insyaAllah,Mak dan Ayah akan benarkan.”

“Entahlah,susah Kakak memikirkannya,”Tunku Balqis mengeluh lagi.

“Fatimah pergi beradu dulu,ya?”pujuk Chendana.”Mak Long nak berkira-bicara dengan Bondamu.”

“Baiklah,Mak Long,”Wan Fatimah pun bangun menuju ke tempat perbaringan di sudut bilik lalu baring menyelimutkan dirinya.

“Pandai betul Fatimah membawa diri,”puji Chendana perlahan.Hatinya tiba-tiba sebak mengenangkan Fatimah yang kematian ibunya sejak dilahirkan.Dikesatnya air mata dengan lengan bajunya.

“Dialah intan payung,dialah nyawa Kakak,”bisik Tunku Balqis,juga merasa hiba.

“Jadi,apa daya kita sekarang?”Chendana bertanya setelah mereka diam seketika.

“Kakak rasa eloklah kita kembali ke Batu Sawar,”Tunku Balqis memberi keputusan yang ditunggu-tunggu Chendana.”Kita tunggu di sana sehingga habis musim tengkujuh. Wan Fatimah pasti bergembira kerana dia lebih bebas bermain-main. Duduk di atas lancang ini tempatnya sempit,kebebasan terbatas.”

“Molek sekali cadangan Kakak itu,”sokong Chendana menyembunyikan kegembiraannya.

“Kalau begitu,besok pagi akan Kakak titahkan Nakhoda Temin melayarkan lancang ini balik ke Batu Sawar,”Tunku Balqis berjanji.

Ketika Bujang bangun menuju ke bilik mandi,Kartini masih lagi termengah-mengah selepas belayar beberapa lama malam itu. Dalam kesamaran bilik yang hanya diterangi sebatang lilin,rambutnya kusut-masai,matanya kelihatan kuyu tidak bermaya. Lutut dan pahanya masih menggeletar,begitu kuat penangan yang diterimanya. Dari dalam bilik mandi kedengaran bunyi air dijirus,menandakan suaminya sedang mandi sebelum mengerjakan sembahyang tahajud dan witir. Memang sejak terbangun tengah malam tadi hingga ke waktu dinihari,mereka berhempas-pulas di tempat tidur seperti kucing bergomol.Dia tersenyum sendirian mengenangkan saat-saat manis penuh lazat itu.

Bujang keluar tidak lama kemudian,badan dan rambutnya yang basah sudah dilap dengan kain basahan.Dia mencapai kain pelikat yang tergantung pada dinding.

“Tini tak ingin sembahyang subuh?”buat kesekian kalinya Bujang bertanya pada isterinya sambil menyarungkan kain pelikat.Kartini menggeliat di bawah selimut tebal. Lambat-lambat dia bangun menyanggul rambutnya.matanya masih layu.

“Pergilah mandi,baru badan terasa segar,”pinta Bujang lagi sambil memakai bajunya.

Dengan hanya berkemban kain batik,Kartini akhirnya bangun melenggang seperti itik kekenyangan menuju ke bilik mandi. Bujang tersenyum bangga.Nasihatnya berbekas juga di hati Kartini.Dia mengenakan ketayapnya.Daun jendela dikuaknya sedikit,matanya menyorot ke ufuk timur.Fajar sidiq belum menjelma,subuh beluym lagi tiba. Sementara menunggu Kartini habis mandi,dia pun mengerjakan sunat tahajud an witir.

Subuh itu Jumaat 4 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 27 Oktober 1652 Masehi, buat pertama kali dalam sejarah perkahwinan mereka yang singkat,Bujang berjaya melakukan sembahyang jemaah bersama Kartini.Akhirnya,terbuka hati Kartini menerima taufik dan hidayah dari Allah.Ini satu pertanda yang  cukup baik dalam kehidupan mereka,bertambah baik lagi buat anak yang bakal lahir kelak. Baka yang baik datangnya dari induk yang baik.

Tepat seperti yang dijanjikan,mereka dikunjungi lelaki yang akan membawa mereka ke Madiun ketika mereka bersarapan di dewan makan rumah tumpangan itu.

“Nama kulo Kartolo,”lelaki Jawa itu memperkenalkan dirinya dan rakannya.”Ini sahabat kulo namanya Kasiman. Kalian kah yang mahu ditunjuk jalan ke Madiun?”

“Benar,”Panglima Kahar bangun menyambut mereka berdua.”Kalian berdua supir kami,ya? Hamba Panglima Kahar,ini kemanakan hamba Panglima Agung  dan itu isterinya Kartini.”

Kartini kelihatan terkejut tetapi Kartolo dan Kasiman tunduk penuh takzim.

“Ongkosnya bayar tunai,”tegas Kartolo.”Kami butuhkan barang-barang yang harus dibawa.”

Bujang mengeluarkan dua uncang berisi wang emas lalu diberikan kepada Panglima Kahar.

“Paman ikut mereka,”pinta Bujang.”Beli semua barang-barang yang diperlukan.Kalau tak cukup,beritahu Bujang.”

“Kenapa abang tak beritahu awal-awal abang nak ke Madiun?”Kartini bertanya sebaik sahaja Panglima Kahar keluar bersama Kartolo dan Kasiman.

“Kerana Tini tidak bertanya,”Bujang berseloroh.

“Tapi,kenapa Madiun?”desak Kartini lagi.”Kenapa bukan tempat lain?”

“Chendana dibawa ke Madiun untuk dijual sebagai gundik seorang pegawai Belanda.”

“Yakah?”Kartini kelihatan terkejut.”Dari mana abang mendapat cerita ini?”

“Dari sumber yang boleh dipercayai,”Bujang menjelaskan tanpa menyebut nama Ah Lim.

“ Madiun terletak tidak jauh dari Jokjakarta,”Kartini membantah.”Tini merayu pada abang, tolonglah jangan pergi ke Madiun. Jangan sekali-kali menjejak kaki di bumi Jokjakarta.”

Bujang menolak pinggan sarapan yang belu habis.”Tini seolah-olah tidak suka Chendana diselamatkan.”

“Bukan begitu,abang,”Kartini mengilat.”Perjalanan dari sini ke Madiun terlalu jauh. Banyak halangan dan rintangan yang perlu kita tempuhi.Tini rasa tak sedap hati.”

“Alang-alang berdakwat biar hitam,alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,”Bujang menegaskan.

“Terpulanglah,”Kartini terpaksa mengalah juga.”Tini cuma memberi ingatan. Kalau abang ditimpa gara-gara,jangan Tini dipersalahkan.”

Panglima Kahar pulang tidak lama kemudian dengan berita yang kurang menyenangkan.

“Enam orang?”tanya Bujang sambil menjengah ke arah pedati yang sudah menunggu.

“Lapan orang,kalau dikira dengan Kartolo dan Kasiman,”beritahu Panglima Kahar lagi.”Mereka bergilir-gilir membawa pedati siang dan malam.”

“Selain dari isteri hamba,siapa lagi?”Bujang minta penjelasan dari kedua-dua supir itu.

“Dua orang perawan Sepanyol ditemani orang gajinya,”jawab Kartolo dengan tenang.

“Muatkah enam orang duduk di dalamnya?”Bujang seperti kurang yakin.

“Bisa muat,”Kartolo cuba menyakinkan mereka.” Tiga orang duduk di hadapan,tiga orang di belakang,kulo dengan Kasiman di atas bumbung.” Kasiman hanya tersengih.

Bujang memerhati pedati yang ditarik oleh empat ekor kuda yang tegap-tegap manakala dua ekor lagi yang tidak kurang tegapnya tertambat di belakang.

Seolah-olah dapat membaca fikiran Bujang,Panglima Kahar pun menjelaskan,”Paman belikan dua ekor kuda berlebihan kalau-kalau Bujang bosan duduk berhimpit-himpit dalam pedati dan ingin menunggang pula.”

“Panjang betul akal-bicara Paman,”Bujang memuji sambil menyerahkan kampitnya kepada Kartolo untuk disimpan.”Baiklah,kita bertolak sekarang.Tapi hanya pada waktu siang kita bergerak.Malam hari kita berihat.Biar lambat asalkan selamat.”

Jam besar dari bangunan pejabat Gabenor-Jeneral berbunyi sepuluh kali di kala pedati itu bertolak meninggalkan rumah tumpangan di tengah-tengah Kota Betawi itu. Bujang duduk di bangku belakang,diapit oleh isterinya dan Panglima Kahar. Dari kedudukan mereka,dapatlah mereka melihat ke hadapan melalui tingkap.Dua gadis kulit putih berambut perang keemasan dan bermata biru itu langsung tidak mengendah-kan mereka dan asyik memandang keluar.Orang gaji separuh umur keturunan Jawa itu masih kelihatan malu-malu dan tidak berani bertegur-sapa seolah-olah merasa rendah diri dengan tarafnya sebagai hamba suruhan.

Seperti biasa dalam keadaan seperti itu,Bujang mengisi masa yang terluang dengan berzikir kepada Allah.Sambil matanya memerhati pemandangan dari luar jendela,hatinya tidak sunyi dari melafazkan kalimah-kalimah zikrullah. Kadangkala dia memejam mata seperti sedang tidur, tetapi hatinya tidak tidur,malah tetap hidup dalam memuji kebesaran Allah. Sejak akil baligh hingga sekarang,itulah yang menjadi amalannya.

Hasil dari amalan berterusan itu,berbagai hikmah telah Allah anugerahkan kepadanya meskipun bukan itu matlamatnya.Niatnya hanyalah ingin membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah yang tercela itu. Namun,zikrullah yang diamalkan secara istiqamah kerap menjadi senjata dan perisai pada dirinya.

Tiba waktu tengah hari,mereka berhenti rihat berhampiran sebatang anak sungai sambil memakan bekalan yang dibawa.Bujang mengambil kesempatan itu untuk mengerjakan solat. Perbuatannya dicontohi oleh Panglima Kahar,Kartolo dan Kasiman. Kartini mengikut orang gaji itu bersembahyang di kawasan yang agak terlindung dari pandangan lelaki manakala dua orang gadis Sepanyol itu asyik mandi-manda di sungai seperti itik berjumpa air.

“Anak sudah makan?”orang gaji itu mendekati Bujang ketika Bujang duduk di ataas tunggul memandang  kawasan hijau yang berbukit-bukau.”Ini Ibu bawakan sedikit juadah.”

“Terima kasih,”Bujang menerima hirisan mangga yang dihulurkan sambil memandang kea rah Kartini yang sudah masuk ke dalam pedati.”Ibu….siapa namanya?”

“Muryanti,”ujar orang gaji itu penuh sopan.”Panggil saja Ibu Yanti.Kartolo sama Kasiman itu anak Ibu.”

“Gadis orang putih itu?”Bujang menuding kepada dua-beradik yang sedang menukar pakaian.”Sheila dan Isabella?”

“Iya,”Ibu Yanti mengangguk.”Anak Tuan Cordoba,majikan Ibu di Madiun.  Sebetulnya anak ini mahu ke Madiun mencari siapa?”

“Isteri hamba,”tutur Bujang agak keras kerana menahan perasaan.

“Kok yang di sana tu siapa pula?”Ibu Yanti melirik dengan matanya kea rah pedati.

“Isteri hamba juga,”ujar Bujang.”Hamba beristeri tiga,Ibu.”

“Tiga?Tolu?”Ibu Yanti mwenunjuk dengan  jarinya.”Waduh!Garang juga anak ini,ya?”

Bujang tersenyum dengan usikan itu.”Apa boleh buat,sudah jodoh,Ibu.”

“Kok kapannya jadi empat?”Ibu Yanti mengusik lagi.

Sebagai jawapan,Bujang hanya ketawa. Perbualan ringkas mereka terhenti bila Kartolo memaklumkan dengan suara yang lantang bahawa mereka sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan. Seorang demi seorang naik ke atas pedati.Sheila dan Isabella yang paling akhir kerana pakaian mereka yang basah terpaksa diperah dan disidai pada bumbung pedati. Tidak lama kemudian,pedati yang ditarik oleh dua pasang kuda itu bergerak semula menyusuri jalan berdebu yang bengkang-bengkok membelah kawasan lembah berbukit-bukau serta bertanah landai itu.

Por Favor,”kata Sheila pada Bujang.Mulanya Bujang tidak faham apa maksud gadis kulit putih itu.Melihat gadis itu memusing badan menunjukkan baju dan butangnya baru Bujang mengerti.Gadis itu memintanya memasang butang bajunya kerana tangannya tidak sampai ke belakang.Bujang melirik pada Kartini tetapi isterinya pura-pura tidak melihat. Pamannya pula tersenyum sumbing.Mahu tidak mahu,dia terpaksa membantu gadis dari Barat itu.  Baru sahaja selesai dia memesang butang,tiba-tiba pedati itu bergegar bagaikan rodanya termasuk ke dalam lubang. Gegaran itu menyebabkan badan Bujang tercampak ke hadapan lalu menindih badan Sheila.Pipinya terkena pipi Sheila,hidungnya tercium bau harum dari rambut perang Sheila.

Cepat-cepat Bujang membetulkan badan,lantas menjengah ke atas.”Mengapa,Kartolo?”

“Maaf,Panglima,”jerit Kartolo dari atas.”Ada lubang tadi. Nggak nampak.”

“Hati-hati sikit,”Bujang berpesan sebelum bersandar semula di bangkunya. Dia memejam mata dan berpura-pura tidur selepas itu seolah-olah ingin melupakan apa yang berlaku.Akhirnya dia betul-betul tertidur.Mendengar Bujang berdengkur perlahan,yang lain-lain mula tidur seorang demi seorang.Keadaan bangku di dalam pedati itu memang tidak selesa,ditambah puyla dengan roda yang bergegar di atas permukaan tanah.Zaman itu belum tercipta tempat duduk yang selesa untuk perjalanan jauh seperti itu. Namun,alah bisa tegal biasa.Walau pun dalam suasana yang kurang menyenangkan,mereka dapat tidur juga. Tinggal Kasiman seorang yang terpaksa berjaga kerana Kartolo juga tertidur di tempat duduknya.

Kartolo tidur dengan berpaut pada  palang besi bumbung. Untuk menjaga keselamatannya supaya tidak terjatuh,pinggangnya diikat dengan tali. Walaupun matahari terik menikam mata, Kartolo tetap berdengkur seperti badak sumbu. Ketika matahari hampir terbenam,Kasiman menyeberangi sebuah jambatan kayu lalu memberhentikan pedati itu di sebuah lembah tidak jauh dari sebatang sungai.

Bujang yang mula-mula terjaga terus keluar dari pedati dan bergegas ke tepi sungai. Selepas membasuh muka,dia tercegat memerhati keadaan persekitaran.Dilihatnya kawasan lembah sungai yang dipenuhi hutan tebal  itu bagaikan tidak berpenghuni,sunyi dan gelap menunggu tabir malam melabuhkan tirainya.Para penumpang muncul satu demi satu seperti ketam keluar dari lubang.Sementara Kasiman memberi makan kuda,Panglima Kahar membantu Kartolo mendirikan khemah kain tarpan.Kaum perempuan pula mencari kayu api dan menyediakan makanan.

Melihat isterinya terkial-kial hendak mengangkat sebuah periuk besar dari atas bumbung pedati,Bujang segera membantu.Periuk tembaga berkaki tiga buatan Belanda itu diturunkan ke tanah lalu diletakkan berhampiran kawasan khemah.Diperhatinya periuk itu seketika kerana kelihatan agak aneh.

“Orang Belanda memanggilnya periuk potjie,”beritahu Kartini sambil tersenyum.”Yang lucunya,kalau tersalah sebut bunyinya agak melucahkan.”

“Tini tak terasa nak muntah-muntah?”Bujang merenung perut isterinya.

“Ada juga,”Kartini mengaku.”Biasalah,orang mengandung.Tapi Tini membawa bekalan jeruk asam untuk dimakan supaya tahan mabuk.”

Bujang mencapai dua-tiga pontong ranting kayu berdekatan lalu disusun di bawah periuk tembaga itu.Diletak pula cebisan daun-daun kering yang mudah terbakar.Dengan gobek api yang dihulurkan oleh Kartini,dia pun menyalakan api.Percikan bunga api menyambar dedaun kering dan mula menjilat pontong-pontong kayu.Sementara Kartini menjaga supaya api tidak padam, Bujang mundar-mandir di sekitar kawasan perkhemahan mencari lebih banyak kayu api.

“Panglima nggak perlu susah-susah,”tegur Kartolo ketika berselisih dengannya.”Ini tanggung- jawab kami karena kami sudah dibayar upahnya.”

“Sekali-sekala hamba membantu apa salahnya,”jawab Bujang sambil terus juga mengutip kayu api.”Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.” Kartolo tidak menjawab lagi,sebaliknya terus mencari kayu untuk dibuat pancang khemah. Bujang kembali membawa seberkas kayu api yang diletakkan berhampiran periuk tembaga. Sementara menunggu nasi ditanak dan lauk-pauk dimasak,Bujang mandi-manda di sungai.Malam itu,Bujang bersembahyang di  atas batu hampar di tepi sungai  kerana khemah belum siap.Kain pelikat dijadikan sejadah.Kemudian,dia berdoa serta berwirid panjang tanpa menghiraukan  nyamuk dan agas yang berterbangan di sekitar. Selepas itu,dia berzikir pula di dalam kegelapan malam yang hanya diterangi cahaya unggun api. Agak lama juga dia duduk bersila bermunajad kepada Allah,baru dia perasan khemah belum juga siap-siap.Begitu juga dengan makan-minum. Dia pun bangun menyelimpang kain pelikatnya, lantas turun dari batu hampar itu.

Ketika Bujang mendekati tapak perkhemahan,dilihatnya Panglima Kahar,Kartolo dan Kasiman masih terkial cuba mendirikan khemah sambil tidak henti-henti menampar nyamuk. Kaum perempuan pula duduk mengelilingi periuk tembaga menunggu air mendidih.

“Mengapa gerangan nian berlaku,Paman?’Bujang bertanya selamba.

“Biasalah,Bujang,”balas Panglima Kahar sambil menampar nyamuk.”Malam pertama kita berkhemah di Tanah Jawa. Barangkali ada orang ingin bergurau dengan kita atau ingin mencuba ilmu di dada.”

“Panglima tidak digigit nyamuk?”tanya Kartolo pula sambil menampar lengannya.

“Tidak,”dengan pantas Bujang membalas.”Pantang-larang dalam hutan kalau diikut takkan ada yang mengganggu kita.”

“Boleh jadi juga karena cincin sakti itu,”Kasiman pula mencelah menuding pada cincin berbatu zamrud di jari Bujang.Batu itu menyala terang mengeluarkan sinar berwarna hijau di dalam kegelapan itu,sekali pandang seakan-akan sebutir mata ular.

“Cincin tetap cincin dan tidak berkuasa apa-apa,”tegas Bujuang lantas mendekati isterinya pula.Dia memanjangkan leher meninjau ke dalam periuk itu. Air yang dijerang sekian lama belum juga panas walaupun apinya marak menyala.

“Begitulah keadaannya,abang,”hanya Kartini yang bersuara.”Dari senja tadi sampailah sekarang,airnya tak mahu mendidih juga.Bagaimana kita nak masak?”

Seperti kaum lelaki,pihak perempuan juga tidak henti-henti menampar nyamuk yang hinggap di muka,lengan atau badan.Bujang termenung sejenak memikirkan perkara yang luar biasa itu.

“Nampaknya kita berlapar malam ini,”tutur Bujang perlahan. Kata-kata Bujang itu disambut dengan gelak-ketawa perempuan. Bujang terkejut,lantas membuka matanya. Mereka masih lagi berada di atas pedati tetapi hari sudah beransur senja. Baru dia sedar dia hanya bermimpi sekejap setelah tertidur.

“Di mana kita sekarang?”Bujang bertanya pada Kartini.

Kartini menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

“Kalau tak silap Ibu,kita sudah dekat dengan Lembah Tarum,”Ibu Yanti yang menjawab.

“Kita akan menyeberangi sebatang anak sungai?tanya Bujang lagi.

“Iya,”akui Ibu Yanti.”Sungai Tarum. Ada jambatan kayu di sana.”

Bujang diam selepas itu,fikirannya teringat kembali mimpinya tadi serta alamatnya. Mimpi-mimpi seperti semakin kerap dialami,seolah-olah menunjukkan padanya sesuatu pertanda sebelum kejadian itu benar-benar berlaku.

Benar seperti kata Ibu Yanti.Ketika sang suria hampir terbenam di ufuk Barat dan remang- remang senja mula menampakkan cahanya merah-kuningnya,pedati itu pun tiba di sebatang anak sungai yang airnya mengalir deras. Setelah menyeberangi sebuah jambatan kayu,Kasiman memberhentikan pedati itu di pinggir sungai.

“Ingat baik-baik segala pantang-larang,”pesan Bujang kepada mereka semua.”Jaga hati supaya tidak lalai,jaga mulut jangan sampai celupar. Lembah ini keras tempatnya.”

Tanpa berlengah,Bujang mendahului mereka turun dari pedati itu. Langkah pertama yang dilakukan ialah mengelilingi kawasan perkhemahan itu hingga ke tebing sungai sambil meninjau persekitaran yang agak menyeramkan itu.Ranting anak-anak kayu dipatahkan sebagai menanda sempadan. Selesai memagar kawasan itu,Bujang duduk bersila di atas seketul batu hampar sambil memejam mata menghening cipta. Sambil memantapkan zikirnya,dia berjaya menyatukan alam zahir dengan alam kebatinan. Melalui mata hatinya,dia melihat seluruh kawasan lembah itu penuh dengan makluk aneh. Makhluk itu berbadan manusia tetapi berkepala babi,harimau,monyet serta lain-lain haiwan lagi.Semua makhluk itu bagaikan terbang di awing-awangan,tidak berpijak di muka bumi.Syaitan,bisik hatinya.Dengan serta-merta makhluk itu lenyap dari pandangan. Bila Bujang membuka mata,maghrib sudah pun melabuhkan tirainya. Dia bergegas kembali ke tapak perkhemahan.

“Paman,”Bujang menegur bapa saudaranya yang sedang sibuk membantu Kasiman mendirikan khemah.”Khemah ini biar mereka yang uruskan.Paman ada tugas penting.”

Bujang menarik tangan Panglima Kahar mengajaknya pergi jauh  dari pendengaran orang lain

“Tugas apa,Bujang?”tanya Panglima Kahar,

“Bujang rasa Paman lebih arif dalam perkara ini,”ujar Bujang ringkas.”Gerak-langkah harus dijaga,terbang biar menyongsong angin.”

“Kalau begitu,biar Paman sediakan barang-barangnya,”sahut Panglima Kahar.” Setitik akan Paman lautkan,segumpal akan Paman gunungkan.”

Bujang membiarkan Panglima Kahar dengan urusannya.Kampit yang disimpan di atas pedati diambilnya,dibawa ke pinggir sungai.Sementara menunggu khemah didirikan dan makan-minum siap disediakan,dia mandi-manda membersihkan badan di air sungai yang jernih tetapi deras itu.

Setelah menyarungkan pakaian sembahyang,dia membentangkan kain cindai kuning sebagai sejadah lalu berdiri mengerjakan solat maghrib dan isyak yang dijamakkan di atas batu hampar di tebing sungai itu. Semasa dia melakukan amal ibadat itu,angin ribut seperti puting beliung datang berpusing-pusing di sekitarnya.Namun,tidak dipedulikan.Dia bersembahyang dengan khusyuk hingga ke akhir salam. Selepas berwirid dan membaca doa ringkas,dia pun duduk bersila menghadapi tentangan kuasa jahat yang tidak diketahui.

Dengan izin Allah Taala,kasyafnya terbuka dan mata basirahnya dapat melihat sekali lagi makhluk-makhluk aneh berkepala haiwan itu.Bilangan mereka semakin banyak,jauh lebih banyak dari tadi.Mereka memenuhi seluruh langit dan bumi,namun tidak berupaya menembusi garisan sempadan yang memagari kawasan perkhemahan itu.Terlintas dalam hatinya sepotong ayat suci Al-Qur’an yang diambil dari Surah Yasin. Ayat itu dibacanya.

- “Lanarjumannakum-walayamassannakum-minna-azabul-alim” –

Sekonyong-konyong muncul panahan api entah dari mana lalu membakar hangus beberapa makhluk aneh yang berterbangan di angkasa,Yang lain-lain terbang bercempera. Bujang membaca lagi ayat suci tersebut menyebabkan beberapa ekor lagi terbakar. Bujang terus-menerus menyerang makhluk-makluk jahat itu dengan panahan api sehingga tidak ada saki-bakinya lagi. Langit kembali seperri biasa. Bujang membuka matanya lalu mendongak ke langit. Jutaan bintang berkerlipan memagari bulan sabit yang baru hendak terbit.

Bujang pun melompat turun dari batu hampar itu.Pakaian sembahyangnya ditukar dengan pakaian pendekar,kain cindai kuning dilipat baik-baik lantas disimpan kembali. Dia menggalas kampitnya ke tapak perkhemahan. Dua khemah sudah pun didirikan untuk kaum lelaki dan kaum perempuan bermalam berasingan.Bujang masuk meletak kampitnya di dalam khemah lelaki. Dia duduk menghadapi makan malam bersama mereka.Kejadian makanan tidak dapat dimasak dan khemah tidak dapat didirikan berjaya dielaknya dengan izin dan kuasa Allah Taala. Lebih dari itu,makhluk-makhluk yang cuba mengganggu mereka juga telah hancur binasa.Tiada sesiapa pun di situ menyedari apa yang sebenarnya berlaku melainkan dirinya.Malam itu,mereka dapat tidur dengan aman tanpa sebarang gangguan.Jangan kata jin dan syaitan,seekor nyamuk pun tidak menghampiri mereka. Namun,keesokan paginya pada hari  Sabtu 5 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 28 Oktober 1652 Masehi, di sekitar kawasan perkhemahan di luar dari sempadan yang ditanda itu kelihatan bertaburan debu-debu hitam seperti debu dari muntahan gunung berapi.Mereka meneruskan perjalanan tanpa menghiraukan apa yang dilihat.Sebaik sahaja mereka meninggalkan kawasan itu,muncul sekumpulan penunggang bertopeng dari hujung lembah.Mereka memerhati sahaja sehingga pedati itu hilang dari penglihatan.

Kemunculan lima puluh buah lancang yang tidak kenali menggemparkan penduduk Batu Sawar,Kota Seberang,Kampung Panchur serta kampung-kampung di sekitar.Pihak istana di bawah pimpinan Paduka Raja dengan segera meletakkan semua pendekar dan hulubalang dalam keadaan berjaga-jaga. Begitu juga dengan barisan pertahanan lain,masing-masing bersiap-sedia untuk terjun ke medan perang. Semua meriam sudah pasang ubat bedil,siap untuk memuntahkan peluru. Tetapi,mereka menarik nafas lega apabila melihat yang turun dari lancang-lancang itu ialah Tok Kilatdari Singapura,Nakhoda Kintan dari Pulau Duyung, Tun Berkat dari Sayong,Tun Dali dari Seluyut,Dang Lenggang dari Johor Lama,Wan Hanafi dari Tanjung Batu, Tok Putih dari Pulau Tekong, Belitong dari Bentan,Awang Long dari Sekudai,Jusuh dari Teberau,Hang Isap dari Pengerang,,Dewani dari Sedili,Engku Jaafar dari Makam Tauhid,Panglima Bayang dari Kota Tinggi, Wak Diman dari Kampung Panchor serta ramai lagi rakan-rakan Panglima Agung. Mereka dari Angkatan Fisabillah menyambut baik kedatangan itu kerana mereka akan berperang menyahut seruan jihad menentang orang-orang kafir di Melaka dan Betawi. Mereka sudah bersedia untuk mati syahid sebagai bunga bangsa agar dapat memasuki syurga firdaus.

Tetapi,bukan semua menerima kedatangan lancang-lancang itu dengan baik.

“Perbuatan kamu semua kurang bijak!”marah Datuk Temenggung Abdul Jalil pada Tok Kilat, Nakhoda Kintan dan beberapa orang rakan menantunya yang berkunjung ke rumah pagi itu.

Mereka yang duduk bersila di anjung rumah itu tunduk,tidak berani menentang wajah Temenggung yang terkenal kependekarannya.Bergegar rumah besar itu bila Temenggung menepuk tiangnya sebentar tadi.

“Sekarang,semua orang tahu tentang Angkatan sulit ini,”marah Temenggung lagi.”Tidak mustahil ada anjing-anjing Belanda. Tidak mustahil ada pembelot di kalangan kita. Mereka ini akan membuat laporan kepada Belanda untuk menghancurkan Angkatan kita.”

“Kami tidak bermaksud begitu,Orang Kaya,”Tok Kilat menyampuk.”Tujuan kami hanyalah hendak berkumpul di sini dan menerima perintah seterusnya dari Panglima Agung.”

“Benar kata Tok Kilat itu,Orang Kaya,”Nakhoda Kinta menyokong.”Angkatan Perang Johor berada di Pulau Bentan. Kami tak tahu ke mana lagi harus kami pergi. Hanya di Batu Sawar ini sahaja tempat yang sesuai buat kami berlabuh.”

Yang lain mengangguk-angguk tanda setuju dan sependapat.

“Panglima Agung belum balik dari perantauan,”suara Temenggung kembali seperti biasa.”Begitu juga Lela Wangsa yang ditugaskan mencarinya.Tetapi,kamu semua tidak boleh tunggu di sini. Kalau Belanda dapat tahu,nyawa kita semua terancam.”

“Beginilah,”sambung Temenggung lagi setelah mereka diam.”Pulau Langkawi dan Pulau Pinang adalah di bawah pegangan Panglima Agung turun-temurun,anugerah dari Almarhum Sultan Kedah.Apa kata kamu semua berpindah ke sana.Bawa anak-isteri masing-masing. Tunggu perintah selanjutnya dari Panglima Agung.”

Mereka semua mengangguk tanda patuh dan taat.

“Ini bukan paksaan,”Temenggung memberi kelonggaran.”Kalau tak hendak ke sana,pilihlah mana-mana tempat asalkan tidak mudah dicium oleh Belanda dan kuncu-kuncunya. Bila tiba saat dan ketikanya,perutusan akan dihantar secara sulit. Baiklah,bersurai semua. Tinggalkan Batu Sawar hari ini juga.”

Tidak ada yang berani membantah. Seorang demi seorang bangun bersalam dengan Datuk Temenggung dan Orang Kaya Lela Pahlawan sebelum senyap-senyap meninggalkan rumah itu dan senyap-senyap pula kembali ke lancang masing-masing.Supaya tidak disedari musuh,mereka tidak belayar serentak tetapi belayar berasingan dalam beberapa kumpulan kecil. Ke mana arah tujuan mereka,hanya mereka sahaja yang tahu.Menjelang senja,Angkatan Fisabilillah tidak lagi kelihatan di Batu Sawar dan lambat-laun akan lenyap dari ingatan orang ramai.

“Kenapa berhenti di sini?”Ibu Yanti membantah.”Kita sudah hampir dengan Cirebon.”

“Berapa jauh lagi,Ibu?”tanya Bujang menjenguk keluar.

“Kurang-lebih 10 batu,”beritahu Ibu Yanti,

Bujang cuba mengagak jarak yang dinyatakan itu. Tidak dapat dibayangkannya.

“Di sini pun boleh,”Panglima Kahar pula membantah cadangan Ibu Yanti.”Ada kolam tinggal tempat kita mandi dan membasuh.Ada kawasan lapang tempat kita berkhemah.”

Panglima Kahar turun dari pedati,diikuti oleh Bujang,Sheila dan Isabella.

“Besok sajalah kita singgah di Cirebon,Ibu,”pujuk Kartini,mengikut suaminya turun.

Ibu Yanti mengangkat bahu dan turut  sama mencontohi perbuatan meraka.

“Malam ini kita tidur bersama,ya,abang?’Kartini memujuk suaminya.

“Tini dah buang tabiat?”Bujang tidak bersetuju.”Nanti apa pula kata mereka.”

“Ala,tak apalah,abang,”Kartini memeluk lengan suaminya.”Kita ‘kan suami-isteri?Abang boleh bina khemah berasingan jauh sikit dari khemah lain.”

“Baiklah,minta tolong Kartolo dirikan khemah kita,”Bujang bersetuju akhirnya lalu menghampiri Panglima Kahar.Bapa saudaranya sedang meneliti kolam tinggal itu. Bila Bujang tunduk hendak membasuh muka dengan air dari kolam itu,bahunya ditolak dengan kasar.

“Mengapa,Paman?”Bujang hairan dengan sikap bapa saudaranya itu.

“Bujang nampak  pokok tunggal yang tumbuh di tengah kolam itu?”Panglima Kahar menuding ke sana.”Tanah di keliling kolam ini juga tidak ditumbuhi sebarang rumput.”

Bujang mengangguk,mengakui kebenaran kata-kata bapa saudaranya itu.

“Kolam di tengah hutan ini tempat orang membuang ibu santau,”Panglima Kahar menjelaskan apa yang diketahuinya.”Orang Jawa menyebutnya ‘santet’.Bisanya bukan kepalang.”

Bagi membuktikan dakwaannya itu,Panglima Kahar mengambil seketul batu kecil lalu melontarnya ke dalam kolam.Batu itu mengeluarkan asap dan hancur bila menyentuh air kolam itu.Pohon tunggal di tengah kolam itu bergoncang,beberapa helai daun gugur ke perdu.

“Inilah yang coba Ibu omongkan tadi,”sampuk Ibu Yanti dari belakang.Rupanya,mereka semua dibawa Ibu Yanti menyaksikan sendiri kata-katanya.Sheila dan Isabella yang tidak memahami bahasa Melayu turut terkejut melihat keganjilan itu.

“Tini takutlah,abang,”Kartini mendekati suaminya.”Mari kita terus ke Cirebon.”

Mereka semua memandang pada Bujang menunggu keputusan darinya.

“Di hujung sana arah matahari jatuh ada sebatang kali,” satu suara parau tiba-tiba di cuping telinga Bujang.Dia segera menoleh ke kiri dan ka kanan mencari suara itu tetapi hanya mereka berlapan yang berada di situ.”Kita ikut saja cakap orang tua itu,”ujarnya perlahan.

“Orang tua mana?”Kasiman yang terkenal berat mulut bertanya kembali.Yang lain-lain tercengang-cengang dan mula meragui keputusan Bujang.

“Di hujung sana ada sebatang kali,”Bujang menuding arah matahari terbenam.

“Pergilah tengok,”perintah Panglima Kahar pada Kartolo dan Kasiman. Kartolo tidak berani. Tetapi,Kasiman yang bodoh-bodoh alang it terus memanjat sebuah bukit kecil untuk mempastikan sendiri kebenaran kata-kata Bujang.Sebentar kemudian,dia menjerit riang sambil menunjuk ke sebalik bukit.”Memang ada…memang ada!”

“Kalau begitu,kita ke hadapan lagi kalau-kalau ada jalan menuju ke sana,” Panglima Kahar mencadangkan. Mereka semua naik semula ke atas pedati. Kecuali Ibu Yanti yang masih menunggu kepulangan Kasiman.

“Ibu pergilah dulu,biar hamba mencarinya,”Bujang mempelawa diri.Tanpa berlengah,dia terus memanjat bukit kecil mengikt jejak langkah Kasiman. Sampai di atas,tampaklah padanya sebatang anak sungai yang mengalir di bawah antara bukit itu dengan bukit di sebelah. Dia pun turun ke pinggir sungai itu.Tetapi,Kasiman tidak kelihatan di mana-mana.Pedati mereka tiba tidak lama kemudian melalui jalan lain.

Bujang kalau boleh ingin merahsiakan perkara itu dari pengetahuan Ibu Yanti sementara dia berikhtiar mencari Kasiman.Namun,IbuYanti mendahului yang lain-lain turun dari pedati lantas meluru mendapatkan Bujang. Bila diberitahu Kasiman sudah hilang,Ibu Yanti terus pengsan.

Keadaan yang kecoh bertambah kecoh.Ibu Yanti diusung semula ke dalam pedati lalu dibaringkan di atas bangku.Kartini,Sheila dan Isabella tinggal untuk menjaganya.

“Apa daya kita sekarang,Paman?”Bujang meminta pandangan bapa saudaranya.

“Susah,”Panglima Kahar geleng kepala.”Paman cuba mengesannya tetapi dia sudah sesat terlalu jauh ke alam ghaib.Degil!Tak mahu dengar cakap orang!Bujang cubalah pula.”

“Bujang bukan bomoh,”Bujang menolak secara halus.

“Tolonglah kulo,Panglima,”Kartolo merayu pada Bujang.”Kasiman itu orangnya kurang cerdik. Tapi,dialah satu-satunya  saudara kulo. Tolonglah kulo,Panglima.”

“InsyaAllah,akan kami bantu sedaya upaya,”Bujang berjanji.”Sampian pergi dirikan khemah.”

“Nak makan apa malam ini,”rungut Panglima Kahar.”Cuma nasi saja yang tinggal sikit. Lauk-lauk habis semuanya. Nak memasak,orang perempuan sibuk menjaga Ibu Yanti. Nak harapkan Kartolo,Bujang tengoklah sendiri..fikirannya entah ke mana.”

“Nak lauk?Paman boleh pergi memburu,”Bujang menyarankan.

“Bujang ada panah?”Panglima Kahar bertanya seolah-olah menyindir.

“Ada,”Bujang pergi ke pedati,menyelongkar kampitnya,kemudian kembali membawa selaras pistol yang dirampasnya dulu.”Senjata ini lebih bari dari panah.”

“Bujang tahu cara menggunakannya?”tanya Panglima Kahar.

“Sikit-sikit,”balas Bujang,tidak mahu mengalah.Dengan selamba dia mengangkat kuda-kuda pistol lalu menarik picunya.Tiba-tiba pistol itu meletup.Mujurlah muncungnya dihala ke arah lain.Kalau dihala ke arah bapa saudaranya….!”Bujang tidak tahu senjata ini ada peluru,” kata Bujang pada bapa saudaranya,mukanya pucat sikit.

“Biar Paman sahaja yang pergi memburu,”Panglima Kahar mengambil pistol itu dari tangan Bujang.”Peluru dan ubat letupan masih ada?”

“Dalam kampit,”Bujang menuding ke arah pedati,masih keliru dengan apa yang berlaku. Untuk menyembunyikan rasa malunya,dia beredar ke tepi sungai. Air sungai itu berkilau-kilauan terkena pancaran cahaya bulan. Baru dia teringat,dia belum lagi menunaikan sembahnyang fardu. Lantas dia duduk mencangkung mengambil wuduk.Air yang menyentuh kulitnya terasa begitu dingin sekali bagaikan air di pergunungan.

Lela Wangsa baru selesai menunaikan sembahyang bila kedengaran pintunya diketuk. Mula-mula dia tidak perasan.Bila pintu terus juga diketuk  bertalu-talu itu,dia pun bangun membukanya dengan wajah mencuk. Seorang pendekar yang gemuk pendek tersengih-sengih memandangnya.

“Ada apa,Buntal.?”tanya Lela Wangsa tanpa mempelawa pendekar itu masuk.

“Datuk,ada perempuan Bugis nak jumpa Datuk,”beritahu Buntal,giginya yang rongak menjadikan sebutannya kurang jelas.

“Nak jumpa aku?” Lela Wangsa seperti tidak percaya.”malam-malam buta begini?”

“Dia menunggu di sebuah kedai makan di pengkalan,”kata Buntal lagi.”Katanya penting. Pasal Panglima Agung.”

“Panglima Agung?”Lela Wangsa terus berlari naik ke geladak,diikuti oleh Buntal.

“Sediakan tangga,”perintahnya pada beberapa pendekar lagi yang berkawal di atas geladak. Sekeping papan segera diletakkan dari geladak ke pengkalan.Dengan papan itu,Lela Wangsa menyeberang dari lancangnya ke pengkalan.

“Jaga keselamatan lancang ini baik-baik,”perintah Lela Wangsa pada anak buahnya. Kemudian, dia berlari-lari anak meninggalkan pengkalan menuju ke kawasan pasar di mana terdapat beberapa kedai yang masih dibuka.Dia singgah dari kedai ke kedai hingga akhirnya sampai ke sebuah kedai makan yang penuh-sesak dengan pelanggan. Kebanyakannya pelanggannya terdiri dari para pengawal Bugis. Seorang perempuan Bugis yang masih berusia belasan tahun duduk di sebuah meja dikelilingi beberapa orang dayang-dayang.

Lela Wangsa menyusun sembah,”Tuan Puteri ingin berjumpa patik?”

“Benar,”balas Daeng Ratna lembut.”Tampil kemari.”

Lela Wangsa terkial-kial mendekati puteri Bugis itu sambil menyusun sembah.

“Ampun patik,”dia tergagap-gagap.”Patik diberitahu..ada perempuan Bugis…rupanya..”

“Benarkah Datuk sedang mencari Panglima Agung?”tanya Daeng Ratna.

“Ya,benar sekali,Tuan Puteri,”sembah Lela Wangsa.”Patik telah bertanya banyak tempat. Pada orang-orang di sini juga telah patik tinggalkan pesan. Apa,Tuan Puteri tahu di mana Panglima Agung berada?”

“Beta pun kurang periksa,”balas Daeng Ratna,wajahnya agak muram.”Menurut cerita seorang perempuan keturunan Jawa dari Melaka,Panglima Agung telah bertolak ke Jokjakarta mencari isterinya yang hilang. Kalau tak silap beta,isterinya bernama Chendana.”

“Tun Chendana sudah dijumpai,Tuan Puteri,”sembah Lela Wangsa.”Dia dicolek oleh orang-orang yang tidak bertanggung-jawab.Sekarang dia berada dengan selamatnya di Batu Sawar. Patik dititahkan mencarinya untuk mengkhabarkan berita baik ini serta menjemputnya balik ke Johor.”

“Sayang sekali,Panglima Agung baru dua hari meninggalkan Betawi,”suara Daeng Ratna seperti menyesali nasib.”Kasihan..kiranya selama ini dia hanya memburu bayang-bayang. Perempuan Jawa itu sengaja berbohong pada beta. Apa tujuannya.”

“Kata Tuan Puteri,perempuan itu dari Melaka,”tanya Lela Wangsa.”Siapa namanya?”

“Namanya tidak dimaklumkan kepada beta,tetapi,orangnya  putih kuning,usia tampak seperti lewat tiga-puluhan,rupa paras cantik sekali.”

Tetapi tidak secantik Tuan Puteri,bisik hati Lela Wangsa.

“Kamu kenal perempuan itu?”tiba-tiba Daeng Ratna bertanya.

Lela Wangsa terkejut.”Err…tidak,Tuan Puteri,”dia berbohong.

“Kalau begitu,tak mengapalah,”balas Daeng Ratna sambil tersenyum tawar.

“Izinkan patik balik ke lancang….!”

“Nanti dulu,beta belum habis berbicara,”Daeng Ratna bangun mendapatkan Lela Wangsa lalu menunjukkan sesuatu.”Kenal kerambit ini milik siapa?”

Lela Wangsa terkejut melihat kerambit yang memang dikenalinya itu.”Milik Tun Chendana. Kerambit itu hilang ketika Tun Chendana dicolek.Dijumpai semula di belakang orang yang mencoleknya.Kali terakhir,kerambit itu ada pada Panglima Agung.”

“Kerambit ini terjatuh dari lipatan kain perempuan Jawa itu selepas dia berjumpa dengan beta pagi Jumaat lalu,”Daeng Ratna menjelaskan.”Ternyata perempuan itu mencurinya dari Panglima Agung ketika mereka berada di Betawi.”

“Patik perlu segera belayar ke Jokjakarta,”sembah Lela Wangsa.”Panglima Agung perlu dimaklumkan tentang perkara penting ini.”

“Nah,kembalikan kerambit ini kepada yang empunya,”Daeng Ratna menyerahkan kerambit itu kepada Lela Wangsa.”Boleh beta ikut sama ke Jojakarta?”

“Kecil tapak tangan,nyiru patik tadahkan,”sembah Lela Wangsa selepas menyimpan kerambit itu di celah bajunya.

“Andika,”Daeng Ratna memanggil sepupunya. Daeng Andika pun tampil menghulurkan seuncang wang emas kepada Lela Wangsa.

“Tidak,hamba tidak boleh terima wang itu,”Lela Wangsa menolak pemberian Daeng Andika dengan lembut.”Lancang itu milik Panglima Agung,bukan milik hamba. Hamba hanya nakhoda sekali gus panglima perangnya.”

“Bila kamu hendak belayar?”tanya Daeng Ratna dengan wajah berseri-seri.

“Kalau boleh malam ini juga,Tuan Puteri,’ sembah Lela Wangsa tidak sabar-sabar lagi.

“Baguslah,”wajah Daeng Ratna tambah berseri-seri.”Beta pun tidak sabar-sabar lagi hendak berjumpa kekasih hati beta Panglima Agung.”

Tanpa mengetahui rancangan yang diatur mengenai dirinya,Bujang membuat persiapan melakukan amalan sunat pada malam itu dengan harapan Kasiman akan ditemui semula. Untuk itu,dia perlu mengasingkan diri dari mereka semua.Setelah mengkaji dan mencongak,setelah difikirkan baik-buruknya,dia pun membuat keputusan memilih sautu tempat lapang berhampiran kolam tinggal di sebalik bukit,tempat yang disinggahinya tadi.Dia tidur awal di tempat yang dipilihnya tanpa menunggu Panglima Kahar pulang membawa hasil buruan untuk dibuat lauk.

Terbangun dari tidur  kira-kira waktu dinihari,diam-diam dia menghampiri kolam tinggal.Dia terlupa cerita Panglima Kahar tentang kolam itu.Dengan lafaz bismillah,dia pun mengambil wuduk dengan sebaik-baiknya. Selepas itu,dia membentangkan kain cindai kuning sebagai sejadah,terlebih dahulu dikerjakan sunat tahajud  12 rakaat semuanya dan ditutup dengan  witir 3 rakaat.Setelah berpuas hati,dia pun duduk bersila memulakan zikir dengan menghadap ke arah kiblat.Mula-mula zikirnya berlari di bibir,kemudian bermain di hati dan akhirnya meresap ke dalam roh dan jiwanya.Kesemua pancainderanya dikunci.Dia meninggalkan alam nyata lalu memasuki alam kerohanian yang penuh syahdu.Hidungnya tercium bau wangi yang harum semerbak,diikuti oleh bau daging panggang. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Cahaya sang rembulan yang kian condong,bersatu pula dengan cahaya dari unggun api menampakkan sesosok tubuh lelaki yang besar tinggi sedang memanggang daging rusa.Lelaki itu berserban dan berjubah putih.Sambil menunggu daging itu masak,lelaki itu  tidak henti-henti membilang biji tasbih yang mengeluarkan cahaya terang seperti kalamayar.Kerana lelaki itu membelakanginya,Bujang tidak dapat melihat wajahnya.

“Majulah,anakku,”suara yang mempelawanya itu sudah tidak asing lagi pada Bujang.

“Assalamualaikum,Tok Sheikh.”

“Walaikumussalam,”balas Tok Sheikh sambil berpaling menyambut Bujang. Melihat wajah yang bersih dengan misai dan janggut bak kapas dibusar,memang tidak syak lagi iatulah gurunya di Acheh,Sheikh Amiruddin Sheikh Abdurrauf Al-Fansuri As-Singkly bergelar Sheikh Kuala yang sudah berusia 60 tahun tetapi masih lagi kuat serta bertenaga seperti pemuda berusia dua-puluhan.Gurunya yang masih lagi berkhidmat dengan Sultanah Safiatuddin Johan Berdaulat sebagai Qadhi Besar bergelar Malaliku Adil.Lebih 10 tahun Bujang tidak melihatnya.

Bujang bangun menerpa lalu segera sujud di kaki Sheikh Kuala yang telah mengajarnya selama ini.

“Bangun,anakku,”Sheikh Kuala memegang bahu Bujang.”Taqobbal………….”

Bujang pun bangun berdiri di hadapan gurunya  dengan penuh taazim.

“Makanlah,”pelawa Sheikh Kuala.”Daging rusa ini halal,disembelih dengan nama Allah.”

”Tak mengapalah,Tok.Bujang belum lapar lagi,”Bujang melirik pada daging rusa yang sedang dipanggang itu.Matanya terpandang lubang kecil seperti luka tembakan peluru.

“Betul,”Sheikh Kuala angguk kepala.”Peluru Bujang yang menembusi jantungnya. Mujurlah Tok sempat menyembelihnya.”

“Bujang tidak pernah menembaknya,Tok,”Bujang tidak berapa ingat.

“Petang tadi. Di sana,”Sheikh Kuala menuding ke arah sungai dengan tasbihnya.

Baru Bujang teringat kejadian pistolnya tertembak dan nyaris-nyaris kena bapa saudaranya. Teringat kejadian itu,teringat pula kehilangan Kasiman yang belum dijumpai hingga sekarang.

“Dia tidak hilang,”Sheikh Kuala menerangkan sebagai balasan dari bisikan hati Bujang.”Ada di tepi sungai. Dekat batu besar.Dia disembunyikan oleh makhluk jahat dari Gunung Gede.”

Bujang tidak terkejut lagi dengan kebolehan gurunya yang kerap dianggap mencarik adat itu. Sebagai guru mursyid yang bertaraf wali,masa dan tempat bukan halangan.Sheikh Kuala boleh pergi ke mana-mana pada bila-bila masa dengan izin dan kuasa Allah.

“Bujang juga akan jadi seperti ini,insyaAllah,”Sheikh Kuala menjelaskan lagi apa yang tersirat di hati Bujang.”Bawalah ilmu ini baik-baik. Begitu juga dengan ilmu yang diperolehi dari Sheikh Abdullah di Gunung Jerai,serta lain-lain guru.Mengaji dan mengkaji.”

“Wallahi,wabillahi,watallahi,”Bujang bersumpah dengan tok gurunya.

“Subuh semakin hampir,Tok kena balik ke Dayan.Jadikan amal maaruf nahi mungkar sebagai pegangan hidup,”pesan tok gurunya sebagai penutup.

“InsyaAllah,Tok.Kirim salam kepada rakan-rakan Bujang di sana,”pinta Bujang sambil memeluk dan mencium tangan tok gurunya.

“InsyaAllah,”balas Sheikh Kuala.”Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”Bujang melepaskan tangan Sheikh Kuala. Dalam sekelip mata,tok gurunya itu hilang dari pandangan.”Subhanallah…!”

Kerana belum masuk waktu subuhBujang pulang ke tapak perkhemahan di tepi sungai membawa daging panggang yang masih panas.Ibu Yanti sudah bangun untuki menyediakan sarapan mereka.Begitu juga dengan isterinya Kartini.Dia menyerahkan daging panggang itu kepada isterinya,kemudian bergegas ke sebuah batu di tepi sungai.Tepat sekali seperti kata gurunya Sheikh Kuala.Kasiman kelihatan terkontang-kanting di atas batu itu seperti orang dalam kebingungan.Dia memegang tangan Kasiman lalu menariknya menemui Ibu Yanti.Demi terpandang Kasiman,Ibu Yanti terus memeluk anaknya itu sambil meraung dan melolong kegembiraan. Keadaan yang kecoh itu membangunkan semua orang.Bujang tinggalkan mereka dan kembali ke pinggir kolam tinggal untuk mengerjakan sembahyang subuh.

Pagi Ahad itu 6 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 29 Oktober 1652 Masehi, mereka meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di Cirebon yang terletak di pinggir sebuah teluk untuk membeli barang-barang keperluan.Bujang mengambil kesempatan itu untuk menziarahi makam Sunan Gunung Jati yang terdapat di pekarangan Masjid Cirebon.Kerana hari masih pagi,kawasan permakaman itu sunyi sepi tanpa pengunjung lain.Bunga berbagai warna bertaburan di situ,dibawa oleh mereka yang menyimpan hajat tertentu. Kelihatan juga dupa tempat membakar kemayan,lilin-lilin aneka warna serta barang-barang pelik yang tidak diketahui maksudnya diletakkan di atas makam wali yang dianggap suci itu.

Bujang mengutip barang-barang yang berselerak itu,dikumpulkan di suatu tempat untuk dibuang atau dibakar.Di sisi makam Sunan Gunung Jati yang sudah dibersihkan itu,Bujang duduk bertafakur menghadiahkan Al-Fatihah serta memanjatkan doa agar roh wali yang dianggap keramat itu dicucuri Allah sepanjang masa.Tiba-tiba Bujang tercium bau wangi.

“Kurafat,”satu suara garau merungut dari arah tempat barang-barang tadi dikumpulkan.

Bujang menoleh ke sana,bulu romanya meremang.Seorang lelaki berjubah dan berserban putih terbongkok-bongkok  menghidupkan api.Barang-barang yang dianggap tidak berguna itu dibakarnya. Perasaan ingin tahu membawa Bujang ke sisi lelaki tidak dikenali itu. Dia sama-sama menyaksikan semua barang itu dijilat api satu persatu.

“Assalamualaikum,Tok,”Bujang memberi salam menghulur tangan.

“Waalaikumussalam,”lelaki berjubah itu mencapai tangan Bujang yang dihulur,matanya masih tertumpu pada api.Tangan lelaki itu terasa sejuk seperti mayat.Namun,bila Bujang menyapu mukanya,kesan bau wangi dari tangan itu masih harum semerbak.

“Tok ini siapa gerangan?”Bujang memberanikan diri bertanya.

“Kami yang menyerang Kerajaan Hindu di Sunda Kelapa serta menukar namanya kepada Jayakarta,”jelas lelaki berjubah itu tanpa melihat Bujang.”Syukur Alhamdulillah,syiar Islam telah berkembang biak di Tanah Jawa ini khususnya serta di seluruh Nusantara amnya.”

Bujang mengimbas kembali nama-nama yang diketahuinya yang bertanggung-jawab mengembangkan Agama Islam di Alam Melayu.Satu nama muncul dalam ingatannya yang dikaitkan dengan  pembukaan Jayakarta yang kini dikenali sebagai Betawi.

“Betul,”lelaki berjubah itu memalingkan mukanya memandang tepat ke wajah Bujang.Rupanya imam dari masjid tua di pinggir sungai berhampiran istana lama Sultan Fatahillah.”Nama kami Syarif Hidayatullah,”lelaki berjubah itu meneruskan.”Digelar Sultan Fatahillah. Itulah makam persemadian kami.”

“Sunan Gunung Jati,”terpancut nama mulia itu dari bibir Bujang.

Lelaki itu mengangguk.”Anakanda telah mandi air margajiwa di kolah kami.Tanda diterima dalam majlis wali.Namun,anakanda belum lagi bertaraf wali.Malahan,wali kecil pun bukan. Berusahalah ke arah itu.Kami semua sentiasa berdoa semoga tercapai cita-cita anakanda.”

“Betulkah air margajiwa menjadikan anakanda awet muda?”Bujang ingin tahu.

“Dengan izin dan kudrat Allah Taala,ya,”akui Sunan Gunung Jati.”Banyak lagi hikmahnya yang bakal anakanda temui.Jangan lupa bersyukur pada-Nya.Assalamualaikum.”

“Walaikumussalam,”jawab Bujang pada angin kerana Sunan Gunung Jati sudah pun menghilangkan diri dalam sekelip mata.Hanya bau wangi masih berlegar-legar di sekitar permakaman itu beberapa ketika.Dia tahu dia tidak bermimpi atau berkhayal.Buktinya saki-baki sampah-sarap yang dibakar tadi masih berasap.

“Subhanallah,”Bujang menyapu mukanya dengan penuh rasa terharu.

Tidak lama kemudian,dia meninggalkan Cirebon dengan pedati yang disewanya.Pertemuannya dengan Sunan Gunung Jati tidak diceritakan pada sesiapa pun,termasuk pamannya Panglima Kahar.Dia bimbang kalau-kalau disalah-tafsir serta menjadi fitnah orang yang tidak memahami perjalanan ilmu suluk seperti itu.Gurunya kerap berpesan supaya berhati-hati kerana ujian di alam nyata di kalangan manusia lebih dahsyat dan lebih mencabar keimanan.Dia yang baru berusia 28 tahun itu merasakan banyak lagi hal-hal keduniaan yang perlu dipelajari sebagai jambatan ke akhirat.Pedati itu menyusur pantai hinga bertemu Gunung Muria. Dari situ,mereka terpaksa bergerak mengikut lembah Sungai Munik menghala ke pedalaman untuk sampai ke Madiun.

Pagi itu,Daeng Ratna keluar ke geladak bersama dayang-dayangnya tatkala lancang berbentuk finisi Bugis itu belayar dengan tenang mengharungi Selat Sunda menuju ke Laut Selatan. Para pendekar dan hulubalang yang asyik berbual di atas geladak itu segera berundur jauh sedikit sebagai menghormati tetamu istimewa itu.

Lela Wangsa selaku ketua lancang itu menghampiri Daeng Ratna bersama Daeng Andika.

“Ampun patik,Tuan Puteri,”tegur Lela Wangsa.”Bagaimana dengan tempat peraduan?”

“Baik adanya,”Daeng Ratna mengukir senyum.”Beta dan dayang-dayang dapat beradu dengan selesa.Tetapi,alangkah baiknya jika dapat beradu di kurung khas milik Panglima Agung.”

“Kurung itu hanya untuk Panglima Agung serta anak-isterinya,”Lela Wangsa menegaskan,di-angguk oleh Andika.”Hamba diamanahkan menjaganya semasa ketiadaan Panglima Agung. Tunggulah sampai Tuan Puteri menjadi permaisurinya,baru boleh masuk ke sana.”

Daeng Ratna memandang ke penghujung tanah daratan Sumatera untuk menyembunyikan wajahnya yang bertukar merah padam.”Burung terbang jangan dipipiskan lada,”dia menyindir halus.”Guntur berbunyi di langit,belum tentu hujan akan turun.”

“Kalau sudah tersurat di loh mahfuz,burung yang terbang menyerah diri,”balas Lela Wangsa sambil tersengih.”Tuan Puteri beristirehatlah,buat seperti lancang sendiri.Patik ada urusan lain dengan pendekar dan hulubalang.Patik mohon diri.” Dengan penuh taazim,Lela Wangsa mengundurkan diri mendapatkan anak buahnya.Tinggal Andika bersama Daeng Ratna.

“Benar kata panglima perang itu,Dinda,”Andika menyokong.”Burung sudah menyerah diri, sangkarnya sudah tersedia,hanya menunggu saat-saat yang bahagia.”

“Andika bila pula?”selar Daeng Ratna.”Pilihlah dayang-dayang yang ada.Sebut saja anak raja mana yang berkenan di hati,akan diuruskan penuh adat-istiadat.”

“Ada-ada saja Dinda ni,”balas Andika sambil tertawa kecil lalu meninggalkan mereka.

“Tengok tu,bila kita bercakap perihal jodohnya,dia lari,”rungut Daeng Ratna pada dayang-dayangnya,disambut oleh gelak-ketawa mereka.”Kalau perihal jodoh beta,beria-ia benar.”

“Daeng Andika tu pemalu agaknya,Tuan Puteri,”sampuk seorang dayang-dayang.”Atau pun dia penakut dengan perempuan. Lainlah dengan Panglima Agung buah hati Tuan Puteri itu.”

“Kau Murni rapat dengan Andika sejak dari kecil,kau pergilah pujuknya,”gesa Daeng Ratna..

“Takkan perigi mencari timba,Tuan Puteri,”balas dayang-dayang bernama Murni itu.

Tiba-tiba suasana di atas geladak itu menjadi kecoh.Para pendekar dan hulubalang berlari-larian mengambil tempat masing-masing.Lela Wangsa dan Andika kelihatan bercakap-cakap dengan beberapa orang anak kapal.

Daeng Ratna segera mendekati mereka.”Ada apa ribut-ribut ini?”

“Bukan ribut,Tuan Puteri,”balas Lela Wangsa.”Lanun.Pengawal kita di puncak tiang berjaya mengesan mereka dengan menggunakan teropong.Lebih baik Tuan Puteri bersiap-sedia.”

“Beta sudah bersedia,”Daeng Ratna menyingkap kainnya,mendedahkan seluar hitam yang biasanya dipakai pendekar.Kain itu diikat ke pinggang seperti samping.”Dayang-dayang,pergi ambil keris beta.”

“Serikandi rupanya Tuan Puteri,”Lela Wangsa memuji.

“Daeng Ratna ini berguru dengan Tok Kilat,”beritahu Andika.

“Tok Kilat dari Singapura itu?”Lela Wangsa seperti tidak percaya.

“Tok Kilat itu semasa di Tanah Bugis namanya Daeng Samarinda,”Andika membuka rahsia.” Guru silat sendeng yang terkenal.Kami berdua anak muridnya.”

“Bukan orang lain,paman beta juga,”sampuk Daeng Ratna pula.”Dan,sepupu beta yang masih bujang ini adalah anak sulung Tok Kilat.”

“Begitu rupanya,”Lela Wangsa memerhati Andika dan Daeng Ratna silih berganti.”Bertuah patik dengan kehadiran dua orang anak murid Tok Kilat yang terkenal itu.Biar lanun-lanun itu sedar langit itu tinggi atau rendah.”

Seorang dayang-dayang membawa keris yang diminta.”Pergi bersembunyi di bawah,”perintah Daeng Ratna pada dayang-dayang itu sambil menyisip keris Bugisnya ke pinggang. Bersama lain-lain pendekar dan hulubalang,dia bersedia menyambut kedatangan musuh yang tidak diundang itu.

Kira-kira seratus buah perahu lading yang dinaiki lanun-lanun berpakaian hitam serta bertopeng mula merapati lancang itu. Mereka mengepung dan mengejar lancang itu sambil mengacu senjata berbagai jenis. Seorang lanun yang bertindak sebagai ketua bangun bercekak pinggang sambil menjerit dengan lantang,”Berhenti!”

“Jangan berhenti!”perintah Lela Wangsa pada anak buahnya.”Kalau mereka cuba melompat naik,bunuh tanpa bertanya lagi!”

“Kamu semua orang Melayu?”tanya ketua lanun dari bawah.

“Kami angkatan Melayu dari Johor,”Lela Wangsa menjerit balas.

“Kami menyangka kapal Bugis,”ketua lanun itu berkata sesuatu kepada anak buahnya.

“Kenapa dengan kapal Bugis?”Andika pula menjerit ke arah mereka di bawah.

“Kami benci orang Bugis!”jerit ketua lanun itu sambil meludah ke laut.”Mereka yang mencolek isteri Panglima Agung!Kalau berjumpa,akan kami cincang lumat!”

“Bukan semua orang Bugis jahat seperti yang disangka,”Daeng Ratna yang tidak tahan lagi dihina begitu rupa segera menyampuk.

Ketua lanun itu terkejut mendengar suara perempuan.”Kau siapa,wahai perempuan?”

“Daeng Ratna Sari,puteri Daeng Relaku dari Bugis,”suara halus itu menjerit lantang penuh bersemangat.”Lancang ini milik Panglima Agung.”

“Apa kaitan Tuan Puteri dengan Imam Perang kami?”desak ketua lanun itu.

Daeng Ratna menggigit bibir,serba-salah hendak memberi jawapan.

“Sepupu hamba ini akan berkahwin dengan Panglima Agung,”Andika menarik dan kemudian menyarung kemabli keris di pinggang.”Perjuangan kita seiring dan sejalan.”

Nampaknya ketua lanun itu memahami bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh Andika.Dia mengatakan sesuatu kepada anak buahnya dan mereka mula berundur.

“Kami angkatan perang dari Kedah,sedang bersembunyi di sini,”balas ketua lanun itu sebelum turut sama berundur.”Sampaikan salam kami kepada Panglima Agung.”

“InsyaAllah,”jerit Lela Wangsa.

Mereka memerhati kumpulan itu berundur ke pantai berpaya sehingga tidak kelihatan lagi. Lela Wangsa menarik nafas lega. Begitu juga dengan lain-lain pendekar dan hulubalang.

“Nyaris-nyaris berlaku pertumpahan darah yang sia-sia,”Andika merungut.

“Sebab itulah kita perlukan Panglima Agung,”keluh Lela Wangsa sambil melirik pada Daeng Ratna yang sudah melabuhkan kainnya.”Pasukan kita berselerak di merata tempat. Hanya Panglima Agung yang mampu menyatu-padukan dan memimpin kita semua.”

“Dinda sudah tahu siapa Panglima Agung yang sebenar,”kata Andika pula pada sepupunya dari Bugis itu.”Masih juga ingin memilihnya sebagai suami?”

Daeng Ratna merenung tajam ke hadapan,memandang laut yang membiru.”Jika ini jalannya menuju ke syurga,Ratna sedia sehidup semati di sisi Panglima Agung.”

Andika dan Lela Wangsa memandang antara satu sama lain sambil mengangguk.

“Di Pulau Jawa ini memang banyak gunungnya,”beritahu Ibu Yanti dengan senang hati apabila ditanya oleh Bujang tengah hari itu.” Kita baru lewati Gunung Karema dan Gunung Selamet. Di hadapan sana ialah Gunung SumbingKita akan lewati Gunung Merapi,Gunung Lawu serta banyak lagi sebelum sampai di Madiun di sebelah sana.Selepas itu tanah beransur landai sampai ke pantai Laut Selatan kawasan jagaan Nyi Roro Kidul.”

Bujang mendengar dengan teliti setiap maklumat yang diterima.Mereka berhenti rihat berhampiran air terjun untuk makan tengah hari.Bujang baru selesai mengerjakan sembahyang, sisa-sisa air wuduk masih kelihatan pada anak rambutnya.

“Isteri Panglima itu tidak banyak ngobrolnya,ya?”tegur Ibu Yanti melirik pada Kartini.

Walaupun pertanyaan itu ditujukan pada Bujang,Kartini merasa dia perlu menjawabnya.

“Kalau tidak ada apa yang perlu dingobrolkan,lebih baik kita diam,Ibu.”

“Kartini ini mengingatkan Ibu pada…..”

“Barangkali Ibu tersalah orang,”cepat-cepat Kartini memotong cakap Ibu Yanti.”Di dunia ini ramai yang pelanduk dua serupa.Tidak hairanlah kadangkala kita melakukan kesilapan.”

Panglima Kahar memerhati Bujang dan Kartini tetapi tidak berkata apa-apa.

“Barangkali juga,”Bujang menyokong pendapat isterinya sambil melirik pada IbuYanti. Sheila dan kakaknya Isabella makan berasingan tidak jauh dari situ.

“Dari mana Bujang dapat daging rusa ini?”tanya Panglima Kahar mengubah tajuk.

“Kalau Bujang ceritakan pun,Paman takkan percaya,”ujar Bujang penuh rahsia.”Selepas Cirebon,kita singgah pula di Demak,ya,Kartolo.Hamba teringin benar hendak menziarahi makam Wali Sembilan.”

“Bisa diatur,Panglima,”balas Kartolo dengan senang hati.

“Jauh lagi,bung,”rungut Kasiman yang belum pulih sepenuhnya.”perlu ikut Brebes..Pekalongan…Gunung Merapi…Gunung Muria..!”

“Diam,Kasiman,”marah Ibu Yanti pada anaknya.”Nggak tahu omong,jangan masuk mulut!”

“Biarlah,Ibu,”tegur Bujang lembut.”Dia belum sembuh lagi dari penyakitnya.”

“Ada orang sihat dan tahu banyak perkara tapi tidak mahu bercakap,”sindir Panglima Kahar.

“Apa yang Paman cakap ni?”tiba-tiba Kartini memberontak.

“Paman hanya bergurau,”balas Panglima Kahar.”Tidak ditujukan pada sesiapa.”

Bujang juga hairan dengan perubahan sikap isterinya itu.”Betul,Tini. Orang lain yang makan cabai,mengapa Tini pula terasa pedasnya?”

“Tak ada apa-apa,abang,”Kartini segera menyembunyikan perasannya.”Sejak berbadan dua ini,Tini rasa lain macam. Pembawaan anak dalam perut agaknya.”

“Barangkali juga,”sekali lagi Bujang menyokong isterinya. Penjelasan Kartini itu diterima mereka dengan senang hati.Hanya Panglima Kahar memandang ke arah lain bagaikan menyimpan suatu rahsia.Sikap Panglima Kahar itu turut dikongsi oleh Ibu Yanti yang kelihatan mengeluh panjang.

Setelah kekenyangan,mereka meneruskan perjalanan. Suasana agak redup kerana jalan yang berliku-liku di perlerengan gunung itu sentiasa dinaungi pepohon rimbun. Sekali-sekala mereka melalui perkampungan kecil yang terpencil antara satu dengan lain,dipisahkan oleh hutan tebal. Kerana hari semakin gelap dan jalan yang dilalui semakin sukar dilihat,mereka terpaksa berhenti walaupun sumber air belum ditemui.Bujang dan Panglima Kahar turun meninjau kawasan, meninggalkan kaum perempuan di atas pedati.Mereka bergerak berasingan,Bujang dari kanan sementara bapa saudaranya dari kiri.

“Jumpa sumber airnya?”tanya Bujang bila mereka bertemu semula.

“Jangan kata sumber air,tapak yang sesuai untuk didirikan khemah pun tidak ada,”Panglima Kahar memerhati di sekitar mereka.”Nak diteruskan,hari dah malam. Jalan gelap. Nak singgah di sini,agak menyeramkan.Entah-entah binatang buas pun ada.”

“Macam mana,Panglima?”tanya Kartolo dari atas pedati,meminta pandangan.

Bujang tahu mereka semua menyerahkan padanya membuat keputusan. Baik atau buruk terletak di atas bahunya.Dia memandang ke langit yang hitam pekat tidak berbintang. Sekali-sekala kelihatan kilat memancar,diikuti bunyi guruh dari jauh,menandakan hujan akan turun. Dalam keadaan runcing seperti itu,tiba-tiba Bujang ternampak kerlipan api pelita. Api itu datangnya dari celah-celah rimbunan hutan tebal tidak berapa jauh dari situ,memberi harapan baru pada  Bujang. Api bererti ada rumah kediaman.

‘Kamu semua tunggu di sini,jangan ke mana-mana,”pinta Bujang.”Paman jaga mereka.”

Tanpa menunggu jawapan atau bantahan,Bujang terus meredah hutan yang tebal itu menuju ke arah api yang dilihatnya.Akhirnya dia tiba di sebuah pondok buluh.Lantai,dinding dan tiang pondok itu semuanya diperbuat daripada buluh,kecuali bumbungnya beratap daun rumbia. Api yang dilihattnya itu datangnya dari pelita buluh yang dipacak di tepi tempayan. Terdapat sebuah perigi yang dikelilingi pagar buluh di sebelah pondok itu. Cahaya api juga mencuri-curi keluar dari celah dinding pondok. Hidungnya menghidu udara di situ tetapi tidak tercium bau wangi seperti kebiasaannya.

Bujang mendekati pondok itu lalu mengintai dari celah dinding. Seorang perempuan bertelekung putih sedang duduk bersimpuh membawa kitab suci Al-Qur’an dengan suara yang perlahan.Suaranya fasih dan lancar,sebutan ayat-ayat yang dibacanya tidak ada cacat-cela. Bujang serba-salah samaada hendak menganggu bacaan perempuan itu atau kembali ke pedati. Dia tidak tahu perempuan itu jin atau manusia tetapi dia amat memerlukan tempat untuk menumpang pada malam itu.

“Mengapa terhendap-hendap?Jemputlah naik,”tiba-tiba suara dari dalam mempelawanya.

Bujang mengintai semula.Dilihatnya perempuan itu sudah menutup kitab suci Al-Qur’an.

“Assalamualaikum,”tegurnya tenang.”Boleh kami tumpang bermalam di sini?”

“Waalaikumussalam,”balas perempuan itu.”Naiklah. Tapi cucu seorang sahaja.”

“Bagaimana dengan isteri hamba,bapa saudara hamba dan ramai lagi?”Bujang bertanya lagi  melalui celah dinding buluh itu.”Mereka juga perlukan tempat berteduh.”

Perempuan itu diam sejenak,badannya tidak bergerak-gerak seperti tunggul kayu.

“Hati mereka tidak bersih,”akhirnya perempuan itu bersuara.”Kalau mahu berteduh juga,di belakang mereka ada air yang mengalir dari puncak gunung.Gunakanlah.Tetapi hanya satu malam.Besok pagi sebelum matahari terbit,mereka perlu tinggalkan tempat ini.”

“Baiklah,”Bujang akur pada kehendak itu.”Biar hamba maklumkan pada mereka.”

Bujang pun berpatah balik mengikut jalan yang dilaluinya tadi,cincin berbatu zamrud yang dipakainya jelas kelihatan dalam kegelapan itu.Kepulangannya disambut dengan gembira oleh mereka semua.

“Kita bermalam di sini,”kata Bujang pada mereka semua.”Paman,di belakang sana terdapat air pergunungan,cukup untuk keperluan kita.Tapi ingat,besok pagi sebelum matahari terbit,kita mesti tinggalkan tempat ini.”

Tidak ada yang membantah keputusan itu. Mereka turun dari pedati untuk memulakan tugas masing-masing. Panglima Kahar mengikut Bujang pergi ke belakang pedati dan berjaya menemui saliran air yang mengalir dari atas gunung. Saliran itu membentuk kolam kecil sebelum meresap ke dalam batu dan hilang entah ke mana.Dengan menggunakan golok,mereka mencantas  ranting dan dahan-dahan kecil yang menutupi tempat itu,batu-batu disusun bulat supaya kelihatan lebih kemas.

“Apa yang Bujang temui di sana?”Panglima Kahar cuba mencungkil rahsia.

“Nenek Kebayan,agaknya,”ujar Bujang dengan ringkas. Belum sempat bapa saudaranya bertanya lanjut,dia kembali ke pedati menolong menghidupkan api untuk bertanak nasi menggunakan periuk tembaga yang dipanggil potjie. Kartolo dan Kasiman memberi kuda makan. Sheila dan kakaknya pula berihat di atas pedati,tidak berani memijak tanah.Angin semakin kuat, kilat sabung-menyabung di kejauhan. Akhirnya api berjaya dihidupkan menerangi tempat itu.

“Jaga api supaya jangan padam,”pesan Bujang pada isterinya.

“Kayu api tinggal sikit lagi,abang,”Kartini mengingatkan suaminya.

“Gunakan dulu mana yang ada,”Bujang membantu Ibu Yanti menyusun kayu api di bawah

potjie.”Besok kita cari lain. Ibu,minta tolong dua beradik kulit putih itu mengangkat air.”

“Sudah disuruh,mereka keberatan,”kata Ibu Yanti.”Anak-anak  orang besar,katakan.”

Melihat Panglima Kahar dengan Kasiman terkial-kial hendak mendirikan khemah,Bujang menghampiri mereka pula untuk membantu mana-mana yang perlu.Atas cadangannya,khemah itu dibina rapat-rapat. Tiga khemah semuanya.Diikat antara satu sama lain supaya tidak mudah ditiup angin kencang.Ditambat pula pada pedati agar lebih kukuh.Tingginya cukup untuk berdiri mengerjakan sembahyang.Bujang memilih khemah yang paling jauh,kampitnya diletakkan di situ sebagai tanda.Setelah berpuas hati,baru dia meninggalkan mereka semua.

Dia kembali ke pondok buluh yang dikunjunginya tadi. Nenek Kebayan sedia menunggunya di atas pelantar sambil menggobek sirih.Api dari pelita buluh yang meliuk-lintuk menampakkan wajah tuanya yang berkedut dan retak seribu.Telekungnya sudah ditanggalkan,diganti dengan baju kurung labuh serta kain yang sudah lusuh.Rambutnya yang beruban dibaluti sehelai kain selubung  yang juga lusuh tidak tentu warna.

“Assalamualaikum,”tegurnya dari bawah pondok.

“Waalaikumussalam,”terketar-ketar suara Nenek Kebayan menjawab.”Naiklah,cucu.”

“Tempat berteduh sudah disiapkan,”jelas Bujang.”Hamba cuma ingin tumpang bersembahyang di rumah Nenek ini. Di pelantar pun cukuplah.”

“Naiklah,”Nenek Kebayan mengesot ke tepi,memberi ruang kepada Bujang.

Tanpa berlengah lagi,Bujang pun mencapai sebatang pelita damar yang dilihatnya di tepi tangga. Pelita itu dicucuhnya dari api pelita buluh. Dia menyuluh jalan ke perigi. Pada dinding buluh terdapat sehelai kain batik lusuh.Kain itu dijadikan kain basahan. Dia pun mandi dengan sepuas-puasnya,kemudian memakai pakaiannya kembali lalu mengambil wuduk. Nenek Kebayan tidak ada di atas pelantar tetapi sehelai sejadah ditinggalkan terhampar di situ bersama seutas tasbih. Bujang terus menunaikan sembahyang. Kerana waktu sudah lewat,dia mengerjakan solat jamak takkhir,dijamak dan diqasar solat maghrib dengan isya.Kemudian,dia pun berwirid dan berdoa seperti kelazimannya.

Setelah selesai,baru dilihatnya Nenek Kebayan muncul terketar-ketar membawa talam berisi makanan dan minuman. Dia segera bangun mencapai talam itu,diletaknya di atas lantai buluh. Kain sejadah itu dilipat dan diletak ke tepi.Dengan bersusah-payah Nenek Kebayan duduk bersimpuh daan mula menggobek sirih-pinang. “Jemputlah,Cu,”pelawanya.

“Nenek dah makan?”Bujang mencapai sepotong kueh.

“Makanlah…Nenek tak ada gigi lagi,”Nenek Kebayan terus juga menggobek sirih-pinangnya.

“Bismillah….,”Baru sahaja Bujang hendak menyuap kueh ke dalam mulutnya,tiba-tiba semua pelita padam,menjadikan keadaan di situ gelap gelita.Bujang tidak dapat melihat apa-apa.Telinga-nya mendengar seperti bunyi harimau mendengus dari arah Nenek Kebayan. Pondok buluh itu tiba-tiba bergegar bagaikan dilanggar sesuatu.Pelita dinyalakan semula entah oleh siapa. Nenek Kebayan sudah hilang.Tempatnya diganti oleh seorang perempuan muda yang amat cantik.Perempuan itu tersenyum menghulurkan sebuah peti yang sarat berisi wang emas,barang perhiasan dan batu-batu permata.

“Mana Nenek Kebayan?”tanya Bujang,tidak mudah tergoda dengan kilauan harta kekayaan.

“Nenek Kebayan ada urusan,”jawab perempuan muda itu.”Kamilah Nyai Roro Kidul penjaga Laut Selatan.Ambillah semua harta ini,pemberian dari kami.”

“Ratu Laut Selatan,”Bujang teringat cerita yang didengarnya.”Kalau betul kamu penjaga laut, buat apa di tengah hutan rimba ini?”

“Rimba raya dan hutan belantara tempat persinggahan kami,”Nyai Roro Kidul menjelaskan dengan lembut.”Segala harta yang terkandung di perut bumi atau terbenam di dasar lautan,kami yang menjaganya.”

“Kamu ini jin atau manusia?”Bujang cuba menduga.

“Jin bukan,manusia bukan bukan,”jawapan Nyai Roro Kidul penuh teka-teki.

“Kenal cincin dari siapa ini?”Bujang menunjukkan cincin batu zamrud yang dipakainya.

Nyai Roro Kidul tersenyum seolah-olah mengetahui Bujang ingin menduganya.

“Cincin pertunangan dari Mayang Sari,puteri kepada Raja Abal Yusuf yang memerintah Negeri Antah Berantah,”dengan tenang Nyai Roro Kidul menjawab.”Sudah lama kami perhatikan kamu,wahai Panglima Agung.Ingin kami jodohkan kamu dengan anak kami yang bernama Puteri Rabiatul Adawiah timang-timangan Puteri Rubiah.”

“Syaratnya?”Bujang ingin tahu.

“Tidak ada sebarang syarat,”ujar Nyai Roro Kidul.

“Mustahil ikan hidup di darat,mustahil manusia berkahwin dengan makhluk halus.”

“Tapi Panglima Agung telah bertunang dengan Puteri Mayang Sari,”tempelak Nyai Roro Kidul.”Bertunang bererti bersedia untuk berkahwin.”

Bujang terdiam,terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

“Cincin ini hadiah pertunangan dari Mayang Sari,”Bujang menguji lagi.”Apa hadiah dari pihak Puteri Rubiah?”

“Mintalah apa sahaja,akan kami perkenankan,”Nyai Roro Kidul mempelawa.

Dulang makanan ditolak ke tepi,Bujang bangun dari tempat duduknya.”Kata-kata seperti itulah yang banyak menyesatkan manusia,”sindirnya tajam.

“Panglima tersalah-tafsir,”dengan sabar Nyai Roro Kidul menjelaskan.”Benar,kita sebagai makhluk dituntut memohon hanya kepada Allah. Namun,bantuan Allah datang dalam berbagai bentuk dan cara. Panglima sendiri telah mengalaminya sendiri.”

“Baiklah,”Bujang duduk semula.”Kalau hamba bersetuju,apa tandanya?”

Nyai Roro Kidul menghulurkan peti yang sarat berisi itu kepada Bujang.

“Hamba tidak mahu kekayaan itu,”dia menolah.”Cukuplah rezeki yang hamba ada sekarang.”

“Panglima memandang tetapi tidak melihat,”Nyai Roro Kidul menghulurkan lagi peti itu.

Kali ini,Bujang menjengok ke dalam peti itu melihat kandungannya dengan lebih teliti.

“Setiap barang ada hikmahnya sendiri,”jelas Nyai Roro Kidul.”Pilih satu buat penanda.”

“Tak perlu kalung,hamba bukan perempuan,”Bujang memilih barang yang disukainya di dalam peti itu.”Aguk juga pakaian perempuan.Barang kemas ini semua daki dunia. Hamba sudah memiliki banyak cincin.Yang ini?Ya,yang ini hamba suka.”Bujang menunjukkan seutas gelang perak.

“Gelang wafaq nama diberi,pakailah di kanan atau di kiri,”pinta Nyai Roro Kidul.

“Perbuatan yang baik bermula dengan tangan kanan,”Bujang pun menyarungkan gelang perak berukiran naga itu ke lengan tangannya.Tiba-tiba dia merasa seperti diresapi satu kuasa yang tidak dikenali,bulu tengkuknya meremang,bulu romanya tegak berdiri.Dilurut kedua-dua belah tangannya sehingga keadaan kembali seperti biasa.

“Sekarang,sah sudah Kekanda tunangan Adinda,”ujar Nyai Roro Kidul sambil tersenyum puas.

“Tapi,hamba memilih Puteri Rubiah,bukan Nyai Roro Kidul,”Bujang membantah.

“Adindalah Puteri Rabiatul Adwiyah timang-timangan Puteri Rubiah,”jelas Puteri Rubiah sambil tersenyum lagi.”Nyai Roro Kidul hanya gelaran orang-orang Jawa pada Adinda.”

“Dan,Nenek Kebayan tadi?”Bujang terus bertanya.

“Dinda menyamar sebagai Nenek Kebayan untuk menguji Kekanda,”Puteri Rubiah menjelaskan duduk perkara.”Sekarang,baliklah ke pedati sebelum mereka menaruh syak. Tentang peti ini,akan Dinda hantar ke kapal Kekanda.”

“Kapal hamba? Di mana kapal hamba?”

“Di Selat Sunda,sedang belayar ke Laut Selatan mencari Kekanda,”Puteri Rubiah menerangkan perkara yang tidak kelihatan di depan mata.”Nakhodanya bernama Lela Wangsa,keturunan Acheh.Turut bersama ialah seorang puteri dari Bugis bernama Daeng Ratna Sari.”

Bujang terperanjat dengan berita yang diterima.”Kalau benar Puteri Rubiah terus mata,terang-kan di mana isteri hamba Chendana hilang.”

“Isteri Kekanda tidak pernah hilang,”Puteri Rubiah mendedahkan.”Dia hanya dilarikan orang. Sekarang dia berada di Batu Sawar bersama seorang lagi isteri Kekanda bernama Tunku Rahimah timang-timangan Tunku Balqis.”

“Balqis pun ada sama?”Bujang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya lagi.”Tapi, siapa yang terlalu biadab melarikan Chendana?Terangkan pada hamba!”

“Ada perkara yang boleh Adinda ceritakan,ada yang dilarang,”Puteri Rubiah menolak permintaan itu dengan lembut.”Kami juga mempunyai adat dan peraturan.Sekarang,pergilah.”

“Bila akan kita berjumpa lagi?”Bujuang bangun membetulkan kedudukan kerisnya.

“Bila tiba masanya,kita pasti ketemu,”jawab Puteri Rubiah.”Assalamualaikum,Kanda.”

“Waalaikumussalam,Puteri Rubiah,”balas Bujang lalu berpaling dan turun dari pondok buluh.

“Jangan ditoleh sebelum tujuh langkah,”pesan Puteri Rubiah.

Bujang terdiam sejenak memikirkan pesanan itu. Selepas memakai capalnya,dia terus melangkah ke arah lorong di hutan rimba yang ditempuhnya tadi. Di dalam hati dia membilang langkahnya.Selepas tujuh langkah,dia pun menoleh ke belakang. Puteri Rubiah,pondok buluh, tempayan dan perigi sudah ghaib dari pandangan. Semuanya hutan rimba gelap gelita.

“Subhanallah….,”tuturnya perlahan lalu kembali ke tempat perkhemahan.

Nasi dan lauk sedang diedarkan.Mereka baru hendak menjamu selera. Dia pun duduk di sebelah isterinya dan menerima makanan yang dihulurkan. Nasi berlauk daging rusa panggang.

Dia menjenguk ke arah hutan rimba di mana terdapatnya pondok buluh tadi.Gelap dan gelita. Apa yang baru dialaminya terasa bagaikan bermimpi. Tetapi,dia tidak bermimpi.Gelang wafaq yang tersarung di pergelangan tangannya adalah bukti bahawa dia tidak bermimpi. Dia benar-benar telah bertemu dengan Puteri Rubiah,tunangnya dan bakal isterinya.Dulu Mayang Sari,sekarang Puteri Rubiah pula.Hatinya tertanya-tanya, Boleh kah dia berkahwin dengan makhluk selain dari manusia?Apa kah hukumnya? Sah atau tidak? Dia terpaksa mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan yang menjejaskan akidahnya.

Malam itu di Kampung Panchor,Chendana dan Tunku Balqis juga mengalami peristiwa yang mencabar keimanan mereka.Mereka baru sahaja selesai makan dan sedang berihat-rihat di anjung bersama Wan Fatimah. Hujan renyai yang turun sejak pagi tadi sudah lama berhenti tetapi petir dan kilat masih kelihatan memancar-mancar di kaki langit..Langit kelihatan bersih dengan kerlipan bintang, namun bulan terselindung di sebalik awan-gemawan. Datuk Temenggung dan Makm Siti muncul dengan berpakaian cantik seperti hendak menghadiri keramaian.

“Fatimah nak ikut Atuk?”Datuk Temenggung mempelawa cucu kesayangannya.

“Nak,”Fatimah melompat keriangan.

“Pergi tukar pakaian lain,”pinta Mak Siti sambil tersenyum. Fatimah terus berlari masuk.

“Ada keramaian apa,Ayah,Mak?” tanya Chendana kehairanan.

“Bukan keramaian,”jawab Datuk Temenggung.”Duli Yang Dipertuan menerima beberapa orang tetamu dari Barat. Mereka hendak berunding pasal perdagangan dengan orang-orang Melayu.Baginda pun meraikan mereka dalam majlis santapan diraja.”

“Oh begitu,”baru Chendana faham.”Di Kedah pun serupa juga,Kak Balqis?”

“Dulu masa almarhum Ayahanda kerap juga,”balas Tunku Balqis.”Tapi sejak Kanda Tunku Mahmud ditabal menjadi Sultan,dia tidak lagi menerima tetamu dari atas angin. Dia memang benci pada orang Barat,lebih-lebih lagi Belanda.”

Fatimah muncul semula dengan pakaian yang tidak kurang indahnya.

“Kami pergi dulu,”Datuk Temenggung minta diri bersama Mak Siti. Fatimah mencium tangan kedua-dua ibu tirinya sebelum berlari memeluk pinggang neneknya. Mereka turun ke halaman. Berhati-hati mereka melangkahi tanah yang berbecak itu.

“Tinggal kita berdua saja,Kakak,”kata Chendana setelah mereka tidak kelihatan lagi.

“Kakak?”Balqis berfikir sejenak.”Tak payahlah berkakak beradik lagi,Chendana.Terasa macam dah tua padahal usia kita sama sahaja.”

Chendana mengukir senyum.”Kalau abang Bujang ada bersama,’kan bagus.”

“Bilalah agaknya suami kita akan pulang,”Balqis mengeluh.Chendana hanya geleng kepala. Mereka terdiam,sama-sama terkenang kembali saat-saat indah ketika Bujang ada di samping.

“Assalamualaikum,”kedengaran suara perempuan menegur dari bawah.

“Waalaikumussalam,…siapa pula agaknya,”Chendana memanjangkan leher menjengah ke tangga,kemudian mengurut dada terperanjat.Balqis yang menjenguk kemudian juga turut sama terperanjat melihat seorang perempuan muda yang amat cantik sudah tercongok di depan tangga. Pakaian perempuan itu serba kuning,kecuali selendang dan kayu tudungnya yang berwarna hijau pucuk rebung. Belum pernah mereka melihat perempuan secantik itu.

“Boleh kita berbicara barang seketika?’lembut sekali perempuan muda itu bersuara.

“Boleh…silakan er..siapa gerangan ini?’ pelawa Chendana.”Silakan naik.”

Lambat-lambat perempuan muda itu melangkah menaiki tangga,pakaian indah yang dipakainya itu mengeluarkan bau yang harum semerbak. Mereka bersalam-salaman,kemudian duduk bersimpuh menghadap antara satu sama lain.

“Beta bernama Puteri Mayang Sari,anak kepada Raja Abal Yusuf,berasal dari Negeri Antah Berantah,”perempuan muda itu memperkenalkan diri.

Chendana dan Balqis pandang-memandang kehairanan.

“Negeri Antah Berantah?”Balqis mengerutkan dahinya.”Tak pernah dengar pun nama negeri itu. Di mana letaknya?”

“Di alam bunian,”jawab Mayang Sari ringkas.

Sekali lagi Chendana dan Balqis bertukar pandangan.

“Jangan bergurau dengan kami,”Balqis beri amaran.”Kamu kenal siapa kami?”

“Tunku Balqis dan Tun Chendana,isteri Panglima Agung,”Mayang Sari berterus-terang tanpa berselindung lagi.”Beta kemari memohon izin dari cik puan berdua, Bermohon izin untuk berkahwin dengan Panglima Agung.”

Chendana dan Balqis semakin tercengang. Belum pernah perkara seumpama itu berlaku dalam sejarah hidup mereka.

“Mintalah izin darinya,mengapa minta izin dari kami,”suara Balqis berbaur cemburu.

“Kami sudah pun bertunang,”Mayang Sari tidak pandai berbohong.”Kami akan melangsung-kan perkahwinan pada bila-bila masa.Cik puan berdua sebagai isteri tua harus dimaklumkan secara beradat.”

“Siapalah kami hendak menahan abang Bujang berkahwin lain,”Chendana meluahkan perasaannya sebagai isteri.”Tapi,..berkahwin dengan orang bunian….!”

“Orang bunian juga manusia biasa seperti cik puan berdua,”Mayang Sari menerangkan lebih lanjut.”Cuma alam kita berbeza.Kami hidup di alam ghaib,alam yang terselindung dari pandangan

mata kasar manusia.”

“Bagaimana Tuan Puteri berjumpa dengan Panglima Agung?”tanya Balqis lebih bersopan.

“Itu adalah rahsia kami berdua,”Mayang Sari menjawab dengan lembut tetapi tegas.

“Kalau kami tidak izin?”Chendana menentang mata Mayang Sari dengan berani.

Mayang Sari tersenyum.”Perkara yang baik kenapa harus dihalang?Perempuan yang rela bermadu,akan dibina sebuah mahligai emas buatnya di syurga nanti.”

Chendana dan Balqis terdiam.Kata-kata itu meninggalkan kesan mendalam di hati mereka.

“Boleh kami hadiri majlis perkahwinan itu kelak?”Chendana berlembut semula.

“Bergantung pada taraf  keimanan dan ketaqwaan,”Mayang Sari meletak syarat.”Kami tidak mengundang sebarang manusia ke alam kami.Orang itu mestilah jujur,ikhlas,amanah dan bercakap benar.”

Sekali lagi kata-kata Mayang Sari itu berbekas di hati Chendana dan Balqis.

“Urusan sudah selesai,izinkan beta pulang ke istana,”Mayang Sari menghulurkan tangan bersalam dengan  bakal madunya.”Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”balas Chendana dan Balqis serentak. Sebaik sahaja tangan dilepaskan, Mayang Sari terus ghaib dalam sekelip mata.Lenyap begitu sahaja.

“MasyaAllah..!”jerit Balqis,terperanjat lagi.

“Astaghfirullah..!” Chendana turut mengurut dada.

Kemudian masing-masing terdiam,mulut bagaikan terkunci. Seolah-olah mereka belum percaya apa yang baru mereka saksikan dan dengar.Namun,bila dicium tangan masing-masing yang masih berbau wangi,baru mereka yakin mereka tidak bermimpi.Mayang Sari memang wujud.

Ketibaan Bujang di Demak dua hari kemudian iaitu pada hari  Selasa 8 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 31 Oktober 1652 Masehi ibarat mimpi menjadi kenyataan.Kalau sebelum ini dia hanya mendengar sejarah perjuangan Wali Sembilan atau Wali Songo dalam mengembangkan syiar Islam ke seluruh Tanah Jawa setelah mengalahkan Kerajaan Hindu Majapahit,kini dia dapat melihat sendiri kesan-kesan peninggalan dari perjuangan merela. Di saat lancang pimpinan Lela Wangsa selamat berlabuh tidak jauh dari pantai Pelabuhan Jokjakarta,Bujang singgah di makam Sunan Kalijogo di Desa Kadilangu dan makam Ratu Kalinyamat di Japara. Sunan Kalijogo atau nama sebenarnya Raden Mas Syahid memang tidak asing lagi baginya. Manakala Ratu Kalinyamat merupakan sahabat baik dan juga salah seorang guru arwah ibunya yang turut sama berperang menentang Portugis dulu.

Selepas itu Bujang menziarahi pula makam Raden Patah,Raden Terenggono dan Darmokusumo.Kali ini hanya Panglima Kahar ikut sama manakala yang lain tidak sabar-sabar lagi hendak singgah membeli-belah di pekan.Sampai di Masjid Demak,mereka terpaksa berpisah buat sementara waktu kerana Bujang ingin bermalam di situ. Panglima Kahar menemani mereka ke pekan demi menjaga keselamatan.

Ketika Bujang tiba di hadapan pintu gerbang Masjid Agung Demak yang berbumbung tiga lapis itu,hari sudah pun petang. Mereka yang bersembahyang jemaah asar sudah pulang ke rumah masing-masing.Kawasan pekarangan masjid itu sunyi sepi bagaikan tidak berpenghuni. Walaupun begitu,fitrah Bujang dapat mengesan kehadiran  penghuni-penghuni halus yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Sementelah pula,bulu romanya meremang dan bulu tengkuknya tegak berdiri. Bau wangi yang datang entah dari mana sentiasa memenuhi rongga hidungnya. Cuping telinganya juga berdesing lembut dan sekali-sekala terasa seperti ditiup bayu yang sejuk nyaman.

Pengaruh Jawa,Champa dan Patani jelas ketara pada  rupa bentuk Masjid Agung Demak. Susunan bumbungnya berbentuk bunga teratai yangmana mukanya terlungkup ke bawah. Tiangnya kira-kira dua puluh batang,tidak termasuk tiang seri dan tiang peranggap di dalam.Masjid itu mempunyai beberapa buah pintu dengan pintu tengahnya berukir gambar petir manakala di bahagian dalam terukir gambar penyu atau bulus dalam bahasa Jawa. Bujang menjenguk ke dalam melihat tiang seri yang terdiri dari susunan serpihan kayu atau tatal sebagai lambing ikatan perpaduan ummah.Tiang seri itu dibalut dengan kulit kaldai.

Badan Bujang berpeluh setelah puas berjalan-jalan.Dia perlu masuk ke dalam untuk beramal.Kampitnya telah ditinggalkan dalam pedati. Dia hanya memakai pakaian hijau sedondon serta berkeris dua.Tetapi,dia belum mandi lagi. Badannya berbau dan kurang selesa. Dia pun berlegar di luar masjid mencari perigi atau kolah supaya boleh dia mandi membersihkan diri. Akhirnya dia terpandang seorang tok siak sedang menyapu daun-daun kering. Tok siak itu memakai sorjan dan bangkon,pakaian kegemaran orang-orang Jawa.

“Assalamualaikum,”Bujang bertanya dari jauh.”Di mana tempat mandi?”

Sambil menjawab salam,tok siak itu menuding ke belakang masjid tanpa memandang pada Bujang. Bujang mengucapkan terima kasih,lantas bergegas ke tempat yang ditunjukkan. Memang benar di situ terdapat sebuah kolah yang besar serta beberapa buah perigi. Tempat mandi yang dibuat berdinding juga kelihatan. Beberapa helai kain basahan ditinggalkan di jemuran. Bujang mencapai sehelai kain basahan,kemudian masuk ke tempat mandi. Dia mandi membersihkan diri, membuang segala daki dan peluh yang melekat sejak pagi tadi.Baru badannya terasa segar. Dia mengeringkan badan dengan kain basahan sebelum menyarungkan semula pakaian yang dipakainya tadi.Dia membetulkan rambutnya dengan jari-jemari. Terjumpa sebatang sisir entah milik siapa,dia menyisir pula rambut.Selepas mengambil wuduk,dia menyisip kedua-dua kerisnya ke pinggang dan melangkah masuk ke dalam Masjid Agung Demak. Tiada sesiapa pun di situ kecuali dirinya. Saf paling hadapan menjadi pilihannya supaya mudah mendengar bacaan imam. Namun,tempatnya di hujung sekali di sebelah kanan. Di situ dia mendirikan solat sunat. Sementara menunggu masuknya waktu maghrib,dia melakukan zikrullah.Bacaan zikirnya tersembunyi di celah lipatan hati.Namun,kesan dan kuasanya meresap ke jantung,paru-paru,memenuhi dada,naik ke muka,meresap ke otak,turun ke cakra di bawah pusat dan seterusnya ke lain-lain cakra sebelum kembali semula ke hati.Begitulah dilakukan berulang-ulang,bukan sahaja di masjid tetapi di mana- mana ada kesempatan. Ringkasnya,selagi dia bernafas,selagi dia belum tidur,ketika melakukan apa sahaja di mana-mana jua,zikrullah sudah menjadi amalan istiqamah,menjadi darah-dagingnya.

Para makmum muncul seorang demi seorang,berjubah dan berserban. Ada juga berpakaian cara orang Jawa,siap dengan sorjan dan bangkon.Terdapat beberapa orang berpakaian sepertinya iaitu pakaian pendekar dan hulubalang,semuanya memakai senjata yang terselit di pinggang. Satu demi satu saf diisi sehingga akhirnya semua saf penuh,tiada ruang lagi untuk makmum lain.Imam belum muncul,tempatnya masih kosong.Para makmum melakukan amalan sunat masing-masing.

Sekonyong-konyong,bunyi azan berkumandang memenuhi ruangan masjid.Bujang cuba mencari tukang azannya tetapi tidak kelihatan.Suara azan itu agak parau,datang dari arah mimbar dan meremangkan bulu roma. Seluruh ruang tiba-tiba berbau harum yang bercampur-aduk dengan haruman bunga,kasturi,zafaran dan lain-lain haruman yang tidak ketahui jenisnya.Suara makmum menjawab azan itu bergema seperti bunyi lebah.Habis sahaja muazin melaungkan azan,tiba-tiba sahaja Tok Imam sudah tercegat di tempatnya.Berlainan dengan makmum,Tok Imam berjubah hijau dan berserban kuning,kain yang diselempang di atas bahu kelihatan seperti kain songket.

Selesai melakukan solat sunat,Tok Imam pun memimpin semua makmum mengerjakan solat maghrib dengan penuh syahdu.Bacaan Tok Imam jelas dan lantang.Sebutan ayat-ayat tepat serta tidak bersalahan.Namun,surah yang dipilihnya begitu panjang sehingga Bujang terasa kebas-kebas seluruh badan. Selesai solat maghrib,Tok Imam memimpin pula bacaaan wirid. Wiridnya juga panjang-panjang,dibaca berlagu dan lanjut-lanjut,kepala digoyang ke kiri dan ke kanan sehingga menimbulkan satu macam kenikmatan atau zuq.Bacaan doa seperti lazimnya. Namun,Bujang yang memahami sedikit-sebanyak bahasa Arab mendapati bahawa doa-doa itu turut diselitkan tentang majlis aulia,majlis syurak serta perkara-perkara yang jarang disebut dalam doa biasa. Dia mula merasakan sesuatu yang luar biasa tentang imam dan makmum pada malam itu.

Selepas doa ditamatkan,semua diam membisu bagaikan menunggu sesuatu. Tok Imam juga mengisar badannya menghadapi semua makmum dan menunggu dengan sabar. Bujang yang duduk paling kanan di saf hadapan mulanya tidak memahami aturcara majlis itu.Bila makmum di sebelah mencuit bahunya dan memberi isyarat,baru dia faham.Dia pun bangun,melangkah dengan berhati- hati sambil membongkok badan,kemudian duduk bertelut di hadapan Tok Imam.Wajah Tok Imam yang suci bersih,bermisai dan berjanggut lebat seperti kapas dibusar nampak jelas. Tok Imam itu sentiasa tersenyum padanya. Dia pun menghulurkan tangan bersalam,tangan Tok Imam yang dingin seperti mayat tetapi berbau wangi itu diciumnya penuh taazim.Tok Imam meletak tangan kanan yang memegang tasbih di atas bahu Bujang,agak lama juga wajah Bujang ditenungnya. Akhirnya,Tok Imam mengangguk sambil menghadiahkan senyuman dan melepaskan tangan Bujang.

Bujang bangun berundur beberapa langkah sebelum berpaling dan kembali mengambil tempatnya semula.Makmum di sebelahnya pula mengambil giliran. Dan begitulah seterusnya, seorang demi seorang tampil ke hadapan bersalam dengan Tok Imam berserban kuning itu. Sebaik sahaja makmum terakhir balik ke tempat duduknya,Tok Imam pun ghaib dari pandaangan. Sekelip mata kemudian,para makmum pula ghaib. Tinggal Bujang terkontang-kantung seorang diri.

“Subhanallah…,”terpancut pujian itu dari bibir Bujuang.Dia telah bersembahyang jemaah dengan makhluk halus.Mungkin jin,mungkin malaikat,mungkin makhluk rohaniah lain yang tidak diketahui jenis dan sifatnya,hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Sementara menanti waktu isyak, Bujang duduk membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an yang dihafalnya.Seperti kelazimannya,selepas membaca surah Al-Fatihah,dia menyambung dengan surah An-Nas,Al-Falaq dan surah-surah pendek lain sebelum membaca surah A-Baqarah dan surah-surah lain yang lebih panjang. Namun, baru selesai surah Ad-Dhuha,cuping telinganya menangkap suara garau lelaki menyanyi dalam bahasa Jawa. Suara itu datangnya dari ruang dewan di luar masjid.

“…Lir-ilir lir-ilir,tandure wis anglilir,sing ijo royo-royo,tak sengguh temanten anyar…”

Bujang tidak memahami bahasa Jawa dan tidak pernah mempelajarinya. Namun,perasaan ingin tahu menyebabkan dia memberhentikan bacaan ayat-ayat Al-Qur’an lalu bangun menuju ke luar masjid.Hasratnya ingin menegur lelaki Jawa itu supaya menyanyi di tempat lain yang lebih sesuai.

Dilihatnya seorang lelaki separuh usia yang berjubah hitam,memakai sorjan dan bangkon yang juga berwarna hitam,sedang duduk bersandar pada tiang seri,matanya pejam dsambil terus menyanyi lagu Jawa tersebut.” …Cah angon cah angon,penekno belimbing kuwi lunyu-lunyu sun pinekno,kanggo massuh dodotiro. Dodotori-dodotiro,kumitir bedah ing pinggir,dindomono ngrumatono,kanggo sebo mengko sore. Mumpung gede rembulane mempung jembar kalangene ndak surak- sorak hore…”.Tiba-tiba lelaki Jawa itu membuka matanya yang jernih lalu tersenyum pada Bujang.”Assalamualaikum,Panglima Agung.”

Bujang yang hendak marah tidak jadi marah.”Waalaikumussalam.Tuan.”

“Kulo bernama Raden Mas Syahid dari keturunan Ranggelawe,”lelaki itu memperkenalkan diri.

“Raden Mas Syahid?Sunan Kalijogo?”Bujang terus menerpa lalu duduk bersalam dengan tokoh Wali Sembilan yang amat dikaguminya itu.Ketika di Gunung Jerai,dia telah mendalami ilmu persilatan dari anak murid kesayangan Sunan Kalijogo,malam itu berjumpa juga akhirnya dengan mahagurunya.”Kabare….Mahaguru?”

Waras,”balas Sunan Kalijogo sambil tersenyum.”Minta keris itu.”

Dengan penuh hormat Bujang mencabut kedua-dua bilah kerisnya,dengan penuh hormat juga dihulurkan kepada Mahagurunya mengikut gaya hulubalang.Sunan Kalijogo mengangguk,hatinya berkenan.Keris Panjang Diraja diletakkan di atas lantai,Keris Sempana Riau dihunusnya. Bujang agak terkejut kerana sepanjang pengetahuannya,hanya dia seorang sahaja yang mampu menghunus Keris Sempana Riau itu.

“Tandanya kita satu keturunan,”ujar Sunan Kalijogo penuh rahsia seolah-olah dapat membaca isi hati Bujang.”Darah Jawa dari keturunan Ranggelawe.”

Bujang terkedu menerima berita baru itu. Dia juga berdarah Jawa?Cucu-cicit Sunan Kalijogo?

Sunan Kalijogo hanya tersenyum memandang Bujang,keris pendek pusaka itu ditatang seketika, bilah keris yang amat berbisa itu ditenung dengan teliti,seolah-olah cuba menilik sejarahnya. Dari buntil pakaiannya,Sunan Kalijogo mengeluarkan kerisnya sendiri.Keris Jawa Demam   itu dihunusnya,diletak bertentangan dengan Keris Sempana Riau sehingga hujung bilah kedua-dua keris itu hampir bertemu.Dari hujung Keris Jawa Demam tiba-tiba muncul secebis logam berwarna hitam sebesar lidah ayam.Logam itu seakan-akan bergerak.Sunan Kalijogo membaca sepotong ayat Al-Qur’an.Tiba-tiba muncul satu pancaran terang seperti kilat,menyilaukan mata Bujang. Bila Bujang melihat semula,logam hitam itu sudah lenyap entah ke mana.Sunan Kalijogo tersenyum sambil menggosok bilah Keris Sempana Riau itu beberapa kali dari luar ke dalam seperti memasukkan sesuatu.Setelah berpuas hati,Keris Sempana Riau itu disarungkan lalu dipulangkan kepada Bujang.

“Besi kuning dari Keris Kalam Munyeng dan Keris Kiai Sengkelat sudah dimasukkan ke dalam keris itu,”Sunan Kalijogo menuding pada Keris Sempena Riau di tangan Bujang.

Bujang menyisip keris pendeknya,kemudian mennghulurkan keris panjang anugerah Sultan Kedah kepada Sunan Kalijogo.”Bagaimana dengan keris panjang ini,Mahaguru?”

“Keris itu asalnya untuk kemegahan dunia semata-mata,”Sunan Kalijogo menghunus keris panjang itu dengan tenang.Dibelek bilahnya,diteliti pamornya,dibaca ayat-ayat Al-Qur’an yang terukir padanya.”Ayat dari Surah Al-Fatah.Tujuannya bagus.Tetapi,orang yang membuatnya kurang bersih zahir dan batin.” Sunan Kalijogo melurut bilah keris itu beberapa kali,kemudian memulangkan kepada Bujang.”Sekrang sudah diisi dengan hikmah.Gunakanlah dengan sebaik- baiknya.”

Bujang menyarungkan keris panjang itu lantas menyisipnya ke pinggang di sebelah kanan. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dari celah bengkungnya dikeluarkan sebilah kerambit lalu diserahkan kepada Sunan Kalijogo.

“Waduh,”Sunan Kalijogo sedikit terkejut melihat kerambit itu.Diam-diam dihunusnya. “Lawi ayam ini anugerah almarhummah Ratu Kalinyamat kepada seorang serikandi tersohor Acheh. Bisanya bukan kepalang.Ratusan jiwa orang-orang kafir jadi korbannya.”

“Sebenarnya ada sepasang,”sampuk Bujang.”Kembarnya sudah hilang.”

“Tidak hilang,”Sunan Kalijogo menjelaskan.”Sudah dicuri orang. Tetapi,lambat-laun akan kembali juga kepada tuannya.” Sunan Kalijogo membaca sesuatu,kemudian memulangkannya. Ketika menyimpan semula kerambit itu,Bujang terdiam,tidak memahami maksud mahagurunya.

“Ada anugerah untuk cucunda,”Sunan Kalijogo mengeluarkan sehelai baju hitam bertulis ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan tinta emas.”Baju wafaq antakusuma pemberian dari para wali. Gunakanlah untuk memerangi musuh-musuh Allah. Seeloknya dijahit pada baju layang supaya tidak ketahuan orang.”

Bujang menerima anugerah baju wafaq itu dengan rasa penuh tanggung-jawab terpikul di bahu.

“Dari mana cucunda perolehi sabuk itu?”tanya Sunan Kalijogo,menuding kepada bengkung yang terlilit di pinggang Bujang.”Mahukah ditukar dengan yang lebih baik?”

Sebagai jawapan,Bujang membuka bengkung kulit hitam dan bengkung merah. Sunan Kalijogo menukarnya dengan bengkung berwarna merah juga.

“Sabuk kulit kijang putih berbalut kain merah,”Sunan Kalijogo menerangkan.” Gunakan untuk berperang.Tetapi cucunda harus ingat,semua ini hanya alat perantaraan sebagai ikhtiar,kuasa mutlak tetap di tangan Allah.Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,Mahaguru,”Bujang menghulurkan tangan bersalam dengan Sunan Kalijogo..Sebaik sahaja tangan dilepas,mahagurunya terus ghaib dari pandangan.Terpinga-pinga Bujang menuturkan,”Subhanallahiwalhamdulillah…..!”

Dia bangun memakai semula bengkungnya,mengemaskan kedudukan kerisnya,melipat baju wafaq,kemudian kembali duduk di dalam masjid.Bekas tangannya masih berbau wangi.Dia meneruskan amalannya dengan berzikir.Tidak lama kemudian,muazin masuk melaungkan azan waktu isyak.Makmum pun masuk berpusu-pusu.Imam mengambil tempat.Bujang melihat tukang azan,imam dan makmum sudah bertukar. Tiada lagi makmum berjubah dan berserban putih.Kebanyakannya memakai pakaian biasa yang menutup aurat.Imamnya pula tok siak yang menyapu sampah petang tadi. Dia pun ikut sama berjemaah walaupun suasana sudah bertukar.Namun.dia bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan mahagurunya yang juga moyangnya yang telah lama meninggal dunia.Sesungguhnya kuasa Allah tidak dibatasi ruang,masa dan tempat.

“Mengapa ini,Ibu?” Bujang bertanya hairan bila mendapati Ibu Yanti dan Kasiman tidur di rumah wakaf.”Mengapa tidak disewa rumah pesanggerahan?”

“Sudah penuh,”Ibu Yanti bangun dari baringnya.Kasiman anaknya sudah lama berdengkur.

“Mana yang lain-lain?”Bujang duduk berjuntai kaki.

“Tidur dalam pedati,”jelas Ibu Yanti menahan kantuknya.”Pamanmu dengan Si-Kartolo bermalam di pesantren.”

“Ibu boleh ikut sama ke pesantren,”Bujang mencadangkan.

“Orang bukan Islam dilarang ke pesantren,”ujar Ibu Yanti.”Ibu terpaksa tinggal di sini menjaga Sheila sama kakeknya Isabella Cordoba. Kalau Panglima mahu ke pesantren,pergilah.”

“Siapa pula hendak menjaga Ibu,”balas Bujang sambil tersenyum lalu baring terlentang.Baju wafaq yang dilipat itu dijadikan bantal.Kerisnya dicabut diletak di sebelah.

“Panglima pun mahu tidur di sini? Banyak nyamuk,”rungut Ibu Yanti.

“Nyamuk tak akan mengganggu kita kalau kita tidak mengganggunya,”kata Bujang bersahaja.

Ibu Yanti baring semula,menarik selimut menutupi dadanya.Dia menoleh ke arah pedati,kemudian bertanya,”Sudah berapa lama Panglima berkahwin dengan Kartini?”

Bujang mencongak dalam kepalanya.”Belum sampai sepurnama.”

“Panglima tahu Kartini itu seorang janda?”tanya Ibu Yanti lagi.

Bujang ketawa kecil.”Tidak ada bezanya seorang janda dengan perawan.”

“Kartini itu nama sebenarnya Raden Adjeng Kartini,jandanya Sultan Hamengku Buano,”Ibu Yanti berbisik.”Mereka bercerai talak tiga. Dek karena mahu kahwin semula,Kartini mesti cari cina buta.Pak sanggup.Panglima dijadikan cina buta supaya dia bisa kahwin semula dengan Sultan Hamengku Buano,pemerintah Jawa Tengah.”

“Ibu,”Bujang menegur dengan lembut.”Cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar,cakap orang difikir-fikirkan.”

“Terserahlah,Ibu cuma beri nasihat,”Ibu Yanti menarik selimut menutupi mukanya dan terus mengereng membelakangi Bujang.Bujang terdiam memikirkan kata-kata Ibu Yanti itu.

Keesokan harinya Rabu 9 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 1 November 1652 Masehi ,terang-terang tanah lagi Bujang dan rombongannya sudah meninggalkan Demak dan  meneruskan perjalanan ke Madiun.Perjalanan kali ini menempuh yang yang berliku-liku melalui kawasan berbukit-bukau,lembah-lembah yang subur dan kampung-kampung kecil. Semakin jauh ke selatan,jalan semakin sempit,tumbuh-tumbuhan semakin liar,kampung-kampung semakin jarang ditemui dan perlajanan semakin sukar. Pedati terpaksa dipandu berhati-hati kerana jalannya berlubang di sana-sini,dahan-dahan kayu yang merentang laluan serta akar-akar pokok yang menjulur.Mereka berhenti rihat sekejap,kemudian meneruskan perjalanan ke kawasan yang lebih tinggi.Menjelang petang,mereka mula menuruni kawasan berbukit-bukau menuju ke lembah yang landai yang disaliri sebatang sungai.Dari jauh,sungai itu kelihatan bengkang-bengkok dan berteluk.

“Itulah Sungai Bengawan Solo,”terang Ibu Yanti pada Bujang.”Muaranya di Laut Jawa tetapi hulunya bersempadan dengan Daerah Jokjakarta.”

Bujang melirik pada Kartini tetapi isterinya diam sahaja.

“Madiun?”tanya Bujang,melirik pula pada Sheila dan Isabella yang asyik tidur.

“Di lembah sana,kita menghilir hingga ke jambatan besar,”Ibu Yanti tidak jemu-jemu menerangkan.”Madiun di seberang sungai.”

“Kita bermalam di mana?”tanya Bujang pada Kartolo yang memandu pedati.

“Lembah sana!”jeritnya girang.”Tak jauh lagi!”

“ Di sebelah sana Gunung Merapi,di sebelah sini Gunung Legok Sari,”Ibu Yanti semakin ramah dengan Bujang.”Kalau mahu ke Madiun,kita ikut Gunung Legok Sari.”

“Senyap sahaja,macam tidak ada orang,”Panglima Kahar mencelah.

“Siapa yang sanggup tinggal di tempat jin bertendang ini,”ujar Bujang sambil ketawa kecil.

“Kata orang,ini kawasan Jawa Kedul,orang yang suka menyimpan rambut gembel,”sampuk Ibu Yanti.”Mereka juga suka potong kepala orang dan makan daging orang.”

“Hanya kata orang,”Kartini yang diam sejak tadi menyampuk pula.

“Kartini pernah ke sini?”Bujang bertanya ingin tahu.

“Tini “kan berasal dari sini,”Kartini membuka cerita.” Jalan ini pernah digunakan oleh tentera Belanda menyerang Kraton Jojakarta dari darat.”

Bujang menoleh ke arah Ibu Yanti tetapi Ibu Yanti pura-pura memandang keluar.

“Tentu Tini gembira kembali ke kampung halaman,”sindir Bujang.

“Kenapa pula?”bangkang Kartini.”Tini sudah bersumpah tidak akan menjejakkan kaki lagi di daerah ini. Abang yang memaksa Tini kemari.Sekarang,terimalah padahnya.”

“Padahnya dari Sultan Hamengku Buano.Bukankah begitu?”Bujang menyindir lagi.

“Jadi,abang sudah tahu siapa Tini sebenarnya?”tanya Kartini agak terkejut.

“Bangkai gajah boleh ditutup,Tini,”tegas Bujang sedikit kesal.”Raden Adjeng Kartini,janda Sultan Hamengku Buano yang memerintah Jawa Tengah.”

“Dia tidak ada lagi ikatan apa-apa dengan Tini,”Kartini membela dirinya.”Abang suami Tini yang sah.Tiada kuasa di dunia ini boleh memisahkan kita melainkan abang.”

“Jika benar bagai dikata,abang bersyukur,”Bujang memegang tangan isterinya.Tiba-tiba air muka Bujang berubah,matanya melirik tajam ke kiri dan ke kanan.Dia mengeluarkan pistolnya lalu diberikan kepada Kartini.

“Kenapa,abang?”Kartini bertanya hairan.”Di sini tidak ada musuh.”

“Walau apa pun,yang pastinya ada orang sedang memerhatikan kita,”Bujang menjeling pada Panglima Kahar.”Nampaknya kita bergeruh hari ini.Paman jaga di sana,Bujang jaga di sini.”

“Bagaimana dengan Kartolo dan adiknya?”tanya Panglima Kahar,menyerahkan pistol pemberian Bujang tempoh hari kepada Ibu Yanti.

“Pandai-pandailah mereka menjaga diri,”Bujang menyimpan kerisnya di bawah bangku lalu menghunus golok Jambi.Panglima Kahar mencontohi perbuatan Bujang.Mereka membuka pintu pedati.Panglima Kahar membilang,”Satu…dua…TIGA!” Dengan serentak,mereka menjunam keluar menerusi pintu pedati.

Tindakan mereka tepat pada masanya.Sekumpulan penjahat berambut panjang yang sedang menunggu peluang untuk melakukan serang-hendap ke atas pedati yang disyaki membawa barang-barang berharga mengalih perhatian mereka kepada dua orang pendekar bergolok yang muncul entah dari mana.Mereka mula mengepung Bujang dan Panglima Kahar dari semua penjuru. Tetapi,Bujang tidak lagi menanti musuhnya menyerang.Sebaliknya,dia terus menyerbu dengan golok di tangan nkanan dan kerambit di tangan kiri.Begitu juga dengan Panglima Kahar,goloknya sudah dahagakan darah. Mereka menyerang dan mengamuk dengan tidak membilang lawan lagi, menetak dan menikam,merodok dan menyimbat seperti kilat menyambar. Jeritan kesakitan terdengar di sana-sini.Darah merah terpancut ke bumi,musuh jatuh menggelepar satu demi satu.

Pertarungan sengit itu berakhir dengan pantas. Sedar-sedar,Bujang dan Panglima Kahar tercegat dengan senjata berlumuran darah.Musuh bergelimpangan bertindih mayat,ada yang perut terburai, ada yang putus kepala.

Pedati dihentikan tidak berapa jauh di hadapan.Kartolo dan adiknya terjun ke tanah dan berkejar ke belakang dengan celoret masing-masing untuk memberi bantuan. Tinggal kaum wanita menunggu dengan cemas di dalam pedati.Tetapi,kedatangan mereka tidak diperlukan lagi. Musuh yang menyerang sudah bergelimpangan tidak berkutik lagi. Bujang dan bapa saudaranya mara dengan senjata masih terhunus berlumuran darah,pakaian mereka juga bersimbah darah.

Madre de Dios!”jerit Sheila Cordoba sambil memeluk kakaknya.

“Teruskan perjalanan,”perintah Bujang pada Kartolo sambil membasuh golok dan kerambitnya dengan air lopak.

“Cari tempat yang sesuai untuk kita bermalam,”tambah Panglima Kahar pula sambil mengesat mata golok dengan daun rumput.”Di sini ada mayat. Tak elok.”

Mahu tidak mahu,perjalanan terpaksa diteruskan.

Malam sudah melabuhkan tabirnya apabila pedati itu berhenti di pinggir Sungai Bengawan Solo. Mereka mendirikan khemah di tebing sungai yang lebar itu. Bujang menghilangkan diri untuk mandi membersihkan badan serta membasuh darah pada pakaiannya.Dia merasa malu kerana menunjukkan kehandalannya di hadapan mereka semua.Namun,perbuatan telah terlanjur,nasi sudah menjadi bubur. Tangan yang terdorong,bahu terpaksa memikulnya. Diam-diam dia mem-bentangkan kain basahan di atas tanah berpasir. Dalam kegelapan malam di pinggir sungai itu, dengan iringan bunyi air yang mengalir,dia menunaikan sembahyang fardu. Dia menghayati betul-betul setiap bacaannya seolah-olah mengadu nasib pada Allah. Suaranya perlahan dan tersekat-sekat,air matanya jatuh berlinangan membasahi pipi. Bukan dia menyesal kerana membunuh. Musuh yang mengancam nyawa memang patut dibunuh. Tetapi,dia kesal kerana kejadian itu berlaku di depam mata isterinya,bapa saudaranya dan orang-orang yang dihormatinya.Apa kata Ibu Yanti kelak? Apa pandangan Sheila dan kakaknya terhadap dirinya? Bagaimana pula penerimaan Kartolo dan Kasiman? Selesai berdoa,dia tetap tidak berganjak dari tempat sembahnyang. Dia duduk berzikir menghening cipta.

“Abang…,”terdengar suara Kartini menegurnya.”Mari makan.”

Tanpa sepatah kata,Bujang bangun melipat kain basahan lalu mengikut isterinya ke kawasan perkhemahan. Mereka semua menunggu di sekitar unggun api dengan makanan yang sudah disediakan tetapi tidak ada yang berani menjamah makanan. Ibu Yanti duduk bersama Sheila dan Isabella,Kartolo dengan adiknya manakala Panglima Kahar agak berjauhan. Kartini mengambil pinggan berisi nasi dan lauk lalu dihulurkan pada suaminya. Bujang hanya mengangguk tanda terima kasih. Dia duduk di sebelah Panglima Kahar. Dia dapat merasakan semua pandangan tertumpu padahnya. Dengan doa pendek dan lafaz bismillah,dia mula menyuap nasi. Bagaikan isyarat,yang lain-lain meniru perbuatannya.

Suasana senyap seketika,hanya kedengaran nasi dikunyah.

“Membunuh atau dibunuh,itulah kehidupan pendekar,”Bujang bersuara. Meskipun perlahan, suara itu sampai ke telinga mereka kerana masing-masing menoleh ke arahnya.Namun,tidak ada yang berani membantah kata-katanya.Mereka terus makan.

“Berapa jauh lagi,Paman?”Bujang bertanya Panglima Kahar,mengubah tajuk perbualan.

“Kalau mengikut cerita Kartolo,selepas kita menyeberangi jambatan gadang,sampailah kita di Madiun,”balas Panglima Kahatr dengan tenang.”Besok pagi kita bertolak,barangkali waktu zohor  kita akan sampai di sana.”

Kartini datang menghulurkan minuman pada Bujang.

“Panglima usahlah rasa bersalah,”Ibu Yanti memujuk Bujang setelah Kartini kembali ke tempatnya.”Kami tahu Panglima terpaksa bunuh bajingan-bajingan itu.Mereka orang jelik.”

Bujang membasuh tangan lalu meneguk minumannya.Dia mendongak memerhati langit yang dihiasi jutaan bintang.”Bulan terang akan muncul tidak lama lagi,”Bujang memandang tepat ke arah Kartolo.”Kita terus ke Madiun malam ini juga.Upahnya hamba bayar lebih.”

Kartolo memandang emaknya dan adiknya seolah-olah minta pendapat tetapi mereka pura-pura tidak mendengar.Yang lain tidak ada yang berani bersuara,apa lagi membantah.Bagi mereka, membantah arahan Panglima Agung bererti sengaja mencari gara-gara.

Malam itu di atas geladak lancang,Lela Wangsa dan Andika mengadakan perbincangan dengan para pendekar dan hulubalang.

“Sudah dua hari kita berlabuh di sini,”Lela Wangsa memandang ke arah pantai Jokjakarta yang bermandikan cahaya bulan.”Tadi,hamba mendapat tahu bahawa  sultan di negeri ini belum lagi balik dari perburuan.Apa pendapat kamu semua?Mahu tunggu lagi di sini atau kita belayar balik ke Batu Sawar?”

Para pendekar dan hulubalang berbisik sesama sendiri.

“Pendapat hamba,eloklah kita tunggu barang beberapa hari lagi,”Andika meluahkan,disambut dengan anggukan oleh sebahagian besar mereka.”Kita tunggu Panglima Agung. Sudah jauh kita belayar,takkan kita pulang dengan tangan kosong.”

“Kami sokong pendapat Andika,”seorang pendekar membalas mewakili kawan-kawannya.

“Hamba juga mendapat tahu bahawa Panglima Agung mencari Tun Chendana di Madiun,” Lela Wangsa meneruskan lagi.”Mustahil dia akan menemuinya di sana.Hamba khuatir dia akan melencong ke tempat lain dan tidak terus kemari.”

“Jadi,apa yang harus kita buat,Lela Wangsa?”tanya seorang pendekar lain pula.

“Seorang utusan perlu dihantar ke Madiun dengan segera,”sambung Lela Wangsa.”Kita tak mahu ayam terlepas tangan berbau tahi.Berita baik tentang Tun Chendana perlu diketahui oleh Panglima Agung supaya Panglima tidak terus berkelana tanpa arah dan tujuan.”

“Kalau begitu,hamba sanggup,”Andika menawarkan diri.”Mala mini juga hamba boleh bertolak ke Madiun.Tapi,di mana hendak mencari kudanya?”

“Tentang kuda,Andika usah khuatir,”Lela Wangsa menegaskan.”Kita pinjam kuda penduduk. Kalau perlu kita beli,kita beli. Sekarang,pergilah berkemas-kemas,Andika. Kita naik ke darat mencari kuda tunggangan.”

Tanpa disedari oleh mereka,perbincangan itu turut didengar oleh Daeng Ratna dari kawasan gelap yang tidak disuluh cahaya bulan.Dia segera kembali ke kurungnya lalu membuka sebuah peti kayu berisi barang-barangnya. Dari peti itu,dikeluarkan sepersalinan lengkap seorang pendekar. Dia mula menyalin pakaiannya dengan pakaian serba hitam itu. Dayang-dayang tertanya-tanya.

“Mahu ke mana malam-malam begini,Tuan Puteri?”Murni memberanikan diri bertanya.

“Kalian tunggu di sini,jangan ke mana-mana,”titah Daeng Ratna sambil mencapai sebilah keris Bugis.”Beta ada pekerjaan penting dengan Andika.”

Subuh-subuh lagi keesokan harinya, Khamis 10 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 2 November 1652 Masehi , pedati yang dipandu oleh Kartolo dan Kasiman tiba di Madiun.Dalam keadaan keletihan dan mengantuk kerana memandu semalam-malaman,Kartolo memberhentikan pedati itu di hadapan deretan kedai dan rumah-rumah kediaman.Bujang dan Panglima Kahar yang memilih untuk menunggang kuda juga berhenti.Seperti Kartolo dan Kasiman,mereka berdua juga keletihan,mata masing-masing merah kerana tidak cukup tidur.

“Kediaman Tuan Cordoba di sana,”Kartolo menuding dengan jarinya.

“Hantar dulu anaknya yang berdua itu,kemudian cari rumah tumpangan,”Bujang memalingkan kudanya.”Hamba hendak ke masjid.”

Bujang terus memecut kudanya ke masjid tidak jauh dari situ,diikuti oleh Panglima Kahar.

Ketika matahari muncul dari balik gunung,mereka berdua sudah siap mandi,menukar pakaian dan menunaikan sembahyang subuh.Bujang menyarungkan persalinan lengkap seorang panglima, berbaju layang serta membawa panah.Begitu juga dengan Panglima Kahar,pakaiannya mengikut gaya panglima Jambi. Tanpa membuang masa,mereka terus memecut menuju ke pedati di hadapan sebuah kedai makanan. Kartolo dan Kartini sudah menunggu di kedai itu.

“Bujang,biar paman pergi berjumpa kepala desa bertanya khabar,”Panglima Kahar minta diri.

“Baiklah,”Bujang melompat turun dari kudanya,tali kekang ditambat pada tiang kedai berhampiran. Dia melangkah masuk dengan penuh  semangat.”Mana Chendana isteri hamba?” dia terus menyoal Kartolo yang sedang bersarapan bersama Kartini.

“Kalau ya pun,duduklah dulu,”tegur Kartini lembut.”Kita sarapan.”

“Mana isteri hamba?”Bujang terus mendesak Kartolo tanpa mempedulikan Kartini.

“Nggak…nggak ada,”terketar-ketar Kartolo menjawab.

“Apa maksudnya tidak ada?”suara Bujang mula meninggi,menarik perhatian lain-lain pelanggan di kedai itu.

“Maksudnya memang tidak ada,abang,”Kartini menjawab bagi pihak Kartolo.”Chendana tidak dibawa ke Madiun.Tuan Cordoba tidak jadi membelinya.Dia dihantar ke Madura untuk bekerja di lading cengkih.”

“Cis,”Bujang mengepal-ngepal tangannya menahan geram.”Sia-sia sahaja kedatanganku!”

“Makan dulu,abang,”Kartini cuba memujuk sambil menghulurkan sepiring kueh.

“Seleraku sudah tumpul,”bentak Bujang.”Nasi dimakan terasa pasir,air diminum terasa cuka.”

Dengan kata-kata itu,Bujang berpaling lalu kembali ke kudanya dengan langkah yang panjang. Tali kekang dibuka dari ikatan.Sekali lompat,dia sudah berada di atas kudanya.Dia terus memecut pergi seperti ribut.

Selang beberapa meja,Daeng Ratna memberi isyarat kepada Andika supaya mengikut Bujang, kemudian bangun menghampiri meja Kartini.”Boleh kami duduk di sini?”

Kartini mendongak memerhati Daeng Ratna yang berpakaian seperti pendekar tetapi tidak mengenalinya.”Duduklah,tuan hamba.”

“Kenal beta lagi?”Daeng Ratna terus bertanya.”Rumah pesanggerahan di Betawi?”

Kartini mengamati wajah Daeng Ratna betul-betul,kemudian tersenyum.”Tuan Puteri dari Bugis rupanya.Kenapa Tuan Puteri berpakaian seperti ini?Nak pergi belajar silat?”

“Raden Adjeng Kartini,”suara Daeng Ratna mengeras.”Kaulah musang berbulu ayam. Kau upah orang-orang Bugis melarikan Tun Chendana.Kau bohong pada Panglima Agung.Sekarang kau gunakan dia demi rancanganmu yang kotor itu.Kau merancang hendak membolot semua harta kepunyaan Angkatan Fisabillah.”

“Berani kau…!”Kartini cuba bangun tetapi ditahan dengan kasar oleh Daeng Ratna. Kartolo yang tidak tahu-menahu apa-apa segera bangun dan berundur ke tepi.

“Beta tahu kau berbadan dua,”tegas Daeng Ratna.”Sebab itu beta berlembut.Kalau tidak….!”

“Kalau tidak,apa?”Kartini menjegil matanya.”Aku tak takutlah.Aku pun belajar pencak silat.”

Daeng Ratna bangun,tidak mahu melayan  Kartini lagi.”Ingat baik-baik,wahai Raden Adjeng Kartini. Jangan dekati Panglima Agung lagi.Untuk makluman kau,Tun Chendana sudah kami selamatkan,Seri Bija sudah kami usir dari Johor. Kau juga diharamkan memijak bumi Johor atau Tanah Bugis buat selama-lamanya.”

Tanpa menunggu balasan dari Kartini,Daeng Ratna terus keluar dari kedai itu menuju ke kudanya. Dia menunggang dengan tenang mengikut arah yang diambil oleh Bujang and Andika. Pelanggan-pelanggan di kedai itu mula bercakap-cakap sesama sendiri. Mana-mana yang  faham bahasa Melayu mula menerangkan kepada rakan-rakannya dalam bahasa Jawa.

“Kartolo,”Kartini memanggil supir itu menghampirinya.”Kulo sebagai Raden Adjeng Kartini ada tugas yang maha penting untuk sampian….!”

Daeng Ratna yang mengekori cuba mengekori Bujang akhirnya bertembung dengan Andika di pinggir pekan Madiun.”Mana Panglima Agung?”

“Entahlah,”jawab Andika lemah.”Laju betul dia menunggang kudanya,tak terkejar dek kita.”

“Habis,apa kita nak buat sekarang?”Daeng Ratna kelihatan seperti putus asa.

“Ratna balik ke lancang,maklumkan kepada panglima perang apa yang berlaku,”Andika menyuruh sepupunya.”Kanda akan cuba cari Panglima Kahar di Madiun minta bantuannya.”

Setelah perasaan marahnya yang membuak-buak reda,Bujang pun memperlahankan kudanya. Kuda itu kelihatan termengah-mengah akibat berlari kencang sejak meninggalkan Madiun. Hatinya berbuku lagi.Chendana sudah dibawa ke Madura?Di mana letaknya pekan itu? Dia mencari-cari nama itu dari lembaran kenangannya. Mungkin juga Pulau Madura.Ah,biar ke mulut naga sekali pun,Chendana tetap akan dicarinya.

Sedar-sedar,Bujang sudah sampai berhampiran air terjun.Tempat itu dikelilingi oleh pohon-pohon liar yang rendang dan agak terlindung. Dia turun dari kudanya lalu menarik kuda itu ke gigi air.Kuda itu dibiarkan minum sepuas-puasnya.Perutnya berkeroncong kerana belum sempat bersarapan.Demi terpandang busar panah yang tergantung pada pelana kuda,dia mendapat satu akal. Kuda itu ditambat pada sebatang anak kayu dan dibiar meragut rumput. Dia mengambil busar panah itu bersama beberapa bilah anak panah. Dia pun masuk ke dalam hutan mencari binatang buruan.Dia tidak memilih binatang apa asalkan halal dimakan.

Puas Bujang merayau di kawasan itu,akhirnya pendengarannya yang tajam dapat menangkap bunyi desiran daun bagaikan dirempuh sesuatu.Kemudian terdengar kokokan ayam. Dia segera membongkok dan merangkak senyap-senyap menuju ke arah bunyi itu. Dari celah semak-samun, dia mengintai ke sana. Dugaannya tidak meleset. Di atas sebuah busut tertenggek seekor ayam hutan,bulunya yang berwarna-warni menunjukkan ayam itu ayam jantan.Ayam itu mengekas-ngekas memanggil ayam betina. Berhati-hati Bujang memasang anak panah pada tali busar,tali itu ditarik perlahan-lahan sehingga benar-benar tegang.Anak panah itu ditenang kea rah ayam jantan tersebut. Dia menahan nafas.Kalau kena,berlauk ayamlah hari ini,bisik hatinya.Anak panah itu dilepaskan. Bisikan hatinya menjadi kenyataan. Ayam hutan yang tadinya bertenggek megah di atas busut sudah mengelupur di atas tanah,badannya ditembusi anak panah.

Bujang tidak membuang masa lagi.Sambil menggalas busar panahnya,dia lantas menghunus goloknya lalu menerpa untuk menyembelih ayam itu. Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang bukan sebilah tetapi dua bilah anak panah telah menembusi badan ayam hutan itu.

“Sembelih cepat manok itu sebelum jadi bangkai,”pinta satu suara lelaki bertutur Melayu dengan loghat Jawa yang pekat.Sepantas kilat Bujang menoleh ke arah suara itu.Tampak padanya seorang lelaki tercegat di tepi sebatang pokok sambil tersenyum padanya.Lelaki itu tegap-sasa orangnya,berusia dalam lingkungan empat-puluhan,berpakaian sorjan dan bangkon warna kuning keemasan.Misainya keras berdenting. Di tangannya tergenggam sebusar panah.

“Ayoh,jangan bazirin nyawa,”gesa lelaki Jawa itu lagi.

Cepat-cepat Bujang menyembelih ayam hutan yang masih tinggal nyawa-nyawa ikan. Ayam itu dibiarkan menemui ajal di atas tanah.

“Sampian bukan orang sini,”lelaki Jawa itu tampil ke hadapan menghulurkan tangan.

Bujang menyarungkan goloknya lalu bersalam dengan lelaki tersebut.”Bagaimana tuan hamba tahu?”

“Gampang aja,”ujar lelaki itu,senyumnya tidak lekang dari bibir.”Orang sini pasti tahu tempat ini kawasan larangan.Kedua,sampian memakai celana Merlayu dan berkeris Melayu. Ketiga, cara omong sampian.”Lelaki itu meneliti ayam yang sudah mati itu.”Dari jarak seratus ela,tepat dan jitu pada sasaran. Bukan sembarangan sampian ini. Apa nama sampian?”

“Bujang,baru datang dari Johor,”Bujang memperkenalkan diri.

“Manok itu ambillah buat lauk,”pelawa lelaki Jawa itu.”Tapi,lain kali memburunya hati-hati sikit. Jangan memburu di kawasan larangan.”

“Hamba berjanji pisang takkan berbuah dua kali,”balas Bujang dengan jujur.

“Permisi,”lelaki Jawa itu minta diri sambil melambaikan tangan.Kemudian,dia berpaling lalu segera masuk semula ke dalam hutan. Bujang membawa balik ayam hutan itu ke pinggiran air terjun untuk dibuang bulunya,dibersihkan dan dipanggang.Semua barang keperluannya ada dalam kampit kulit yang terikat pada pelana kuda. Tidak lama kemudian,Bujang duduk menikmati ayam panggangnya di bawah pohon rendang sambil mendengar kicauan burung dari kawasan sekitar.

“Di sini rupanya abang,”tiba-tiba Kartini menegurnya,

Bujang terkejut dan nyaris-nyaris membuka langkah silat.Kartini turun dari kudanya lalu menghampiri suaminya itu dengan senyuman yang dibuat-buat.

“Tini buat apa di sini?”Bujang bangun menghulurkan separuh ayam panggangnya.

“Mencari abanglah,”Kartini mula menjamah ayam itu.”Kenapa abang terlalu cepat melatah? Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan.Kalau Chendana dibawa ke Madura,kita carilah dia di sana pula.”

“Benar kata Tini,”Bujang menghabiskan saki-baki daging ayamnya lalu beredar ke gigi air membasuh tangan dan mulut.”Tadi abang hampir-hampir hilang pertimbangan.Maklumlah,abang amat menyayangi Chendana sejak kami remaja lagi.”

“Jadi,abang tak sayang Tini?”suara Kartini berbaur cemburu.

“Tentulah sayang juga,”balas Bujang sambil mencubit pipi isterinya.”Tadi,abang bertemu dengan seorang lelaki Jawa yang budiman.Orangnya manis dan tampan.Syang sedikit,misainya seperti misai kucing.”

Kartini ketawa terbahak-bahak mendengar lelucon itu.”Siapa orangnya?”

“Abang tak kenal,”balas Bujang dengan selamba.”Entah-entah Sultan Hawengku Buano.”

“Memang kulo orangnya!”sahut satu suara kasar dari belakang mereka.

Kerana terkejut,Bujang melompat membuka langkah silat.Namun,dia menarik nafas lega apabila dia mengenali lelaki Jawa yang baru dikenalinya tadi.Rupanya gurauan menjadi kenyataan. Lelaki Jawa itu memang Sultan Hawengku Buano.

“Kang mas,”Kartini berseru lembut merapati bekas suaminya itu.

“Mas Kartini,”Sultan Hawengku Buano terus memeluk bekas isterinya itu di hadapan Bujang tanpa segan silu lagi. Bujang mara hendak meleraikan mereka,darah mudanya naik semula. Tiba-tiba dia dapati kawasan itu sudah dikepung oleh perajurit-perajurit Jawa  yang lengkap bersenjata.

“Oh,inilah kiranya Panglima Agung yang termashyur  itu,”Sultan Hawengku Buano tertawa berdekah-dekah sambil melepaskan Kartini dari pelukannya.”Panglima Agung, tinggalkan Tanah Jawa ini. Kulo beri tempoh sampai besok pagi.”

“Bagaimana dengan isteri hamba?”tanya Bujang.

“Sebagai jaminan,Raden Kartini terpaksa kulo tahan,”Sultan Hawengku Buano memegang tangan Kartini.”Ingat,jangan cuba mencari gara-gara dengan kulo!”Dia terus menarik Kartini pergi dari situ. Bujang cuba membantu tetapi dadanya diacu dengan beberapa bilah lembing yang tajam berkilat.Setelah Sultan Hawengku Buano dan Kartini agak jauh,baru dia dilepaskan.Kuda Kartini dibawa mereka pergi.

Ditinggalkan bersendirian di tepian air terjun itu,Bujang duduk termenung memikirkan rencana hendak menyelamatkan Kartini.Anak dalam kandungan Kartini itu adalah anaknya hasil dari  perkongsian hidup dengan Kartini. Kalau ikutkan hati,mahu sahaja dia merempuh istana Sultan Hawenku Buano dan mengamuk membunuh seberapa ramai yang boleh. Tetapi cara itu kurang bijak dan boleh mengancam keselamatan Kartini.Dia perlu mencari jalan keluar yang terbaik.

Mendengar bunyi rengekan kuda,Bujang cepat-cepat bersembunyi di sebalik pokok. Diam-diam dia menunggu kemunculan tetamu yang tidak diundang itu.Tetapi,demi terpandang Andika yang datang menunggang kuda,dia menarik nafas lega.Begitu juga dengan Andika, Melihat kuda yang tertambat ke sebatang anak kayu,dia mengenali kampit kulit kepunyaan Bujang.

“Panglima Agung!”dia memanggil sambil turun dari kudanya.

Bujang pura-pura tidak mendengar. Dia ingin melihat gelagat  sahabatnya itu.

“Panglima Agung!Ini hamba!”jerit Andika lagi,matanya liar memandang sekeliling.

Melihat sebatang ranting kayu berhampiran,Bujang mendapat satu akal. Senyap-senyap ranting kayu itu diambilnya,kemudian dibaling kuat-kuat kea rah kepala Andika.Dengan tangkas,Andika tunduk sambil menangkap ranting kayu itu. Bujang beredar dari pokok itu sambil tertawa kecil.

“Hai,..pendekar juga kau ni,Andika,”dia memuji menghampiri sahabatnya.

Mereka bersalaman dengan erat kerana sudah lama tidak berjumpa.

“Kau masih lagi mengikut kapal Nakhoda Ali?”tanya Bujang.

“Dah berhenti,Panglima.Hamba ingin berjuang bersama Angkatan Fisabilillah,”Andika menambat kudanya berhampiran kuda Bujang.”Panglima,hamba membawa satu berita baik.”

“Berita apa,Andika?”tanya Bujang tanpa mengesyaki apa-apa.

“Sebenarnya dua berita baik,Panglima,”Andika menjelaskan.”Pertama,Tun Chendana isteri Panglima sudah kami temui di Melaka.Dia sihat dan wal-afiat,sekarang berada di Batu Sawar.”

“Benarkah bagai dikata?Alhamdulillah,”Bujang menyapu mukanya tanda bersyukur,dari celah jari-jemarinya mengalir air mata. Dia segera berpaling ke arah lain untuk menyembunyikan wajahnya dari dilihat Andika.”Berakhir sudah pencarianku.” Dia menggosok matanya,kemudian berpaling semula kea rah Andika,”Berita yang kedua,Andika?”

“Berita yang kedua ialah lancang Panglima sudah berlabuh di pantai Jokjakarta tidak jauh dari sini,”Andika hendak memberitahu tentang Daeng Ratna tetapi tidak jadi.”Lela Wangsa dan semua orang-orang kita menunggu di sana.”

‘Kalau begitu,apa ditunggu lagi?Ayuh!”Bujang terus mencapai tali kudanya.

Kepulangan Bujang ke lancang yang baru dibelinya itu ibarat sirih pulang ke gagang. Dia disambut dengan meriah oleh anak buahnya,terutama sekali Lela Wangsa. Mereka bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan penuh mesra.Tetapi,Bujang agak hairan.Salah seorang anak buahnya itu bagaikan tidak mempedulikan kepulangannya.Pendekar muda itu berdiri membelakanginya sambil memandang ke daratan.

“Pendekar baru ke?”tanya Bujang pada Lela Wangsa dan Andika.

“Itu sepupu hamba,baru datang dari Makasar,”beritahu Andika penuh rahsia.

Bujang mendekati pendekar muda itu lalu menepuk bahunya.”Siapa namamu,Pendekar?”

Pendekar itu memalingkan kepalanya. Serentak dengan itu,dastarnya ditanggalkan. Maka terhurailah rambut yang panjang yang tadinya disanggul dan ditutup dengan dastar. Secepat kilat, Bujang mengenali wajah yang menjadi impiannya itu.

“Ratna…,”Bujang berseru.

“Abang…,”Daeng Ratna membalas,mata bertentang mata.

Sedar-sedar,Bujang sudah berpelukan dengan Daeng Ratna,melepas rindu dendam masing-masing.Hidung Bujang tercium bau rambut yang harum seperti bunga.Bunyi tepukan dan sorakan gemuruh dari anak buahnya menyedarkan Bujang dari khayalan. Dia segera melepaskan Daeng Ratna dari pelukan. Daeng Ratna juga kelihatan tersipu-sipu,wajahnya merah padam.

“Maafkan hamba,Tuan Puteri,”pohon Bujang.”Hamba tidak sengaja.”

“Tidak mengapa,”suara Daeng Ratna lembut.”Tolonglah jangan berhamba berputeri dengan Ratna lagi,abang.”

“Yakah?Err…,”Bujang beralih pada Andika.”Andika,rupanya ada lagi berita baik yang tidak kau ceritakan padaku.”

“Hamba sengaja ingin mengejutkan Panglima,”jawab Andika.”Barulah lebih manis dan lebih bermakna.” Mereka ketawa beramai-ramai.

“Abang,izinkan Ratna pergi menukar pakaian,”pinta Daeng Ratna.

“Silakan,”Bujang memberi keizinan.Dia memandang penuh Daeng Ratna disambut oleh dayang-dayangnya lalu dibawa ke kurung di bawah geladak. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Air mukanya berubah. Kerana terlalu gembira berjumpa Andika,mendengar berita tentang Chendana serta bersua pula dengan Ratna,dia terlupa sebentar masalah dengan Sultan Hawengku Buano. Anak buahnya yang melihat perubahan air mukanya itu tertanya-tanya.

“Lela Wangsa,Andika,kawan-kawan semua,”Bujang mendang ke darat di mana kelihatan istana Sultan Hawengku Buano.” Ada pekerjaan penting yang perlu hamba lakukan besok.”

Pada pagi Jumaat 11 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 3 November 1652 Masehi,

Bujang berjalan kaki seorang diri masuk ke pekan berhampiran istana Sultan Hawengku Buano. Dia berpakaian lengkap seorang pendekar tetapi hanya memakai Keris Sempana Riau. Dua bilah kerambitnya disembunyikan di celah bengkung kulit kijang putih yang dibalut kain merah. Baju layang yang telah dijahit dengan baju antakusuma di sebelah dalamnya oleh Ratna berbuai-buai ditiup angin dari laut. Walaupun dia sudah bersarapan di lancang,dia singgah juga di sebuah warong yang bertentangan dengan pintu gerbang istana.

“Gado-gado dan air kopi,”katanya pada pelayan perempuan yang menghampiri mejanya.

Mendengar gaya percakapan yang asing bagi orang Jawa,pelayan itu sudah tahu siapa Bujang sebenarnya.Begitu juga dengan pelanggan-pelanggan lain. Pucat-lesi wajah pelayan itu. Para pelanggan pula tidak berani bercakap kuat-kuat,sebaliknya hanya berbisik sesama mereka. Bila juadah yang dipesan tiba,Bujang pun makan dengan tenang.Dia tidak mempedulikan desas-desus yang berbunyi di sekitarnya.Hari itu,dia sudah nekad. Dia akan menyerbu ke dalam istana Sultan Hawengku Buano dan menyelamatkan Kartini.Barang siapa yang cuba menghalang,buruk padahnya.Namun,hajatnya hendak masuk ke istana itu tidak kesampaian.Baru beberapa suap,tiba-tiba suasana di dalam warong itu menjadi senyap.Para pelanggan bangun dan bergegas keluar satu demi satu.Dia berpaling ke arah pintu masuk warong itu.

Sultan Hawengku Buano tercegat berpeluk tubuh diapit oleh dua orang panglimanya yang bengis.Berlainan dengan keadaan sebelumnya,pagi itu dia berpakaian rasmi seorang raja, siap dengan mahkota dan pending emas.Sarung dan hulu kerisnya juga diperbuat daripada emas. Matanya dengan alis yang tebal dipicing ketika bertentang mata dengan Bujang,seolah-olah ingin menunjukkan kegarangan dan kejantanannya.

“Berapa bayarannya?”tanya Bujang pada pelayan  perempuan.

“Dua guilder,”jawab perempuan itu.

“Berapa?”tanya Bujang lagi.

“Errr..percuma…nggak payah bayar,”perempuan itu tersalah sangka dan menyangka Bujang marah. Bujang meletakkan dua keping wang perak Belanda di atas meja itu.

“Berani sampian injak kawasan kraton selepas diberi amaran,”Sultan Hawengku Buano menghampiri meja Bujang.”Apa sampian sengaja mencari gara-gara?Atau sampian tidak sayangkan nyawa?”

Bujang bangun berhadapan dengan Sultan Hawengku Buano.”Kedatangan hamba hanya dengan satu tujuan.Bebaskan Paman hamba Panglima Kahar dan isteri hamba Kartini.”

“Sampian bilang satu tujuan,sekarang sudah jadi dua,”Sultan Hawengku memandang tepat ke wajah Bujang.”Kulo bisa bereskan permintaan pertama. Permintaan kedua,kulo pohon ampun. Raden Adjeng Kartini akan kulo nikahi semula.”

“Itu barang yang mustahil,”tegas Bujang.”Kartini masih lagi menjadi isteri hamba yang sah di seri adat dan syarak.”

“Ceraikan dia!”jerit Sultan Hawengku Buano.”Sampian akan diberi upah paling lumayan!”

“Dengan segala hormat,hamba menolaknya,”tegas Bujang lagi.

“Kalau begitu,selepas solat kita ketemu dalam sayembara maut,kita jumpa di padang kraton,” Sultan Hawengku Buano mencebik mulutnya.”Hari ini penghulu segala hari,hari yang bertuah untuk mati!”

“Kalau orang sudi menjual,hamba sudi membelinya,”Bujang menyahut cabaran itu.

“Jangan lupa bawa kain kafan,”sindir Sultan Hawengku Buano. Dia berpaling dan terus meninggalkan warong itu,diiringi oleh dua panglimanya.Bujang duduk semula menunggu kemunculan bapa saudaranya dari tawanan. Pelanggan yang lari  kembali semula menyambung sarapan pagi yang terganggu.Tetapi,mereka masih tidak berani bercakap-cakap. Sultan Hawengku Buano rupanya berpegang pada janji. Tidak lama kemudian,Panglima Kahar keluar dari kraton dalam keadaan selamat tanpa sebarang cacat-cela. Bujang bangun menyambut kedatangan bapa saudaranya dengan gembira lalu mengajaknya balik ke lancang.

“Sayembara?”mereka semua bertanya serentak.

“Begitulah kehendaknya,”Bujang menyatakan kepada anak buahnya yang duduk-duduk berihat di atas lancang.”Hari ini,selepas sembahyang Jumaat.”

Anak buahnya diam,masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.Kerana matahari memancar terik ,mereka berlindung di bawah lelangit,layar,tiang dan apa sahaja asalkan cahaya matahari tidak membakar kulit mereka.

“Sultan Hawengku Buano tinggi ilmu persilatannya,”Panglima Kahar memberitahu  dengan lantang agar semua dapat mendengarnya.”Kata orang,dia berguru dengan Nyai Roro Kidul. Kalau tidak,masakan Paman berjaya ditawannya dengan mudah.”

“Nyai Roro Kidul? Ratu Laut Selatan yang terkenal dengan ilmu sakti itu.?”Andika geleng kepala dan mula menampakkan keraguan.”Kalau hamba,tak sanggup.”

“Mambang laut,”Lela Wangsa mencemuh.”Kami orang Acheh tidak takut dengan jin. Kami lawan dengan ayat-ayat suci Al-Qur’an.”

“Jin juga boleh membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an,”tempelak Panglima Kahar.

“Hamba dengar,jin laut ini kuat-kuat belaka,”seorang pendekar mencelah.”Sebangsa dengan Jin Afrit.Terkena anginnya sahaja,kita boleh lumpuh seluruh badan.Inikan pula kalau terkena rempuhannya.Memang tidak ada harapan langsung.Qallu inna.”

“Benar katamu,Hassan,”Bujang menyokong.”Bangsa jin jangan dibuat main.Alang-alang bertempur,kecundang kita dibuatnya.”

“Jadi,Panglima akan menarik diri dari sayembara ini?”tanya Lela Wangsa.

Belum sempat Bujang menjawab,Andika menyampuk,”Kalau hambalah,buat apa dilayan cabaran sultan gila itu?Apa ada pada Daeng Kartini?Kalau dia hendakkan sangat,lepaskan saja,habis cerita.”

“Tidak semudah itu,Andika,”bantah Bujang.”Kartini isteri hamba itu sedang berbadan dua.”

Mendengar penjelasan Bujang,mereka semua menggelengkan kepala. Buntu.

Bujang juga terdiam.Dia tidak gentar berhadapan dengan Sultan Hawengku Buano. Sementelah pula,Nyai Roro Kidul itu sudah menjadi tunangnya.Masakan Nyai Roro Kidul akan menganiayai bakal suaminya sendiri?Lagipun,dia tahu Puteri Mayang Sari tidak akan berdiam diri.Dia jua dibekalkan dengan Keris Sempana Riau,baju antakusuma dan sabuk kulit kijang putih. Bukan dia percaya kepada benda-benda yang karut-marut itu tetapi setiap ciptaan Allah ada kelebihan masing-masing,terutama sekali anugerah dari para wali.

Persoalannya sekarang bagaimana hendak menyelamatkan Kartini tanpa melukakan hati sesiapa,lebih-lebih lagi hati Sultan Hawengku Buano?Anak dalam kandungan tidak harus dijadikan mangsa.

“Paman setuju dengan pendapat Andika,”Panglima Kahar pula menyampuk.”Sebuah rumah memerlukan tiang yang kukuh. Kalau salah satu tiangnya dimakan bubuk,eloklah dibuang atau diganti sahaja dengan tiang lain.Jika tidak,lambat-laun rumah pasti rubuh menyembah bumi.”

“Halus betul kiasan Paman,”tegur Bujang.”Kalau dipandang berlaba,kalau dihitung termakan.”

Giliran Panglima Kahar pula mengerut dahi kerana tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata anak saudaranya itu. Yang lain-lain menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Beginilah,”Bujang membuat keputusan muktamad.”Hamba akan turun ke darat menunaikan solat sunat dhuha sebelum sembahyang Jumaat.Mudah-mudahan dengan berkat amalan itu,Allah Taala tunjukkan jalan penyelesaian yang terbaik.”

“Boleh kami ikut Panglima?”Lela Wangsa mengajukan soalan bagi pihak semua.

“Terpulanglah,”Bujang memberi keizinan.”Tetapi,jangan berkumpul setempat.Berpecahlah dalam beberapa kumpulan kecil.Lancang ini juga mesti dikawal rapi.”

“Baiklah,hamba akan bahagikan tugas masing-masing,”Lela Wangsa berjanji.

“Cuma satu pesan hamba,”Bujang memberi amanat,mereka semua memasang telinga dengan teliti.”Kita ibarat telur sesangkar,pecah sebiji pecah semua.”

Selesai sahaja sembahyang Jumaat,manusia berpusu-pusu keluar dari masjid kerana hendak menyaksikan sayembara di padang.Bujang masih terpaku di tempat duduknya.Sebelum itu,dia sudah pun melakukan sembahyang sunat dhuha 12 rakaat memohon bantuan dan restu Allah Taala dalam perjuangannya mencegah kemungkaran.Menjelang masuknya waktu zohor,dia hanyut dalam zikrullah,bertasbih,bertahmid dan beristghfar.Sekarang,dia merasa benar-benar yakin. Ilmu persilatan dan persulukan yang diamalkan selama ini dirasakan sudah cukup mantap. Dia bersedia menghadapi apa sahaja,hatta berhadapan dengan maut.

Masjid sudah kosong sepenuhnya ketika Bujang bangun mengemaskan pakaian pendekarnya dan membetulkan kedudukan Keris Sempana Riau.Dua bilah kerambitnya terselit rapi di celah bengkung merah. Dia tidak memerlukan Keris Panjang Diraja,maka keris itu ditinggalkan dalam kurungnya di atas lancang.Semua petua hulubalang sudah dilakukan.Semua lubang-lubang pancainderanya sudah dikunci suapat tidak dimasuki unsur-unsur jahat.Dengan lafaz bismillah serta sepotong ayat Nabi Sulaiman,dia pun melangkah meninggalkan mesjid itu.

Padang di mana akan berlangsungnya sayembara itu sudah penuh sesak dengan lautan manusia. Masing-masing menunggu dengan sabar biar pun matahari memancar terik di atas kepala.Di tengah padang dipasang dengan tali serta dibiarkan kosong sebagai gelanggang pertarungan. Berbagai jenis senjata tajam diletakkan di atas pangkin di tepi gelanggang.Di tengah gelanggang tercegat Sultan Hawengku Buano berpakaian seperti panglima besar perajurit Jawa. Dia berpeluh tubuh,wajahnya garang,badan basah bermandikan keringat.Ketika Bujang mara menghampiri padang itu,orang ramai mengelak memberi jalan.Tiada yang bersuara.Masing-masing senyap sepi, hanya perhatian mereka tertumpu pada Bujang. Bujang melangkah masuk ke gelanggang dengan tenang.Dia tidak nampak sesiapa lagi.Tumpuannya hanya pada Sultan Hawengku Buano.

Tiba di hadapan Sultan Hawengku Buano,Bujang membuat penghormatan pendekar,kemudian menghulur tangan kanan untuk bersalam.Sultan Hawengku Buano terkejut dengan tindakan yang tidak disangka-sangka itu.Itu maknanya mereka bersahabat,bukan bermusuh. Serba-salah juga dibuatnya. Akhirnya salam itu disambut.

“Sampian memangnya pemberani,”puji Sultan Haweng Buano.”Tapi,kulo kira belum terlambat bagi sampian menarik diri. Apa harganya maruah jika dibayar dengan kematian.”

“Kerbau dipegang pada tali,manusia dipegang pada janji,”Bujang berfalsafah.

“Ya,meludah tidak bisa menjilat kembali,”tegas Sultan Hawengku Buano.”Kita mulakan sayembara sekarang.Raden Adjeng Kartini jadi pertaruhan.Maju!”

Bujang tidak maju,sebaliknya berundur setapak.Tiba-tiba Sultan Hawengku Buano melepaskan satu jurusan kebatinan,dari jari-jemarinya keluar api bertali-tali menyambar tubuh-badan Bujang. Diserang secara mendadak tanpa sebarang amaran,Bujang tidak sempat mengelak.Dia hanya sempat menangkis dengan kedua-dua telapak tangannya.Terasa bahang api semakin panas. Belum sempat api itu mencecah kulitnya,tiba-tiba berlaku satu letupan kuat.Bagaikan ditolak sesuatu, dia terpelanting ke belakang.Cepat-cepat dia berguling dan melenting membuat penantian pendekar.

Marah kerana pukulannya tidak berhasil,Sultan Hawengku Buano melepaskan bola api tepat ke dada Bujang.Bujang menahan dengan tapak tangannya.Bola api itu berlegar-legar di atas kepala Bujang,menunggu peluang membakar hangus tubuh-badan Bujang. Orang ramai lari bertempiaran menjauhkan diri dari gelanggang.Tiba-tiba bola api itu meluru ke arah belakang Bujang. Bujang melenting ke sisi,bola api yang ditujukan padanya hinggap di perdu pokok lalu membakar pokok tersebut.Orang ramai lari bercempera hingga ke tepi padang.

Sultan Hawengku Buano tiba-tiba melompat tinggi lalu mengapung di udara seperti burung. Dia bagaikan melontar sesuatu.Bujang tahu serangan jurus itu dikenali sebagai Semilir Sakti,jika kena jantung pasti hancur umpama disiat-siat dengan pisau.Bujang bertahan,mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu,kemudiab mencantas angin.Sultan Hawengku Buano jatuh menjunam bagaikan layang-layang dikerat tali,terus tenggelam ke dalam tanah.Bujang ternampak rumput di padang itu bergerak-gerak ketika lawannya meluncur laju di bawah permukaan tanah menuju ke arahnya. Tanah itu berlorong seperti dibajak. Bujang membuat Garisan Laksamana dengan jari telunjuknya. Tanah berlorong yang menuju ke arahnya tiba-tiba terhenti bila terlanggar garis itu. Bumi bergegar,pepohon bergoyang oleh dahsyatnya perlanggaran tersebut. Sultan Hawengku Buano muncul dari dalam tanah,lantas berdiri di hadapan Bujang,badannya penuh dengan debu dan pasir.

Badan Sultan Hawengku Buano berpecah dua,tiga,empat,lima,enam dan akhirnya tujuh. Kembar tujuh itu menyerang Bujang dengan api dari tujuh penjuru.Badan Bujang tiba-tiba dililit oleh gelung-gelung api yang berputar ligat.Api itu menjadi lebih besar,lalu berubah bentuk seperti kawan besar.Orang ramai melihat kawah api itu menangkup Bujang.Bujang tidak kelihatan lagi. Api yang marak itu terus membakar menderu-deru bunyinya seperti angin.Kemudian beransur-ansur padam.Bila api tidak kelihatan lagi,tempat Bujang berdiri tadi telah diganti dengan satu longgokan abu.

Sultan Hawengku Buano menyepak abu itu bertaburan sambil menjulang tangan tanda kemenangan.Orang ramai yang memerhati dari jauh turut sama bersorak meraikan kejayaan itu. Lela Wangsa dan rakan-rakannya mara ke gelanggang dengan senjata terhunus.Begitu juga Kartini tetapi dengan tujuan yang berlainan. Kartini diekori oleh Daeng Ratna.

“Nah,lihat!”Sultan Hawengku Buano memijak-mijak abu itu.”Panglima Agung sudah hangus terbakar!”

“Siapa yang terbakar?”tanya Bujang dari belakang.

Sultan Hawengku Buano terperanjat,lantas melenting menghadapi Bujang. Orang ramai menjadi diam,mulut bagaikan terkunci.Ketika itu,tangan kanan Bujang seperti menarik sesuatu.Telapak tangan dipusing dan dipulas lalu dibawa ke bawah tapak kaki.Bujang menghentak tapak kakinya kuat-kuat ke tanah. Dengan serta-merta badan Sultan Hawengku Buano menggeletar seperti orang kerasukan,dari badannya keluar wap nipis yang terus menghilang ditiup angin.

“Semua isi batinmu sudah hamba tarik dengan izin Allah,”Bujang menegaskan.

“Sialan!Rupanya sampian belum mahu mampus-mampus lagi!”Sultan Hawengku Buano menghunus kerisnya lalu menyerang Bujang bertubi-tubi.Permainan seperti itu memang ditunggu-tunggu oleh Bujang.Bujang mengelak,menepis dan menangkis setiap serangan.Kakinya bagaikan tidak berpijak di bumi,setiap gerak langkah terlalu pantas dilihat mata kasar.Namun,setiap permainan ada kesudahannya.Sultan Hawengku Buano jatuh tersungkur mencium bumi akibat sepakan kencang yang hinggap di belakangnya.

Bujang menunggu dengan tenang,kejatuhan itu tidak diambil kesempatan. Sultan Hawengku Buano bingkas bangun seperti jerat membidas.Dia menyerang lagi dengan serangan yang lebih hebat.Tikaman,tetakan dan rimbatan keris begitu pantas,lincah dan tangkas.Namun,betapa pantas Sultan Hawengku Buano menyerang,pantas lagi Bujang bertindak balas.Akhirnya satu tendangan kencang menyebabkan Sultan Hawengku Buano jatuh terlentang.

Sekali lagi,Bujang tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan itu.

“Masa untuk bermain-main sudah berakhir,”Bujang menghunus kerambitnya lalu menunggu serangan selanjutnya.”Tersalah terkam,nyawa melayang.”

“Kurang ajar!”Sultan Hawengku Buano bingkas bangun. Dia menerkam hendak menyrang Bujang dengan kerisnya.Bujang tidak memberi peluang lagi.Dia terpaksa membuat perhitungan terakhir.Macam kilat pantasnya kerambit di tangan Bujang menyimbat ke dada Sultan Hawengku Buano.Dua kali berturut-turut. Sultan Hawengku Buano terbongkok,tangan kirinya menekap dada. Bila diangkat,tangan itu berlumuran dengan darah.

“Kang Mas!”Kartini meluru masuk ke gelanggang mendapatkan Sultan Hawengku Buano lalu memangkunya supaya tidak rebah.

Bujang tersenyum tawar melihat gelagat isterinya.

“Jangan bimbang,Tini,”Bujang menyarungkan kerambitnya.”Hanya kulitnya sahaja yang luka.”

Barisan perajurit Jawa bersiap-sedia hendak menuntut bela di atas kekalahan raja mereka.

Daeng Ratna,Andika,Panglima Kahar,Lela Wangsa serta rakan-rakan lain segera datang berkerumun mengelilingi Bujang,Kartini dan Sultan Hawengku Buano sebagai perisai,senjata terhunus di tangan masing-masing.

“Berhenti!”Sultan Hawengku Buano menahan angkatannya.”Panglima Agung,sampian jagoan. Sampian adalah guru segala guru.Kulo mengaku kalah.”

“Kita sama-sama ayam sabung,kalah atau menang menang adat,”balas Bujang.

“Kulo sebagai raja yang berpegang pada janji!”Sultan Hawengku Buano memekik memberitahu semua.”Kulo serahkan kembali Raden Adjeng Kartini kepada Gusti Panglima Agung!”

“Abang,”Kartini segera memeluk Bujang tanpa segan silu lagi.

Bujang ternampak perubahan air muka Sultan Hawengku Buano. Tergambar kekeciwaan yang amat sangat pada wajah raja Jawa itu,kekeciwaan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

“Mari,Bujang.”Panglima Kahar mengajak anak saudaranya.”Kau sudah berjaya merampas kembali isterimu.Marilah kita pergi dari sini.”

“Tidak,Paman,”Bujang menolak Kartini dari pelukannya.”Bujang tidak mahu lagi menyimpan duri dalam daging.”

“Abang?”Kartini tidak faham.”Kenapa ni,abang?”

“Kartini,”Bujang menatap wajah isterinya lama-lama.”Mulai saat ini,jatuhlah satu talak antara kita berdua.”

“Abang!”Kartini merintih.”Sampai hati abang…!Bagaimana dengan anak kita?”

Bujang berpaling dari Kartini lalu memegang tangan Sultan Hawengku Buano.”Habis edah nanti,ambillah kembali Raden Adjeng Kartini sebagai permaisuri Gusti. Jaga anak dalam kandungan itu baik-baik.Jangan diulang lagi kesilapan yang lalu.”

“Gusti Panglima,tunggu,”Sultan Hawengku Buano menahan bila Bujang berpaling hendak pergi dari situ.”Sebagai imbuhan,terimalah tujuh peti wang emas dari kulo.”

“Tidak,Gusti,”Bujang cuba menolak.”Bukan itu tujuan hamba.”

“Tapi,ini niat ikhlas dari kulo,”Sultan Hawengku Buano berkeras.”Kulo sudah bernazar. Sebagai orang Islam,kulo wajib tunaikan nazar.”

“Terpulanglah pada Gusti,”Bujang beralih pula pada Kartini.”Raden Adjeng Kartini,maafkanlah segala kesalahan hamba,halalkan segala makan-minum selama ini.Percayalah,semua ini untuk kebaikan semua.”

Kartini hanya mengangguk dan menitiskan air mata.

“Jagalah baik-baik anak kita itu….assalamualaikum,”Bujang berpaling lalu pergi dari situ.

“Waalaikumussalam,”jawab Sultan Hawengku Buano penuh terharu sambil memeluk bekas isterinya yang bakal dinikahinya semula.”itulah kesatria sejati. Satu dalam sejuta.” Kemudian dia memerintah panglimanya,”Pergi buka gedung perbendaharaan,bawa tujuh peti wang emas ke kapal Gusti Panglima Agung.Sekarang juga.Pergi!”

Bujang tidak terus balik ke lancang. Sebaliknya,dia termenung di pinggir pantai memerhati Laut Selatan yang kebiru-biruan.Dia dihampiri oleh Daeng Ratna,Andika  dan Panglima Kahar. Lela Wangsa serta rakan-rakan lain sedang berdayung sampan menuju ke lancang. Daeng Ratna membisu seribu bahasa,hanya sekali-sekala tangannya mengesat air mata.Andika dan Panglima Kahar juga tidak bersuara,masing-masing melayan perasaan sendiri.

“Hamba ingin pulang ke Batu Sawar,”Bujang bersuara tenang sambil memerhati beberapa orang perajurit Jawa mengusung tujuh buah peti ke sampan.

“Itulah yang sebaik-baiknya,Bujang,”Panglima Kahar menyokong.Daeng Ratna tunduk menggigit bibir menyembunyikan perasaannya.

“Namun,sebelum itu,hamba ingin mengembara lagi,”sambung Bujang.

“Mengembara,Panglima?”sampuk Andika.”Ke mana gerangan mahu dituju?”

“Ke Tanah Bugis,”ujar Bujang.”Memetik sekuntum bunga yang sedang kembang.”

“Tentang itu hamba sokong sepenuhnya,”Andika kenyit mata pada sepupunya. Daeng Ratna masih tunduk tetapi bibirnya mengukir senyum,wajahnya merah padam.

.”Selesai semua pekerjaan,kita akan mulakan perang sabil ke atas armada Belanda,” Bujang berpaling memerhati mereka satu persatu.” Allah matlamat kita,Rasulullah junjungan kita,Qur’an dan hadis pedoman kita,berjihad cara hidup kita.”

Petang itu juga,mereka membongkar sauh meninggalkan pantai Jokjakarta,meninggalkan Sultan Hawengku Buano dan Raden Adjeng Kartini,meninggalkan segala kenangan pahit dan manis semasa mereka berada di situ.Sultan Hawengku Buano sendiri turut melambaikan tangan ke arah lancang yang belayar tenang menghala ke Selat Bali.

“Ada apa di sana?”Bujang menuding dengan mulutnya ke tanah daratan.

Mereka semua memandang ke tanah daratan yang bermandikan cahaya bulan.

“Banjaran gunung,Panglima,”jawab Andika.

“Memanglah banjaran gunung,Andika,”sindir Lela Wangsa.”Maksud Panglima,negari apa yang ada di sana,sungai.kampung….!”

“Gunung Merapi,Gunung Willis,Gunung Kelud.Gunung Kawi .Gunung Ijang dan Gunung Bromo,”Panglima Kahar menyelamatkan keadaan.”Banjaran itu bersambung sampai ke Timur.”

“Gresik juga di sebelah sana?”tanya Bujang.

“Gresik,Daha dan banyak lagi,”jelas Panglima Kahar.”Kenapa,Bujang?”

Semua memasang telinga kerana ingin mendengar  jawapan dari Bujang.

“Firasat hamba mengatakan kita akan temui sesuatu yang berharga di sana,”ujar Bujang tanpa menjelaskan lebih lanjut.”Semalam hamba bermimpi lagi.”Mereka semua memasang telinga ingin mendengar cerita selanjutnya.Bujang sengaja melengah-lengahkannya.

“Mimpi apa,Panglima?”tanya Lela Wangsa yang tidak sabar-sabar lagi.

“Kaum Tengger,”balas Bujang lambat-lambat.”Hamba bermimpi mengembara dengan mereka hingga ke Gunung Bromo.Di Gresik,hamba bertemu pula dengan Kiai Ageng.”

“Tak pernah dengar tentang kaum itu,”sampuk Panglima Kahar.”Tapi,Kiai Ageng seorang guru suluk terkenal di Tanah Jawa ini.Kata orang,dia diberi kunci perbendaharaan alam ghaib. Ramai orang menggunakan kepakarannya untuk meminta keris,barang berharga dan sebagainya.”

“Kalau begitu,elok kita ke sana,Panglima,”Andika mencadangkan.

“Memang kita akan singgah di Gresik sebelum ke Tanah Bugis,”Bujang menerima cadangan itu, diterima sebulat suara oleh semua.”Hamba ingin menziarahi makam Maulana Malik Ibrahim dan makam Sunan Giri.”

“Dua orang tokoh Wali Sembilan,”Andika bersuara penuh bangga.”Hamba sudah lama bercita-cita ingin menziarahi makam mereka. Boleh hamba ikut Panglima?”

“Kalau kamu ikut serta,siapa yang hendak  menjaga Daeng Ratna di lancang?”Bujang memerhati tanah daratan yang bergunung-ganang.”Hamba ingin mengembara mengikut jalan darat melalui Gunung Bromo hingga ke Gresik.”

“Hamba sudah tentu tidak dapat ikut Panglima kerana terpaksa menjaga lancang ini,”Lela Wangsa mengeluh.

“Di mana kita hendak mulakan,Bujang?”tanya Panglima Kahar yang tidak terikat dengan tugas serta tanggung-jawab.

Bujang tersenyum melihat bapa saudaranya.”Kita berlabuh berhampiran Chandi Prambanan,” sambungnya tenang.”Besok atau lusa,kita akan bertemu dengan kaum Tengger yang hendak pulang ke perkampungan mereka di lereng gunung itu.”

“Siapa mereka tu,Panglima?”tanya Andika,kagum dengan ramalan Bujang.

“Saki-baki keturunan Pateh Gajah Mada yang terpaksa meninggalkan Majapahit kerana enggan memeluk agama Islam,”Bujang menerangkan berdasarkan mimpinya.”Mereka sekarang menetap di sekitar Gunung Bromo dan Pulau Bali  dengan mengamalkan agama Hindu,agama nenek-moyang mereka.”

“Biar hamba maklumkan kepada Jurumudi,”Lela Wangsa beredar dari situ.

“Panglima,”Andika cuba memujuk.”Kalau hamba ikut,boleh hamba bawa Daeng Ratna bersama?”

“Terlalu merbahaya,”Bujang memberi kata putus.

“Ratna boleh menjaga diri sendiri,”celah Daeng Ratna yang muncul dari belakang.

Bujang berpaling menyambut kedatangan Daeng Ratna.”Bukan itu yang abang maksudkan.”

Melihat Bujang ingin  berdua-duaan dengan Daeng Ratna,Andika dan Panglima Kahar segera menegundurkan dari dari situ.

“Di dalam hutan banyak binatang buas dan ganas,”Bujang memberi alasan.

“Ratna rasa bukan itu alasannya,”mereka sama-sama memandang ke daratan di mana sebuah candi kelihatan berbalam-balam.”Kita bukan muhrim,bukan suami-isteri yang sah lagi.”

“Benar,Ratna,”Bujang mengakui kebijaksanaan bakal isterinya itu.”Hukum menegah syarak melarang.”

“Kita boleh berkahwin di sini,”Daeng Ratna meluahkan cadangannya.

“Itu barang mustahil,”Bujang menegaskan,mengenangkan ibubapa Ratna di Tanah Bugis.

“Kenapa pula mustahil?”bantah Ratna.”Betul,Ratna perlu berwalikan Ayahanda di Makasar. Tetapi,jika ketiadaan Ayahanda,Andika boleh menjadi wali nikah kerana dia sepupu Ratna yang paling tua dan paling rapat.”

“Di mana hendak dicari tok imam?”Bujang mula menaruh minat.

“Soal imam perkara kecil,”Ratna menggiatkan.”Kalau kita berlabuh berhampiran kawasan perkampungan,tentu ada seorang dua yang layak menikahkan kita.Paman dan anak buah abang boleh menjadi saksi.Sempurna sudah rukun dan syarat.”

“Kita perlu mendapat izin dan restu dari Ayahanda dan Bonda di Makasar,”Bujang masih memberi alasan.”Kurang manis kita memandai-mandai dalam perkara ini.”

“Bukan memandai-mandai,”Ratna tetap menegakkan kebenarannya.”Mereka akan faham. Lagi pun,kita hanya akan bersatu selepas majlis perkahwinan diraja yang akan diadakan di sana. Pernikahan kita ini sekadar menjaga maruah serta mengelak dari fitnah dan dosa.”

“Apa pula kata Andika?”Bujang menoleh kepada anak buahnya tidak jauh dari situ.

“Andika pasti bersetuju dengan Ratna,”Ratna mengukir senyum kerana secara tidak langsung Bujang sudah memberi persetujuannya.”Dayang-dayang boleh tolong memasak untuk kita.”

Bujang melihat lancang itu mula membelok ke kawasan pesisir pantai.”Baiklah,”jawabnya.

Ratna nyaris-nyaris melonjak keriangan.Kalaulah anak kapal tidak ada di situ,mahu dipeluknya Bujang erat-erat.Dia bergegas ke kurungnya di bawah geladak,tidak sabar-sabar lagi hendak memaklumkan berita baik itu kepada dayang-dayangnya. Lancang itu akhirnya berlabuh tidak jauh dari sebuah candi di tengah-tengah sebuah perkampungan di pinggir Laut Selatan itu.  Layar digulung,sauh diturunkan ke laut.

“Candi Prambanan,”bisik Bujang,candi itu sama seperti yang dilihat dalam mimpinya. Di situlah dia akan menemui Bapa Puyon,ketua kaum Tengger

One response »

  1. Asalamualaikum..bila ingin menyambung bab 8 hkayat panglima agung.?saya amat menantikan sambungan nya..terbek..wasalam

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: