RSS Feed

HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 4 – Dari Johor ke Jambi

Enam hari kemudian iaitu pada pagi Sabtu 1 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 23 Oktober 1652 Masehi,seluruh penduduk Batu Sawar,Kota Seberang dan Kampung Panchor menjadi gempar dengan kehadiran angkatan perang Johor yang berlabuh di situ. Ramai yang keluar menyambut ketibaan mereka dengan berita kemenangan.Bujang yang siap menggalas kampitnya meninjau mencari wajah isterinya atau ibubapa mertuanya,namun kelibat mereka tidak kelihatan di celah orang ramai yang berpusu-pusu di pengkalan itu.

“Lela Wangsa,”perintahnya.”Kau sahajalah yang persembahkan perihal kejayaan kita ini kepada baginda Sultan.Hamba hendak terus pulang ke rumah.Hamba rasa tidak sedap hati.”

“Baiklah,Panglima,”Lela Wangsa akur dengan perintah itu.

Bujang terus turun dari lancangnya dan menyelit di celah orang ramai di pengkalan itu. Dia bergegas menuju ke rumahnya tanpa memandang ke kiri dan ke kanan,langkahnya panjang-panjang,daging pelanduk salai tergantung di tangannya.Sampai di sana,dia terkejut melihat orang ramai berkerumun di atas dan di bawah rumah bagaikan ada khenduri.Tambah terkejut lagi bila dia ternampak Perkasa turut hadir.Perkasa sedang berbual-bual dengan ibubapa mertuanya.Isterinya Chendana tidak kelihatan di mana-mana. Dia terus menerpa mendapatkan mereka.Belum sempat dia memijak tangga,kedatangannya disedari mereka.

“Kau baru balik,Bujang?”tanya Temenggung dengan senyuman yang dibuat-buat.

“Ya,ayah,Bujang sudah balik dengan selamat,”balas Bujang sambil bersalam dengan mertuanya.Kemudian,dia bersalam pula dengan Perkasa.Namun,matanya liar mencari kelibat isteri yang sekian lama dirinduinya.

“Bagaimana dengan pekerjaan yang dititahkan Duli Yang Dipertuan”tanya Temenggung lagi.

“Alhamdulillah,beroleh kejayaan,”Bujang memandang sekeliling.”Mana Chendana,ayah?

“Berihatlah dulu,Bujang,”suara Mak Siti merendah.”Nanti boleh jumpa dengan Chendana.”

“Oh ya,Perkasa baru tiba kelmarin dari Kedah,”Temenggung memaklumkan.

“Apa khabar,Perkasa?”Bujang bertanya antara sedar dengan tidak.

“Baik.Eh,apa tu?”tegur Perkasa.

“Daging pelanduk,”Bujang mengukir senyum.”Chendana mengidam hendak makan daging pelanduk jantan.Mujurlah dapat seekor di Pulau Karimun.Nah,mak ambillah dan masak sedap- sedap.Nanti kempunan pula Chendana tu.”

Mak Siti nyaris-nyaris menitiskan air mata.Sambil menyebik,dia menerima daging pelanduk salai yang dihulurkan itu dan segera berlari ke dapur.Temenggung dan Perkasa saling berpandangan,kemudian menggelengkan kepala. Bujang yang asyik memerhati ke sekitar rumah tidak nampak telatah mereka itu.

“Khenduri apa ni,ayah?”tanya Bujang sambil meletak kampitnya ke sudut anjung.

“Khenduri biasa sahaja,Bujang,”Temenggung masih berselindung.”Duduklah dulu.”

Bujang pun duduk bersama mereka.Ketika Temenggung menuang air ke dalam cawan, Bujang perasan tangan bapa mertuanya menggigil memegang teko.Bujang memanjangkan leher meninjau ke dapur di mana lebih ramai kaum perempuan turut berkerumun dengan berselubung kepala seperti ada kematian.

“Chendana mana?”Bujang ulangi pertanyaan itu setelah minum seteguk-dua.

“Chendana?”Temenggung seperti berat hendak bercerita tentang itu.”Oh ya,Bujang. Perkasa ini  membawa berita yang kurang baik dari Kedah.”

“Berita apa,Perkasa?”tanya Bujang.”Tentang isteriku Tunku Balqis?”

“Bukan isterimu,Bujang,”Perkasa menjelaskan.”Bapa mertuamu Duli Yang Maha Mulia Sultan Rijaluddin  baru sahaja mangkat.”

“Mangkat?Innalillahiwainnailaihirajiun,”ujar Bujang.”Bagaimana baginda mangkat?”

“Sakit tua,kata Datuk Seraja Imam,”jelas Perkasa.”Tapi ada juga aku dengar desus-desus  mengatakan baginda mangkat kerana disantau orang.Seluruh badan baginda melecur seperti disalai api.Jenazahnya sudah disemadikan di Kota Naga.”

“Puaslah hati mereka yang berdendam padanya,”keluh Bujang melepas perasaan.

“Tunku Mahmud Raja Muda akan dinobatkan sebagai Sultan Kedah yang baru,”Perkasa menyampaikan.”Aku dititah menjemput kau balik ke Kedah kerana Tunku Mahmud mahu Tengku Laksamana Agung Raja Laut hadir sama dalam majlis pertabalan itu.”

“Kedatanganmu tepat pada waktunya,”jawab Bujang.”Aku memang berkira-kira hendak membawa Chendana balik ke Kedah.Kau bersiaplah.Lancangku ada di pengkalan.”

“Baiklah,”Perkasa memandang pada Temenggung.

“Mana Chendana?Chendana!”Bujang meninjau lagi ke arah dapur. Dia terus bingkas bangun.

“Bujang,”Temenggung bangun menahan.”Jangan pergi ke dapur,Bujang.”

“Kenapa,ayah?Ada apa di dapur?”Bujang terus menuju ke dapur.Temenggung tidak dapat menahannya lagi.Di dapur,matanya liar mencari isterinya.Yang kelihatan hanyalah ibu mertuanya bersama beberapa orang perempuan lain,semua memakai kain selubung dan membaca surah Yasin. Mereka terperanjat melihat kemunculan Bujang dan segera berhenti membaca.

“Apa yang telah terjadi,mak?Mana Chendana?”Bujang mendesak.

“Bujang,”Mak Siti mula menyebik.”Chendana…Chendana…!”

Mak Siti tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia hanya mampu menangis teresak-esak, dipujuk oleh dua-tiga orang perempuan si situ.

Bujang meluru kembali ke anjung.”Kenapa dengan Chendana,ayah? Di mana dia?”

“Sabar,Bujang,”Temenggung menyeka air matanya lalu memegang bahu menantu kesayangannya itu.”Setiap yang berlaku,anggaplah takdir dari Allah untuk menguji hamba- hambaNya.”

“Apa yang berlaku pada Chendana?”Bujang menolak tangan Temenggung dengan lembut.

“Bujang,”suara Perkasa tertahan-tahan.”Isterimu terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri mati lemas.”

“Di mana Chendana terjatuh,ayah?”Bujang memegang lengan mertuanya.

“Depan pelantar membasuh,”suara Temenggung juga tersekat-sekat.

“Lubuk puaka,”Bujang mendengus,terus turun ke tanah. Tanpa mempedulikan panggilan mertuanya dan beberapa orang di situ,dia berlari ke pelantar.Dia tercegat di atas pelantar,mata-nya merenung tajam ke arah arus sungai di mana terdapatnya lubuk puaka itu.Dia tidak sedar di belakangnya sudah ramai yang berkumpul,termasuk Temenggung,Mak Siti,Perkasa serta penduduk-penduduk kampung yang lain.

Lela Wangsa juga baru sampai bersama ayahnya Tun Lela Pahlawan.

“Orang Kaya Temenggung,hamba baru sahaja mendapat berita….,”Lela Wangsa tidak menghabiskan kata-katanya,sebaliknya memandang ke arah yang dilihat oleh Temenggung.

Bujang masih membatu di atas pelantar,matanya yang merenung tajam ke arah arus sungai itu dipejamkan beberapa ketika.Dia cuba menghubungi penunggu lubuk puaka itu secara batin tetapi gagal.Akhirnya dia menghunus dua bilah kerisnya dengan sarungnya sekali,lalu meletakkan di atas pelantar.Dia membuka baju layangnya dan dastarnya pula,kedua-duanya dilonggok di atas pelantar di sisi kerisnya.

“Jangan,Bujang!”jerit Mak Siti dari atas tebing.”Di lubuk itu ada penunggu!”

“Tahyul!”jerit Bujuang kembali.Dia segera terjun ke dalam sungai lalu menyelam. Arus sungai yang laju menyulitkan usahanya tetapi dia terus juga menyelam ke dasar sungai.Mata-nya dicelik,tangannya menguak sambil meraba-raba mencari arah.Dia gagal menemui apa-apa di dasar sungai itu.Kerana dia kehabisan nafas,dia timbul semula di permukaan air.Dia mendapati dirinya sudah hanyut agak jauh dari kawasan lubuk puaka itu. Dia berenang kembali ke sana. Dari tebing sungai kedengaran suara ibubapa mertuanya,rakannya dan orang ramai menjerit-jerit menyuruhnya naik ke darat.Dia pekakkan telinganya,menarik nafas dalam-dalam dan menyelam semula.Kali ini dia tidak lupa membaca ‘Laqad-ja-akum….’ dalam hatinya sampai habis.Sambil menyelam dan memerhati dasar sungai itu,dia menghafal pula nama Nabi Khidir seperti yang dipesan oleh gurunya Sheikh Kuala iaitu Balyan bin Mulkan bin Falih bin Shalih bin Murshad bin Al-Fahshad bin Sham bin Nuh.Penglihatannya menjadi terang melalui air sungai yang jernih itu. Dia melihat air di dasar sungai itu berputar-putar seperti putting beliung,makin lama semakin besar,akhirnya dia merasa badannya disedut ke tengah-tengah putaran itu.Pusaran air sungai itu bertukar menjadi keruh.Namun,pandangannya masih belum terhalang sepenuhnya. Dia ternampak sepasang tangan melambai-lambai seperti meminta tolong.Tangan itu lantas disambarnya dan dipegangnya kuat-kuat.Dia cuba menarik tangan itu. Tiba-tiba dia merasa dirinya ditarik ke dalam suatu lubang yang gelap dan dalam. Air sungai terasa dingin sekali.Dia terus melawan dan melawan.Akhirnya dia terus disedut entah ke mana.

Telinganya berdesing.Alam ini dirasanya berputar ligat.Wajah arwah isterinya Teratai tiba-tiba menjelma di ruang mata.

-(“Tataplah wajah Teratai lama-lama.Pandanglah Teratai puas-puas.”)-

-(“Teratai tetap sayang pada abang dari dunia hingga akhirat.”)-

Wajah Teratai lenyap.diganti dengan wajah Tunku Balqis.

-(“Abang tak kasihankah pada kami?Pada Fatimah yang baru hendak mengenali kasih-sayang

seorang ayah?Pada Balqis yang berbadan dua?”)-

Akhirnya wajah Chendana muncul dengan lesung pipit dan tahi lalatnya.

-(“Tuai padi antara masak,esok jangan layu-layuan,intai kami antara nampak,esok jangan

Rindu-rinduan.”)-

“{Chendana!}” Bujang cuba menjerit.Mulutnya dimasuki air.Dia hanyut dari dunia yang fana ini.Dia tidak ingat apa-apa lagi.Semuanya terasa sunyi dan serba gelap….!

Bila dia sedar semula,dia terasa lapar yang amat sangat,tekaknya kering.Gendang telinganya diasak oleh bunyi bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dari surah Yassin. Hidungnya tercium bau kemayan dan bau wangi-wangian yang harus semerbak.Telinganya tidak berdesing lagi. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Pandangan pertama yang dilihatnya ialah  seraut wajah perempuan muda yang bersih lagi cantik-menawan,bertudung litup warna hijau.Perempuan berkulit putih kuning itu mengukir senyuman paling manis,bibirnya merah bak delima merekah.Dia pasti perempuan itu bukan Puteri Mayang Sari tetapi makhluk yang sebangsa dengannya.

“Subhanallah…!”bisiknya perlahan,suaranya tenggelam dalam kerongkongnya.

Wajah perempuan muda bertudung litup hijau itu tiba-tiba ghaib dari pandangan.

Bujang menoleh ke kiri,kemudian ke kanan.Tampak padanya ibubapa mertuanya sedang tersenyum gembira sambil mengalirkan air mata.Bacaan surah Yassin tidak kedengaran lagi.

“Syukurlah kau selamat,Bujang,”Mak Siti bersuara sambil mengesat air mata dengan lengan bajunya.Temenggung hanya mampu mengangguk sambil tersenyum,matanya masih bergenang.

“Alhamdulillah…!”terpancut kalimah suci itu dari tekaknya yang kering.Dia memberi isyarat meminta air.Lela Wangsa tampil membawa secangkir air sejuk,air itu dituangnya seteguk seteguk ke dalam mulut Bujang.Bujang lihat Lela Wangsa juga berlinangan air mata.

“Alhamdulillah,”kali ini sebutannya lancar setelah tekak dibasahi air.Dia bangun dari baring-nya,tangannya meraba-raba perutnya yang berkeroncong.Dilihatnya ramai lagi berkerumun di sekelilingnya,ada di antara mereka itu rakan-rakannya dalam angkatan Fisabillah,manakala yang lain-lain tidak dikenalinya.Temenggung segera menutupi badan menantunya dengan sehelai baju,Mak Siti pula mula menyuapkan bubur nasi ke mulut Bujang.

“Bujang masih hidup,ayah?”suaranya agak parau.

“Syukurlah,”Temenggung menyeka air matanya.”Kami ingat kau juga akan mengikut jejak langkah Chendana..”

Mendengar nama Chendana disebut,Mak Situ mula tersedu-sedu sambil mengesat air matanya dengan lengan baju yang sudah basah.Nama itu juga seakan-akan mengejutkan Bujang dari lamunan.

“Mana Chendana,ayah?”Bujang bertanya perlahan,suaranya sayu.

“Sudah dua minggu Chendana pergi,”suara Temenggung tersekat-sekat.”Mayatnya yang mati lemas tidak dijumpai.Kami sudah buat khenduri arwah untuknya….!”

“Innalillahiwainnailaihirajiun,”suara Bujang mendatar tanpa semangat.”Kau pergi jua,Chendana…..!Apalah nasib abang di dunia ini. Hidup tiada ertinya lagi…!”

“Sabarlah,Bujang,”pujuk Mak Siti,air matanya masih berderai.”Chendana isteri kau juga anak tunggal kami.Kalau kau bersedih di atas pemergiannya,kami lebih-lebih lagi….!”

Tiba-tiba Bujang teringatkan sesuatu.”Dua minggu?Apa yang berlaku pada Bujang?”

“Panglima terjun ke dalam sungai dan terus menyelam dengan tidak timbul-timbul lagi,” Lela Wangsa pula menyampuk.Kami ingat Panglima juga turut mati lemas.Mayat Panglima ditemui terapung-apung ke hilir sedikit dari tempat kejadian. Bila diperiksa,nadi Panglima tidak ada lagi.”

“Kami bawa Panglima balik untuk disembahyangkan dan dikapan sebelum diusung ke liang lahat,”Tun Lela Pahlawan pula menambah.”Rupanya umur Panglima masih panjang.”

“Alangkah baiknya kalau hamba dibiarkan mati….,”Bujang mengeluh lemah.

Semua terperanjat dengan kata-kata yang tidak diduga itu.

“Bawa mengucap,Bujang,”tegur Temenggung.”Kau sedia maklum bahawa hidup atau mati itu pekerjaan Allah.Bukan kita manusia yang menentukannya.Jangan sampai terpesong akidah dek kerana hasutan syaitan laknatullah.”

Kata-kata mertuanya itu menusuk hingga ke tulang hitam.Bujang mula sedar dan insaf.

“Di mana pusara Chendana?”dia bertanya,mengalih kepada tajuk lain.

“Pusaranya sudah kami tanda di dalam dusun di belakang teratak,hanya menunggu mayatnya sahaja ditemui orang,”Temenggung menyatakan.

“Sudahlah,mak,”Bujang menolak setelah beberapa kali disuap bubur nasi.”Mengapa tidak ditanda di tebing sungai berhampiran pelantar?Biar penunggu lubuk puaka itu dapat melihat kubur Chendana supaya dia sedar betapa kejamnya memisahkan dua kasih yang sejati.”

Semua diam,tidak berani menjawab pertanyaan yang dilontarkan itu.

“Dua minggu ,”Bujang terus meracau seorang diri.”Ertinya sudah masuk bulan Zulhijah.”

“Benar,Panglima,”Lela Wangsa menjawab.”Hari ini hari Sabtu 15 Zulhijah 1062 Hijrah.”

“Bersamaan dengan 7 November tahun 1652 Masehi,”tambah Bujang pula,mengenangkan kembali pelajaran yang diterimanya dari Nakhoda Kintan.Semua tersenyum memandangkan Bujang masih siuman dan tidak lagi terbawa-bawa dengan kesedihannya.

“Di mana angkatan perang kita?”tanya Bujang pada Lela Wangsa.

“Semua berlabuh di Sungai Charang,Bentan,”jelas Lela Wangsa.”Lancang Panglima masih berlabuh di pengkalan Batu Sawar,menunggu Panglima menjadi nakhodanya kerana Nakhoda Kintan sudah balik ke Pulau Duyong.”

“Hamba belum ada hati hendak belayar ke mana-mana,”Bujang menolak pelawaan sahabat dan juga orang kanannya itu.”Kau jagalah lancang itu buat sementara waktu.”

“InsyaAllah,Panglima,”Lela Wangsa berjanji.”Tapi,Panglima hendak ke mana?”

“Hamba bercadang hendak ke Gunung Ledang untuk mengubat hati yang lara,”jawab Bujang perlahan,pandangannya jauh mengembara.”

“Hang Isap anak buah kita berasal dari sebuah kampung di kaki Gunung Ledang,”Lela Wangsa menawarkan.”Dia  boleh tunjukkan tempatnya dan temankan Panglima jika Panglima mahu.”

“Dia hanya boleh tunjukkan tempatnya sahaja,”Bujang menerima pelawaan itu tetapi dengan bersyarat.”Hamba ingin bersunyi-sunyian di puncak Gunung Ledang.”

“Baiklah,”akur Lela Wangsa.”Nanti hamba perintahkan Hang Isap sediakan gajah kenaikan Panglima yang boleh kita pinjam dari Yamtuan Muda Ibrahim. Cara yang paling mudah ialah mengikut jalan darat melalui Jalan Penarikan di ulu Sungai Muar.”

“Tapi sebelum pergi,hamba perlu membuat latihan ibadah dan kerohanian buat bekalan dan persediaan di sana,”tambah Bujang.”Hamba perlukan lebih-kurang seminggu.”

“Buatlah apa sahaja,Bujang,asalkan dapat kau lupakan Chendana,”sampuk Temenggung.

“Tidak,ayah,”Bujang menegaskan.”Bujang tidak akan melupakan Chendana selagi hayat dikandung badan.Luka di hati boleh sembuh,namun parutnya tetap ada.”

“Sudahlah,Bujang,”pujuk Mak Siti.”Chendana sudah pergi.Yang pergi biarlah pergi.”

“Ya,mak,”akur Bujang.”Tapi,semasa Chendana masih hidup,jangan kata kulitnya,jika rambutnya disentuh sekali pun,akan Bujang cincang lumat siapa yang  mengganggunya!”

Semua diam,bergerun dengan pandangan mata Bujang yang tiba-tiba bersinar garang.

“Kau jangan lupa pada Tunku Balqis,”pesan Temenggung pula.”Dia juga isterimu dan dia masih hidup. Begitu juga dengan anakmu Fatimah.”

“Mereka hidup bahagia di istana,makan-minum dijaga,”tingkah Bujang.”Tengoklah. Jika semua ini sudah selesai,Bujang akan kembali ke Kedah menemui mereka. Mereka juga nyawa dan belahan jiwa Bujang.”

Semua mengangguk tanda setuju.Ternyata Bujang sudah sembuh dari kesedihannya.

“Dalam seminggu-dua ini,hamba janganlah diganggu,”Bujang berpesan kepada Lela Wangsa tetapi ditujukan kepada semua.”Hamba ingin menumpukan sepenuh perhatian dan fikiran kepada amal ibadat.Moga-moga terubat hati yang luka…!”

Mulai hari itu,Bujang mengurungkan diri di dalam bilik arwah isterinya. Dia hanya keluar sekadar untuk mandi dan makan-minum.Masanya lebih banyak dihabiskan dengan melakukan amalan-amalan sunat di samping menunaikan yang wajib.Dia bersembahyang sunat hadiah, pahalanya disedekahkan kepada arwah Chendana.Dia melakukan ssembahyang hajat dan sembahyang tasbih.Pada sebelah malamnya pula,dia hanya tidur-tidur ayam,waktu malam dihidupkan dengan sembahyang tahajud dan witir. Antara waktu-waktu itu diselitkan pula dengan zikrullah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Bila matahari naik segalah hingga tegak di atas kepala,dilaksanakan pula sembahyang sunat dhoha. Bibirnya sentiasa basah dengan kalimah-kalimah Allah,ruangan hatinya penuh dengan ayat-ayat suci Al-Qur’an yang dihafalnya sejak berguru dengan Sheikh Kuala.Musim tengkujuh yang sering hujan menambahkan lagi kesyahduan amalan kerohaniannya.

Pada pagi Sabtu 22 Zulhijah tahun 1062 Hijrah bersamaan dengan 14 November tahun 1652 Masehi,genaplah tujuh hari dia beramal ibadat.Dia duduk berjuntai kaki di pelantar,matanya memandang ke seberang sungai,mulutnya kumat-kamit melafazkan zikrullah,jarinya tidak henti-henti membilang biji tasbih.Pandangan matanya kosong tetapi seluruh hati dan jiwanya tertumpu kepada Allah.Bila sekali-sekala hatinya terkenang pada Chendana,kelopak matanya bergenang tetapi hatinya terasa tenang dan damai.Jiwa dan raganya bagaikan mendapat kekuatan baru. Dia sudah bersedia zahir dan batin untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Ledang,kemudian turun dari gunung itu untuk meneruskan perjuangan angkatan Fisabillah. Dia rela syahid dalam perjuangan suci itu,dia redha jika dadanya bersarang dengan peluru.

Kerana terlalu asyik dalam dunianya sendiri,Bujang tidak menyedari kedatangan sahabatnya Lela Wangsa. Lela Wangsa datang seorang diri tanpa ditemani ayahnya atau kawan-kawannya.

Tiba di halaman,dia berhati-hati memijak kawasan yang agak becak itu. Dia tidak mahu mengganggu Bujang,sebaliknya ingin menemui Temenggung untuk menyampaikan berita baik itu. Temenggung yang dicari tidak kelihatan,hanya Mak Siti berada di belakang rumah memberi makan ayam di reban.

“Assalamualaikum,Datin,”Lela Wangsa menegur Mak Siti.

“Waalaikumussalam,”Mak Siti yang hanya berkemban itu lekas-lekas menutup bahunya dengan sehelai kain basahan.”Oh,kau Lela. Datuk tidak ada di rumah. Dia ke istana.”

“Tak apalah,Datin,”kata Lela Wangsa dengan gembira.”Barangkali Orang Kaya Temenggung sudah tahu kerana berita ini sudah tersebar ke seluruh kampung.”

“Berita apa?”Mak Siti menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Elok hamba sampaikan berita ini kepada Panglima Agung,”Lela Wangsa senyum penuh makna lalu berpaling menuju ke pelantar. Perasaan ingin tahu seorang wanita menyebabkan Mak Siti tergesa-gesa mengekori Lela Wangsa.

Di pelantar,Bujang memandang ke arus sungai di mana terdapatnya lubuk puaka,pandangan-nya tajam menyoroti ke dasar sungai.”Air dalam bertambah dalam,hujan di hulu belum pun teduh,hati dendam bertambah dendam,dendam dahulu belum pun sembuh,”dia berpantun,di-tujukan kepada arwah Chendana yang belum lagi ditemui mayatnya sampai sekarang.

“Ya Allah,”bisiknya lagi.”Sekalipun nyawanya kau ambil,sekurang-kurangnya pulangkanlah jasadnya supaya dapat kusemadikan dengan sempurna.”

“Assalamualaikum,”tegur Lela Wangsa dengan lantang dari tebing sungai.

Lekas-lekas Bujang menyapu air mata di pipinya sambil menjawab salam itu dan berpaling melihat ke tebing.Lela Wangsa tersenyum memandangnya penuh rahsia manakala ibu mertua-nya seperti tidak sabar-sabar hendak mendengar apa yang ingin disampaikan. Bujang pun bangun. Melihat Bujang sudah bersedia menerima kedatangannya,Lela Wangsa pun mendapat-kan Bujang dengan wajah berseri-seri.

“Panglima,”Lela Wangsa bersalam dengan Bujang.”Hamba ada khabar berita yang boleh mengubat hati Panglima.”

“Tentang angkatan perang kita?”tanya Bujang,kurang berminat.

“Tidak,Panglima,”Lela Wangsa memberi kejutan.”Berita ini tentang isteri Panglima yang dikatakan mati lemas itu.”

“Chendana?”tiba-tiba Bujang berminat.

“Chendana anakku?”Mak Siti terkodek-kodek menghampiri Lela Wangsa.

“Panglima kenal kerambit ini?”tanya Lela Wangsa sambil menunjukkan senjata itu kepada Bujang.Bujang mengambilnya lalu membeleknya seketika.

“Kerambit ini milik Chendana,hamba hadiahkan padanya sepuluh tahun yang lalu,kembar kepada kerambit hamba,”Bujang menerangkan,dahinya berkerut.”Jangan bergurau dengan hamba.”

“Dalam perkara ini,hamba tidak berani bergurau dengan Panglima.Kerambit ini kami jumpai pada mayat Galak,terbenam di belikatnya,”sekali lagi Lela Wangsa membuat kejutan.”Tambak pula luka parah,perutnya terburai.Dia mati juga akhirnya. Tapi,sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir,dia sempat memberitahu kami bahawa isteri Panglima sebenarnya dilarikan orang.”

“Dilarikan orang?”semangat Bujang naik berkobar-kobar.”Chendana masih hidup rupanya.”

“Katanya,mereka diupah mencolek isteri Panglima dan membawanya ke Melaka untuk dijual sebagai hamba abdi kepada saudagar asing,”Lela Wangsa meneruskan.”Ini semua gara-gara ingin membalas dendam pada Panglima.”

“Siapa yang berani menyentuh tubuh isteri hamba?”tegas Bujang.

“Itu kami tidak pasti,Panglima,”jawab Lela Wangsa.”Tambak tidak sempat memberitahu kami siapa orangnya.Tentu orang ini musuh ketat yang dikenali Panglima.”

“Tidak mengapa,”Bujang seperti mendapat semangat baru.”Yang penting,kita sudah tahu di mana Chendana berada. Lela Wangsa,kumpulkan semua orang-orang kita. Kita belayar ke Melaka hari ini juga!”

“Lancang kita tidak ada di sini,Panglima,”Lela Wangsa menerangkan,wajahnya tidak begitu gembira.”Sudah dibawa oleh Nakhoda Kintan ke Pulau Duyung untuk dibaiki lagi mana-mana yang kurang.Seminggu-dua lagi baru siap.”

“Hamba tidak boleh tunggu lama lagi,”Bujang genggam kerambit tidak bersarung itu.”Nyawa isteri hamba dalam bahaya.Tetapi,setitik darahnya tumpah,akan hamba sukat bumi Melaka dengan darah orang-orang Belanda.”

“Panglima hendak ke Melaka seorang diri?”Lela Wangsa terperanjat.”Boleh hamba ikut?”

“Seorang diri lebih mudah bergerak dan tidak disyaki musuh,”ujar Bujang.

“Dengan hanya menaiki perahu di musim tengkujuh?”Lela Wangsa kian terperanjat.

“Lautan pun sanggup hamba renangi,jika terpaksa,”tegas Bujang.

“Beginilah,Panglima,”Lela Wangsa memberi cadangan.”Panglima pinjam perahu layar hamba dan belayarlah ke Singapura.Di sana banyak kapal dari luar berlabuh.Mungkin ada kapal yang boleh Panglima tumpangi ke Melaka.”

“Cadangan Lela itu betul,Bujang,”Mak Siti menyokong.”Ikutlah cadangannya. Kau tak hendak menunggu ayahmu balik dari istana dulu?”

“Tap apalah,mak,”Bujang menolak.”Bujang nak cepat ni.”

“Baiklah,nanti mak siapkan pakaian dan bekalan,”Mak Siti akur dengan kehendak menantunya.”Pergilah selamatkan Chendana dan jaga dirimu baik-baik.”

Pagi itu juga Bujang mendayung perahu lading mudik ke hilir.Langit mendung,cuaca redup menandakan hujan akan turun lagi.Kecuali Lela Wangsa dan Mak Siti yang melambaikan tangan dari tebing sungai,tiada sesiapa sedar akan pemergiannya itu.Arus sungai yang deras menyebabkan perahunya meluncur dengan laju meninggalkan Kampung Panchor. Sebelum kampung itu hilang dari pandangan,sempat ditolehnya sebentar untuk melihat buat kali penghabisan.Firasatnya mengatakan pemergiannya kali ini akan memakan masa yang lama, mungkin sebulan-dua,mungkin bertahun-tahun. Kehidupannya akan berubah sama sekali.

Kerana arus terlalu deras,dia tidak berani berperahu di tengah sungai.Dia terpaksa menyusur tebing sungai di mana arusnya tidak terlalu deras.Ketika mendayung,dia berhati-hati mengawal perahunya agar tidak terlanggar akar kayu yang banyak terjulur di tebing sungai atau batu tajam yang boleh menyebabkan perahunya bocor. Selepas menyeberangi kuala Sungai Temon iaitu salah satu cabang Sungai Johor,dia terus ke Johor Lama melalui Pulau Layang,kemudian ke Kubu Badak,Pengkalan Raja,Tanjung Batu dekat Kota Batu dan Sungai Kertang. Sampai di muara sungai,dia menyeberang ke Pulau Batu Putih yang penuh dengan batu-batu besar dan tidak didiami manusia itu.Dia berhenti sekejap untuk berihat dan mengerjakan sembahyang jamak-qasar.Tambahan pula laut agak bergelombang.Setelah makan sedikit bekalan,dia terus menyeberang ke hujung tanah yang bertentangan dengan Singapura kerana cuaca semakin buruk.Cepat-cepat dia memasang layar menyeberangi Selat Teberau.Setelah tiba di perairan Singapura,baru hujan turun dengan lebatnya,disertai dengan guruh dan kilat.Mujurlah kampit kulitnya tidak ditembusi air,ditutup dengan daun pisang sebelum bertolak tadi dan sekarang ditutup pula dengan kain layar yang agak tebal.Dalam keadaan basah kuyup,Bujang mendayung perlahan-lahan menyusuri pantai yang penuh dengan paya bakau itu. Tidak ada kampung-kampung kelihatan,apa lagi kelibat manusia. Singapura nampak sepi dan menyeramkan seperti sebuah pulau yang disumpah rakyat kerana kekejaman rajanya. Sambil mendayung,sekali-sekala dia terpaksa menimba air yang memenuhi perahunya dengan menggunakan timba upih. Apabila hari semakin gelap dan hujan masih turun mencurah-curah, dia pun berhenti di sebuah teluk.Waktu itu air laut sedang pasang.Tali perahu diikat pada sebatang pokok bakau supaya perahu itu tidak hanyut.Dia baring dalam perahu untuk merihat-kan badan.Pakaiannya yang basah kuyup menyebabkan dia menggigil kesejukan.Dia memejam mata dan akhirnya tertidur.

Dia terjaga bila terasa bahang matahari menyilau matanya dan menyuluh mukanya.Perahunya juga tidak bergerak.Langit sudah cerah tetapi pakaiannya masih lembab.Dia bangun melihat sekelilingnya.Rupanya,air laut sudah pun surut dan perahu itu terdampar di atas pasir.Matahari baru tinggi segalah tetapi subuh sudah lama berlalu.Sabtu sudah berganti Ahad ,23 Zulhijah tahun 1062 Hijrah bersamaan dengan 15 November tahun 1652 Masehi.Waktu itu dianggarkan kira-kira pukul sembilan pagi kerana jamnya masih berada dalam kampitnya.

Dia menukar pakaiannya dengan pakaian lain.Pakaian yang lembab itu dijemurnya pada dahan bakau.Dia pun duduk menghabiskan bekalan yang dibawanya sambil memikirkan rancangan seterusnya. Dia terpaksa menyusur mengelilingi pulau ini sehingga bertemu dengan tempat di mana kapal-kapal asing berlabuh. Dari situ,dia akan belayar ke Melaka dan selamat- kan Chendana dari orang-orang yang mencoleknya. Kalau mereka melawan,dia bersedia membuat perhitungan.Bila Chendana sudah diselamatkan,dia akan membawa Chendana balik ke Kedah untuk bertemu dengan Balqis dan Fatimah. Chendana dan Balqis akan sama-sama melahirkan anak di istana Kota Siputih.

Tiba-tiba Bujang terasa seperti diperhatikan orang.Dia memasang telinga,matanya meliar ke kiri dan ke kanan.Dia pun bangun lalu berpaling. Seorang lelaki tegap tidak berbaju dan hanya berseluar paras lutut tercegat di hadapannya.Buluh runcing yang dipanggil seligi itu digenggam erat dan diacu ke dada Bujang.Begitu senyap lelaki itu bergerak sehingga Bujang tidak

mendengar langsung bunyi kakinya memijak pasir.

“Kau buat apa di sini?”tanya lelaki itu dengan kasar,seliginya diacu lagi.

Bujang menarik nafas lega kerana lelaki itu bercakap Melayu.”Bertenang,kawan,”pujuk Bujang sambil tersenyum.”Hamba tidak berniat hendak menceroboh kawasan ini.”

“Kau dari suku mana?”lelaki itu tidak membalas senyuman Bujang.”Aku belum pernah tengok kau.”

“Suku?”Bujang terpinga-pinga.

“Di sini ada banyak suku Orang Laut,”lelaki itu menjelaskan.”Ada suku Mepar,suku Bentan, suku Galang,suku Bulang,suku Gelam,suku Trong,suku Mantang dan suku Tambus.”

“Hamba bukan Orang Laut,”Bujang mengelap tangannya dengan daun pisang yang digunakan untuk membungkus bekalannya.”Hamba orang Melayu,baru datang dari Panchor.”

Lelaki itu menurunkan seliginya sebagai tanda persahabatan.”Nama hamba Putat,Tok Batin suku Gelam.”

“Nama hamba Bujang,”Bujang memperkenalkan diri.

“Panglima Agung?Menantu Orang Kaya Temenggung?”Tok Batin Putat terus menghulur tangan bersalam dengan Bujang.”Banyak cerita tentang Panglima yang kami dengar dari Raja Negara. Bertuah hamba dapat bertemu dengan Panglima yang sakti lagi berilmu tinggi.”

“Apa,Raja Negara tinggal di sini?”tanya Bujang,tumpang gembira.

“Ini Kampung Keranji,”beritahu Tok Batin Putat.”Raja Negara syahbandar menjaga semua Orang Laut.Tapi,dia orang Melayu,jadi dia tinggal di Tanjung Puteri di seberang selat ini.

Panglima hendak ke mana dengan perahu seorang diri ini?”

“Hamba hendak ke Melaka,”ujar Bujang ringkas.

“Ke Melaka? Dengan perahu lading ini?”Tok Batin Putat seperti tidak percaya.”Sekarang musim tengkujuh.Laut Cina Selatan bergelombang tinggi.Selat Melaka juga kurang selamat, merbahaya bagi kapal besar,apa lagi perahu sebesar upih pinang ini.”

“Isteri hamba dilarikan orang ke Melaka,”Bujang berterus-terang.”Dia dicolek untuk dijual sebagai hamba abdi. Ribut atau taufan,hamba mesti ke sana dengan segera.”

Tok Batin Putat termenung sejenak mendengar cerita Bujang itu.Tergambar rasa kasihan pada wajahnya.”Pergilah ke kuala Sungai Singapura,letaknya di sebelah sana pulau,dekat Bukit Larangan. Di sana ada banyak kapal berlabuh.”

“Jauh lagi tempatnya?”Bujang bertanya sambil mengutip pakaian yang dijemur.

“Kalau ikut jalan darat,tak berapa jauh,”Tuk Batin Putat menunjuk ke arah bukit-bukau dan hutan-rimba.”Panglima kena redah semua itu.Hantu darat pun banyak,silap-silap darah Panglima dihisapnya.”

“Jalan laut?”tanya Bujang,kurang berminat dengan cara pertama.

“Paling mudah ikut pantai ini keliling pulau,”Tuk Batin Putat menyatakan pilihan yang lebih baik.Depan sikit ada Kuala Sungai Keranji. Ikut lagi sampai ke Pulau Belakang Mati dan Pulau Berani,dekat situ  ada Kuala Sungai Singapura. Tempat itu terlindung dari tiupan angin tengkujuh,sebab itu banyak kapal berlabuh.”

“Baiklah,elok hamba ikut jalan laut,”tegas Bujang.”Terima kasih,Tok Putat.”

“Tak singgah di rumah hamba dulu?”pelawa Tok Batin Putat.

“Terima kasih sajalah,Tok,”Bujang menolak.”Hamba tak boleh berlama di sini.”

“Kalau begitu,ambillah bekal ini,”Tok Batin Putat menghulurkan makanan berbungkus daun pisang.”Pulut dengan ikan gelama kering.Orang rumah bekalkan buat hamba ke laut.”

“Eh,Tok Putat tak makan ke?”Bujang pura-pura menolak.

“Rumah hamba dekat saja,hamba boleh minta lain,”Tok Batin Putat tersengih.

“Kalau begitu,terima kasih banyak-banyak,”Bujang menerima bekalan itu.”Sampaikan salam hamba kepada Raja Negara.”

“InsyaAllah,Panglima,”balas Tok Batin Putat,bangga bertemu panglima pujaannya itu.

Bujang meneruskan pengembaraannya dengan mendayung perahu seperti yang diceritakan oleh Tok Batin Putat.Pakaiannya yang basah disangkut pada tiang layar supaya mudah kering.

Sampai di kuala Sungai Keranji,dia memasang layar pula kerana angin pasang,pendayung digunakan sebagai kemudi memandu-arah haluan perahu.Perkampung Orang Laut yang dilihat itu bertiang tinggi,dibina jauh-jauh di sepanjang pantai berlumpur.Setiap rumah mempunyai tiga hingga empat buah perahu yang lebih kecil daripada perahu lading.Belayar di sebelah barat pulau,dia terlindung dari pancaran matahari yang terik menjelang tengah hari.Dia singgah untuk mengalas perut di beting pasir berhampiran pantai di mana terdapat anak sungai yang mengalir dari sebuah air terjun. Dia mandi-manda membersihkan badan dengan pakaiannya sekali. Pakaian itu dijemur pada tiang layar,pakaian yang sudah kering disarungkan ke badan. Selepas menunaikan sembahyang,dia meneruskan pelayaran. Angin yang bertiup tidak berhenti-henti memudahkan lagi pelayarannya.Dia hanya perlu menjaga kemudi dan tidak perlu berdayung.Bila kelihatan dua buah pulau di laut iaitu Pulau Belakang Mati dan Pulau Berani,dia menyusur pantai lagi di bawah naungan pokok-pokok liar yang tumbuh merimbun.

Lewat waktu asar,barulah kelihatan kuala Sungai Singapura dengan gugusan pulau-pulau kecil di bahagian selatan.Pantai di situ berpasir dan pemandangannya indah.Terdapat beberapa buah kapal berlabuh di perairan antara pulau-pulau itu dengan muara sungai.Rumah kediaman orang Melayu,lengkap dengan masjid dibina di kiri-kanan muara sungai itu dengan berbagai jenis sampan dan perahu tertambat di pantai.Terdapat juga kedai sederet tidak jauh dari mesjid dan pengkalan.Bujang mengendalikan layar perahunya masuk ke kuala.Setelah hampir dengan pengkalan,dia menggulung layar itu dan berdayung merapatkan perahu ke pengkalan. Tali perahu itu ditambat pada pancang yang disediakan. Pakaian pendekar yang sudah kering dijemur itu dilipat dimasukkan ke dalam kampitnya.Dengan berpakaian biasa tanpa membawa senjata kecuali kerambitnya dan kerambit Chendana yang tersembunyi di bawah baju,dia menggalas kampit kulitnya naik ke darat.Angin petang yang lembut menerpa ke mukanya dan menyegarkan badannya.Kerana mengenangkan perutnya yang belum diisi sejak tengah hari tadi,dia menghayun langkah ke deretan kedai tidak jauh dari pengkalan itu.Tiba di sebuah kedai makanan,dia pun memesan nasi dan lauk serta minuman.Sementara menunggu pesanan itu siap, dia memerhati rumah-rumah di situ yang tidak dibina dengan teratur.Di bawah rumah pecak dan ditumbuhi semak-samun kerana dijadikan tempat perlimbahan.Kebanyakan penghuni tidak berbaju,kaum perempuan bergetang kain hingga ke paras dada manakala kanak-kanak pula bertelanjang bulat berlari-larian di sekitar halaman rumah.Kalaulah tidak kerana kehadiran kapal-kapal asing dan orang luar,kampung itu tidak ubah seperti kebanyakan perkampungan Melayu di seluruh Nusantara.

Bila makanan dan minuman yang dipesan tiba,Bujang pun menjamu selera.Namun,telinganya diasak dengan bunyi riuh-rendah orang ramai membelah-belah.Selain dari Melayu,dilihatnya terdapat juga orang cina,Arab,Bugis,Jawa,Banjar,Kemboja serta orang-orang Barat. Mereka semua bercakap  menggunakan bahasa pasar dengan pelat yang berbagai-bagai.Kebanyakan mereka membawa keris Melayu,rencong Acheh,kelewang,jenawi bertumit Bugis,tombak, lembing,campak-buang,seligi Orang Laut,cenangkas,candung serta lain-lain senjata yang tidak diketahui namanya. Bujang yang kelihatan tidak membawa sebarang senjata itu menarik perhatian ramai,lebih-lebih lagi pakaiannya berbeza dari mereka.Termasuk satu keluarga Bugis dengan anak gadis mereka.Keluarga itu berpakaian seperti bangsawan,diiringi oleh beberapa orang pengawal yang membawa tombak berambu kuning.Bujang yang tidak menyedari kehadirannya menjadi perhatian tidak menghiraukan kedatangan mereka.

Seorang pengawal datang mengacu tombak ke perut Bujang sambil menyergah,”Naiga iko?”

Bujang memaling mukanya dan agak terkejut melihat mata tombak terlalu hampir mencecah perutnya.Diperhatinya pengawal itu ke atas ke bawah,”Mengapa,tuan hamba?”

“Siapa kau?”ulang pengawal itu dalam bahasa Melayu pelat Bugis.”Kenapa kau berani makan di tempat ini?”

“Hamba yang sampai dulu,”jawab Bujang dengan tenang.

Tiba-tiba pengawal itu naik darah.Pinggan-mangkuk dan cawan di atas meja itu dikuisnya dengan mata tombak,berselerak jatuh ke tanah.”Dengar sini baik-baik,”gertak pengawal itu sambil mengacu tombak ke dada Bujang.”Bila raja kami mahu makan di sini,tiada siapa pun dibenarkan masuk sehingga raja kami habis makan!Ini adat kami orang-orang Bugis!”

“Hamba bukan orang Bugis,”katanya pada pengawal bengis itu.Dia bangun mengeluarkan sekeping wang emas dari kampitnya lalu meletakkan wang itu di atas meja.Dia berpaling meninggalkan meja itu sambil menyandang kampitnya ke bahu.Ketika hendak keluar,dia terserempak dengan keluarga bangsawan Bugis itu yang baru hendak masuk.Matanya bertembung dengan mata anak gadis keluarga itu.Hatinya berdebar-debar melihat cantiknya paras gadis itu dengan berlesung pipit seperti Chendana tetapi tidak bertahi lalat.Alis gadis itu lentik,keningnya lebat,hidungnya mancung,bibirnya bak limau seulas.Gadis itu juga bagaikan terkedu memandang wajah Bujang.Mereka saling pandang-memandang seolah-olah orang lain tidak wujud lagi.

Ayo,Ratna.Idi mandre,”tegur emak gadis itu sambil memegang lengannya.

Gadis bernama Ratna itu bagaikan tersentak dari lamunan.Begitu juga Bujang.Ratna tersipu-sipu menguntum senyum,menampakkan gigi yang putih bak mutiara,sebelum mengikut ibu dan ayahnya ke dalam kedai makan.Bujang keluar dari situ tanpa menoleh ke belakang lagi,tetapi hatinya terpanggil untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis Bugis bernama Ratna itu. Usianya baru belasan tahun,mungkin lapan belas atau sembilan belas.Tentu seorang puteri raja berdasarkan kepada percakapan pengawal tadi. Puteri Ratna.Ratna sahaja nama panggilan.

Kerana senja kian berlabuh,Bujang terus menghala ke mesjid.Baru sahaja menjejak tangga mesjid,tiba-tiba dia disapa dari belakang.”Assalamualaikum,Panglima Agung.”

“Waalaikumussalam,”Bujang berpaling untuk melihat siapa yang mengenalinya.

“Hamba Tok Kilat,”jelas lelaki separuh umur itu.”Panglima kenal lagi pada hamba?”

“Masakan tidak,”Bujang bersalam dengan Tok Kilat.”Salah seorang ahli Kumpulan Awang Kerambit. Tok Kilat tinggal di sini?”

“Tidak,”balas Tok Kilat mesra.”Kampung hamba dekat Bukit Larangan tidak jauh dari sini.Hamba baru balik dari Melaka.Apa Panglima buat di sini?”

Bujang duduk di atas tangga mesjid.”Hamba hendak ke Melaka mencari isteri hamba yang dilarikan orang.”

“Isteri Panglima dilarikan orang?”Tok Kilat terduduk di atas tangga di sebelah Bujang.

“Pelik juga.Hamba tidak dengar pun tentang perkara itu ketika di Melaka.Kalau ada,tentu Kartini wakil kita di sana akan memaklumkan kepada hamba.

“Mereka dilarikan oleh orang-orang Bugis,”tambah Bujang.”Diupah oleh musuh hamba.”

“Orang-orang Bugis?”sekali lagi Tok Kilat terkejut.”Kalau begitu,isteri Panglima tentu dibawa ke Tanah Bugis,bukan ke Melaka.”

“Di Melaka banyak kapal saudagar asing,”Bujang menidakkan.”Hamba percaya isteri hamba akan dijual kepada mereka sebagai hamba abdi.”

“Di Makasar pun ada kapal asing,”sampuk Tok Kilat.”Kalau isteri Panglima dibawa ke Tanah Bugis,mahukah Panglima mencarinya sampai di sana?”

“Biarpun sampai ke hujung dunia,hamba sanggup pergi,”Bujang menegaskan.

“Nampaknya Panglima sudah nekad hendak pergi jua ke Melaka,”Tok Kilat kagum dengan semangat dan azam Bujang.”Beginilah,Panglima.Hamba berurusan menjual kelapa kering dengan Nakhoda Mamat.Kapalnya sering berulang-alik antara Sulawesi,Melaka dan Betawi.

Sekarang,kapalnya berlabuh di sini dan akan belayar ke Melaka sehari-dua lagi. Panglima bolehlah tumpang kapal itu.”

“Kecil tapak tangan,nyiru hamba tadahkan,”Bujang terus menerima tawaran itu.

“Nanti hamba pesan pada anak hamba supaya disampaikan hajat Panglima kepada Nakhoda Mamat,”Tok Kilat berjanji.”Malam ini Panglima tidur di mana?”

“Di masjid ini sudah memadai,”jawab Bujang dengan tenang.”

“Jangan begitu,Panglima,”bantah Tok Kilat.”Bermalamlah di rumah hamba sementara menunggu kapal Helang Laut belayar.Janganlah sampai hendak bermalam di masjid. Malu kalau diketahui rakan-rakan lain.”

“Hamba tidak mahu menyusahkan Tok Kilat sekeluarga,”Bujang memberi alasan.

“Tak ada susahnya,”balas Tok Kilat.”Anak sulung hamba itu kerap belayar mengikut kapal dagang.Anak-anak lain pula bersama isteri hamba di kampung keluarganya di Bentan.”

“Hamba seganlah,Tok Kilat,”Bujang cuba menolak pelawaan itu.

“Apa yang nak disegankan?Kita dalam angkatan Fisabilillah sudah mengaku adik-beradik dunia-akhirat,”tegas Tok Kilat.”Mari,Panglima.”

Kerana kuatnya desakan Tok Kilat,Bujang tidak boleh berdolak-dalih lagi.Dia pun mengikut sahaja kehendak Tok Kilat.

“Tadi hamba terserempak dengan raja Bugis dan anaknya,”Bujang bercerita ketika mereka berjalan menuju ke rumah Tok Kilat.

“Oh,itu Daeng Relaku,raja Gowa,”beritahu Tok Kilat.”Anaknya bernama Daeng Ratna Sari.”

“Apa yang dibuatnya di sini?”Bujang cuba mengorek rahsia.

“Berihat,”jawab Tok Kilat.”Sekarang musim tengkujuh.Laut bergelombang tinggi.Semua kapal yang hendak ke Makasar,Tanjung Pura atau Pulau-pulau Rempah terpaksa berlindung di Kuala Sungai Singapura lebih kurang tiga bulan menunggu pertukaran musim. Ramai orang luar berkampung di sini sebagai tempat tinggal sementara.Sebab itulah ada Kampung Cina, Arab,Jawa dan banyak lagi.”

“Kampung Bugis?”Bujang cuba merisik.

“Kampung Bugis pun ada,”Tok Kilat memberi jawapan yang dinantikan.”Di situlah Daeng Relaku sekeluarga berkampung bersama para pengawalnya.Malah,turut dibina sebuah istana hinggap lengkap dengan taman larangan berhampiran kawasan air terjun. Hai,ada apa-apa kah Panglima dengan orang Bugis?”

“Hamba sekadar ingin tahu,itu sahaja,”Bujang memberi alasan pada usikan Tok Kilat itu.

Tok Kilat hanya tersenyum mendengar alasan yang sengaja diada-adakan itu. Hati tuanya yang sudah masak dengan pengalaman hidup dapat menangkap maksud tersirat di sebalik pertanyaan Bujang itu.

“Itukah Bukit Larangan?”Bujang mengubah tajuk supaya tidak disyaki Tok Kilat.

“Betul,Panglima,”balas Tok Kilat.”Di atas bukit itu terdapat makam Raja Seri Teri Buana, raja beragama Hindu yang mula-mula membuka Singapura.Makam anak-cucunya juga terdapat di situ.Cicitnya yang terakhir ialah Damar Raja Paduka Seri Maharaja,juga disebut Sang Nila Utama.”

Sambil berjalan,Bujang mengamati Bukit Larangan yang menyimpan sejarah silam itu.

“Anak Damar Raja yang bernama Permaisura itulah yang membuka negeri Melaka setelah diusir dari Singapura oleh armada perang Majapahit,”Tok Kilat bercerita lagi.”Di Melaka, Permaisura memeluk agama Islam lalu menukar namanya menjadi Sultan Iskandar Shah.Dan, dari Melakalah asal-usul kesultanan Johor sekarang.”

Mereka tiba di kawasan perumahan yang congkah-mangkih dan dibina rapat-rapat di tepi pantai.Tok Kilat berhenti di sebuah rumah yang agak besar tetapi pintu dan tingkap bertutup rapat.”Nampaknya,anak hamba sudah pergi belayar,”katanya pada Bujang.”Panglima naiklah dulu,buat seperti rumah sendiri. Hamba nak ke kedai membeli sedikit makanan.Kalau  hamba bersua dengan Nakhoda Mamat,akan hamba suruh beliau kemari temui Panglima.”

“Baiklah,”Bujang akur. Setelah Tok Kilat pergi,dia pun membasuh kaki dan capalnya,lalu naik ke atas rumah itu. Pelita ayan bercorong kaca yang tergantung dari palang kayu di dinding

menerangi ruangan dalam rumah.Bujang meletak kampitnya dan menuju ke sebuah tempayan di belakang untuk mengambil wuduk.

Ketika Bujang mendirikan sembahyang maghrib dan isyak yang dijamak serta diqasarkan, dia terdengar bunyi tangga dipijak orang.Kemudian orang yang tidak dikenali itu duduk di atas tangga menantinya dalam gelap.Sudah tentu Nakhoda Mamat yang datang menemuinya. Tok Kilat akan terus naik kerana ini rumahnya.Bujang cepat-cepat menghabiskan sembahyangnya. Doanya pun ringkas sahaja kerana hendak melayan tetamu yang datang.

“Masuklah,Nakhoda Mamat,”Bujang mempelawa dari atas tikar.”Pintu tidak berkunci.”

Bujang terdengar pintu dibuka.Serentak dengan itu,bau semerbak menyerbu masuk menusuk hidung.”Wangi betul Tuan Nakhoda malam ini,”tegurnya tanpa menoleh.

“Beta bukan Nakhoda Mamat,”terdengar suara halus membalas tegurannya.

Bujang tersentak dan terus memandang ke arah pintu.Puteri Bugis yang terserempak dengan-nya di kedai tadi kini berada di hadapan matanya dengan berpakaian cantik tetapi penuh bersopan,selindang songket kuning berselipang menutupi dadanya.

“Beta Daeng Ratna Sari,puteri Daeng Relaku,”gadis itu memperkenalkan dirinya secara rasmi.”Ayahanda beta Raja Gowa yang bergelar Sultan Alauddin dari titisan Daeng Imanariogau Daeng Bonto Karaenglakiung Tunipalangga.”

“Panjangnya nama keturunan Tuan Puteri,”ujar Bujang penuh kagum.

“Boleh beta duduk?”tanya Daeng Ratna sambil tersenyum simpul.Tanpa menunggu jawapan dari Bujang,Daeng Ratna terus duduk bersimpuh di atas tikar di hadapan Bujang.

“Kurang manis dipandang orang kalau seorang gadis berdua-duan dengan jerjaka seperti patik,”Bujang menegur perbuatan Daeng Ratna yang terlalu berani.”Apa lagi kalau gadis itu dari keturunan bangsawan.”

“Tidak mengapa,Panglima,”balas Daeng Ratna.”Pengawal beta menunggu di luar.”

“Bagaimana Tuan Puteri tahu nama patik?”Bujang bertanya kehairanan.

“Orang seperti Panglima mudah dikenali ramai,”Daeng Ratna menggunakan alasan itu.

“Ampun patik di atas kejadian di kedai makan petang tadi,”Bujang memohon.”Patik pacal yang hina ini tidak tahu-menahu tentang adat-istiadat orang Bugis.”

“Seharusnya beta yang meminta ampun lantaran kebiadaban pengawal beta,”Daeng Ratna memohon pula.”Akan tetapi,bukan sebab itu beta kemari menemui Panglima. Sebetulnya,beta kemari merisik khabar.Beta berkenan dengan apa yang beta lihat.Dan,beta ingin memanjang-kan  hubungan siratulrahim antara kita berdua.”

“Patik kurang faham maksud Tuan Puteri,”Bujang menyatakan dengan terus-terang.

“Panglima akan faham nanti,”Daeng Ratna bangun mengakhiri perbualan.”Kita berjumpa lagi,wahai kekasih hati.Assalamualaikum,kanda.”

“Waalaikumussalam…,”Bujang menjawab panjang-panjang,terkesina oleh kata-kata ucapan Daeng Ratna yang tidak disangka-sangka itu.Dia hanya mampu memandang puteri Bugis itu melangkah keluar dan menutup pintu..Setelah gadis itu pergi,dia menarik nafas panjang.Berani betul gadis itu datang menawarkan diri kepada lelaki yang baru dikenalinya.Sementelah lagi lelaki yang sudah lama tidak merasa kehangatan tubuh seorang isteri.

Bujang mengeluh sendirian lalu memulakan zikrullah yang lazim dilakukannya.Baru separuh jalan,tiba-tiba kedengaran suara orang lelaki memberi salam dari luar.Bujang menjawab salam itu dan lekas-lekas bangun kerana disangkanya Tok Kilat.Bila pintu dibuka,lelaki separuh usia yang tersenyum memandangnya itu tidak dikenalinya.

“Tok Kilat tidak ada di sini,”Bujang menyatakan pada lelaki itu.

“Tok Kilat yang menyuruh berjumpa Panglima,”lelaki itu memperkenalkan diri.”Hamba Nakhoda Mamat dari kapal Helang Laut. Kata Tok Kilat,Panglima hendak menumpang kapal hamba ke Melaka.”

“Memang benar,Tuan Nakhoda,”ujar Bujang.”Silakan duduk.”

“Tak apalah,Panglima,”Nakhoda Mamat menolak.”Hamba hendak uruskan pemunggahan barang-barang untuk dimuat ke atas kapal besok.Cuma hamba ingin maklumkan pada Panglima

,pagi lusa kita akan belayar ke Melaka.”

“Kalau begitu,tunggu sebentar,”Bujang menahan Nakhoda Mamat yang hendak pergi.

“Kenapa,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat kehairanan.

“Ambil dulu wang tambangnya,”Bujang mencapai kampitnya untuk mengeluarkan wangnya.

“Bayar kemudian pun tak apa,Panglima,”sekali lagi Nakhoda Mamat menolak.

“Boleh hamba naik ke kapal lebih awal?”Bujang meminta kebenaran.

“Terpulanglah pada Panglima,”Nakhoda Mamat memberi keizinan.”Hamba balik dulu,ya? Kita berjumpa nanti di atas kapal.”

“Baiklah,”balas Bujang dengan gembira.

Tetapi malam itu Bujang tidak jadi ke kapal Helang Laut.Dia terpaksa menghormati Tok Kilat sebagai tuan rumah yang telah bermurah hati menumpangkannya bermalam di situ.

Besoknya hari Isnin 24 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 16 November 1651 Masehi ketika bersarapan di kedai makan,baru Bujang menyatakan hasratnya kepada Tok Kilat.

“Kalau begitu,tak apalah,Panglima,”Tok Kilat menerima alasan Bujang dengan hati yang terbuka serta berlapang dada.”Kebetulan hari ini hari Isnin dan hamba pula ada urusan dengan Raja Bendahara di Sekudai,tak bolehlah hamba melayani Panglima berbual panjang.”

“Hamba faham,”Bujang menjawab lalu menghabiskan minumannya.

Tok Kilat memanggil pemilik kedai untuk membayar harga makanan dan minuman.

Baki wangnya dimasukkan kembali ke dalam uncang kecil lalu diikat penutupnya.

“Apa ini,Tok Kilat?”tanya Bujang kehairanan bila uncang wang itu dihulur padanya.

“Buat perbelanjaan Panglima dalam pelayaran,”jawab Tok Kilat sambil memasukkan uncang wang itu ke dalam kampit Bujang.”Hamba tahu Panglima kekurangan wang.Pemberian hamba itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban Panglima.”

“Dengan apalah harus hamba balas budi-baik Tok Kilat,”ucap Bujang dengan terharu.

“Anggaplah ini sebagai sedekah jariah dari adik-beradik dan saudara seagama,”balas Tok Kilat.”Hamba pergi dulu,Panglima.Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,”ujar Bujang. Selepas bersalaman,Tok Kilat pun meninggalkan Bujang menuju ke perahu layarnya.Bujang juga bangun mencapai kampitnya tetapi tiba-tiba bahunya dipegang dengan kasar dari belakang.

“Duduk dulu,”Bujang dipaksa duduk semula.”Kami ingin bercakap dengan kamu.”

Dua orang berpakaian pendekar bersenjatakan pedang duduk di bangku di hadapan Bujang tanpa dipelawa.Wajah mereka yang berjambang dan bermisai nampak bengis serta menakutkan sesiapa sahaja.Tambahan pula mereka membawa pistol yang tersisip di pinggang masing-masing.

“Kamu pendekar,ya?”tanya seorang pendekar berbadan besar-tinggi sambil memerhati pakaian serba hitam yang dipakai oleh Bujang.

“Hamba tidak membawa keris,”Bujang mengamati wajah mereka.”Ertinya hamba bukan seorang pendekar.”

“Jangan cuba berbohong,”jerkah seorang lagi pendekar yang berbadan tegap-sasa.”Kami tahu kamu Panglima Agung.Tadi kami dengar orang tua itu menyebut nama kau. Aku Si-Tora,itu sahabatku Si-Tameng.Kami diupah Holanda untuk membunuh kau,Panglima Agung.”

Bujang mengerling kepada pemilik kedai,”Bawakan hamba minuman,”pintanya.

Pekedai itu agak hairan dengan permintaan Bujang itu kerana Bujang baru sahaja habis makan dan minum.Tetapi,permintaan itu dipatuhinya.Walau bagaimanapun,bila cawan berisi minuman itu diletakkan di atas meja di hadapan Bujang,dia tidak  menyentuhnya.

“Sebentar lagi,peluru pistol ini akan menembusi kepala kamu,”Si-Tora menepuk buntut pistolnya penuh bangga.”Apakah kamu tidak takut dan gentar,wahai panglima yang agung?”

“Hamba menggigil ketakutan,”kata Bujang sambil mencapai cawan minuman tetapi tidak diminumnya.”Jangan bunuh hamba,kasihanilah hamba.”

Si-Tora memandang sahabatnya Si-Tameng dan mereka ketawa terbahak-bahak.Bujang hanya memandang telatah mereka,tangan kirinya memegang cawan minuman,tangan kanannya di bawah meja menggenggam erat kerambit Chendana.

“Kepalamu bernilai sepuluh ribu florins,lebih mahal dari nilai tubuh isterimu Si-Chendana itu,”Si-Tameng berkata dengan penuh angkuh.”Selepas kau kami bunuh,isterimu akan kami

jadikan gundik sebelum dijual kepada Holanda.”

“Anjing yang menyalak tidak akan menggigit,”balas Bujang dengan geram.

“Apa?Kau bilang kami anjing?”Si-Tora dan Si-Tameng bingkas bangun menghunus pistol masing-masing sambil menolak meja itu ke tepi.Macam kilat menyambar,Bujang bertindak. Air minuman dalam cawan di tangan kirinya dicurah ke muka Si-Tora.Serentak dengan itu tangan kanannya yang memegang kerambit melibas tepat ke leher S-Tameng.Si-Tora yang kesakitan akibat muka dan matanya terkena air panas juga menerima nasib yang sama. Sekelip mata kemudian,lehernya pula dilibas dengan mata kerambit yang tajam itu. Bujang berundur setapak membiarkan kedua-dua perajurit upahan itu menemui ajal. Pistol sudah terlepas dari tangan Si-Tameng manakala Si-Tora tidak sempat menghunus pistolnya.Masing-masing mencekak leher dan cuba menutup liang luka yang dalam,darah merah memancut keluar dari celah jari mereka.Suara mereka tersekat di kerongkong yang sudah putus.Badan mereka tumbang ke bumi seperti batang pisang,tangan dan kaki menggelepar lemah.

Setelah mereka tidak bergerak lagi,timbul kekesalan di hati Bujang.Bukan dia menyesal membunuh mereka kerana darah mereka memang dihalalkan.Tetapi dia menyesal kerana terlalu terburu-buru bertindak.Jika mereka dapat ditangkap hidup-hidup,tentu mereka boleh membantunya mencari Chendana di Melaka.Sekarang,rahsia itu mereka bawa sampai ke mati.

Bujang mara mengesat darah di kerambitnya pada baju salah seorang dari musuhnya yang telah kaku itu.Kerambit itu diselit kembali di celah ikat pinggangnya.Pistol Si-Tameng yang terjatuh itu diambilnya.Kemudian,dihunusnya pula pistol milik Si-Tora.Waktu itu,orang ramai mula berkerumun melihat kedua-dua mayat itu.Bujang membuka kampit kulitnya.Pistol dua pucuk itu disimpannya,dikeluarkan pula kedua-dua bilah kerisnya.Dia tidak perlu menyamar lagi kerana orang ramai sudah mengenalinya.Keris pendek disisip ke rusuk kanan,keris panjang di raja disisip pula di rusuk kiri.Dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Namun,tiada siapa di situ yang berani menyoalnya,apa lagi menahannya.Malah,mereka tidak berani memandangnya walaupun dari jauh.Dia menggalas kampitnya dan segera menuju ke sebuah perahu penambang.

“Kapal Helang Laut,”katanya pada pemilik perahu yang mengambil upah membawa penumpang.Pemilik itu tidak berani bersuara,hanya mengangguk.Bujang naik ke atas perahu dan tidak menoleh ke darat lagi.Jika dia menoleh,pasti dia ternampak Daeng Ratna serta keluarga bersama orang ramai yang mengerumuni mayat-mayat itu.

“Hamba hendak ke Melaka,”beritahu Bujang pada anak-anak kapal yang menyambutnya di atas geladak Helang Laut.”Nama hamba Panglima Agung.”

“Panglima Agung?”balas salah seorang anak kapal.”Oh ya,malam tadi Tuan Nakhoda sudah ceritakan pada hamba.Mari hamba tunjukkan tempat Panglima.”

Bujang ditempatkan di sebuah kurung yang paling hadapan di bawah geladak iaitu di sebelah kurung Nakhoda Mamat.Segela keperluan sudah disediakan,termasuk sebuah tempayan penuh berisi air bersih untuk berwuduk dan mandi-manda.Di situ dia mengurungkan diri dari pagi hingga ke petang dengan menghabiskan masa membuat amal ibadat sambil merenung jauh ke tengah laut menerusi jendela yang terbuka.

Menjelang malam setelah selesai bersembahyang,Bujang membuka pintu kurungnya untuk mengambil makanan yang diletak di hadapan pintu dan ditutup dengan tudung saji.Dia terperanjat melihat Daeng Ratna bersama beberapa pengawalnya berada di situ.

“Tolong bawa makanan Panglima masuk ke dalam,”perintah Daeng Ratna pada para pengawalnya.Tanpa dipelawa,dia mengikut Bujang masuk ke dalam kurung.Mulut Bujang pula bagaikan terkunci,matanya bagaikan dipukau.Seperti biasa Daeng Ratna berpakain indah tetapi sederhana,tanpa seutas gelang pun di lengannya.Dia hanya bersubang dan memakai rantai beraguk emas.Malam itu,pakaiannya serba biru,kecuali selendangnya yang berwarna kuning keemasan.

“Kamu semua tunggu beta di atas geladak,”perintahnya lagi pada pengawalnya setelah semua makanan sudah dibawa masuk ke dalam kurung dan dihidangkan  di atas tikar.Pintu kurung itu ditutup rapat.Melihat lilin tinggal pendek,dinyalakan pula lilin lain yang lebih panjang.Dia pun duduk bersimpuh menuangkan air ke dalam bekas basuh tangan.

“Mengapa Panglima masih tercegat di situ?”pelawa Daeng Ratna.”Idi mandre nandre. Mari kita santap bersama.”

Seperti kerbau dicucuk hidung,Bujang pun duduk bersila bersama Daeng Ratna.Mereka sama-sama membasuh tangan dan sama-sama menjamah makanan yang dihidangkan.Masing-masing membisu seribu bahasa.Hanya kedengaran nasi dikunyah atau bunyi sudu berlaga dengan pinggan.Daeng Ratna hanya tunduk melihat ke pinggan,sekali pun matanya yang bercelak itu tidak diangkat.Bujang juga tunduk tetapi sekali-sekala dia mencuri-curi melihat wajah puteri Bugis itu.Hatinya tertanya-tanya,fikirannya penuh dengan seribu soalan tanpa jawapan. Sekali imbas,mereka tidak ubah seperti sepasang suami-isteri yang sedang menikmati makan malam bersama.Bujang teringat semula kenangannya ketika makan bersama Chendana dan Tunku Balqis.Tiba-tiba seleranya hilang.Nasinya baru separuh disentuh.Dia membasuh tangan.Telatahnya diam-diam diperhati oleh Daeng Ratna tetapi tiada pertanyaan terbit dari bibir bak limau seulas itu. Bujang bangun menuju ke jendela,matanya memandang ke arah Singapura yang disungkup kegelapan.

Tanpa sepatah kata,Daeng Ratna juga membasuh tanganya,kemudian makanan dan lauk-pauk yang belum habis itu ditutup dengan tudung saji.Air minuman yang masih panas dalam teko dituang ke dalam dua cawan tembikar.Dia bangun membawa dua cawan minuman itu,satu diberikan kepada Bujang,satu lagi untuknya.Bujang pula menerima sahaja minuman yang dihulurkan itu tanpa membantah. Daeng Ratna melabuhkan punggungnya di atas pangkin yang disediakan manakala Bujang masih berdiri memandang ke luar jendela.Daeng Ratna minum seteguk,kemudian memerhati Bujang dengan pandangan yang mengandungi rasa kasihan.

“Kisah yang sudah bagai sempadan,jangan kenangkan,”suara Daeng Ratna perlahan,tersusun, seperti sudah diatur.”Marilah kita sama membina hidup yang baru.”

Bujang tersentak.Itulah kali pertama Daeng Ratna bersuara sejak datang ke sini tadi. Suaranya serak-serak basah persis suara Chendana,alunan kata-kata mengandungi seribu makna yang tersirat.

“Mengapa patik dilayan begini?”Bujang masih memandang ke luar jendela.”Kita baru sahaja berjumpa.Tuan Puteri tidak mengenal hati-budi patik.”

“Sudah beta tenung dalam makrifat,Panglimalah suami beta dunia-akhirat,”tutur Daeng Ratna dengan lembut,bahasanya keluar sepatah sepatah.

“Jangan cuba bermain dengan api,kelak terbakar tangan,”Bujang memberi ingatan.

“Ramai orang berkata jangan,beta menurut hati dan perasaan,”Daeng Ratna bangun berdiri di sisi Bujang.”Sebelum kita bertemu,beta sudah tahu siapa Panglima.Daeng Andika sepupu beta,ayahnya Daeng Samarinda yang dipanggil Tok Kilat itu bapa saudara beta.Nakhoda Mamat kenalan lama ayahanda.”

Kata-kata Daeng Ratna itu dengan sendirinya menjawab pertanyaan Bujang.

“Jadi,Tuan Puteri sudah tahu patik beristeri dua?”tanya Bujang.Minumannya tidak disentuh.

“Apa salahnya beristeri dua,”tingkah Daeng Ratna.”Kalau sudah jodoh,tidak ke mana.”

“Isteri patik dilarikan oleh orang-orang Bugis yang tidak berhati perut itu,”tegas Bujang.

“Panglima tersalah sangka,”Daeng Ratna membela bangsanya.”Kami orang Bugis dididik dan diasuh dengan ajaran agama yang kuat sejak dari kecil,tidak kira raja atau rakyat biasa. Kami rela mati bergalang tanah daripada hidup memalukan bangsa.”

“Orang Bugis juga manusia biasa,tidak lepas dari membuat dosa,”sindir Bujang.

“Tetapi bukan dosa melarikan isteri orang,”Daeng Ratna tetap mempertahankan kebenaran-nya.”Karena kami tahu hukumannya ialah mati.”

“Tuan Puteri masih terlalu muda untuk memahami semua ini,”balas Bujang.

“Jangan dinilai buah dari kulitnya,”Daeng Ratna berhujah.”Kendatipun usia beta baru sembilan belas tahun,beta sudah masak dalam persoalan hidup.Seperti kanda beta Daeng Andika,beta juga kerap merantau mencari ilmu dan pengalaman.Sifat orang Bugis memang suka merantau.”

“Patik tidak percaya kedatangan Tuan Puteri hanya sekadar hendak makan-makan dengan patik dan bercerita tentang keistimewaan orang Bugis,”Bujang menyindir lagi.

Daeng Ratna meletak cawan minumannya di atas pangkin.Dengan tenang dia menanggalkan kain selindang berwarna kuning keemasan itu.”Beta datang hendak meminang,”katanya perlahan sambil melipat kain selendang itu dengan rapi.”.Terimalah kain cindai ini sebagai sumbangsih dan tanda kita sudah berpunya.”Daeng Ratna menghulurkan kain itu dengan penuh tertib kepada Bujang.

“Belum pernah berlaku,perigi mencari timba,”kata Bujang,ragu-ragu dengan pemberian itu.

“Bagi adat kami orang Bugis,perempuan boleh meminang lelaki,”Daeng Ratna menjernihkan keraguan Bujang.”Adat ini tidak bercanggah dengan Islam.Bukankah Siti Khadijah juga meminang Nabi Muhammad untuk dijadikan suaminya?”

“Tuan Puteri bukan Siti Khadijah dan patik bukan Nabi Muhamad,”tegas Bujang.

“Baiklah,”Daeng Ratna meletakkan kain cindai itu di atas pangkin.”Beta memohon diri. Jika dipanjang umur,dimurahkan rezeki dan ditemukan jodoh,kita berjumpa lagi.”

Daeng Ratna pun keluar dari kurung itu lalu menutup pintu dengan bersopan.

Bujang masih terpaku di tepi jendela,air minuman dalam cawannya tidak disentuh.

Besoknya pagi Selasa,25 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 17 November 1652 Masehi, kapal Helang Laut pun membongkar sauh dan belayar meninggalkan perairan Singapura menuju ke Melaka.Ketika anak-anak kapal sibuk dengan tugas masing-masing,Bujang turut berada di atas geladak bersama penumpang-penumpang lain.Pemergian mereka tidak menarik perhatian penduduk Singapura yang sudah biasa dengan kapal-kapal dagang yang datang dan pergi. Namun,Bujang agak terperanjat bila Nakhoda Mamat menghulurkan sebuah teropong dan menuding ke arah daratan,”Cuba Panglima teropong ke jeti.”

Bujang mengambil teropong itu lalu meneropong ke arah yang ditunjukkan.Dia ternampak dengan jelas Daeng Ratna di atas kuda putih,duduk tegak seperti patung.Hanya pandangannya tepat ditujukan ke arah kapal.Pandangan itu sayu dan syahdu,mengandungi seribu harapan, menyentuh hati dan perasaan Bujang. Bujang segera memulangkan teropong itu kepada Nakhoda Mamat dan memandang ke arah lain pula.

“Bertuah betul Panglima,”tiba-tiba Nakhoda Mamat memuji.”Bukan calang-calang orang dapat menambat hati Daeng Ratna. Dia amat pemilih orangnya. Banyak pinangan dari jauh dan dekat ditolaknya mentah-mentah.Bukan sahaja dia cantik dan kaya-raya,dia juga handal bersilat dan banyak ilmu agamanya.Dia banyak berguru dengan alim ulama.”

“Entah di mana tuahnya,”Bujang merendah diri.”Hamba ibarat pungguk rindukan bulan, hendak memikat merak kayangan.”

“Tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia siapa yang tahu,”Nakhoda Mamat seperti menggalakkan pula perhubungan itu.

“Berapa lama pelayaran ini?”Bujang menukar tajuk perbualan.

“Seminggu hingga dua minggu,bergantung kepada keadaan cuaca,”jawab Nakhoda Mamat.

“Mengapa lama sangat,Tuan Nakhoda?”Bujang bertanya kehairanan.”Setahu hamba,dua-tiga hari sahaja sudah sampai di Melaka.”

“Tapi kita hanya singgah sekejap di Melaka untuk memunggah dan mengambil barang-barang dagangan,kemudian belayar pula ke Betawi.”

“Oh begitu,”Bujang menarik nafas lega.

“Panglima yakinkah isteri Panglima ada di Melaka?”tanya Nakhoda Mamat.

“Hamba yakin dan benar-benar percaya,”tegas Bujang.

“Kalau dia masih berada dalam tawanan Belanda?”tanya Nakhoda Mamat lagi.

“Akan merahlah bumi Melaka dengan darah orang-orang Belanda,”tegas Bujang dengan nada keras lalu beredar ke kurungnya untuk mengerjakan sembahyang sunat dhuha.

Ramalan Bujang tepat sekali.Pada waktu itu,Chendana  dikurung di dalam sebuah bilik yang terasing dari tawanan-tawanan lain.Biliknya berkunci dari luar,jendela batu itu pula dipasang jerejak besi. Kerana bilik itu pernah menjadi pejabat Tuan Gabenor Johan van Twist,semua kemudahan disediakan,termasuk bilik air dan tandas.Dari tempatnya yang tinggi itu,Chendana  memandang sayu ke arah Selat Melaka yang berkilau-kilauan di bawah cahaya matahari pagi. Banyak kapal yang keluar-masuk ke pengkalan.Dia berharap dan berdoa agar salah satu kapal itu membawa suaminya Bujang. Bila teringatkan Bujang,dia meraba perutnya yang kian berisi dan tersenyum sendirian.Alangkah manisnya saat-saat ketika bersama suaminya.Dia amat merindui segala kemanisan itu.

Dia teringat lagi kejadian yang memisahkan dirinya dengan suaminya. Dia sedang membasuh pakaian di atas pelantar di tepi lubuk puaka.Tiba-tiba dia terasa seperti ditendang orang.Dia pun terjatuh ke dalam sungai.Dia cuba berenang tetapi arus sungai terlalu deras kerana hujan lebat di hulu sungai.Dia tenggelam-timbul dibawa arus,sudah beberapa kali tertelan air sungai yang kuning seperti teh susu itu.Jeritannya meminta tolong tidak didengari oleh sesiapa. Tenaganya semakin lemah.Akhirnya dia tenggelam dan tidak sedar apa-apa lagi.Bila dia sedar, dia mendapati dirinya berada di sebuah pondok using entah di mana,dikerumuni oleh Tambak, Galak serta beberapa orang lelaki berpakaian hitam yang tidak dikenali.Seri Bija Diraja juga ada di belakang Tambak,menyeringai seperti kucing laparkan ikan.

“Masih cantik lagi walaupun dah jadi isteri orang,”Galak mengusik.

“Memang cantik isteri Panglima Agung,”Tambak memegang bahagian dada Chendana. Chendana meronta-ronta hendak melepaskan diri dari pegangan mereka.

“Jangan disentuh dia,”Seri Bija Diraja memberi amaran.”Tugas kita hanyalah menangkapnya dan membawanya ke Melaka.Itu arahan dari orang atas! Kalau dia diapa-apakan,kau orang jawablah sendiri!”

“Baiklah,Seri Bija,”Tambak akur.”Galak,bawa tali kemari,biar kuikat tangannya.”

Ketika mereka sibuk mencari tali,Chendana teringat pada kerambit pemberian Bujang yang masih terselit di pinggangnya.Kerambit itu dihunus.Tanpa berfikir panjang lagi,dirodoknya perut Tambak yang boroi itu dari kanan terus ke kiri.Dibenamkan pula mata kerambit itu ke tengah belakang Galak yang cuba melarikan diri.Tiba-tiba dia merasa satu pukulan hinggap di kepalanya.Pandangan matanya berpinar,seluruh dunia ini bagaikan berpusing lipat.Kali terakhir dilihatnya ialah susuk tubuh Seri Bija Diraja yang memegang sebatang kayu.Kemudian,dia tidak sedar apa-apa lagi. Bila dia sedar,dia sudah terkurung di sebuah bilik di Melaka.

Dia terdengar bunyi hentakan capal dari luar bilik,kemudian diikuti oleh bunyi kunci dipusing sebelum pintu dibuka.Dia tidak ingin langsung memandang ke pintu.Dia tahu benar siapa yang masuk itu.

“Ini makanan kau,Tun Chendana,”kata Seri Bija Diraja. Bila kata-kata itu tidak diendahkan, dia pun meletakkan dulang berisi sarapan pagi itu di atas meja.”Aku sendiri yang pilih makanan ini.  Tidak ada yang haram.Keju dengan roti.”

“Bukankah lebih baik kau bunuh sahaja aku?”tempelak Chendana.

“Kau telah membunuh Galak dan Tambak.Tetapi,kau bernasib baik,Tun Chendana!”suara Seri Bija Diraja mengeras.”Aku hanya dititahkan mencolek kau dan membuang kau dari bumi Johor supaya suami kau tidak jadi Sultan. Aku dilarang keras menyentuh tubuh-badanmu,apalagi membunuhmu!”

“Siapa yang menitahkan kau?Sultan?Raja Ibrahim?”desak Chendana.

“Itu urusanku!Kau tak perlu ambil tahu!”tengking Seri Bija Diraja.

“Hei,Hang Jana,”Chendana bangun berhadapan dengan Seri Bija Diraja.”Kau manusia yang tidak mengenang budi!Dari Orang Laut suku Tambus yang tidak dipandang sebelah mata, ayahku  mengambilmu,mendidikmu seperti anak sendiri,memberikan jawatan di istana.Inikah balasanmu kepada kami yang berjasa?Madu diberi,dibalas tuba!”

“Kau jangan terlalu sombong!”jerkah Seri Bija Diraja.”Jasa Temenggung tidak seberapa. Aku naik pangkat kerana usahaku sendiri,kerana aku rajin dan bijak.”

“Bijak mengampu,”sindir Chendana.”Kalau ayahku dan suamiku ada di sini,kau akan tahu langit itu tinggi atau rendah.”

Seri Bija Diraja ketawa.”Suamimu sudah seperti orang gila,merayau ke sana kemari tanpa tujuan.Dan,ayahmu pula,entah-entah sudah mati diracun orang.”

“Diracun orang?Ya Allah,apa yang dah kau lakukan,Hang Jana?”Chendana benar-benar cemas.Dia cuba berlari ke pintu tetapi tangannya disambar oleh Seri Bija Diraja.Dia ditolak dengan kasar lalu jatuh terduduk di atas katil.Seri Bija Diraja ketawa terbahak-bahak.

“Tuan Gabenor,”Seri Bija Diraja memanggil.Tuan Johanes Melaka masuk bersama beberapa orang soldadu berpakaian seragam.”Hamba serahkan anak Temenggung kepada Tuan.Buatlah apa sahaja,asalkan jangan diperkosa atau dibunuh.”

“Sarsan,”perintah Tuan Gabenor pada seorang pegawainya.”Neem deze schurk af en zorg ervoor dat hij vertrekt deze toestand!”

Ja,Tuan Gabenor,”balas pegawai itu.Seri Bija Diraja pun ditangkap lalu diheret keluar.

“Bagaimana dengan Panglima Agung?”tanya Gabenor dengan pelat Belandanya.

“Panglima Agung akan kami siksa sampai ke mati,”jawab Seri Bija Diraja penuh dendam kesumat.”Hidupnya akan merana.Dia hendak bermain dengan kami,dia terimalah padahnya. Apakah dia fikir Yamtuan Muda,Paduka Raja dan ramai lagi akan berdiam diri?”

Seri Bija Diraja terus ketawa dan ketawa.

Petang itu,kapal Helang Laut sudah memasuki Selat Melaka.Bujang merenung kerambit kepunyaan Chendana seketika,air matanya menitis membasahi pipi.Lekas-lekas disapunya pipi itu,lalu disimpan kerambit itu di dalam kampitnya. Dikeluarkan pula kain cindai kuning pemberian Daeng Ratna.Hatinya berbelah bagi antara kasihnya pada isteri-isterinya dengan Daeng Ratna.Kasihnya pada arwah Teratai tidak pernah padam.Kasihnya pada Balqis tetap bersemarak sepanjang zaman.Dan kasihnya pada Chendana ibarat rambut bersimpul mati,tidak mungkin dapat dipisahkan selagi hayat dikandung badan.Tetapi,kasihnya pada Daeng Ratna mula berputik dan berbunga.Antara mereka banyak persamaan,saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.Sama cantik dan sama secocok.Hilang salah satu,tidak sempurnalah hidup Bujang.Namun,dia takut kalau-kalau terguris hati Balqis dan Chendana.Dia takut kalau-kalau pisang berbuah dua kali.Perkara hubungannya dengan Daeng Ratna perlu ditangani dengan berhati-hati.Ibarat menarik benang dalam tepung,benang tidak putus dan tepung tidak tumpah.

Bujang menyimpan cindai kuning itu lalu keluar mengambil angin di geladak untuk melapangkan fikirannya.Beberapa orang penumpang lain turut sama mundar-mandir di atas geladak kerana cahaya matahari lewat petang semakin hilang bahangnya.Seperti biasa,anak-anak kapal tidak pernah duduk diam,ada-ada sahaja kerja yang dilakukan mereka. Bujang memerhati keadaan kapal itu yang sedang belayar antara penghujung tanah besar Semenanjung dengan sebuah pulau yang indah permai serta kaya dengan kehijauan alam semulajadinya.

“Pulau apa tu?”tanya Bujang pada salah seorang anak kapal berhampiran.

“Pulau Pisang,Panglima,”jawab anak kapal yang sedang menggulung tali.”Sebelah kanan kita ialah Tanjung Piai.”

Nakhoda Mamat yang ternampak Bujang terus menghampirinya.

“Kalau tiada aral,subuh nanti sampailah kita di Melaka,”Nakhoda Mamat membuka tirai perbualan.”Kita akan berlabuh di sana beberapa hari,barulah kita belayar ke Betawi.”

Bujang memandang ke arah Nakhoda Mamat.Dia tahu nakhoda yang banyak pengalaman itu membuka peluang kepadanya untuk sama-sama belayar ke Betawi.

“Berapa lama urusan Panglima di Melaka?”Nakhoda Mamat bertanya.

“Bergantung pada keadaan,”ujar Bujang,memerhati pula Tanjung Piai.

“Hamba takut Panglima keciwa,”Nakhoda Mamat tumpang bersedih.”Isteri Panglima dalam tawanan,macam-macam boleh berlaku.Mana tahu kalau-kalau musuh bertindak kejam dan membunuhnya daripada terlepas ke tangan Panglima.”

“Sudah hamba fikirkan baik-buruknya,”baru Bujang bersuara.”Kalau takdirnya Chendana terbunuh,mayatnya akan hamba bawa balik ke Kampung Panchor.”

“Selepas itu,Panglima?”Nakhoda Mamat ingin tahu.

“Belanda tidak akan aman selagi adanya bulan dan matahari,”tegas Bujang.

“Belanda tidaklah sejahat yang disangka,”Nakhoda Mamat membela.”Banyak juga kebaikan dan kemajuan yang mereka bawa ke Alam Melayu ini.Barangkali perkara isteri Panglima dicolek dan ditawan ini bukan angkara Belanda tetapi angkara beberapa orang yang ingin membalas dendam pada Panglima.”

“Perkara itu memang terlintas di hati hamba,”akui Bujang.”Maklumlah,hamba telah membunuh ramai orang.Musuh hamba keliling pinggang.Barangkali ada saudara-mara atau sahabat-handai mereka yang menyimpan dendam kesumat.”

“Barangkali juga perebutan kuasa,”Nakhoda Mamat melemparkan pendapat.

“Perebutan kuasa?”Fikiran Bujang tidak sampai ke tahap itu.”Hamba tidak pernah gila kuasa atau gila pangkat.”

“Itu kata Panglima,bagaimana pula kata orang lain?”Nakhoda Mamat menyumbangkan pendapat kepada panglima muda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.”Khabarnya, Panglima memegang jawatan Laksamana Raja Laut di Kedah.Di Acheh,Raja Perempuan risau kerana Panglimalah satu-satunya waris lelaki yang paling berhak mewarisi tahta kerajaan Acheh.Manakala di Johor pula,ada orang bimbang kalau-kalau Panglima dinobat sebagai Sultan kerana Panglima waris tunggal almarhum Sultan Abdullah yang pernah memerintah Johor.Sultan Johor sekarang bukan sultan yang sah.”

“Nampaknya,ramai orang lebih mengetahui tentang diri hamba daripada tuan tubuh sendiri.”

“Sudah menjadi rahsia umum siapa diri Panglima,”balas Nakhoda Mamat.”Lebih-lebih lagi di kalangan kami para nakhoda dan juragan yang sering belayar ke seluruh pelusuk Alam Melayu.Siapa tidak kenal Panglima Agung,pahlawan termahsyur dan terbilang?Ada orang menyamakan Panglima Agung dengan Laksamana Hang Tuah.”

“Tinggi sungguh penghormatan orang ramai terhadap hamba,”Bujang terpesona dengan sanjung itu.”Selama ini,hamba menyangka hamba seorang panglima biasa sahaja.”

“Panglima lebih dari itu,”Nakhoda Mamat membongkar rahsia Bujang.”Panglima mempunyai kewibawaan,pesona dan daya penarik memikat hati lelaki dan perempuan.Lelaki mudah berkawan dengan Panglima,perempuan pula mudah terpikat pada Panglima.Barangkali inilah kesan dari amalan dan ilmu yang Panglima pelajari.Kata orang,ilmu yang baik membawa kebaikan,ilmu yang jahat sebaliknya pula.”

Bujang tertawa kecil.”Kerana ramai orang suka pada hambalah,maka hamba ramai musuh.”

“Memang begitu adat dunia,”Nakhoda Mamat menyatakan.”Ada kawan,adalah musuh. Kalau orang suka pada kita,dialah kawan kita.Tetapi kalau orang tidak suka pada kita,orang itu akan memusuhi kita.Kadangkala kawan menjadi musuh,musuh menjadi kawan.”

“Dalam betul kata-kata Tuan Nakhoda,”Bujang memuji dengan ikhlas.”Tidak terjengkau dek fikiran hamba yang masih mentah ini.”

“Hamba tua dengan pengalaman,”Nakhoda Mamat merendah diri.”Daeng Samalingga atau Tok Kilat,Temenggung Abdul Jalil,Panglima Dermang,Tengku Panglima Paringgit Raja Deli dan ramai lagi adalah sahabat hamba. Dari mereka hamba belajar tentang ilmu dunia dan ilmu akhirat. Dunia ini jambatan ke akhirat.Tanpa dunia takkan ada akhirat.”

“Hamba faham sekarang,”Bujang menarik nafas panjang.”Bantuan dari Allah datang dalam berbagai bentuk dan rupa.Bertuah hamba kerana dapat mengenali Tuan Nakhoda.”

“Berkenaan dengan Daeng Ratna pula….”

“Kenapa dengan Daeng Ratna?”cepat-cepat Bujang memotong cakap Nakhoda Mamat.

“Panglima jangan salah anggap dan salah sangka,”Nakhoda Mamat segera memadam keraguan yang bersarang di hati Bujang.”Daeng Ratna tiada hubungan darah dengan hamba. Ibubapanya,Daeng Relaku timang-timangan Sultan Alauddin dan Permaisuri Upu Cendera Burung hanyalah sekadar  kenalan hamba semasa kami muda-muda dulu.”

“Tetapi,”balas Bujang dan menunggu jawapan dari Nakhoda Mamat.

“Tetapi,hamba kenal benar siapa Daeng Ratna sepertimana hamba mengenali Panglima,” jawab Nakhoda Mamat sambil tersenyum.”Kalau hamba katakan dia telah terpikat dan jatuh hati pada Panglima,percayalah  kata hamba.Begitu juga dengan Panglima,mulut berkata tidak, hati berkata mahu.”

“Bijak betul Tuan Nakhoda menelah hati dan perasaan hamba,”Bujang memuji sambil tersenyum.”Gambaran hati terlukis pada wajah.Semakin hamba lari dari cinta,semakin ia mendekat.”

“Resam orang muda memang begitu,”balas Nakhoda Mamat.”Tetapi,tiada kusut yang tidak boleh dileraikan,tiada keruh yang tidak boleh dijernihkan.Yang penting cari ubatnya.”

“Kenyataan Tuan Nakhoda sungguh pahit untuk ditelan,”ujar Bujang.”Tetapi,yang pahit itulah ubat dan penawarnya.”

Nakhoda Mamat menepuk bahu Bujang.”Intan biarpun jatuh ke lumpur,tetap intan juga.”

Bujang memandang tepat ke wajah Nakhoda Mamat tetapi tiada kata-kata yang diucapkan. Hanya air mata menitis membasahi pipi,terharu dengan pujian nakhoda yang dihormati itu. Entah kenapa,dia dapat merasakan bahawa Nakhoda Mamat bukan sekadar seorang nakhoda kapal tetapi lebih dari itu.Dia yakin dan percaya setiap kata-kata nasihat Nakhoda Mamat itu lahirnya dari hati yang suci murni.

Ketika Bujang menunaikan sembahyang subuh di kurungnya pada hari Selasa 25 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 17 Oktober 1652 Masehi,kapal Helang Laut pun berlabuh dengan selamatnya di pengkalan Kota Melaka.Dia terdengar bunyi becuk anak-anak kapal mengendalikan layar,tali-temali dan sauh,mengganggu khusyuknya.Selepas berwirid,berdoa dan berzikir ala kadar,dia menulis catatan di dalam bukunya.Kemudian,dia mula mengemaskan barang-barangnya untuk dibawa ke darat.Hari itu,dia akan membuat perhitungan terakhir. Berjaya atau tidak Chendana diselamatkan,dia hanya mampu berdoa dan bertawakal.

Di kala fajar sudah hilang berganti cahaya kuning sang suria di ufuk timur,Bujang sudah berada di atas geladak,lengkap berpakaian pendekar dan berkeris.Kampit kulitnya tidak dibawa,sebaliknya ditinggalkan di dalam kurungnya.Dia memerhati anak-anak kapal yang berada di atas geladak itu.

“Mana Tuan Nakhoda?”dia bertanya pada seorang anak kapal yang sedang berihat.

“Tuan Nakhoda belum habis sembahyang subuh,”jawab anak kapal itu.”Biasanya bila matahari tinggi segalah,baru dia keluar dari kurungnya.”

“Hamba hendak ke darat,”Bujang menegaskan.”Selesai pekerjaan hamba,insyaAllah hamba akan kembali.”

Anak kapal itu hendak memasang papan tempat berjalan kaki dari buritan kapal ke pengkalan tetapi ditahan oleh Bujang.”Tak apa,hamba boleh lompat.”

Kerana jarak antara kapal dengan pengkalan memang rapat disebabkan oleh air pasang penuh,dengan mudah sahaja Bujang melompat ke atas pengkalan kayu itu.Pagi masih awal benar,tidak ramai orang berkeliaran di situ.Seperti biasa dia menuju ke pasar yang menjadi tumpuan ramai.Dua perkara dia terlepas pandang.Ketika dia meninggalkan kapal Helang Laut, dia tidak nampak beberapa buah finisi Bugis sedang menghampiri pengkalan dari arah selatan Selat Melaka.Angkatan Bugis itu membawa bendera rasmi Kerajaan Gowa. Dan,ketika dia membelok ke kiri menuju ke pasar,Chendana muncul dari arah bangunan putih tempat kediaman Tuan Johanes Melaka.Chendana dikawal oleh beberapa orang pendekar dan askar Belanda lalu dibawa pergi entah ke mana.Kedatangan angkatan dari Bugis dan kemunculan Chendana tidak disedari langsung oleh Bujang.

Beberapa buah gerai dan kedai sudah dibuka meskipun bilangan pelanggan belum ramai.

Kartini juga sudah membuka kedai makannya.Sementara abang dan kakak iparnya sibuk menyediakan makan-minum di dapur,Kartini duduk di kerusi menunggu pelanggan datang. Setakat ini,belum ada lagi pelanggan yang masuk kerana keadaan pasar masih lengang. Bila ternampak seorang pelanggan berpakaian serba hitam,dia segera bangun untuk mempelawa pelanggan itu singgah di kedainya.Dia terperanjat,matanya terbeliak dan mulutnya terlopong bila wajah pendekar itu dicamnya.

“Panglima Agung?”dia segera menutup mulutnya,takut didengari orang lain.Dia memerhati sekeliling,memandang pada abang dan kaka iparnya di dapur,kemudian mencapai tangan Bujang dan menariknya masuk ke dalam kedai.”Apa Panglima buat di sini?”

“Hamba hendak bersarapan,”jawab Bujang.”Kartini macam terkejut melihat hamba.”

“Memang terkejut.Mari kita duduk di sana,”Kartini pun menarik tangan Bujang,membawa-nya ke sebuah meja yang agak terlindung dari pandangan orang yang lalu-lalang.”Duduklah, Panglima hendak makan apa?Minum apa?”

Bujang duduk di kerusi,memandang Kartini ke atas dan ke bawah.”Makanan biasa.”

Tanpa bertanya tentang minuman,Kartini lekas-lekas ke dapur mendapatkan abang dan kakak iparnya.Bujang memandang penuh minat.Cara Kartini bercerita,dia bukan sekadar menyampaikan pesanan Bujang,malahan ada cerita lain yang diselitkan.Beberapa orang pelanggan lain mula masuk dan duduk di meja yang disediakan.Kebanyakan mereka membawa keris dan golok.Melihat mereka bersenjata,Bujang menarik nafas lega.Dia yang memakai keris tidak akan disyaki oleh sesiapa.

Kartini kembali membawa sepinggan nasi lemak dengan lauk-pauknya dan secawan air the yang masih panas.Dia menghidangkan makanan dan minuman itu di meja Bujang.Melihat sudah ada pelanggan lain yang datang,Kartini tidak jadi duduk untuk berbual bertanya khabar dengan Bujang.Dia menghampiri meja pelanggan itu untuk meminta pesanan.Dengan lafaz bismillah,Bujang mula menjamah sarapannya.Lebih ramai pelanggan yang menjenguk dan masuk.Kartini tidak ada masa hendak melayannya kerana tak menang tangan.Dia pun meng-habiskan sarapannya.Bila dia mengeluarkan uncang wang dari dalam bajunya untuk membayar harga makanan dan minuman itu,Kartini lekas-lekas datang menahannya.

“Simpan wang itu dan ambil kunci rumah ini,”Kartini menghulurkan sesuatu ke dalam genggaman-nya.” Kalau apa-apa hal,kita jumpa di sana.”

“Di mana?”Bujang juga berbisik.

“Pantai Kundur,dekat surau,”bisik Kartini dan terus beredar ke meja lain.

Bujang menyimpan kunci itu di dalam uncang wangnya,uncang itu disimpan kembali.

Dia keluar dari kedai makan itu dengan lagak seperti biasa.Tiada siapa yang ambil peduli halnya.Dia pun berjalan-jalan di sekitar pasar itu melihat barang-barang jualan.Sebuah kedai menjual senjata Melayu menarik minatnya.Dia berhenti untuk melihat keris,pedang,rencong dan bermacam-macam jenis senjata yang dipamerkan.Perhatiannya tertumpu pada beberapa bilah kerambit.Dia memilih sebilah kerambit yang sama besar dengan kerambit Chendana. Kerambit itu dihunusnya dan dibelek seketika.Kemudian,dia mengeluarkan kerambit Chendana dari celah ikat pinggangnya.Kerambit Chendana itu disarungkan dengan sarung yang baru diambil.Padan.Kerambit Chendana sudah bersarung. Dia mengeluarkan uncang wang.

“Berapa harganya?”Bujang bertanya pada penjual senjata itu.

“Sahaya tak jual sarung,sahaya jual senjatanya sekali,”balas penjual ini.

“Hamba hanya mahu sarungnya,”Bujang meletakkan sekeping wang emas di atas meja penjual.Penjual it uterus mengambil wang tersebut tanpa soal-jawab lagi.Bujang menyelit kerambit Chendana bersama kerambitnya di belakang lalu beredar ke kedai-kedai lain pula.

Tetapi dia berminat hendak membeli-belah lagi.Hajatnya ke situ untuk mencari tempat di mana Chendana disembunyikan dan menyelamatkannya. Sambil berjalan-jalan dan berpura-pura melihat barang jualan,matanya mencuri-curi melihat kota yang dikawal rapi itu sambil akalnya mencari jalan bagaimana hendak masuk ke sana tanpa disedari Belanda.Berbanding dengan kawasan pasar yang bebas dimasuki sesiapa,di dalam kawasan kota setiap pengunjung diawasi dengan teliti oleh askar-askar berseragam yang lengkap bersenjata api.

Tiba-tiba Bujang ternampak Seri Bija Diraja sedang berjalan keluar dari dalam kota dan sedang menuju ke arahnya.Dia cepat-cepat membelakangkan pembesar itu dan berpura-pura melihat kain batik yang dipamerkan.Setelah Seri Bija Diraja agak jauh,dia pun mengekorinya dari belakang.Seri Bija Diraja sedang menghala ke tempat di mana gerai-gerai makanan berada.

Bujang terus mengekorinya.Dengan tidak semena-mena,kedengaran beberapa das tembakan dari arah kota.Terdengar pula jeritan dan pekikan.Keadaan pasar yang baru hendak rancak tiba-tiba kecoh,orang ramai berlari-larian sambil menjerit’”Amuk!Amuk!”

“Asal aku pijak sahaja bumi Melaka,ada saja orang mengamuk,”Bujang merungut dalam hati. Dia melihat beberapa orang askar bersenjata menuju kemari.Kali ini dia tidak akan lari.Berani kerana benar,takut kerana salah.Askar-askar itu berhenti di hadapannya.

“Ada nampak orang mengamuk?”tanya seorang askar.

“Sana,”Bujang menunjuk ke arah Seri Bija Diraja yang masih terpinga-pinga. Askar-askar it uterus berlari mendapatkan Seri Bija Diraja.Bujang tersenyum lebar.Perangkapnya mengena. Namun,kejayaannya tidak lama.Dia ternampak penjual senjata tadi menghampiri askar-askar itu dan menuding ke arahnya.

“Dia pun terlibat,”terdengar penjual senjata itu memberitahu askar-askar tersebut.

Belum sempat Bujang membantah,askar-askar itu sudah membidik senjata api mereka tepat ke arahnya.Dia tunduk bersembunyi di sebalik dinding kedai.Beberapa das tembakan dilepas-kan,sebutir peluru menembusi dinding kedai sejengkal dari kepalanya.Sambil menyumpah penjual senjata itu di dalam hati,Bujang lari susup-sasap di celah kedai-kedai itu,dikejar oleh askar-askar Belanda yang dipimpin oleh Seri Bija Diraja.Dia tidak tahu selok-belok kawasan itu.Dia hanya tahu kedai Kartini.Ke sanalah arah tujuannya untuk bersembunyi.Seperti yang diduga,kedai makan itu kosong ditinggalkan pelanggan.Hanya Kartini masih termangu-mangu di situ bersama abang dan kakak iparnya.

“Kenapa Panglima bersembunyi di sini?”tanya Kartini cemas bila Bujang masuk.

“Petir tidak pernah memanah dua kali di tempat yang sama,”balas Bujang.

“Tapi,askar Belanda bukan petir,”bantah Kartini.Dia ternampak sorjan dan bangkon milik abangnya tergantung pada dinding,lalu diambilnya.”Cuba pakai ini.”

Tanpa banyak soal,Bujang menanggalkan dastarnya dan menyembunyikan dastar itu di bawah bajunya. Dia mencuba sorjan dan bangkon yang biasanya dipakai oleh orang Jawa.

Kartini menutup mulut menahan ketawa.Dia mengambil pula sehelai jubah yang terbelah di hadapan dan menghulurnya kepada Bujang.”Tutup keris Panglima dengan jubah itu dan mari ikut hamba.”

“Ikut kawasan jirat di Bukit Cina,”pesan Dahari pada adiknya.”Kemudian ikut Peringgit dan Bertam Ulu,baru belok ke Pantai Kundur.Tempat itu jarang dikawal askar Belanda.”

Kartini mengangguk,kemudian menarik tangan Bujang segera beredar dari kedai itu. Dahari dan isterinya hanya tersenyum simpul bagaikan menyimpan suatu rahsia yang hanya diketahui mereka.

Bujang dibawa ke sebuah bukit tidak berapa jauh dari Kota Melaka.Sampai di kaki bukit, mereka berhenti sekejap di tepi sebuah perigi.Bujang menjenguk ke dalam perigi melihat airnya yang jernih dan segar.Lantas,dia mencapai sebuah baldi untuk mengambil air itu.

“Jangan,”Kartini menahan.”Air perigi ini tidak boleh diminum,Panglima.”

“Kenapa pula begitu?”Bujang mencampak baldi ke tanah.

“Inilah perigi Hang Li Poh,”jelas Kartini.”Orang-orang Acheh yang menyerang Melaka pernah menaruh racun ke dalam perigi ini sebelum mereka berundur.Ramai juga askar Portugis yang mati terminum air beracun ini.Panglima tahu sejarah perigi Hang Li Poh ini?”

“Hamba bukan orang Melaka,”jawab Bujang,sebagai tanda dia tidak tahu.

Kartini mengeluarkan sekeping wang dari celah baju dalamnya,bertafakur sebentar,kemudian membuang wang itu ke dalam perigi sebelum bercerita,”Perigi ini pemberian Sultan Melaka kepada Puteri Hang Li Poh sempena dengan perkahwinan mereka.Bukit Cina ini juga dhadiah-kan kepada permaisuri baginda dari negeri China itu.Di sinilah Puteri Hang Li Poh dikuburkan dan di sini juga dayang-dayangnya seramai lima ratus orang itu dikuburkan,bersama dengan keluarga mereka yang telah berkahwin campur dengan penduduk Melaka.”

“Mengapa wang itu dibuang ke dalam perigi?”tanya Bujang sambil menjenguk.

“Menurut kepercayaan orang cina,barang siapa yang berbuat begitu,hajatnya pasti terkabul.”

“Apa hajat Kartini?”Bujang cuba merisik.

“Itu rahsia hamba,Panglima,”wajah Kartini merah padam.”Biarlah hamba dan Allah sahaja yang tahu.”

Bujang memerhati kawasan sekitar bukit.”Lebih baik kita pergi dari sini,”katanya pada Kartini.”Kalau dilihat dek anjing Belanda,tak kesampaian pula hajat Kartini.”

“Mari,”Kartini memegang tangan Bujang dan meramasnya. Mereka meninggalkan perigi beracun itu dan merentasi kawasan tanah perkuburan orang cina yang penuh dengan betbagai jenis nisan batu.

“Cantik,”Bujang memuji,memandang ke arah sebuah tokong cina.

“Itu Tokong Sam Po Kong,”Kartini menjelaskan.

“Maksud hamba kuda itu,”Bujang menuding ke arah seekor kuda hitam yang besar-tinggi.

“Ya,”Kartini tersenyum.”Kuda siapa agaknya?Tentu bukan milik orang cina sebab mereka tak suka warna hitam.Sial,kata mereka.”

Mereka menghampiri kuda hitam itu.

“Nampaknya bukan kuda Melayu,”Bujang memerhati kuda itu dengan teliti.

“Mungkin kepunyaan seorang pegawai Belanda,”ujar Kartini.”Tersesat ke sini agaknya.”

Bujang memegang tengkuk kuda itu dan mengurutnya perlahan.”Jinak,”katanya.

“Kuda tunggangan memang jinak,”balas Kartini.”Panglima biasa menunggang kuda?”

“Biasa,”jawab Bujang,memandang tepat ke wajah Kartini.”Memang menyeronokkan. Penat tetapi menyeronokkan.” Wajah Kartini merah padam mendengar kata-kata sindiran itu.

“Hoi,tunggu dulu,”Bujang dihalang apabila dia hendak menaiki kuda itu.

Seorang lelaki cina yang sudah tua,berkepala botak dan berpakaian seperti tok sami tampil memagang kepala kuda itu.”Ini kuda gua punya.Tuan Cornelius kasi sama gua.Mau curi kah?”

“Maaflah,apek,”pinta Bujang.”Kami bukan mahu mencuri kuda ini.Kami mahu pinjam.”

Tok sami itu tidak pedulikan Bujang,sebaliknya mengamati Kartini betul-betul.”Lu kopitiam sana kerja ‘kan?Adik sama Dahari?”

“Betul,apek,”akui Kartini.”Kami mahu pinjam ini kuda. Mahu pergi Bertam Ulu. Gua punyak kakak punya emak sakit kuat. Ini gua punya laki,kami baru kahwin.”

“Oh,itu macam kah?”tok sami tua itu ketawa berdekah-dekah,menampaknya gusinya tanpa gigi walau sebatang.”Lu mahu angkat ini kuda,angkatlah.Dulu ini kuda sakit.Tuan Cornelius suruh kasi ubat.Sudah baik,Tuan Cornelius bilang angkat terus,kasi bayar hutang. Sekarang, ini kuda banyak susah gua mahu jaga. Lu orang angkatlah.”

“Ada pelana dan kekang?”Bujang bertanya.

“Tempat duduknya,”tambah Kartini bila tok sami itu tidak faham,

“Oh,..ada..ada. Tunggu,ah?Gua pigi angkat,”jawab tok sami itu dengan gembira.

Bujang tidak menunggu di situ,sebaliknya mengikut lelaki cina itu ke tokong. Dia kembali membawa peralatan yang diperlukan.Dia memasang pelana dan tali kekang pada kuda itu, dibantu oleh Kartini.Setelah siap,dia pun naik ke atas kuda itu dan menanti Kartini.

“Apa ditunggu lagi?”tegurnya bila Kartini masih keberatan.

“Hamba memakai kain,bagaimana hendak menunggang kuda?”rungut Kartini.

“Duduk mengereng di hadapan hamba,”Bujang menyuruh sambil menghulur tangan. Bila tangan itu dicapai oleh Kartini,Bujang terus menarik Kartini naik ke atas kuda.Berderau darah Bujang bila punggung Kartini yang bulat dan padat itu terhenyak di atas ribaannya.Tambahan lagi bila tangan Kartini melengkari pinggang.Dia lelaki berdarah muda yang punya nafsu dan perasaan.Balqis jauh di Kedah.Chendana pula masih belum dijumpai.

“Bolehkah kita naik kuda macam ini?”tanya Kartini,menguis rambutnya yang panjang dari terkena muka Bujang.Wajahnya merah padam kerana dia juga terasa seperti Bujang.

“Apa boleh buat,”balas Bujang.”Darurat.”

Bujang menarik tali kekang dan kuda hitam itu mula bergerak dengan perlahan.

“Tunjukkan jalan ke Pantai Labu,”kata Bujang pada Kartini.

“Pantai Kundur,”Kartini membetulkan dan cuba menahan ketawa.

Bujang tidak terasa lucu dengan kesilapannya itu.Mereka terus menunggang berdua-duaan melalui lorong dan denai merentasi kawasan dusun dan lading tinggal. Bujang tahu Kartini sengaja memberi panduan dan pedoman agar mereka tidak melalui kawasan yang dihuni manusia untuk mengelak pandangan sumbang masyarakat kampung yang masih kuat ber-pegang pada adat dan syarak. Jika ada lain-lain alasan,dia tidak mahu memikirnya.

Mula-mula Kartini agak malu-malu memeluk pinggang dan tengkuk Bujang.Lama kelamaan sifat malunya hilang dan dia mula merasa seronok terhinjut-hinjut di atas ribaan panglima muda itu.Ibarat tanah yang sekian lama gersang kini merindui titisan hujan.Ibarat perantau yang haus dahaga mengharapkan seteguk air.Bagi Bujang pula,mula-mula terganggu juga fikirannya dan terangsang juga darah mudanya.Namun,berkat amalannya selama ini,nafsunya terkunci, jiwanya menjadi tenang dan hatinya terhindar dari lintasan-lintasan yang tidak baik.Dia berjaya mengosongkan fikirannya,mengisinya dengan zikrullah dan menumpukan sepenuhnya pada arah yang dituju.Dia tidak akan tunduk pada godaan syaitan laknatullah.

Tidak lama kemudian,mereka memasuki kawasan pantai.Mereka berpatah balik menyusur pantai hingga tiba di pinggir Kampung Upih yang bertentangan dengan Pulau Upih.Di situ, Kartini minta diturunkan kerana mereka sudah hampir dengan kawasan perkampungan.Bujang menunggang perlahan-lahan seiring dengan langkah Kartini.

“Jauh lagi Pantai Labu?”Bujang bertanya sambil memerhati kapal-kapal yang berlabuh di pengkalan.Kapal Helang Laut juga masih kelihatan di sana.Ternyata mereka berada tidak berapa jauh dari Kota Melaka.Mereka telah berpusing-pusing mengambil jalan jauh agar untuk mengelak dari buruan askar-askar Belanda.

“Pantai Kundur,”Kartini betulkan.Kali ini dia tidak dapat menahan diri dari tertawa.”Pantai Kundur di depan sana.Mengapa Panglima asyik tersasul sahaja?Labu dan kundur tidak sama.”

“Buah tetap buah,biar apa pun namanya,”balas Bujang dengan selamba.

“Tapi,ramai orang tidak suka pada buah yang sudah ditebuk tupai,”bidas Kartini.

Bujang terkejut dengan jawapan itu.Dia tidak berniat hendak menyinggung hati Kartini.

Dia tahu hati seorang janda mudah terguris,kata-kata orang sering disalah-tafsirkan.

“Sudah lama Kartini hidup sendiri?”Bujang berhati-hati melempar soalan.

“Hamba tidak pernah hidup sendiri,”Kartini menjelaskan.”Hamba ada Abang Dahari dan Kak Milah.Kalau hidup sebagai janda,ya,sudah hampir sepuluh tahun.”

“Bercerai mati?”tanya Bujang lagi.

“Tidak,”Kartini tidak segan-silu bercerita.”Hamba diceraikan dengan talak tiga.”

“Talak tiga?Mengapa lelaki sekejam itu?”Bujang mengutuk kaum sejenisnya.

“Bekas suami hamba tidak kejam,”Kartini membela.”Tapi,dia terlalu panas baran.Silap sikit, dia mengamuk.Bila dalam keadaan marah,hamba diceraikan.Bila dah menyesal,kami rujuk balik.Lepas itu berulang lagi.Masuk kali ketiga,kami tak boleh rujuk lagi sampai bila-bila.”

“Tetapi,Kartini boleh mencari suami lain,”Bujang mengusik.

“Mana ada lelaki yang sudi menjamah sisa orang lain,”Kartini menyindir pedas.

“Teratai arwah isteri hamba seorang janda,”sampuk Bujang.

“Ya,lelaki seperti Panglima memang sukar dicari,”balas Kartini penuh bermakna.

“Ah,itu pun rumah hamba,”Kartini menuding,menutup perbualan mereka.

Bujang mengambil kunci dari uncang wangnya,kunci itu dikembalikan kepada Kartini.

“Panglima hendak ke mana?”tanya Kartini setelah menerima kunci rumahnya.

“Kartini tahu tujuan sebenar hamba kemari?”Bujang bertanya balik.

“Tidak,”jawab Kartini sepatah.

“Isteri hamba dicolek orang dan dilarikan ke Melaka,”jelas Bujang.”Hamba kemari untuk merampasnya kembali dari tangan mereka yang tidak bertanggung-jawab.”

“Kalau Panglima menyerbu masuk ke dalam kota,Panglima pasti dikeroyok oleh askar-askar Belanda ,”Kartini mendedahkan.”Chendana digunakan mereka sebagai umpan.”

Bagaimana Kartini tahu Chendana yang dicolek sedangkan dia tidak menyebut pun nama isterinya?Bagaimana Kartini tahu Chendana dikurung di dalam kota?Soalan itu bermain-main dalam kepala Bujang tetapi tidak diluahkan.

“Panglima berihatlah dulu di rumah hamba,”Kartini mempelawa.”Biar hamba pergi siasat tentang Chendana.Mungkin rakan-rakan hamba di sekitar kota mendengar desas-desus dan khabar angin yang boleh membantu kita.”

“Baiklah,”Bujang turun dari  kuda itu.

“Biar hamba tukar pakaian dulu,”pinta Kartini.”Pakaian ini basah tadi.”

“Kenapa basah?”Bujang memerhati langit yang cerah tidak berhujan.

Kartini hanya tersenyum lalu beredar dari dari situ dan terus naik ke atas rumahnya.

Sementara menunggu,Bujang menanggalkan jubah yang dipakainya.Sorjan dan bangkon  diganti dengan dastarnya.Pakaian milik Dahari itu digumpal dilonggok di atas perdu.

Kartini muncul semula dengan memakai seluar seperti lelaki.Namun,sifat kewanitaannya tetap terserlah dengan baju krung pendeknya,ikat pinggang serta selendang sutera.Rambutnya yang panjang terhurai sudah digulung menjadi sanggul,ditutup pula dengan selubung putih. Rantai emasnya tergantung dari leher yang jinjang,di lengannya kelihatan beberapa urat gelang emas.Sekali imbas,Kartini tidak ubah seperti gadis belasan tahun.

Bujang menghulurkan tali kekang kuda kepada Kartini.Belum sempat Bujang membantu, Kartini sudah naik ke atas kuda,tindakannya lincah dan tangkas.

“Panglima tunggu di sini,jangan ke mana-mana,”pesan Kartini bersungguh-sungguh. Kemudian,dia terus memecut pergi,kuda itu dengan mudah berlari di atas pasir.Cara dia mengendalikan kuda menunjukkan dia seorang penunggang yang cekap dan terlatih.Biasanya hanya golongan bangsawan yang diajar menunggang kuda.

Tengah hari itu,Bujang sembahyang seorang diri di sebuah surau berhampiran.Badannya terasa segar selepas mandi di sebuah kolah di belakang surau.Surau itu seperti sudah lama terbiar tidak terjaga,dinding dan lelangit penuh dengan sarang labah-labah manakala lantai dipenuhi habus.Bujang membuang sarang labah-labah dan menyapu lantai menggunakan sebatang penyapu lidi.Dilap pula lantai itu dengan sehelai kain buruk yang ditemui di situ. Kain-kain sejadah yang sudah lama tidak digunakan itu dikibas-kibas habuknya sebelum disidai di tempat yang disediakan.Baru terasa berseri dan bercahaya surau tua itu. Selepas menyempurnakan sembahyangnya,seperti biasa dia berwirid,berdoa dan membaca sebuah kitab Al-Qur’an yang sudah buruk lagi koyak-koyak.Mujurlah dia dapat menghafal dan sekali-sekala sahaja merujuk pada kitab itu.Waktu-waktu seterusnya diisi dengan istighfar.tahmid serta lain-lain zikrullah.Kartini belum juga pulang.Dia terus menanti dengan sabar.

Menjelang masuknya waktu asar,dia sudah jemu menanti.Lantas,dia keluar dari surau itu dan menunggu di bawah sepohon rambutan.Buah rambutan yang sedang masak ranum itu dipetik-nya buat mengalas perut.Terdapat juga beberapa pohon jambu dan ciku di keliling surau itu.

Buah-buahan itu juga dicubanya sebiji-dua,hingga akhirnya dia terasa kenyang.Duduk berihat di atas buaian yang digantung dari dahan pokok,matanya terasa mengantuk.Kartini yang ditunggu-tunggu belum juga balik-balik.

Bujang hampir terlelap apabila telinganya terdengar suara orang bercakap-cakap.Kerana menyangka Kartini yang balik,hatinya melonjak gembira.Rupanya abang dan kakak ipar Kartini.Dahari dan Milah balik dengan berjalan kaki dari kedai makan mereka.Sambil berjalan, mereka berbual-bual kosong tanpa buah-butirnya.Bujang turun dari buaian dan menunggu di bawah pohon limau yang sedang berbuah lebat.Dahari dan Milah semakin hampir.

“Kahwin?”Bujang terdengar Dahari berkata,diiringi oleh ketawa.”Panglima Agung hendak berkahwin dengan Kartini?Hei,Milah,dia tu dah ada dua orang bini,tau!Lagipun Kartini tu lebih tua darinya.”

“Apa kena-mengena dengan jodoh?”tempelak Milah pada suaminya.

Mereka duduk di atas buaian betul-betul di hadapan Bujang.Bujang jadi hairan kerana mereka langsung tidak melihatnya sedangkan tiada apa yang menghalang pandangan mereka.

“Siti Khadijah pun lebih tua dari Nabi Muhamad,”Milah meneruskan.”Tentang dua isteri, itu tak jadi masalah.Bukankah lelaki boleh berkahwin empat?”

“Jarang orang perempuan suka bermadu,”Dahari menyanggah pendapat isterinya.

“Dengan Panglima Agung,perempuan mana pun sanggup bermadu,”tingkah Milah.”Kalau Milah jadi Kartini,Milah sanggup.Panglima Agung tu bukan calang-calang lelaki. Dia bukan sahaja handal bermain senjata tapi handal juga…..!”

“Awak yakin Kartini dah jatuh hati padanya?”tanya Dahari,memotong cakap isterinya.

“Melihat tingkah-lakunya di kedai tadi,memang dah sah,”Milah merumuskan.

“Kartini ada cakap pada awak?”Dahari seperti kurang yakin.

“Milah orang perempuan,abang.Milah tahulah hati perempuan.”

“Susah..susah..,”Dahari mengeluh. Dia bangun dari buaian dan mara ke hadapan Bujang yang masih tercegat di bawah pohon limau.Anehnya dia masih tidak dapat melihat Bujang.

“Kalau bekas suaminya tahu,tentu dia naik berang,”sambung Dahari,memandang ke arah Bujang tetapi tidak melihatnya.”Dia masih sayang pada Kartini.”

Bujang memetik sebuah limau yang sudah masak.Buah limau itu dikupasnya.

“Salah dia juga,abang,”sahut Milah dari buaian.”Kalau dia masih sayang pada Kartini, mengapa dia ceraikan Kartini dengan talak tiga?Sekarang dia gila talak!”

Hidung Dahari kembang-kempis seolah-olah dia tercium bau kulit limau yang sedang dikupas.”Abang tak percaya Panglima Agung akan mengawini Kartini,”dia menolak hujah isterinya.”Panglima Agung pemilih orangnya. Kedua-dua isterinya pun bukan sebarangan, anak Sultan Kedah,anak Temenggung Johor.”

“Kartini pun apa kurangnya?Abang nak bertaruh dengan Milah?”

Bujang merasa dia sudah cukup mendengar perbualan yang sepatutnya menjadi rahsia. Kulit limau itu dilontarnya ke kaki Dahari,isinya dimakan seulas demi seulas.

Dahari memungut kulit limau itu,dibeleknya dengan hairan.

“Bila pula limau ini berbuah?”dia bertanya hairan sambil memandang ke dahan dan ranting pokok limau itu.”Siapa yang memakannya?”

Belum sempat Bujang menjawab,tiba-tiba kedengaran bunyi kuda berlari dengan pantas. Dari jauh,dilihatnya Kartini sedang dikejar oleh beberapa orang askar berpakaian seragam. Askar-askar itu juga menunggang kuda.

“Kartini!”Milah dan suaminya menerpa mendapatkan Kartini. Kartini berhenti dan cepat-cepat turun dari kudanya.Askar-askar itu tidak pedulikan Kartini,sebaliknya mereka mula mengepung rumah itu dengan senjata api yang siap sedia hendak memuntahkan peluru.

“Kenapa ni,Kartini?”tanya Dahari sambil melihat dengan cemas askar-askar itu turun dari kuda dan mula memeriksa di sekitar rumah mereka.

“Tina pun tak tahu kenapa,”jelas Kartini,mukanya masih pucat.”Lepas tutup kedai,Tina terus kemari. Dia orang menahan Tina di tengah jalan.Tina dituduh bersubahat dengan Panglima Agung. Tina pun pecut kuda laju-laju pulang kemari.”

“Nasib baik kau tak ditembak mereka,”sambut pula Milah sambil mengurut dada.

Bujang yang sedang asyik menyaksikan kejadian itu tiba-tiba tercium bau wangi semerbak.

“Di sini tidak selamat,ikut Tok ke dalam,”satu suara garau mempelawa lembut.

Bujang berpaling dan nyaris-nyaris membuka langkah silat bila terpandang seorang lelaki tua berserban dan berjubah hijau yang muncul entah dari mana. Wajah lelaki itu bersih.Janggut, misai dan jambang berwarna putih seperti kapas,janggutnya panjang secekak.

“Mereka tidak nampak dan tidak dengar kita,”katanya pada Bujang.

Bujang menjengah ke belakang dan melihat rumah itu mula digelidah.Dia ingin menahan kemungkaran yang berlaku di depan matanya.

“Asar sudah menjelang tiba,tolong azan,”pinta lelaki berserban itu dengan lembut.

Mahu tidak mahu,Bujang terpaksa meninggalkan Kartini dengan abang serta kakak iparnya dan mengikut lelaki berserban itu masuk ke surau.Kecuali mereka berdua,surau itu masih kosong.Bujang berdiri di hadapan mihrab dan terus melaungkan azan dengan suara yang nyaring,menyeru semua muslimin dan muslimat menyembah Allah.Azannya disambut oleh beberapa orang makmum yang mula masuk ke dalam surau.

Selepas azan,Bujang terkejut melihat surau itu sudah penuh dengan makmum yang berpakaian seperti lelaki tua tadi.Lelaki tua itu sudah berdiri di tempat imam dan bersedia hendak memulakan sembahyang asar.Seorang makmum di saf hadapan dan betul-betul di belakang imam mengosongkan tempatnya untuk memberikan ruang kepada Bujang. Bujang sudah pun mengerjakan sembahyang jamak taqdim,sembahyang yang diqasar dan dijamak zohor dengan asar kerana menganggap dia masih dalam musafir.Namun,untuk menghormati waktu sembahyang dan memenuhi kehendak mereka,dia pun ikut serta.Terasa janggal juga kerana hanya dia seorang berpakaian pendekar dan membawa senjata pula.Sepanjang waktu mendirikan sembahyang jemaah itu,suasana terasa begitu hening dan damai,seolah-olah mereka berada di alam lain.Setiap patah bacaan tok imam dapat didengarnya dengan jelas. Selepas memberi salam dan berwirid beramai-ramai,Bujang dipelawa membaca doa oleh tok imam tersebut.Bujang pun membaca doa yang lazim dibacanya dengan tenang,diaminkan oleh semua makmum.Habis berdoa dan menyapu tangan ke muka,Bujang menghulur tangan untuk bersalam dengan tok imam.Tiba-tiba semua makmum bangun dari tempat masing-masing, membuat bulatan din kelilingnya dan tok imam,kemudian duduk bersila mengelilingi mereka berdua.

“Doa yang anakanda baca tadi tadi Sheikh Kuala?”tanya tok imam sambil menyambut tangan yang dihulur oleh Bujang.

Bujang hanya mengangguk.Dia hairan bagaimana tok imam itu mengenali gurunya di Acheh. Dia bertambah hairan apabila tok imam itu memanggilnya anakanda sedangkan dia tidak kenal siapa tok imam itu.

“Nama ayahanda Tok Abal Yusuf,”tok imam itu memperkenalkan diri seolah-olah dapat membaca hatinya.”Ayahanda ialah raja di Negeri Antah Berantah.Puteri Mayang Sari banyak bercerita tentang Panglima Agung yang ditemuinya di tepi pantai Pulau Pinang.”

Bujang mengangguk,kenangan pada pertemuan itu datang lagi.

“Ayahanda ini jin atau malaikat?”Bujang memberanikan hati bertanya.

“Kita sama-sama makhluk Allah yang mendiami muka bumi ini,”ujar Abal Yusuf tanpa memberi jawapan yang tepat.”Anakanda juga akan menjadi seperti kami yang diberkati Allah dengan berbagai hikmah dan karamah.Tanda-tanda ke arah itu sudah ada.”

“Tanda-tanda?”Bujang tidak mengerti maksud Abal Yusuf itu.

Tok Abal Yusuf tidak menjawab.Sebaliknya dia berdiam diri seketika seolah-olah mendengar sesuatu dengan teliti.”Hulurkan tangan anakanda,”pintanya lembut.

Bujang pun melakukan seperti yang disuruh.Raja Abal Yusuf meletakkan sebentuk cincin suasa berbatu zamrud di atas tapak tangan Bujang.

“Pakai di tangan kanan,”pinta Raja Abal Yusuf lagi.

Bujang terus menyarungkan cincin suasa zamrud itu ke jari manis di tangan kangannya. Cincin itu muat dan secocok bagaikan telah diukur.

“Itulah pemberian Puteri Mayang Sari,”Raja Abal Yusuf menjelaskan.”Tanda anakanda dah bertunang dengan puteri ayahanda.”

“Bagaimana anakanda boleh bertemu dengannya?”tanya Bujang.

Raja Abal Yusuf tersenyum.”Caranya mudah sahaja,”jelasnya.”Gosok batu zamrud itu tiga kali,seru namanya dan beri salam.Kalau keadaan memerlukan,dia akan menjelma.Anakanda harus ingat,kami dilarang keras mencampuri urusan manusia melainkan dalam keadaan tertentu yang diizinkan Allah.”

“Anakanda faham,”balas Bujang penuh takzim.

“Kejadian luar-biasa seperti ini akan terus anakanda alami sepanjang hidup,”Raja Abal Yusuf memberi nasihat dan ingatan.”Apa yang anakanda alami di Gunung Jerai tidak seberapa. Anakanda akan temui makhluk Allah yang berbagai rupa dan bentuk.Ada yang baik,tidak kurang juga yang kurang baik.Hati-hatilah membuat pilihan. Fikir baik-buruknya. Dan,kepada Allah jua anakanda wajib berserah kerana semua dugaan ini datang dari Allah. Setiap kesilapan yang anakanda lakukan akan dikenakan kifarah,setiap kifarah mempengaruhi perjalanan hidup anakanda seterusnya.Ingatlah segala pesanan dan nasihat ayahanda ini.”

“InsyaAllah,ayahanda,”Bujang berjanji.

“Assalamualaikum,”Raja Abal Yusuf menutup perbualan itu.

“Waalaikumussalam,”jawab Bujang.Tiba-tiba Raja Abal Yusuf dan semua makmum ghaib dari penglihatan.Tinggal Bujang seorang diri di surau tua itu.

“Subhanallah,”Bujang menyapu tapak tangan ke muka dengan penuh terharu.

Dengan mata yang masih berkaca,dia melangkah keluar dari surau itu. Kartini,Dahari dan Milah masih berdiri di tepi pokok limau memerhati rumah mereka digelidah dengan kasar oleh askar-askar Belanda itu.

“Milah,”kata Dahari pada isterinya.”Awak pergi ke surau.Kalau Panglima Agung ada di sana, suruh dia bersembunyi kerana askar-askar Belanda sedang mencarinya.”

“Biar Kartini sahaja yang pergi,abang,”Kartini menawarkan diri.”Kartini sanggup mati bersama Panglima Agung jika takdirnya kami dikepung.”Dia terus berlari pergi dari situ.

Bujang terharu,kata-kata dari Kartini meninggalkan bekas di hatinya.Namun,dia hairan apabila Kartini bukan menghala kemari tetapi sebaliknya menuju ke arah bertentangan dari surau itu.Apakah terdapat surau lain lagi di perkampungan itu?

Bujang menghampiri Dahari dan isterinya.Kerana terlalu asyik memerhati askar-askar Belanda itu,mereka tidak menyedari kehadiran Bujang walaupun Bujang berada di belakang mereka. Kartini kembali mendapatkan mereka dengan wajah muram.

“Panglima Agung ada di surau?”tanya Milah pada adik iparnya.

“Tak ada,”rendah sahaja suara Kartini,macam keciwa dengan ketiadaan Bujang.

Bujang yang berdiri bersama mereka menjadi seperti orang bodoh.Terasa lucu juga kerana mereka langsung tidak dapat melihatnya,seolah-olah pandangan mereka dihalang sesuatu. Dia diam sahaja untuk melihat sejauh mana gelagat mereka.Setelah puas menggeledah rumah itu tanpa mendatangkan hasil,askar-askar Belanda itu pun naik semula ke atas kuda mereka dan terus memecut laju meninggalkan perkampungan itu menghala ke arah Kota Melaka.

“Abang perasan tak tadi?”tanya Milah pada suaminya.

“Perasan apa?”tanya Dahari balik.

“Askar-askar tu tak nampak kita,”kata Milah pada Dahari dan Kartini.

“Kita tercongok kat sini,takkan dia orang tak nampak,”balas Dahari.

“Kalau dia orang nampak,kenapa dia orang tak berhenti?”tanya Milah.

“Buat apa berhenti?Bukan kita yang dicari.Dia orang mencari Panglima Agung.”

“Ah-ah,abang,akak,ke mana perginya Panglima Agung?”sampuk Kartini pula.

Bujang mengambil keputusan untuk menamatkan segala teka-teki itu.

“Hamba tidak ke mana-mana,hanya ke surau,’Bujang mencelah dari belakang mereka.

Mereka berpaling dan terperanjat melihat Bujang tiba-tiba muncul di situ.Kartini tanpa segan-silu terus menerpa memeluk Bujang erat-erat dengan penuh gembira.Dahari dan Milah yang pada mulanya terkejut dengan tindakan Kartini itu bertukar-tukar senyuman. Bujang juga terkejut,matanya terpinga-pinga memandang abang dan kakak ipar Kartini. Bila Kartini menyedari perbuatannya yang terlanjur itu,tersipu-sipu dia melepaskan Bujang dari pelukan, wajahnya merah padam.

“Kata tadi Panglima ke surau,”celah Dahari.”Surau yang mana satu?Setahu hamba,di kampung ini cuma ada sebuah surau.”

“Surau itu,”Bujang menuding ke arah surau tua yang dikelilingi rimbunan pokok buah-buahan.Kehairanan tergambar pada wajah Dahari dan isterinya.Begitu juga dengan Kartini.

“Kami tak nampak surau pun,”ulas Dahari.”Yang kami nampak cuma hutan lalang dan pokok senduduk yang tumbuh liar.”

“Betul tu,Panglima,”sokong Milah.”Cuma ada sebuah perigi lama yang tak digunakan lagi.”

Kartini juga menggelengkan kepada bila Bujang menoleh ke arahnya.

“Jangan-jangan Panglima terkena ilmu sihir,”Milah terlepas cakap.

“Biar hamba buktikan sihir atau tidak,”tegas Bujang.Dia pun pergi semula ke surau tua itu.

Dipetiknya beberapa butit buah rambutan,ciku dan limau yang sudah masak.Kemudian,dia kembali mendapatkan mereka dan menyerahkan buah-buahan itu.

“Buah betul’kan?Bukan sihir?”Bujang membidas mereka.

Untuk membuktikan betul atau tidak,mereka mengupas dan memakan buah-buahan itu.

“Eh,buah betullah,abang,”kata Milah pada suaminya.”Memang sedap.Manisnya lain macam.”

“Rupanya Panglima memiliki ilmu terus mata,”Dahari memuji Bujang.”Panglima boleh melihat apa yang orang lain tidak boleh lihat.Kami nampak Panglima pergi ke hutan lalang itu. Bila Panglima kembali,Panglima membawa buah-buahan ini.”

Bujang mengamati surau tua itu.Digosok matanya beberapa kali,surau itu masih juga wujud di hadapannya.”Subhanallah….,”tuturnya perlahan.

Bujang beralih pada Kartini.”Ingat lagi permintaan Kartini di perigi Hang Li Poh?”

“Ingat,”jawab Kartini kehairanan.

“Nampaknya hajat Kartini dimakbulkan Allah,”jelas Bujang.

“Hajat?”Kartini masih belum faham.

“Sanggupkah Kartini sehidup-semati dengan abang?”tanya Bujang.

Kartini yang terperanjat dengan soalan itu hanya mampu mengangguk.

“Sanggupkah Kartini berkorban apa sahaja kerana abang?”tanya Bujang lagi.

“Sanggup,”kali ini jawapan dari mulut Kartini cukup jelas dan yakin.

Bujang memegang tangan Kartini lalu beralih pula pada Dahari.”Abang Dahari dan Kak Milah,izinkan hamba mengambil Kartini menjadi isteri hamba yang sah.”

Milah menangis gembira manakala Dahari hanya terlopong.

Malam itu,Bujang dan Kartini selamat diijabkabulkan sebagai suami-isteri oleh seorang imam di kampung Pantai Kundur dengan Dahari sebagai wali.Beberapa orang penduduk kampung turut dijemput sebagai saksi dan tetamu. Hanya jamuan ringkas disediakan kerana majlis perkahwinan itu memang tidak dijangka dan dirancang dari awal.Ketika Dahari dan Milah melayani tetamu-tetamu yang hadir menjamu selera,Bujang dan Kartini berpegangan tangan bersiar-siar di pantai sambil menghirup udara malam yang nyaman.

“Tak hujan pula malam ini,”kata Bujang sambil memerhati kapal-kapal yang berlabuh di pengkalan Kota Melaka.”Biasanya musim tengkujuh,hujan turun tak henti-henti.”

“Musim tengkujuh tu di pantai timur,abang,”balas Kartini.”Kalau di pantai barat ni,seperti biasa juga.Cuma hujannya lebih kerap.”

“Ada orang kebasahan walaupun tidak ada hujan,”Bujang menyindir.

“Abang ni,”Kartini mencubit lengan suaminya.”Dah lama kemarau,tentulah basah.”

“Tidak lama lagi,kemarau akan berakhir,”balas Bujang penuh bermakna.

“Di rumah ramai orang,”Kartini memahami maksud Bujang.”Lebih baik kita sewa hotel di  bandar.Tak ada orang yang akan ganggu kita.”

“Hotel?”itulah kali pertama Bujang mendengar perkataan itu.

“Bilik untuk disewa di bandar-bandar,”Kartini menerangkan pada suaminya yang kurang arif tentang kehidupan di bandar.”Orang Belanda menyebutnya hotel. Makan-minum semua disediakan oleh pihak hotel.Kita cuma sediakan bayaran yang cukup.”

“Tentang bayaran tidak perlu dirisaukan,”balas Bujang sambil menepuk uncang wangnya.

“Elok kita ke sana sekarang juga,”Kartini menyarankan.”Kalau dah larut malam,pihak hotel tak benarkan masuk.”

“Tak maklumkan pada abang dan kakak dulu?”tanya Bujang.

“Mereka akan faham,”jawab Kartini melirik manja pada suaminya.

“Pakaian abang hanya sehelai sepinggang,”Bujang memandang lagi ke arah laut mencari-cari kapal Helang Laut.”Kampit pakaian abang tertinggal di atas kapal.”

“Kapal Helang Laut?”ujar Kartini.”Petang tadi ada seorang anak kapal datang ke kedai. Katanya dia anak buah Nakhoda Mamat dari kapal Helang Laut.Mereka terpaksa belayar awal kerana tidak ada barang yang dipunggah.Dia serahkan sebuah kampit kulit,katanya milik Panglima Agung.”

“Kalau begitu,eloklah kita ke sana dulu tukar pakaian,”Bujang mencadangkan sambil mencium bajunya yang sudah berbau peluh.

“Kartini pun dah bawa kunci kedai,”sahut Kartini,menepuk baju dalamnya.

Pada malam itu,tamat sudah kehidupan Kartini sebagai seorang janda di sebuah kamar penginapan yang berhias indah cara Belanda.Dia rela dirinya dipergauli sebagai seorang isteri yang sah.Menangislah sang iblis kerana tidak berjaya menggelincirkan dua insan itu ke lembah penuh noda dan dosa. Bergelumanglah mereka dengan penuh kenikmatan.Bertahun-tahun kemarau panjang,kini bumi basah dek hujan sehari.Nakhoda yang berpengalaman tidak mudah patah dayungnya.Dayung bersambut,kata bersahut.Seiring dan seirama.Malam syahdu yang disirami embun jantan terus jua berdendang hingga ke subuh hari.Laungan azan dari mesjid berhampiran menandakan tamatnya syurga dunia yang dinikmati bersama.

Keesokannya hari Rabu 26 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 18 Oktober 1652 Masehi, Bujang seperti biasa bersiap-sedia hendak menunaikan sembahyang fardu subuh meskipun badannya letih dan matanya mengantuk kerana berjaga sepanjang malam. Dilihatnya Kartini masih mengerekot di bawah kain selimut tebal.Mata itu pejam tetapi dia tahu isterinya belum lagi tidur.

“Bangun,Kartini,”dia menggoncang bahu isterinya.”Sembahyang subuh.”

Kartini menggeliat dalam kain selimut.”Letihlah.Abang sembahyanglah dulu.”

“Bangunlah,”pujuk Bujang.”Jangan biar mata Kartini dikencing syaitan.”

“Abang buatlah dulu,nanti Kartini sembahyang qada,”balas Kartini dari dalam selimut.

“Badan Kartini dah tak bermaya ni.Abang punya pasallah Kartini jadi begini.”

“Bertepuk tangan sebelah takkan berbunyi,”ujar Bujang.”Bangunlah,Kartini.”

Kartini terus diam mematikan diri di dalam selimutnya,telinganya ditutup.

“Baiklah,”Bujang mengalah.”Kali ini abang maafkan.Lain kali jangan diulang lagi.”

Bujang pun mandi membersihkan diri di sebuah perigi berturap batu di belakang kamar penginapan itu,kemudian kembali mendirikan sembahyang subuh seorang diri.Kartini sudah berdengkur di dalam selimutnya. Sembahyangnya tidak begitu khusyuk kerana asyik memikir-kan tingkah-laku Kartini yang indah khabar dari rupa.Hatinya tertanya-tanya apakah dia sudah tersilap memilih Kartini sebagai isterinya. Di saat Chendana amat memerlukan pertolongan-nya,dia mengambil kesempatan untuk berkahwin lain.Walau bagaimana pun,dia tidak mahu menyimpan perasaan buruk terhadap Kartina,biarlah dia berbaik sangka terhadapnya.Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit.Batu jika dititis dengan air setiap hari lama-lama berlubang juga.

Selepas berwirid,doanya panjang sekali pagi itu.”Ya Allah,jika Kartini itu baik bagi diriku,bagi agamaku,duniaku dan akhiratku,maka kekalkanlah ia sebagai isteriku.Dan,jika Kartini tidak baik bagi diriku,bagi agamaku,duniaku dan akhiratku,maka usahlah dipanjangkan lagi jodoh kami,”dia menamatkan doanya dengan kata-kata itu lalu menyapu tangan ke mukanya.

Bujang menarik nafas panjang samba menjeling ke arah isterinya yang masih tidur nyenyak. Dia sudah melakukan dengan sebaik-baiknya,selebihnya terpulanglah kepada Allah. Pagi itu dia menyamar seperti orang biasa.Kerisnya tidak dibawa,kerambitnya pula disorok di bawah baju Melayu.Dia keluar berjalan-jalan di sekitar Kota Melaka dengan harapan dia akan terserempak dengan Chendana.Harapannya untuk menemui Chendana dengan cara begitu memang tipis tetapi dia tidak ada pilihan lain lagi.Dia tidak boleh bertindak membabi buta dengan menyerbu ke dalam kota dan mengamuk seperti orang gila.Tindakan seperti itu bukan sahaja kurang bijak,malah merugikan,silap-silap melayang nyawa dengan sia-sia.Masalahnya dia tidak boleh bertanya kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.Mata-mata dan anjing-anjing Belanda terlalu banyak.

Selepas mengalas perut ala kadar,dia mengambil pendekatan yang berlainan.Dia menemui beberapa orang pemilik perahu penambang yang mengambil upah membawa penumpang ke pengkalan atau membawa penumpang ke kapal-kapal dan berbual-bual kosong dengan mereka untuk mencungkil rahsia.Penat-lelahnya membuahkan hasil.

“Orangnya masih muda,cantik dan bertahi lalat di tepi bibir?”lelaki tua yang terakhir ditemuinya itu cuba mengingatkan kembali.”Ya,sahaya nampak ada seorang perempuan Melayu seperti itu.Petang kelmarin dia diheret ke atas kapal Bugis.Khabarnya,kapal itu sudah belayar ke Batavia.”

“Batavia?Di mana tu?”tanya Bujang,hatinya melonjak gembira.

“Di Pulau Jawa,”jelas lelaki itu.”Markas Kompeni Belanda.Orang Melayu menyebutnya sebagai Betawi dan Jayakarta.”

“Tuan hamba ingat nama kapalnya?”tanya Bujang.

“Tak ingat,”lelaki itu geleng kepala.

“Kapal Helang Laut?”tanya Bujang lagi,teringat pada Nakhoda Mamat.

“Bukan,”jawab lelaki itu.”Nama kapal itu macam nama orang barat.”

Bujang berpuas hati dengan maklumat yang diterima.Dihulurkan sekeping wang emas kepada lelaki yang banyak membantunya lalu segera menuju ke pengkalan untuk bertanya kalau-kalau ada kapal yang hendak belayar ke Betawi atau Batavia.

Pada saat itu juga,Chendana duduk memandang keluar melalui tingkap berjerejak.Dia sudah dipindahkan dari tahanan sementara di pejabat lama Gabenor Johanes van Twist ke rumah pasung.Di situ keadaannya jauh berbeza.Lantainya kotor dan berdebu.Tandasnya hanyalah sebuah baldi.Bekalan air dicatu,makan-minum tidak menentu.Baru sehari-semalam berada di situ sudah terasa betapa peritnya penderitaan.Sudah beberapa kali dia tidak dapat mandi kerana ketiadaan air.Pakaiannya yang sehelai sepinggang itu sudah lama tidak dibasuh.Badannya berbau hapak,tengit dan berbagai-bagai bau lagi.Rambutnya juga tidak terurus lagi,hanya sekadar disanggul begitu sahaja tanpa disikat.Bedak dan wangian jauh sekali.Keadaan di situ juga agak panas kerana hanya terdapat satu jendela,pintu pula sentiasa berkunci.Satu kebaikan rumah pasung itu ialah dia boleh melihat ke pengkalan dengan jelas.Kapal-kapal yang berlabuh di sana memberi harapan dan semangat baru kepadanya.Dia tidak putus-putus berdoa agar salah sebuah kapal itu membawa Bujang.

Ketika menongkat dagu memandang ke pengkalan tengah hari itu,tiba-tiba dia ternampak seorang pemuda berpakaian biasa sedang berbual-bual dengan seorang anak kapal.Hatinya berdebar-debar melihat susuk tubuh dan raut wajah pemuda itu seperti Bujang.

“Abang Bujang?”harapan baru mula berbunga di hati. Namun,wajah pemuda itu terlalu jauh untuk dicam.Sementelah lagi,pemuda itu tidak membawa sebarang senjata. Harapan yang berbunga kembali pudar. Dia mula bosan menunggu terlalu lama.Hanya anak dalam kandungannya yang memberikan kekuatan untuk terus bertahan.Teringat pada anak yang belum lahir itu,dia pun mencapai sekeping roti di atas pangkin.Roti itu sudah kering dan berkulat,dihurung semut pula. Dikuis-kuis roti itu,dibuang bahagian yang berkulat,dimakan juga.Air sejuk digunakan untuk membasahkan tekak dan memudahkan roti ditelan.

“Kerana engkaulah mak makan,wahai anakku,”dia menepuk perutnya.Setitik air mata mengalir ke pipi,dikesatnya dengan lengan baju.Bunyi anak kunci dipulas dari arah pintu tidak dipedulikan.Dia sudah menduga siapa yang datang.Dia tidak ingin lagi melihat muka Seri Bija Diraja yang telah menganiaya dan berlaku kejam padanya sehingga hidupnya sengsara tidak keruan.Kedengaran pintu rumah pasung dibuka dengan perlahan tetapi bunyinya kuat membingitkan telinga.

“Letakkan sahaja makan di situ,”tempelak Chendana,tidak mahu memandang ke pintu.

Kedengaran bunyi talam diletak di atas pangkin.Chendana masih enggan melihat.

“Keluarlah!”jeritnya.”Apa ditunggu lagi,Hang Jana?Aku benci melihat mukamu!”

Dia pun menutup mukanya lalu menangis teresak-esak,air mata mengalir di celah jari.

“Sudahlah,Chendana,”suara Temenggung terketar-ketar.”Jangan menangis lagi.”

Chendana tergamam mendengar suara yang memang dikenalinya itu.Dia mengangkat mukanya yang berhamburan air mata memandang ke arah suara itu.Ayahnya tercegat di situ diapit oleh Lela Wangsa dan Tun Lela Pahlawan,masing-masing menitiskan air mata.

“Ayah!”Chendana meluru lalu memeluk ayahnya erat-erat seolah-olah tidak mahu melepas-nya lagi.Temenggung membelai-belai belakang anaknya sambil mengesat air matanya.Tun Lela Pahlawan tunduk menekur lantai manakala anaknya Lela Wangsa beredar ke jendela, tidak tertahan menyaksikan adegan yang menyedihkan itu.

“Betulkah ini ayah?Chendana tak bermimpi?”Chendana memandang wajah Temenggung.

“Betul,nak,”suara Temenggung tertahan-tahan.”Ini ayahmu.”

“Makanlah dulu,”Tun Lela Pahlawan mengambil talam berisi makanan lalu memberikan kepada Chendana.”Makanan ini kami beli di luar.”

Chendana menjamah makanan itu dan terus memakannya dengan lahap.Lela Wangsa menggelengkan kepala sambil menghulur secangkir air minuman kepada Chendana.Minuman itu juga dihabiskan Chendana dalam beberapa teguk.

“Pelan-pelan,jangan gelojoh,”tegur Temenggung.”Nanti tercekik pula.”

Chendana membawa makanan itu dengan talamnya sekali lalu tunduk di atas pangkin. Dia mula makan dengan tenang.

“Sepatutnya Seri Bija Diraja dibunuh sahaja!”rungut Lela Wangsa,tidak berpuas hati.

“Itulah orang muda,singkat fikiran,”marah Tun Lela Pahlawan.”Kalau dibunuh pun apa faedahnya?Orang Kaya Temenggung tentu mempunyai sebab kenapa Seri Bija Diraja dihalau sahaja dari bumi Johor.”

“Ada sebabnya,”jawab Temenggung.”Seri Bija Diraja hanya ikan bilis,orang kecil dalam pakatan ini.Jika dia dibebaskan,lambat-laun dia akan membawa kita kepada ikan jerung yang merancang semua ini. Ular kalau dipukul kepalanya,ekornya akan mati juga.”

“Kau dengar tu,Jalak,”Tun Lela Pahlawan menasihati anaknya.”Fikir itu pelita hati.”

“Berita baik ini mesti disampaikan kepada Panglima Agung,”kata Lela Wangsa kepada Temenggung.”Tetapi,di mana hendak kita mencarinya,Orang Kaya?”

“Kerana Bujang menyangka Chendana dilarikan oleh orang-orang Bugis,aku yakin dia sudah belayar ke Tanah Bugis,”Temenggung menyatakan pendapatnya.”Jalak,kau ambil lancangnya dan belayar ke sana.Cari di sekitar Makasar atau Tanah Toraja.”

“Sekarang musim tengkujuh sudah bermula,”Lela Wangsa pula menggunakan fikirannya yang waras.”Kapal-kapal yang hendak ke Makasar akan berlabuh di Singapura atau di Betawi sementara menunggu musim bertukar.”

“Kalau begitu,tanya Tok Kilat kalau-kalau dia ada ternampak Bujang,”kata Temenggung.

“Biarlah ayah hamba berjumpa Tok Kilat,”Lela Wangsa menolak.”Hamba hendak belayar ke Betawi kalau-kalau Panglima Agung ada di sana.”

“Bijak juga otak kau,Jalak,”Tun Lela Pahlawan memuji anaknya.

“Orang muda,ayah,singkat fikiran,”Lela Wangsa memulangkan paku buah keras.

Chendana tersedak mendengar jawapan Lela Wangsa yang melucukan itu.Cepat-cepat diteguknya air minuman.

“Kau makan cepat sikit,Chendana,”Temenggung juga tersenyum.”Lepas tu pergi mandi,tukar pakaian.Ayah dah beli pakaian baru buatmu.Rupamu dah jadi macam peminta sedekah.”

Tun Lela Pahlawan dan Lela Wangsa sama-sama tersenyum.Mereka tahu lelucon itu menandakan Temenggung sudah kembali menjadi dirinya yang sebenar sebelum kehilangan Chendana.Kegembiraan Temenggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Mereka pun tumpang gembira. Ayah mana yang tidak gembira kalau dapat bertemu semula dengan anaknya?

Namun,kegembiraan itu tidak dikongsi oleh Bujang.Dia gagal mencari kapal yang hendak ke Betawi dalam waktu yang terdekat.Setelah memberi pesan kepada beberapa orang anak kapal supaya mencarinya di rumah penginapan jika ada berita baik,dia pun menuju ke pasar.Waktu zohor sudah hampir tiba.Kerana belum terasa lapar,dia terus melangkah ke masjid.Seperti yang dijangka,masjid itu bersih dan terjaga rapi tetapi kosong.Kebanyakan orang berat tulang untuk  mengunjungi  masjid pada waktu zohor dan asar.Biasanya waktu-waktu itu ramai lagi masih berada di laut,di ladang,di sawah padi dan di gedung-gedung perniagaan atau sedang berihat setelah penat bekerja.Mujurlah masjid jarang dikunci untuk kemudahan musafir sepertinya.

Di tepi kolah air tergantung sehelai kain basahan yang sengaja ditinggalkan untuk kegunaan para musafir.Bujang pun mandi terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid mengerjakan sembahyang.Ketika Bujang meninggalkan kawasan masjid itu, Kartini bertembung dengan Chendana di simpang empat.Mereka tidak mengenali antara satu sama lain meskipun sama-sama dalam kumpulan Awang Kerambit.Kartini tidak mnyedari Chendana itu madunya dan juga ketuanya Awang Kerambit. Mereka kerap bertemu tetapi masing-masing memakai topeng.Mereka tidak kenal wajah masing-masing.Chendana yang sudah berdandan rapi serta berpakaian bersih ditemani ayahnya Temenggung dan diiringi oleh Tun Lela Pahlawan.Kartini juga sudah siap bersolek selepas bangun dari tidur dan mandi. Ketika bertembung,mereka sekadar melihat sekali imbas sebelum berpisah di lorong yang berlainan.Setelah mereka agak jauh terpisah,barulah Bujang sampai.Di sebelah kanannya ialah lorong yang baru dilalui Chendana menuju ke pengkalan manakala di sebelah kirinya menuju ke kedai-kedai makan. Dia tidak membelok ke kiri atau ke kanan.Sebaliknya dia berjalan terus menghala ke rumah tumpangan.Sudah ditakdirkan mereka nyaris-nyaris bertemu tetapi tidak diketemukan Allah.Andaikata mereka bertemu tengah hari itu,pasti berbeza perjalanan hidup yang ditempuhi mereka.Tiba di kamar tumpangan,Bujang mengambil peluang melelapkan mata ketika ketiadaan Kartini.Di pengkalan,Lela Wangsa sedia menyambut kedatangan Chendana, Temenggung dan ayahnya Tun Lela Pahlawan ke lancang untuk belayar balik ke Batu Sawar.

Kartini pula singgah menjamu selera di kedai abangnya,diperhati oleh Seri Bija Diraja dari kedai sebelah.

“Siang tadi Kartini bertemu kenalan lama,”kata Kartini dalam pelukan suaminya.Penatnya sudah reda selepas berhempas-pulas melayani nafsu masing-masing.”Katanya dia ada terlihat seorang perempuan Melayu seperti rupa Chendana diheret ke kapal Tuan Jourdain.Kapal itu sudah pun belayar ke Jayakarta.”

Bujang bangun menyarungkan kainnya menuju ke jendela.Jendela itu dikuak luas-luas, membiarkan angin malam dari laut menyerbu masuk.Dia memerhati kapal-kapal yang berlabuh sepi di pengkalan.

“Abang masih ingin terus mencari Chendana?”Kartini juga bangun berkemban kain.

“Chendana isteri abang,”Bujang menjawab ringkas.

Kartini beredar ke meja solek untuk menyisir rambutnya yang kusut masai.

“Kartini juga isteri abang,”balas Kartini,suaranya bernada cemburu.

“Chendana masih ditawan,”Bujang menegaskan”Abang suaminya.Dayus kalau abang hanya berpeluk tubuh.”

“Kartini tak hendak ikut,”bangkang Kartini sambil menyikat rambutnya.”Kartini hendak tunggu di Melaka .Abang pergilah seorang.”

“Terpulanglah,”Bujang tidak berminat hendak bertekak dengan isterinya.Dia menyarungkan baju dan mencapai kain basahan menuju ke perigi di belakang.Kartini tidak menyedari akan perubahan perangai suaminya.Dia terlalu asyik mendandan dirinya.Selepas menyikat rambut, dibuat sanggul lintang pula.Lama juga dia mengemas sanggulnya mencari bentuk yang sesuai dengan rupanya yang bujur sirih.Puas hati,dia menyapu bedak sejuk ke seluruh mukanya. Bujang kembali tidak lama kemudian.Dia sudah pun mandi.

“Kata orang,tak elok mandi malam,”Kartini menegur suaminya,cuba membuat jenaka.”Lemah saraf. Nanti Kartini juga yang rugi.”

Bujang mula menyarungkan pakaian pendekar,jenaka isterinya tidak dilayan.

“Kami perempuan Jawa senantiasa makan jamu demi mengekalkan kebahagiaan hubungan suami-isteri,”Kartini mengatakan dengan bangga.”Kaum pria pula makan makjun.”

“Mengapa Kartini bohong pada abang?”tanya Bujang sambil memakai bengkung kulit.

“Bohong?”wajah Kartini berubah.”Apa maksud abang?”

“Kartini mengatakan kapal Helang Laut sudah belayar ke Betawi,”Bujang menyelit dua kerambitnya di celah bengkung.”Siang tadi abang terserempak dengan anak buah Nakhoda Mamat di pengkalan.Kapal itu masih berlabuh dan akan belayar besok pagi.”

“Mungkin Kartini tersalah dengar nama kapal itu,”Kartini masih bermuka-muka.

“Mana kunci lagi satu?”Bujang bertanya lagi,menyisipkan keris pendek ke pinggang.

“Kunci?”Kartini berpura-pura tidak faham.

“Kunci khazanah angkatan Fisabillah,”Bujang memakai baju layangnya.”Ada satu lagi kunci dalam simpanan Kartini.Kunci pada peti besi yang tertanam dekat makam Sheikh Ismail di Pulau Besar.”

“Bagaimana abang tahu semua ini?Abang guna ilmu?”tanya Kartini balik.

“Memang sudah diberitahu awal-awal lagi,”Bujang mendedahkan sambil mengenakan dastar-nya.”Kuncinya ada dua.Kartini hanya serahkan satu kunci.”

“Memang Kartini hendak serahkan,”balas Kartini.”Kartini terlupa.”

Kartini bangun menuju ke tempat simpanan barang-barangnya,menyambil sebatang kunci tembaga lalu menyerahkan kepada suaminya.Bujang menyimpan kunci itu di dalam saku kecil di bengkung kulitnya.

“Abang nak ke mana malam-malam ini?”tanya Kartini kehairanan melihat suaminya mula mengemas kampitnya.”Nak belayar ke Betawi?”

“Betul Kartini tidak mahu ikut abang?”Bujang bertanya kembali.

“Hampir sepuluh tahun Kartini meninggalkan Tanah Jawa,”jawab Kartini.”Agar tidak timbul gara-gara,Kartini bersumpah tidak akan memijak tanah leluhor itu lagi.”

“Baiklah,”Bujang menutup kampit dan menggalasnya.”Abang ada pekerjaan penting. Kepulangan abang jangan ditunggu.”

“Tapi….,”Kartini cuba menahan suaminya.Tanpa menghiraukan rayuan isterinya,Bujang terus keluar dari kamar penginapan itu. Dia keluar dari kawasan rumah penginapan dan terus ke pengkalan.Beberapa orang anak buah Nakhoda Mamat sudah menunggu dengan dua buah perahu,membawa peralatan yang diperlukan.

“Mana Nakhoda Mamat?”tanya Bujang sambil menaiki salah sebuah perahu itu.

“Tuan Nakhoda menunggu Panglima di Pulau Besar,”jawab seorang awak-awak.

“Ayuh,kita mulakan sekarang,”perintah Bujang.”Pekerjaan ini mesti selesai sebelum subuh.”

Dua perahu itu pun segera didayung meninggalkan pengkalan menuju ke Pulau Besar di dalam kegelapan itu.Masing-masing diam membisu,memandangkan tempat tujuan mereka ialah sebuah makam ulama yang dipercayai banyak keramatnya.Kira-kira sepenanak nasi kemudian, sampailah mereka di sebuah kawasan pantai yang terpencil di pulau itu.Mereka naik ke darat membawa peralatan masing-masing.

“Makam keramat itu ada di sana,Panglima,”seorang anak kapal menunjuk ke darat lagi.

“Kamu berempat tunggu di sini,”Bujang menyerahkan dua pistol yang diambil dari kampit-nya.”Awasi kalau-kalau ada orang lain datang.Yang lain ikut hamba.”

Dalam kegelapan itu,Bujang mengikut beberapa orang anak kapal ke makam yang dimaksud-kan.Bulan tua yang baru hendak terbit sedikit sebanyak membantu mereka menerangi kawasan yang jarang dimasuki manusia itu.Nakhoda Mamat bersama beberapa orang lagi anak kapal sudah menunggu berhampiran sebuah nisan batu yang dibalut kain kuning.

“Kami sudah bersedia,Panglima,”kata Nakhoda Mamat dengan perlahan,takut kalau-kalau suaranya didengari oleh penduduk ghaib di pulau keramat itu.

Bujang memerhati kawasan sekitar,mengambil arah matahari terbit dan arah matahari terbenam.Dia menghampiri batu nisan itu lalu berdiri di sebelahnya,yang lain-lain tidak berganjak dari tempat masing-masing.Dia bertafakur sebentar di dalam kegelapan yang agak menyeramkan itu.Dengan lafaz bismillah,dia melangkah sepuluh tapak tepat menghala ke arah matahari terbenam dan berhenti di situ.Lama juga dia berhenti di situ,matanya dipejam. Nakhoda Mamat dan anak buahnya tidak bersuara,hanya memerhati dengan teliti setiap gerakgeri Bujang.Tiba-tiba terdengar bunyi harimau mengaum kuat,menyebabkan dua-tiga orang nyaris-nyaris melarikan diri.Kemudian diikuti oleh suara perempuan mengilai meremangkan bulu roma,berselang-seli dengan bunyi bayi menangis,bunyi anjing melolong dan bunyi sesuatu mencakar tanah.Bujang menepuk tangannya ,sekali gus semua bunyi yang menakutkan itu hilang lenyap.

“Gali di sini,”perintah Bujang,menuding dengan jarinya.

Tanpa berlengah,semua anak buah Nakhoda Mamat tampil dengan cangkul serta lain-lain peralatan untuk memulakan kerja-kerja menggali.Bujang berundur ke sisi Nakhoda Mamat dan membiarkan mereka dengan pekerjaan itu.Tidak ada yang bersuara,hanya kedengaran tanah digali tidak henti-henti.Keringat dingin mengalir dari badan mereka kerana keletihan dan juga ketakutan..Tidak lama kemudian,mereka berjaya mengeluarkan sebuah peti kayu yang dilapisi kepingan besi waja sebesar keranda kanak-kanak.Mereka segera mengusung peti itu lalu diletakkan di hadapan Bujang untuk dibuka.

“Bersihkan dan bawa ke kapal,”Bujang tidak jadi membuka peti itu.Dia menghampiri lubang di mana peti itu dikeluarkan.Dicampakkan sekeping wang emas ke dalam lubang itu.

“Kambus balik lubangnya,”perintahnya kepada anak-anak kapal.Lubang itu segera dikambus dan diratakan seperti sediakala.

Ketika dinihari,peti yang sudah dibersihkan oleh selamat berada di atas geladak,diletak di atas kain kuning.Semua anak kapal berkeliaran di sekitar peti itu,menunggu Bujang membuka-nya dengan anak kunci.Bujang masih tercegat berpeluk tubuh memandang sayup ke arah Pulau Besar yang samar-samar.Nakhoda Mamat berdiri di sebelahnya,menunggu perintah seterusnya. Dalam perkara ini,mereka nampaknya menyerahkan bulat-bulat kepada Bujang tanpa yang berani membantah atau bersoal-jawab.

“Semua anak kapal sudah bersedia,Tuan Nakhoda?”tanya Bujang tanpa menoleh.

“Sudah,Panglima,”lekas-lekas Nakhoda Mamat menjawab.

“Kalau begitu,eloklah kita belayar sekarang,”Bujang membuat keputusan.

“Baik,Panglima,”Nakhoda Mamat patuh pada Bujang seperti patuhnya murid pada gurunya.

Ketika Nakhoda Mamat memberi perintah supaya dibongkar sauh dan belayar,Bujang masuk ke kurungnya di sebelah tempat Jurumudi.Dinihari itu,Khamis 26 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 19 Oktober 1652 Masehi,kapal Helang Laut belayar meninggalkan pengkalan Kota Melaka menuju ke Betawi.Bujang mengambil wuduk untuk mengerjakan sembahyang tahajud dan witir sementara menunggu masuknya waktu subuh.

Tengah hari itu mereka belayar menyusuri perairan Sumatera.Peti kayu yang dipercayai mengandungi harta karun dibiarkan begitu sahaja di tengah geladak,tiada siapa berani mengusiknya walaupun beberapa orang masih berkerumun di situ.

“Itu Gunung Merapi,Panglima,”Nakhoda Mamat menuding dengan jarinya apabila ditanya oleh Bujang.”Di sebelahnya Gunung Kerinchi. Kedua-dua gunung itu menjadi mercu tanda kalau kita belayar dari arah Melaka.Yang memanjang  itu ialah Banjaran Barisan.”

“Ada apa di sebalik banjaran itu?”Bujang bertanya ingin tahu.

“Ada beberapa kerajaan kecil di sebelah sana,”Nakhoda Mamat tidak lokek berkongsi ilmu dengan Bujang.”Antaranya Langkat,Barus,Pagar Ruyong,Inderapura dan Bangkahulu. Di sebelah sini,kita akan belayar melalui pantai Inderagiri,Jambi dan Palembang.”

“Jauh lagikah Betawi dari sini?”Bujang meninjau ke hadapan dari tempat Jurumudi.

“Kalau tiada aral,minggu depan sampailah kita,”jelas Nakhoda Mamat.”Hamba sengaja belayar berhampiran pantai supaya mengelak dari terkena tempias angin tengkujuh.Tapi,kena berhati-hati kalau-kalau terdapat batu karang atau beting pasir.”

Bujang mengangguk,pengetahuan itu disimpan di dalam kotak fikirannya.

“Sekarang ini kawasan perairan tak berapa aman,”Nakhoda Mamat bercerita pula untuk mengisi masa lapang.”Sultan Kedah yang baru memang bencikan Belanda.Baru-baru ini baginda dan orang-orang Kedah menyerang dan membakar semua gudang Belanda. Tuan Joan Truitjman turut ditawan dan diminta wang tebusan.”

Bujang terbayangkan wajah abang iparnya Raja Muda Mahmud yang kini menjadi Sultan Kedah.Sepatutnya dia bersama orang-orang Kedah membantu baginda menghalau Belanda dari Negeri Jelapang Padi itu.Sebaliknya,dia berada jauh dari bumi Kedah,mencari isterinya yang entah apa kesudahannya. Sebagai Imam Khalifah angkatan Fisabilillah,dia merasa bersalah juga kerana tidak berada di sisi rakan-rakan lain dalam perang jihad ini.

“Ada khabar angin yang bertiup mengatakan Johor dan Jambi juga akan berperang,”Nakhoda Mamat menyampaikan.”Puncanya kerana Raja Muda Johor membatalkan pertunangannya dengan anak Raja Jambi.Apa nak jadi dengan orang-orang Melayu sekarang.”

“Siapa yang mengetuai angkatan perang Johor?”tanya Bujang.

“Khabarnya Paduka Raja Laksamana,”jelas Nakhoda Mamat.”Orang Kaya Temenggung tidak dapat turut serta kerana masih kurang sihat. Kena angin ahmar.”

Bujang tersenyum mendengar alasan bapa mertuanya itu.Kali terakhir,bapa mertuanya itu sihat wal afiat,luka dipahanya juga hampir sembuh.Bapa mertuanya mengambil langkah bijak tidak mahu campur tangan dalam pertelingkahan antara Johor dengan Jambi.Dia berharap rakan-rakannya  di Johor juga tidak terlibat dalam peperangan hanya semata-mata kerana seorang perempuan.Singkat betul fikiran sultan-sultan Melayu.

“Nampaknya anak buah hamba semakin gelisah,”Nakhoda Mamat menuding ke arah anak-anak kapal yang berkerumun dekat peti itu.”Mereka tak sabar-sabar lagi ingin melihat apa yang ada dalam peti itu. Kalau mengikut Undang-undang Laut Melaka,mereka juga berhak mendapat habuan masing-masing.”

“Harta itu untuk tujuan peperangan,”Bujang menegaskan, membunuh harapan Nakhoda Mamat.”Hamba sebagai pemegang amanah tidak boleh menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Inilah janji dan sumpah hamba.”

“Tapi,harta karun mesti dibahagi dua,satu bahagian untuk nakhoda dan satu bahagian lagi dikongsi sama rata dengan anak kapal,”bantah Nakhoda Mamat.”Hamba bukan tamak,tapi peraturan itu sudah termaktub dalam Undang-undang Laut Melaka.”

“Harta rampasan perang bukan harta karun,”tegas Bujang lagi.”Sementelah lagi,undang-undang itu sudah berusia lebih dua ratus tahun.Kerajaan Melaka pun sudah lama hancur.”

“Jadi,apa rancangan Panglima?”tanya Nakhoda Mamat,perasaannya meluap ingin tahu.

“Beginilah,”Bujang memilih jalan terbaik.”Segala penat-lelah Tuan Nakhoda serta anak kapal semua akan hamba berikan balasan yang setimpal.Selebihnya hamba simpan sebagai harta perbendaharaan kami. Hamba yang bertanggung-jawab di akhirat kelak.”

Mendengar penerangan Bujang yang panjang-lebar itu,Nakhoda Mamat terdiam. Dia hanya menganggguk tanda bersetuju dengan keputusan Bujang.

Petang itu setelah matahari tidak lagi terik,baru Bujang keluar dari kurungnya menghampiri peti kayu dengan membawa anak kuncinya.Nakhoda Mamat yang sedang berbual-bual kosong dengan Jurumudi bergegas mengekori Bujang.Begitu juga dengan anak-anak kapal yang tidak bertugas,masing-masing mengerumuni tempat itu seperti semut menghurungi gula. Bujang menyerahkan kunci itu kepada Nakhoda Mamat sebagai merasmikan pembukaannya.

“Awang Sulong,”Nakhoda Mamat memanggil pula ketua anak kapal.”Kau tolong buka peti harta ini.”Awang Sulong pun tampil ke hadapan dengan sukacita untuk membuka perti itu.

“Agaknya berapa banyak semua harta ini,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat.

Bujang tersenyum tawar.”Burung terbang jangan dipipiskan lada,”katanya tenang.”Berbunyi guruh di langit,belum tentu hujan akan turun.”

Nakhoda Mamat dan semua anak kapal terpinga-pinga,tidak memahami maksud kata-kata Bujang itu.Bila Awang Sulong berjaya membuka peti itu,mereka semua terperanjat melihat peti itu kosong.Mereka tidak percaya dengan apa yang dilihat.

“Tak mungkin kosong,”rungut seorang anak kapal.”Semalam peti ini berat sungguh.”

“Kalau berat,tentu ada isinya,”balas rakannya pula sambil mengangkat peti yang ringan itu.

“Kalau tak ada,ke mana perginya semua harta ini?”rungut pula yang lain.

“Nampaknya ayam terlepas,tangan bau tahi,”kata Nakhoda Mamat pada Bujang.

Bujang hanya tersenyum tawar melihat tingkah-laku manusia boleh berubah dalam sekelip mata hanya kerana harta dunia yang tidak kekal abadi.

“Kami tak puas hati,Panglima,”seorang anak kapal yang besar tinggi tampil mewakili rakan-rakannya.”Kami yang penat-penat menggali,tiba-tiba harta ini hilang. Jangan-jangan Panglima yang mencurinya!”

“Bagong!”marah Awang Sulong.”Kau ni badan saja besar tapi tak ada otak!Masa bila Panglima mencurinya?Sejak dari semalam peti ini tidak disentuhnya.”Awang Sulong menjegil ke arah rakan-rakan lain.”Ada sesiapa nampak Panglima kemari sebelum ini?Cakap!”

Tiba-tiba Bujang merasa jijik dengan apa yang berlaku.

“Manusia,”keluhnya sambil menutup kembali peti itu.”Baru diuji sedikit dengan kekayaan, sudah bertukar rupa.Ini semua daki dunia.” Bujang mengangkat sedikit peti itu,kemudian melepasnya ke lantai geladak.Peti itu kedengaran seperti padat berisi sesuatu.

“Tuan Nakhoda,”perintah Bujang.”Ambillah separuh dari harta kekayaan ini,berkongsi dengan semua anak kapal.” Bujang pun kembali ke kurungnya tanpa menoleh lagi.

Setelah melihat Bujang sudah masuk ke kurung,beberapa orang anak kapal tidak menunggu arahan lagi,terus membuka peti itu.Tampak pada mereka peti itu penuh dengan wang emas dari berbagai tempat.Mereka semua terperanjat.Ada yang memegang dan memeriksa wang itu untuk mempastikan kejadian itu benar-benar berlaku dan bukan sihir.

Awang Sulong menggelengkan kepala,sedih dengan kejadian yang baru berlaku.

“Apa lagi,Tuan,?”katanya pada Nakhoda Mamat.”Ambil sajalah dan bahagikan sama adil sama rata.Bahagian hamba,hamba tak mahu.”

Tiba-tiba,suasana riang bertukar menjadi muram.Beberapa das tembakan meriam kedengaran dari arah hadapan kapal mereka.Sebutir peluru kena tepat pada sebatang tiang layar,menyebab-kan tiang itu patah.

“Gulong layar!Kita berlabuh!”jerit Nakhoda Mamat.Anak buahnya bertempiaran ke tempat masing-masing untuk melakukan yang diperintah.Bujang juga keluar semula ke geladak untuk melihat apa yang berlaku.

“Macam mana ni,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat cemas.

Bujang meninjau ke arah beberapa buah kapal yang sedang mengepung mereka.

“Eloklah kita menyerah diri,”Bujang menyarankan.

“Maksud hamba semua harta itu,”Nakhoda Mamat menuding ke arah wang emas dalam peti.

“Harta itu tidak akan ke mana-mana,”Bujang meninjau lagi ke arah kapal-kapal yang semakin hampir.”Siapa gerangan mereka?”

“Hamba pun tidak kenal,Panglima,”jawab Nakhoda Mamat,gugup.”Apa kita nak buat?”

“Jangan melawan,”pesan Bujang.”Melawan bererti kita mencari nahas.”

“Hoi!Kalian semua dari mana?”jerit seorang hulubalang dari sebuah kapal yang paling hampir dengan Helang Laut.”

Bujang dan Nakhoda Mamat berlari ke buritan kapal mereka.

“Kami saudagar dari Melaka,”Nakhoda Mamat menjerit balas,perasaan gugupnya beransur hilang.”Kami bawa barang dagangan. Kami hendak ke Batavia!”

“Kami angkatan perang Jambi,”jerit hulubalang itu.”Kami sedang berperang dengan Johor. Perairan di sekitar Muara Jambi ditutup pada semua kapal luar!Ikut jalan jauh atau patah balik ke Melaka!”

“Kami nak cepat ni!”Nakhoda Mamat membangkang.

“Kalau bantah,kami bedil!”hulubalang itu mengugut.”Itu baru tiang layar!Sekali lagi,rosak binasa kapal kalian!”

“Boleh kami baiki tiang layar yang patah?”tanya Bujang pula.

“Kamu siapa?Juragan?”tanya balik hulubalang itu.

“Hamba Alang Iskandar dari Acheh,”Bujang menggunakan nama sebenarnya.

Hulubalang itu kelihatan berbincang seketika dengan rakan-rakannya.

“Baiklah,”balas hulubalang itu.”Kami beri tempoh tiga hari.Hari Ahad kalian mesti nyah dari sini!”

“Terima kasih,”jerit Nakhoda Mamat,kemudian memerintah Awang Sulong,”Kumpul semua yang mahir bertukang,kita naik ke darat mencari kayu untuk dibuat tiang layar.”

Bujang tidak  melepaskan kesempatan itu.Dia terus kembali ke kurung mengemas barang-barangnya,termasuk buku catatan sudah menjadi teman setianya.Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam kampit.Dia keluar menggalas kampitnya menunggu di geladak.

“Panglima,biar hamba masukkan bahagian Panglima ke dalam kampit itu,”pinta Awang Sulong,menuding pada wang emas dalam peti yang terdedah dan tidak diendahkan lagi kerana masing-masing sibuk.Tanpa membantah,Bujang menyerahkan sahaja kampitnya kepada Awang Sulong. Dia beredar ke pinggir kapal memerhati sampan diturunkan ke air.

“Panglima pun hendak ikut kami?”tanya Awang Sulong, menyerahkan semula kampitnya.

“Nampaknya begitulah,”Bujang merasa kampitnya terlalu berat,lalu dikeluarkan sepucuk pistol dan diberikan kepada Awang.”Simpanlah,pemberian ikhlas dari hamba.”

Awang Sulong menerima pemberian itu dengan senang hati.”Dari mana Panglima dapat ni?”

“Dari anjing Belanda yang cuba membunuh hamba,”Bujang menerangkan.

Perbualan ringkas mereka terganggu oleh kedatangan Nakhoda Mamat.”Hari sudah hampir senja,”katanya pada Awang Sulong.”Besok pagi sahaja kita naik ke darat.”

“Tapi,Tuan,sampan sudah diturunkan ke air,”Awang Sulong membantah.

“Tarik balik ke atas,”Nakhoda Mamat berkeras.”Takkan malam-malam nak cari kayu.”

“Tidak mengapa,”Bujang menyejukkan hati Awang Sulong yang mula menunjukkan tanda-tanda hendak mengengkari perintah Nakhoda Mamat.”Pekerjaan hamba boleh ditangguh sampai besok pagi.”

“Panglima hendak ke mana?”tanya Nakhoda Mamat kehairanan.

“Ke Muara Jambi,”jawab Bujang ringkas,menuju ke tangga tali.

“Ke sarang musuh?”mata Nakhoda Mamat terbeliak.”Kalau Panglima ke sana samalah seperti Panglima pergi menyerah nyawa. Di atas kapal lebih selamat.”

“Berapa lama kita tersadai di sini?”tanya Bujang memandang ke daratan.

“Kita diberi tempoh tiga hari,tiga harilah lamanya,”jelas Nakhoda Mamat.”Mencari kayu untuk dibuat tiang layar baru bukannya mudah,Panglima.Kayunya mesti kuat dan tahan lama. Tukang kayu pula perlu teliti supaya kerjanya sempurna.”

“Hamba perlu segera ke Betawi sebelum terlambat,”Bujang seperti merayu.

“Apa yang boleh kita buat lagi,Panglima?”rungut Nakhoda Mamat.”Sial betul angkatan perang Jambi itu!Kita yang tak terlibat,tiang layar kena bedil!”

“Itu nasib baik tiang layar,”sampuk Awang Sulong.”Kalau kapal kita yang dibedil,lagi bertambah malang.”

“Awang,kau pergi tolong rakan-rakanmu memotong tiang yang patah itu dan membuangnya ke laut,”Nakhoda Mamat mengusir ketua awak-awaknya dengan cara halus. Menyedari hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong,Awang berlalu dari situ,mukanya mencuba.

“Panglima masih mencari isteri Panglima yang hilang itu?”tanya Nakhoda Mamat.

Bujang mengangguk.”Kali terakhir,isteri hamba dilihat menaiki kapal Tuan Jourdain.”

“Tuan Jourdain?”Nakhoda Mamat berfikir sejenak.”Hamba kenal saudagar Inggeris itu. Dia kemari untuk berniaga.Dia takkan terlibat dengan kerja sia-sia seperti ini.”

“Barangkali dia tidak tahu-menahu dalam perkara ini,”Bujang membuat andaian.”Tetapi,ada anak kapalnya yang bersubahat melarikan isteri hamba ke Betawi.”

“Bagaimana dengan Daeng Ratna Sari?”Nakhoda Mamat menduga hati Bujang.

“Daeng Ratna tidak ada kena-mengena dalam perkara ini,”balas Bujang lalu menggalas kampitnya yang berat itu kembali ke kurung. Nakhoda Mamat tersenyum memandang lembayung senja yang mula melebarkan sayapnya di ufuk barat.

Pagi-pagi lagi pada hari Jumaat 27 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 20 Oktober 1652 Masehi,ketika kebanyakan anak kapal masih nyenyak tidur,Bujang sudah berada di daratan. Dia dihantar oleh Awang Sulong dengan menggunakan perahu.Pakaiannya pada pagi itu bukan lagi seperti seorang pendekar.Dia hanya berpakaian seperti biasa,hanya keris pendek tersisip di pinggang sebagai lambang seorang lelaki.Sambil menggalas kampit kulitnya,sekali pandang dia kelihatan tidak ubah seperti seorang musafir yang sedang berkelana dari satu tempat ke satu tempat lain.Ini jelas terbayang dari tindak-balas yang diterima.Ketika menyusuri pantai menghala ke Muara Jambi,beberapa orang nelayan yang hendak ke laut sekadar mengangkat tangan menegurnya tanpa mengucapkan sepatah kata.Dia menjadi bertambah berani dan yakin  tidak akan ditahan oleh pendekar serta hulubalang Jambi yang sedang berjaga-jaga di kawasan itu.

Di saat matahari muncul dengan cahaya merahnya dari permukaan laut,Bujang sudah jauh meninggalkan kapal Helang Laut dan semakin hampir dengan Muara Jambi.Dia pun merentas ke kawasan perkampungan,menyusuri lorong dan denai yang dinaungi pepohon rendang. Embun pagi masih berjuntaian di hujung dedaun bila dia tersua kawasan penempatan sebahagian dari angkatan perang Jambi yang sedang menghadapi sarapan pagi.Pendekar dan hulubalang yang lengkap bersenjata kelihatan mundar-mandir.

“Apa ini?”tanya Bujang apabila seorang pendekar menghulurnya sebungkus makanan.

“Pulut lemak,”jawab pendekar itu selamba.”Di sana ada bubur nasi dengan kopi panas. Lepas makan,cepat tukar pakaian,jangan sampai dilihat Panglima Kahar atau Demang Rawa.”

“Baiklah,terima kasih,”Bujang duduk di tepi perdu kelapa menikmati rezeki yang tidak disangka-sangka.Selepas pulut lemak itu bersarang di dalam perutnya,dia beratur pula untuk mengambil air minuman yang masih panas.

“Dimas baru datang dari kampung,ya?”tanya seorang pendekar lain pula ketika Bujang meneguk air kopinya.Bujang hanya mengangguk seperti orang bodoh.

“Pergi jumpa Pendekar  Barong,tukar pakaian dimas,”pinta pendekar tidak dikenali itu.

“Baiklah,”Bujang mengikut sahaja seperti yang disuruh setelah menghabiskan minumannya.

Pendekar Barong tidak bercakap banyak,hanya menghulurkan persalinan pakaian perang kepada Bujang serta sebilah golok.Golok itu dipasang tali supaya senang diikat ke pinggang.

Sarung dan  hulunya daripada kayu jati,diukir indah serta disapu dengan damar supaya tahan lama dan nampak cantik.Hulunya kukuh,tahan lasak,dibuat khas untuk berperang.Dihunusnya golok itu,diteliti matanya yang tajam berkilat tidak mudah tumpul atau sumbing.Pandai besi yang menempanya memang benar-benar mahir.Golok itu disarungkan kembali,diikat pada pinggangnya.

“Nanti dulu,”Pendekar Barong menahan bila Bujang hendak pergi.”Awak dari kumpulan mana?Kumpulan Panglima Kahar?”

“Ya,”ujar Bujang tanpa berfikir panjang.

“Kalau jumpa Panglima Kahar,beritahu dia yang angkatan perang Johor sudah berlabuh tidak jauh dari sini.Suruh dia hantar beberapa orang pendekar membantu kami.”

“Baik,Tuan Pendekar,”balas Bujang bersahaja.

Pertelagahan antara Johor dengan Jambi bukan lagi urusannya.Dia tidak akan campur-tangan dalam peperangan yang boleh menumpahkan darah saudara seagama dan sebangsa dengannya. Kejadian di Rokan dulu telah memberikan pengajaran yang pahit untuk ditelan.Di Jambi,pisang tidak akan berbuah dua kali.Walau bagaimana pun,persalinan perang dan golok yang baru diterimanya itu tidak dibuang.Banyak kegunaannya kelak.Orang memberi,dia merasa. Dengan keputusan itu,dia pun meninggalkan perkumpulan pendekar dan hulubalang Jambi yang berduyun-duyun itu. Dia menghala semakin jauh ke dalam kawasan perkampungan,jauh dari kesibukan dan hingar-bingar itu.Orang-orang kampung meneruskan pekerjaan harian mereka seperti biasa seolah-olah tidak ada peperangan.Kaum lelaki mengerjakan sawah padi atau bercucuk-tanam di kebun,dibantu oleh anak-isteri masing-masing.Ada yang memberi makan ayam-itik atau membasuh pakaian di pinggiran anak sungai.Kanak-kanak berlari-larian tanpa mengenal erti penat.Suasana perkampungan itu mengingatkan Bujang pada kampungnya di Kedah. Lantas dia teringat pada Teratai,pada Fatimah dan pada Balqis.Terkenang pada segala rentetan peristiwa demi peristiwa sehingga membawanya ke Tanah Andalas ini.

Bujang berihat berhampiran sebatang anak sungai yang berpunca dari air terjun kecil. Tersandar ke sebatang pokok,perutnya yang kenyang menyebabkan matanya terasa mengantuk. Tambahan pula,dia telah bercekang mata dari larut malam hingga ke awal subuh kerana mem-buat amalan-amalan sunat malam Jumaat di dalam kurungnya.Termasuk juga buku catatan yang ditulisnya setiap hari untuk memahirkan lagi tulisan Rumi di samping tulisan Jawi yang sudah lama diketahuinya.Terhibur oleh pemandangan yang menghijau,dengan bunyi siulan burung serta bunyi air sungai mengalir di celah batu menjadi halwa telinga,hatinya terasa aman dan tenang.Namun,rindunya pada Chendana semakin mengusik perasaan,mengetuk pintu hati-nya yang duka lara.Wajah Chendana muncul di ruang matanya,wajah manis jelita dengan sebutir tahi lalat di sudut bibirnya,sepasang lesung pipit yang menambah keayuan bila bibir menguntum senyum.Chendana…Chendana…!Dia pun terlelap…!

Bujang terasa dia hanya terlelap seketika sahaja.Namun,apabila dia tersedar,matahari sudah tegak di atas kepala dan seluruh badannya terkena bahang cahaya matahari.Bayang-bayang pokok yang menaunginya tadi sudah beredar jauh. Belum sempat dia menggeliat,dengan tidak semena-mena terasa bulu tengkuknya meremang berdiri.Dia terasa seperti diperhatikan seseorang .Sambil meraba tali kampitnya,dia bingkas bangun seperti jerat  membidas.Di saat itu juga sebilah tombak melayang sipi nyaris-nyaris mengenai badannya lalu tertancap pada batang pokok tempat dia bersandar tadi.Hampir separuh mata tombak itu terbenam,batang tombak bergetar.Tidak dapat dibayangkan kalau tombak itu hinggap di perutnya.

Menyedari nyawanya masih terancam,Bujang melepaskan tali kampitnya dan melentingkan badannya ke kiri seperti harimau yang terlatah apabila diganggu,lantas membuat penantian pendekar.Tindakannya itu tepat pada masanya.Dua bilah tombak lagi meluncur entah dari mana lalu berdesip ke dalam semak.Dia melenting pula ke hadapan,sempat dilihatnya tiga orang pendekar menyerbu sambil menghunus golok.Dia membuka langkah silat,bersedia untuk meng-hadapi sebarang kemungkinan.

“Tunggu!”jerit suara lantang dari arah belakang.

Tiga pendekar itu tergamam mendengar suara itu.Mereka berhenti hampir serentak,golok masing-masing diturunkan.Bujang segera berpaling kalau-kalau timbul muslihat lain. Apa yang dilihatnya melenyapkan segala kesangsiannya.Hulubalang yang baru muncul dari arah air terjun itu ternyata bukan calang-calang orang.Rencongnya masih tersisip di pinggang tetapi lagak dan gerak-langkahnya tidak boleh dipermudahkan.Orangnya sudah berusia hampir separuh abad,namun matanya masih bersinar dengan semangat muda.Dia memerhati Bujang ke atas dan ke bawah.Anak muda itu memang berisi,bisik hatinya,ilmu penuh di dada.Orangnya tidak tinggi dan tidak rendah tetapi berbadan tegap,otot lengannya berulas,misai yang tebal tetapi rapi menyerlahkan lagi sinar kejantanan.Paling disenangi rakan-rakan tetapi amat digeruni musuh-musuhnya.Nampaknya dia berpuas hati dengan apa yang dilihatnya,lalu dia memaling ke arah ketiga-tiga pendekar yang menikus di hadapannya itu.

“Balik ke kubu,”perintahnya tenang.”Anak harimau jangan diganggu.”

Bujang tidak terkejut melihat pendekar bertiga itu menyarungkan golok masing-masing dan bergegas pergi.Dia terkejut kerana dirinya yang baru pertama kali dipertemukan dengan hulubalang itu diumpamakan seperti seekor harimau.Seolah-olah hulubalang itu sudah mengenali dirinya walaupun dia hanya berpakaian biasa.

“Dari mana  hendak ke mana?”tanya hulubalang itu tenang.

“Dari Melaka hendak ke Betawi,”Bujang berterus terang.”Mencari isteri hamba yang hilang.”

“Macam isteri boleh hilang?”Hulubalang itu tertawa kecil.”Cuai betul kamu menjaga isterimu,anak muda.”

“Isteri hamba dicolek orang,”Bujang tidak tersinggung dengan sindiran itu.”Hendak dijual, dijadikan hamba abdi.”

“Maafkan hamba kerana tersalah sangka,”Hulubalang itu menghulurkan tangannya yang sudah berurat dan berkematu.”Oh ya,nama hamba Panglima Kahar.”

“Hamba Bujang,”Bujang menjabat tangan yang dihulur itu.Genggaman Panglima Kahar terasa kemas,matanya memandang tepat ke wajah Bujang,menilik sesuatu.

“Dari Acheh?”tanya Bujang,mengerling pada rencong di pinggang Panglima Kahar.

“Memang berasal dari Acheh,”Panglima Kahar melepaskan genggamannya.”Setiap orang Acheh amat bangga dengan rencongnya.Cantik keris itu.”

“Pusaka dari arwah ibu hamba,”jelas Bujang sambil nenepuk keris pendeknya.

“Orang Acheh?”Panglima Kahar cuba mencungkil rahsia.

“Kedah,”ujar Bujang sepatah,cuba menelah niat Panglima Kahar bertanya itu.

“Orang tua berdua?”tanya Panglima Kahar,merisik.

“Bapa dari Bentan,”ujar Bujang tenang.”Ibu hamba orang Acheh.”

“Memang tidak silap hamba lagi,”Panglima Kahar menepuk bahu Bujang.”Bujang berdarah Acheh.Rupa-paras pun ada iras-iras orang Acheh.Buat apa di Muara Jambi?”

“Kapal yang hamba tumpangi terkandas di pinggir pantai,”Bujang mencapai kampit kulitnya lalu digalasnya.”Tiang layar patah dibedil peluru.”

“Peluru petunang dari Jambi,”balas Panglima Kahar dengan bangga.”Kalau angkatan perang Johor cuba membuat onar,akan bertemu buku dengan ruas.Rokan boleh diperbudakkan,Jambi jangan sekali-kali dicoba.”

“Hamba kemari bukan mencari musuh,”Bujang menggalas kampitnya.”Sekadar menumpang lalu mencari jalan singkat ke Tanah Jawa.”

Panglima Kahar tertawa.”Satu-satunya jalan singkat ialah melalui jalan laut.Jalan darat terpaksa menempuh bukit-bukau dan hutan-rimba serta binatang buas lagi ganas.”

“Tetapi tidak seganas manusia,”sindir Bujang.”Dua bangsa serumpun dan seagama berbunuh-bunuhan,Belanda juga yang beruntung.”

Panglima Kahar terdiam mendengar kata-kata Bujang yang pedas itu.Dia mencabut tombak yang terpacak pada batang pokok itu.

“Pangeran Ratu sedang bersiram di air terjun,”tutur Panglima Kahar bersahaja.”Tahukah Bujang kawasan ini kawasan larangan?”

“Hamba tidak tahu,”Bujang berkata dengan jujur.

“Sesiapa yang menceroboh Taman Larangan Pangeran Ratu,”Panglima Kahar melontar tombak itu,tepat menembusi sepohon pisang hutan.”Itulah balasannya.”

“Walaupun bukan disengajakan?”tanya Bujang,sikit pun tidak merasa gentar.

Panglima Kahar tersenyum.”Kalau tidak sengaja,boleh dimaafkan,”katanya.”Hamba pengawal peribadi Pangeran Ratu,keputusan menghukum di tangan hamba,hidup atau mati itulah penyudahnya.”

“Jangan begitu,Datuk,”Bujang menasihat.”Zalim namanya.Doa orang yang dizalimi mudah dimakhbulkan Allah.”

“Benar,orang muda,”tiba-tiba sampuk satu suara halus.Seorang perempuan muda muncul dari arah air terjun dengan hanya berkemban,bahu dan rambut yang masih lembab ditutup dengan kain basahan.

“Pangeran Ratu,”Panglima Kahar menyusun sembah,diikuti oleh Bujang.

“Beta sangka Datuk Panglima sudah berubah laku kerana bercakap seorang diri,”Pangeran Ratu mengorak senyum.”Rupanya ada tetamu. Siapa orang muda yang tampan ini,Datuk?”

“Namanya Bujang,baru datang dari Melaka,”sembah Panglima Kahar.”

“Bujang ini masih bujang atau sudah berpunya?”tanya Pangeran Ratu dengan berani.

“Hamba mempunyai tiga isteri,Tuan Puteri,”jawab Bujang dengan tenang.

“Tiga isteri?”Pangeran Ratu terperanjat.”Waduh,hebatnya!Kenapa tidak jadikan empat?”

Terkedu juga Bujang dengan sindiran tajam Pangeran Ratu itu.Kalau bukan kerana memikir-kan dirinya hanya tetamu yang menumpang di Jambi,mahu juga dibalas kata-kata itu dengan sindiran yang setimpal.Namun,dipendamkan sahaja perasaan yang berbuku di hati.

“Jodoh-pertemuan di tangan Allah,Tuan Puteri,”balasnya dengan tenang.

“Betul tu,”akui Pangeran Ratu,mendekati Bujang.”Raja Muda Johor mahu peristerikan beta sedangkan beta tidak mahu kerana tiada jodoh.Sekarang dia mengirim bala tenteranya dbawah pimpinan Laksamana memaksa beta menerima pinangannya.”

“Laksamana?”hati Bujang mendongkol mendengar nama itu.

“Angkatan perang mereka sedang berlabuh di luar perairan Jambi,siap sedia hendak menyerang kami jika beta menolak pinangan itu,”Pangeran Ratu menjelaskan.

“Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan,Tuan Puteri,”ujar Bujang.

“Mahukah kamu perhambakan diri kepada beta?”tanya Pangeran ratu menaruh harapan.

“Kalau untuk mengelak peperangan dari berlaku,patik boleh mencuba,”balas Bujang dengan ikhlas hati.Dia tidak akan membiarkan Laksamana mengkucar-kacirkan rakyat Jambi.

“Bagus,”Pangeran Ratu kelihatan gembira.”Datuk Panglima,bawa orang muda ini ke istana sebagai tetamu istimewa bera.Berikan pakaian yang secocok dengannya.”

“Menjunjung titah,Pangeran Ratu,”sembah Panglima Kahar,tersenyum penuh bermakna.

Bujang pun mengikut mereka berdua ke dalam istana melalui pintu belakang.Istana lama itu dikelilingi tembok batu yang tinggi dan kukuh.Terdapat dua pintu gerbang yang dipanggil gapura.Bangunan istana batu itu juga berbentuk seakan-akan candi Hindu,terdapat lorong-lorong yang menghubungkan dari satu tempat ke satu tempat.Kawasannya luas bagaikan sebuah perkampungan yang terasing.Di situ,para pegawai istana,pendekar dan hulubalang mundar-mandir tidak henti-henti seperti dalam keadaan berjaga-jaga.Meriam,lela dan rentaka ditempatkan di segenap penjuru,siap untuk memuntahkan peluru.

Bujang ditunjukan sebuah kamar yang dilengkapkan dengan bilik air,tandas,kolah dan sebuah pangkin batu yang lengkap dengan tilamnya.Terdapat juga sebuah tingkap dan beberapa buah lubang udara.Sebuah meja batu dengan empat kerusi bulat terdapat di  tepi tingkap. Bujang meletak kampitnya di atas meja dan membasuh muka dari air kolah.Air kolah itu bersih dan sejuk,disalirkan dari air terjun melalui sebatang saluran tembaga.Cukup besar untuk memenuhi syarat sebagai air mustakmal buat mengambil wuduk.Beberapa ekor ikan juga dipelihara di dalam kolah itu.Suasana terasa nyaman walaupun di luar matahari memancar terik.Bujang mengambil peluang untuk mandi mnenyegarkan dirinya.Selesai mandi,dilihatnya sepersalinan pakaian sudah ada di atas pangkin.Pakaian itu berwarna hijau tua sedondon, bersamping dan berdastar songket serta baju layang berwarna hijau tua juga tetapi dihiasi renda kuning.Dia melipat semula persalinan itu,menyimpannya di dalam kampit dan mengeluarkan pakaian pendekarnya yang serba hitam.Pakaian kegemarannya itu lebih selesa disarungkan ke badan kerana ia melambangkan perjuangannya.Dari madrasah berhampiran kedengaran azan dilaungkan.Dia menyisipkan dua bilah kerisnya di celah bengkung,ditutup pula dengan baju layang.Kerana dia bersembahyang jamak dan qasar,dia memilih untuk melakukannya seorang diri di dalam kamar itu dan tidak ke madrasah mengerjakan sembahyang Jumaat.

Selepas para makmum balik dari madrasah,Bujang dijemput oleh Panglima Kahar dan dijamu di balai santapan di hadapan pembesar-pembesar Jambi yang lain.Pangeran Ratu juga hadir ditemani dayang-dayangnya yang masih muda-muda.Baru Bujang hendak menyuapkan nasi ke mulutnya,seorang dayang-dayang tersipu-sipu menghampirinya.Dayang-dayang itu membisikkan sesuatu ke telinga Panglima Kahar.

“Yang Mulia Pangeran Ratu menjemput santap bersamanya,”beritahu Panglima Kahar pada Bujang yang sudah menduga permintaan itu.

“Hamba seganlah,Datuk,”Bujang cuba menolak pelawaan itu.

“Apa yang nak disegankan,”Panglima Kahar menggiat.”Ini satu penghormatan besar.”

“Baiklah,”Bujang terpaksa menerimanya.Dia pun bangun mengikut dayang-dayang itu. Banyak mata yang memandangnya dengan senang hati,tidak kurang juga yang cemburu dengan layanan istimewa itu.Pangeran Ratu mempersilakannya duduk di hadapannya.Dayang-dayang menghulurkan pinggan dan air basuh tangan serta membantu mencedok nasi ke dalam pinggan.

“Silakan,”Pangeran Ratu menjemput mesra. Mahu tidak mahu,Bujang terpaksa makan sehidang dengan Pangeran Ratu dan berkongsi lauk-pauk manakala dayang-dayang makan berasingan.Bujang naik rimas kerana mendapat layanan begitu.Dia takut kalau-kalau ada udang di sebalik batu.

“Laksamana Johor dengan rombongan peminangannya akan bertandang ke istana beta petang nanti,”Pangeran Ratu memulakan perbualan.Bujang kurang selesa berbual-bual ketika makan tetapi terpaksa melayan setiap perbualan.”Tujuannya untuk meminang beta menjadi permaisuri Raja Muda Johor.Apa pandanganmu,pendekar muda?”

Bujang diam sejenak sebelum menjawab,”Perbuatan yang baik,ikutkanlah,Tuan Puteri.”

“Tapi,beta tidak cinta dan kasih pada Raja Muda Johor,”bantah Pangeran Ratu.”Tambahan pula,beta dengar Raja Muda Johor sudahpun beristeri.”

“Tuan Puteri lebih suka melihat pertumpahan darah antara Johor dengan Jambi?”

“Beta sudah jatuh cinta pada seorang pemuda dari seberang,”luah Pangeran Ratu.

“Itu perkara yang mustahil,”Bujang dapat menangkap maksud Pangeran Ratu.

“Kenapa pula mustahil?”sanggah Pangeran Ratu.

“Pemuda itu tidak  cinta dan kasih pada Tuan Puteri,”ujar Bujang dengan berani.

“Kenapa pula?”Pangeran Ratu memandang tepat ke wajah Bujang.”Apa kurangnya beta?

Beta raja di negeri ini,ada rupa,ada harta.Bahagialah pemuda itu jika berkahwin dengan beta.”

“Paras-rupa,harta dan pangkat belum terjamin kebahagiaan,Tuan Puteri,”balas Bujang.

Pangeran Ratu diam mendengar kata-kata Bujang itu.Kulit mukanya terasa tebal.Secara tidak langsung,cintanya sudah ditolak.Bukan semua lelaki mudah tergoda dengan paras yang cantik, harta yang melimpah-ruah dan pangkat yang tinggi.Pangeran Ratu tidak marah pada Bujang, malah rasa hormatnya pada Bujang semakin bertambah.Cinta dan kasih-sayang dari seorang lelaki bernama Bujang terlalu mahal nilainya.

“Kalau Laksamana Johor datang nanti,apa harus beta jawab?”tanya Pangeran Ratu setelah diam membisu beberapa ketika.

“Terima sahaja peminangan itu,”Bujang mengesyurkan.”Patik doakan Tuan Puteri bertemu jodoh dan kekal hingga ke anak-cucu.”

Mereka tidak bercakap-cakap lagi selepas itu.Setelah selesai menjamu selera,Bujang mem-basuh tangan dan menyusun sembah minta diri.Dilihatnya Panglima Kahar belum lagi habis makan. Dia pun turun dari balai itu dan menunggu di bawah.Dia berjalan-jalan melihat keadaan pekarangan istana itu,bercampur-gaul dengan para pendekar dan hulubalang tetapi tidak turut serta dalam perbualan.Walaupun dalam keadaan perang,mereka masih berkesempatan bermain sepak raga,bermain congkak atau dam dan menari bersukaria.Ada juga yang berlatih silat. Kehadiran Bujang tidak dipedulikan kerana tiada siapa yang mengenalinya.Pakaiannya yang serba hitam itu menjadikan dirinya sebahagian dari mereka.Golongan pahlawan.Ketika sedang berpeleseran itulah,suasana tiba-tiba bertukar menjadi riuh-rendah.Dari percakapan yang didengarnya,tahulah dia bahawa rombongan peminangan dari Johor yang diketuai oleh Paduka Raja Laksamana sudah pun mendarat di Muara Jambi dan sedang menuju kemari.Dia pun menunggu ketibaan mereka di tepi balai.

Ketibaan rombongan Laksamana Johor dengan diiringi oleh kira-kira seratus orang ahli-ahli pertikaman yang handal-handal disambut di pintu gerbang oleh ratusan para pendekar dan hulubalang Jambi.Panglima Kahar dengan tegas hanya membenarkan Laksamana serta dua orang pembesar lain ke balai tetamu manakala manakala yang lain-lain menunggu di luar pekarangan istana.Pada mulanya Laksamana berkeras juga.Tetapi setelah dinasihati oleh Paduka Seri Maharaja dan Raja Negara,Laksamana pun mengikut Panglima Kahar naik ke balai tetamu.Pangeran Ratu bersama beberapa orang pembesar Jambi sudah menunggu di balai itu.Laksamana,Paduka Seri Maharaja dan Raja Negara dipersilakan masuk mengadap.

“Ampun Tuanku Pangeran Ratu,”sembah Laksamana Abdul Jamil.”Kami datang hendak mendengar kata-pemutus perihal peminangan Yang Mulia Yamtuan Muda Ibrahim.”

“Beta dengar Panglima Agung yang gagah-perkasa itu turut sama dalam rombongan dari Johor,”Pangeran Ratu tidak menjawab pertanyaan Laksamana.”Mana dia orangnya?”

“Panglima Agung menunggu di kapal,”Laksamana berbohong.”Kalau dia naik ke darat,habis orang-orang Jambi ini diamuknya,tiada siapa yang mampu menentangnya.”

“Kami tidak gentar pada Panglima Agung,”sampuk Panglima Kahar bagi pihak Pangeran Ratu.”Namun,peminangan Datuk kami terima dengan sebulat suara.Yang Mulia Pangeran Ratu berkenan bersemenda dengan Raja Muda Johor.”

“Jangan cakap begitu tentang Panglima Agung,”Raja Negara menasihati Panglima Kahar yang agak celupar.”Kalau Datuk melihat Panglima Agung,terkencing-terberak Datuk nanti.”

Melihat Pangeran Ratu mengangguk,Panglima Kahar berkata,”Jemputlah Panglima Agung kemari.Kami ingin melihat samaada dia bertanduk,bertaring dan sebagainya.”

Laksamana,Paduka Maharaja dan Raja Negara saling berpandangan.Memang mereka rasa tercabar dengan kata-kata panglima kanan Jambi itu tetapi tembelang mereka pecah jika mereka tidak dapat membawa Panglima Agung kemari.Mendengar cabaran itu,Bujang pun naik ke balai tetamu.Semua mata memandang ke arahnya.

“Itulah Panglima Agung,”jawab Raja Negara dengan gembira demi terpandang Bujang.

Panglima Kahar dan Pangeran Ratu terperanjat. Begitu juga dengan Laksamana dan Paduka Seri Maharaja.Panglima Kahar dan Ratu Jambi itu terperanjat kerana tidak menyangka Bujang yang masih muda-belia itulah Panglima Agung yang sangat-sangat digeruni. Laksamana pula terperanjat kerana sebab-sebab yang hanya diketahui dirinya sendiri.

“Patiklah Panglima Agung yang disebut-sebut itu,”sembah Bujang pada Pangeran Ratu.

Pangeran Ratu tersenyum tersipu-sipu.Panglima Kahar juga tersenyum sambil mengangguk.

“Pekerjaan kita sudah selesai,”Bujang menjeling tajam pada Paduka Raja.”Datuk bertiga baliklah ke kapal sebelum orang-orang di sini terberak-terkencing di atas balai.”

Gelak-ketawa pecah berderai di atas balai tetamu itu.Wajah Laksamana dan Paduka Seri Maharaja merah padam kerana menahan malu manakala Raja Negara tenang sahaja.Mereka bertiga bangun,menyusun sembah lalu mengundurkan diri dari balai itu.

“Patik pun bermohon diri,Tuan Puteri,”Bujang pula menyusun sembah setelah tiga orang pembesar Johor itu tidak kelihatan lagi.

“Panglima Agung pun hendak balik ke Johor?”tanya Pangeran Ratu.

“Tidak,”sembah Bujang dengan sayu.”Patik hendak ke Betawi,mencari isteri yang hilang. Selagi isteri patik tidak dijumpai,patik akan terus mengembara biarpun sampai ke hujung dunia.”

“Mulia sungguh hati Panglima,”Pangeran Ratu turut merasa sayu.”Kami semua tersalah sangka.Kami telah digembar-gemburkan dengan berbagai cerita buruk tentang Panglima Agung.Kalaulah beta dapat bertahta di hati Panglima…..!Datuk Panglima Kahar,bukankah utusan kita hendak ke Palembang dan Lampung?”

“Benar,Yang Mulia Pangeran Ratu,”Panglima Kahar mengakui.”Dari sana,kami akan menyeberangi Selat Sunda menuju ke Betawi.”

“Datuk Panglima boleh bawa Panglima Agung bersama,”Pangeran Ratu mencadangkan.

“Molek sekali cadangan itu,”sokong Panglima Kahar sambil tersenyum.”Oleh kerana kita tidak lagi berperang dengan Johor,hari ini juga kami hendak bertolak ikut jalan darat.”

“Datuk Melengkar Alam,”perintah Pangeran Ratu kepada seorang pembesarnya.”Siapkan kuda dan pedati serta lain-lain bekalan untuk Datuk Panglima Kahar.”

“Menjunjung titah,Yang Mulia Ratu,”sembah pembesar tersebut lalu bangun dan segera turun dari balai tetamu itu.Bujang juga menyusun sembah,diikuti oleh Panglima Kahar.

Petang itu ketika matahari masih panas terik,mereka pun bertolak dengan sebuah pedati yang ditarik oleh empat ekor kuda,digembala oleh dua orang hamba suruhan serta dikawal oleh empat pendekar berkuda.Bujang dan Panglima Kahar duduk di dalam pedati yang berbumbung, terlindung dari panas atau hujan,masing-masing di sisi tingkap menghadap ke hadapan.Kampit kulit Bujang dan buntil Panglima Kahar terletak di atas para manakala di atas bumbung ialah barang-barang keperluan lain yang ditutup dengan kain tarpan kalis air.Bujang bersyukur kerana dapat mengembara mencari Chendana dalam keadaan selesa tanpa perlu berpanas atau berhujan.

Tidak berapa lama kemudian setelah pedati itu meninggalkan istana Ratu Jambi,muncul satu lagi rombongan yang diketuai oleh Lela Wangsa.Rombongan itu memohon dan diberi perkenan mengadap ke bawah duli Pangeran Ratu.

“Datuk Lela Wangsa mencari Panglima Agung?”tanya Pangeran Ratu kembali apabila Lela Wangsa menyatakan hajat mereka ke Muara Jambi.

“Benar,Yang Mulia Ratu,”sembah Lela Wangsa.”Kami bukan angkatan perang Johor.Kami dari angkatan Fisabilillah. Panglima Agung adalah Imam Khalifah kami.”

“Sayang sekali,”keluh Pangeran Ratu.”Kiranya kedatangan kalian sudah terlambat. Panglima Agung sudah bertolak ke Betawi mencari isterinya yang hilang.”

“Isteri Panglima Agung sudah ditemui dengan selamat,”sembah Lela Wangsa.”Kami mencari Panglima Agung untuk memaklumkan padanya perihal berita baik ini.”

“Dia bersama Datuk Panglima Kahar mengikut jalan darat hingga ke Lampung,”beritahu Pangeran Ratu.”Jika kalian cepat,kalian boleh memintas mereka di Selat Sunda sebelum mereka naik kapal ke Betawi.”

“Baiklah,Yang Mulia Ratu,”sembah terakhir dari Lela Wangsa.”Kami akan belayar ke Selat Sunda sekarang juga.Terima kasih banyak-banyak.Kami bermohon dari.”

Bujang yang tidak mengetahui tentang berita baik itu berhenti rihat pada waktu senja di pinggir sebatang anak sungai.Sementara Bujang dan Panglima Kahar mengambil wuduk untuk bersembahyang maghrib,dua orang gembala pedati dan empat orang pendekar itu sibuk dengan tugas masing-masing.Kuda dirihatkan dan dibiarkan meragut rumput.Air dijerang dan nasi ditanak.Tikar mengkuang dihampar buat pengalas tempat duduk dan tempat sembahyang. Dua orang pendekar sentiasa berkawal di sekitar kawasan itu.Mereka membiarkan Bujang dan Panglima Kahar bersembahyang jamak dan qasar secara berjemaah.Mereka bergilir-gilir mendirikan sembahyang ketika Bujang dan Panglima Kahar duduk menghadapi jamuan yang disediakan.

“Hari ini hari Jumaat malam Sabtu,”Panglima Kahar menghitung waktu ketika mereka makan malam itu.”Tiga atau empat hari lagi sampailah kita di pinggir Selat Sunda.Kalau kita berpedati sepanjang malam,lebih awal lagi kita sampai.”

“Hamba mahu segera sampai di Betawi,”ujar Bujang.

“Kalau begitu kita akan mengembara siang dan malam,”tegas Panglima Kahar.

“Bagaimana dengan mereka?”Bujang menuding ke arah pendekar dan hamba suruhan.

“Mereka boleh bekerja mengikut giliran,”tegas Panglima Kahar lagi.”Tugas mereka ialah berkhidmat kepada kita tak kira siang atau malam.”

“Mereka juga perlukan rihat dan tidur sama seperti kita,”Bujang menegur perlahan.

“Ini akan melambatkan perjalanan kita ke Betawi,”bantah Panglima Kahar.

“Biar lambat asalkan selamat,”Bujang berfalsafah.”Kalau kita bergopoh-gapah,hamba takut yang dikendong berciciran,yang dikejar tak dapat pula.”

Panglima Kahar terdiam sejenak,kata-kata Bujang berbekas di hatinya.

“Kalian semua,kita berihat di sini malam ini,”perintah Panglima Kahar kepada semua pendekar dan hamba suruhan.”Besok pagi kita sambung lagi kembara kita.”

Mereka patuh pada perintah Panglima Kahar.Dua buah khemah dari kain tarpan didirikan, sebuah untuk Bujang dan Panglima Kahar manakala sebuah lagi untuk kegunaan mereka. Unggun api juga dinyalakan untuk menghalau nyamuk serta binatang-binatang buas. Panglima Kahar menabur serbuk belerang di sekitar kawasan perkhemahan.

“Untuk menghalau sang senduk dan lain-lain makhluk melata,”Panglima Kahar menjelaskan tanpa diminta bila Bujang melihat perbuatannya dengan penuh tanda-tanya.

Bujang mengangguk.Dia juga sudah maklum dengan cara begitu.Dia membaringkan badan di atas tikar mengkuang di dalam khemahnya lalu membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an dalam hatinya.Lazimnya dia membaca Ayat Qursi sebagai penghulu segala amalan,diikuti oleh ayat-ayat pendek lain.Kemudian diakhiri dengan zikrullah.Belum sampai seratus kali,dia sudah terlelap keletihan.

Esoknya Sabtu 28 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 21 Oktober 1652 Masehi, mereka meneruskan perjalanan dan tiba di sebuah jambatan kayu pada waktu tengah hari. Jambatan itu merentangi sebatang sungai yang lebar,dikawal rapi oleh beberapa orang pendekar bersenjata lengkap.

“Inilah Sungai Musi,sungai yang memisahkan Jambi dengan Palembang,”Panglima Kahar menerangkan apabila pedati mereka dibenarkan melalui jambatan itu.”Selepas jambatan ini, kita akan berada di Palembang yang pernah menjadi pusat kerajaan Seri Wijaya.”

“Khabarnya di sinilah asal-usul raja-raja Melaka dan Johor,”Bujang menokok.

“Raja Singapura yang terakhir dan raja Melaka yang pertama memang berasal dari Palembang,”Panglima Kahar turut mengakui.”Raden Patah,Sultan Demak yang pertama juga keturunan raja-raja Seri Wijaya.Kalau mengikut kitab lama,semua raja di Alam  Melayu ini bertunggak dari Bukit Siguntang Mahameru.”

Kerana terlalu leka berceloteh,mereka tidak sedar kedatangan mereka sedang diperhati oleh satu lagi kumpulan pengawal yang lengkap bersenjata.Namun pun begitu,Bujang terasa juga bulu romanya meremang.

“Hamba teringat satu hadis Nabi Muhammad tentang orang Melayu,”Panglima Kahar terus juga berceloteh.”Menurut hadis itu,akan muncul satu bangsa di Timur yang menjadi pembela agama Islam yang suci di kemudian hari.Bangsa itu bertamadun tinggi,sangat berlemah-lembut pada sahabat tetapi sangat keras pada musuh-musuh Islam.Itulah bangsa Melayu,bangsa kita.”

Tiba-tiba pedati mereka berhenti.Rupanya mereka ditahan lagi.Panglima Kahar dan Bujang sama-sama menjenguk keluar,kemudian sama-sama turun dari pedati itu bila mereka ternampak kumpulan pengawal bersenjata yang menahan mereka dengan wajah bengis.

“Ada apa,Bogak?”tanya Panglima Kahar pada seorang pendekarnya.

“Kita mesti patah balik,Datuk Panglima,”jawab Bogak selaku ketua pendekar.

“Kenapa?”Panglima Kahar menuntut penjalasan,dahinya berkerut.

“Peraturan baru,”tegas ketua pengawal.”Palembang mengistiharkan perang ke atas Jambi kerana bersekongkol dengan Johor.”

“Mengapa di jambatan tadi kami tidak ditahan?”tanya Bujang pula.

“Pengawal di sana tidak tahu,”jelas ketua pengawal Palembang.”Kami baru terima khabar pertunangan Ratu Jambi dengan Raja Muda Johor.Peraturan baru segera dibuat,semua orang Jambi dilarang keras menceroboh Palembang.”

“Ada-ada saja peraturan yang menyusahkan,”rungut Panglima Kahar pada Bujang,kemudian memberi perintah kepada orang suruhannya,”Kita berpatah balik ke jambatan dan berihat di tepi Sungai Musi.”

Mulanya Bujang hendak membantah keputusan Panglima Kahar itu.Berpatah balik bererti melengahkan lagi perjalanan mereka ke Betawi sedangkan nasib isterinya ibarat telur di hujung tanduk.Namun,sebagai perantau yang bermusafir di tempat orang,dia terpaksa mengalah kepada keadaan.Dia tidak mahu hati tua Panglima Kahar tersinggung.Diam-diam dia mengikut sahaja Panglima Kahar naik semula ke atas pedati.Rombongan mereka berpatah balik ke jambatan.Untuk mempastikan mereka benar-benar meninggalkan bumi Palembang,para pengawal berkuda itu mengekori mereka hingga ke sempadan.Selepas menyeberangi jambatan itu,rombongan dari Jambi berhenti di bawah sepohon pokok yang rendang di pinggir sungai.Tanpa dikerah,empat pendekar dan dua hamba suruhan itu terus mendirikan khemah dan menyediakan makan-minum.Panglima Kahar menghilangkan diri meninjau kawasan sekitar. Tinggal Bujang bermenung di atas seketul batu sambil melemparkan pandangan sayu ke Tanah Palembang di seberang sungai.Dia membayangkan Selat Sunda yang memisahkan Palembang.Dia membayangkan pula Betawi di Tanah Jawa di mana Chendana dipercayai berada.Wajah Chendana muncul bermain di ruang mata.Dekat tapi jauh.Jauh tapi dekat. Di saat-saat genting seperti itu,dia amat memerlukan pertolongan dari Allah agar segera dapat berjumpa dengan Chendana.Dia tidak mampu terbang seperti burung di angkasa. Dia tidak berupaya merenangi lautan yang luas.Semua kejadian luar-biasa yang dilaluinya selama ini berlaku dengan izin dan kehendak Allah jua yang di luar bidang kemampuannya.Allah jua yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap kejadian itu.

Tiba-tiba dia teringatkan cincin berbatu zamrud yang tersimpan dalam saku tali pinggang kulitnya.Cincin perak pemberian Puteri Mayang Sari melalui ayahnya Raja Abal Yusuf itu dikeluarkan.Dibeleknya cincin itu seolah-olah baru pertama kali melihatnya.Kemudian disarungkan ke jari manis di tangan kirinya.Sesuai dan padan benar dengan jarinya.Terdorong oleh rasa ingin tahu,batu zamrud itu digosoknya beberapa kali.Dengan serta-merta kawasan itu berbau harum.Badannya terasa seram-sejuk bagaikan diresapi sesuatu.Cuping telinganya berdesing.Ditolehnya ke kiri dan ke kanan tetapi tiada sesiapa di situ.Dia cuba menanggalkan cincinnya,namun cincin itu bagaikan terlekat pada jarinya.Hatinya tertanya-tanya,fikirannya dihujani berbagai soalan.Lantas ditutupnya semua lubang pancainderanya dengan kalimah- kalimah Allah agar terpelihara dari gangguan unsure-unsur yang tidak diingini.

Lamunannya terganggu oleh bunyi buluh ditebang tidak jauh dari kawasan perkhemahan. Dia segera terjun dari atas batu,matanya mencari dari arah mana bunyi itu datang. Dia bergegas mengikut arah tersebut. Panglima Kahar kelihatan bercekak pinggang memerhati anak buahnya menebang buluh.Ranting-ranting buluh dicantas.Buluh-buluh itu dipotong dua atau tiga, panjangnya beberapa ruas.

“Nak buat apa buluh itu,Datuk?”Bujang memberanikan diri bertanya.

“Rakit,”balas Panglima Kahar sambil tersenyum.”Dengan menaiki rakit,bolehlah kita hilir-mudik hingga ke kuala sungai. Di Kuala Musi, banyak kapal yang berlabuh,boleh kita tumpang sebuah ke Betawi.”

“Bijak betul Datuk,tak terfikir dek hamba,”Bujang memuji penuh ikhlas.

“Pengalaman,”Panglima Kahar member alasan.”Hamba tua dengan pengalaman,Panglima. Kata orang,jauh berjalan luas pandangan,lama hidup banyak dirasa.”

“Ya,”angguk Bujang tanda setuju.”Hamba sendiri bercita-cita ingin mengembara ke seluruh pelusuk dunia melihat kekayaan alam ciptaan Allah.Hamba tidak betah tinggal lama di sesuatu tempat.”

“Kita orang Acheh memang bersifat berani dan berjiwa pengembara,”sokong Panglima Kahar memuji bangsa keturunannya.”Bugis dan Minangkabau juga begitu.Mengembara dan membuka kawasan baru.Alam Melayu ini terlalu luas,masih banyak yang belum diteroka.”

Bujang terdiam,kata-kata Panglima Kahar itu menyemarakkan lagi keinginannya.Tetapi sebelum cita-citanya menjadi kenyataan,Chendana harus dicari dan diselamatkan.Tanpa berlengah lagi,dia terus menghunus goloknya.

“Nak ke mana pula,Panglima?”tegur Panglima Kahar melihat gelagat Bujang.

“Lebih ramai yang membantu,lebih cepat pekerjaan kita,”Bujang menuding dengan goloknya ke arah anak buah Panglima Kahar yang sedang terkial-kial menebang buluh.

“Betul juga kata Panglima,”balas Panglima Kahar lalu menghunus goloknya dan mengikut Bujang.

Petang itu,siaplah sebuah rakit buluh yang berdinding dan berbumbung.Dindingnya dari buluh yang dibelah dua,bumbungnya pula beratapkan daun rumbia. Lantainya disusun tiga lapis supaya tidak mudah tenggelam. Galah pula dijadikan kemudi.Semuanya diikat kukuh dengan menggunakan rotan seni yang diambil dari kawasan sekitar.Sambil menjamu selera di bawah naungan pohon rendang,di wajah masing-masing tergambar kepuasan.

“Bogak,”perintah Panglima Kahar pada pendekarnya.”Kamu berempat bawa balik pedati ini ke istana.Sampaikan salam kami kepada Yang Mulia Pangeran Ratu.”

“Kami,Datuk?”Tanya salah seorang hamba sahaya sambil melirik pada rakanya.

“Kau berdua ikut kami untuk mengendalikan rakit,”perintah Panglima Kahar pula pada kedua-dua hamba suruhan itu.

“Baik,Datuk,”mereka patuh pada perintah itu.

Petang itu juga rombongan dari Jambi berpecah dua. Setelah membuat persiapan terakhir,Bujang menaiki rakit bersama Panglima Kahar menghilir Sungai Musi. Kerana air sungai mengalir deras,hamba suruhan berdua itu terpaksa berhati-hati menjaga galah dan kemudi supaya tidak terlanggar jeram-jeram batu.Menjelang senja,jeram-jeram batu tidak kelihatan lagi.Rakit itu hanyut dengan tenang menuju ke kuala.Panglima Kahar tertidur keletihan sementara Bujang pula tersandar pada tiang bumbung sambil memerhati burung-burung terbang berkawan pulang ke sarang.Hatinya sentiasa hidup dengan zikrullah,namun fikirannya jauh menerawang mengenangkan peristiwa-peristiwa lama.Dia tersenyum sendirian.

Tatkala senja berlabuh di Kampung Panchor,Chendana masih belum berganjak dari tempatnya.Dia tersenyum sendirian,terhibur dengan gelagat burung-burung yang berterbangan di sepanjang tebing sungai itu.Matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah muara,seolah-olah tidak sabar lagi menunggu kepulangan Bujang pada bila-bila masa.Dia menjeling pada cincin emas berbatu delima merah yang tersarung di jari manisnya.Cincin itu pemberian Bujang menjelang majlis perkahwinan mereka. Dan,di bawah pohon ara itulah mereka memadu kasih sambil berpantun.

- “Tuai padi antara masak,besuk jangan layu-layuan,

intai kami antara nampak,besuk jangan rindu-rinduan.” –

Beberapa titis air mata jatuh berguguran dari kelopak matanya. Dibiarkan sahaja air mata itu membasahi pipinya yang gebu.

“Wahai angin bawalah pesan,rindu dendamku tidak tertahan,” bisiknya pada angin senja yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.”Pulanglah kanda bawa bahagia,agar hilang haus dan dahaga.”

Chendana tersentak apabila terdengar suara orang batuk-batuk kecil dari belakang.Suara itu halus seperti suara perempuan.Namun,dia yakin itu bukan suara emaknya.Segera dia berpaling ke arah suara tersebut. Dalam remang-remang senja,tampak padanya susuk seorang perempuan muda berpakaian indah tersenyum-senyum padanya.Perempuan yang tidak dikenali itu sebaya dengan usianya.Seorang gadis sunti yang juga berpakaian indah kelihatan memaut lengan perempuan itu. Paras gadis sunti itu seolah-olah pernah dilihatnya tetapi entah di mana.

“Ya?”tegurnya dengan hati berdebar-debar.”Cik puan cari siapa?”

“Ini Chendana?”perempuan muda itu bertanya balik.”Dulu bernama Kuntum?”

“Err..benar,”hati Chendana tambah berdebar.”Tapi…cik puan ni…”

“Itulah Tunku Rahimah,madumu dari Kedah,”Mak Siti menerangkan sambil muncul entah dari mana.”Si-gadis itu pula anaknya Tunku Wan Fatimah. Mereka datang mencari Bujang.”

“Oh,begitu,”Chendana terus menyusun sembah.”Ampun patik kerana tidak kenal akan Tuan Puteri.”

“Panggil saja Balqis,”Tunku Balqis mara menghampiri Chendana,senyuman tidak lekang dari bibirnya.”Kita berkongsi suami,Chendana.”

Perasaan Chendana di saat itu bercampur-aduk antara geram,marah dan cemburu. Namun, demi terpandang wajah Tunku Balqis yang tidak putus-putus mengukir senyum,fikirannya jadi tenteram dan hatinya jadi sejuk.

“Kakak…,”Chendana terus menerpa memeluk Tunku Balqis sambil menitiskan air mata gembira.Dipeluknya juga Tunku Wan Fatimah.” Wajahmu saling tak tumpah dengan wajah arwah Wan Teratai.”

“Tentulah,”balas Wan Fatimah.”Dia bonda beta.”

Sebagai balasan,Chendana menggosok-gosok rambut Wan Fatimah sambil tertawa.

“Chendana,Kakak kemari mencari suami kita,”Tunku Balqis terus menerangkan maksudnya tanpa berlengah lagi.”Ke mana gerangannya menghilang diri?”

“Abang Bujang?”Chendana serba-salah.”Abang Bujang sudah…..!”

“Malam sudah tiba,”cepat-cepat Mak Siti mencelah.”Kurang manis kita berbual-bual di sini.Molek kalau kita naik ke atas rumah.Di sana boleh kita berbual panjang.”

“Ya tak ya juga,”balas Chendana.”Jemputlah naik ke teratak buruk kami,Kakak. Wan Fatimah pun dijemput sama. Silakan.”

Bujang terjaga apabila sinaran cahaya matahari pagi yang baru muncul mencucuk matanya. Di lihatnya hari sudah cerah dan siang sudah merangkak tiba.Lantas dia bingkas bangun memerhati di sekelilingnya.Rakit yang mereka naiki itu sudah berada tidak jauh dari sebuah kuala sungai yang luas. Di kedua-dua tebing sungai itu kelihatan kawasan perkampungan. Hari itu hari  Ahad 29 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 22 Oktober 1652 Masehi. Dilihatnya Panglima Kahar masih lagi tidur mengerekot melawan kedinginan pagi.

“Mengapa tidak dikejutkan kami subuh tadi?”tanya Bujang pada  seorang hamba suruhan yang sedang mengemudi rakit dengan galah. Rakannya sedang menyiapkan sarapan.Suara Bujang yang agak kuat itu mengejutkan Panglima Kahar dari tidurnya lalu dia bangun sambil menggeliat.

“Hamba..hamba tak sampai hati menengok Datuk berdua tidur keletihan,”hamba suruhan itu member alasan,tidak berani bertentang mata dengan Bujang.

“Tak apalah,”Bujang agak kesal kerana meninggikan suara pada hamba suruhan itu.Diam-diam dia membasuh muka dan berkumur mulur dengan air sungai.

“Nampaknya kita sudah sampai di Kuala Musi,”Panglima Kahar bersuara sambil turut sama membasuh mukanya.”Kalau nasib kita beruntung,tentu ada kapal yang mahu ke Batavia.”

“Begitulah harapan hamba,”balas Bujang perlahan.”Rasanya tak sabar-sabar lagi ingin hamba bertemu dengan isteri hamba di sana.”

“Mudah-mudahan kita tiba di sana tepat pada waktunya,”Panglima Kahar memujuk, kemudian menambah.”Tapi,Panglima harus ingat kita hanya mampu merancang sedangkan ketentuan sebenar di tangan Allah.”

Bujang hanya mengangguk tanda bersetuju.Rakit itu akhirnya dirapatkan ke tebing lalu ditambat pada sebatang payu pancang yang dipacak di situ.

“Di sana ada pasar,boleh kita bertanya khabar,”Bujang mencapai kampit kulitnya.

“Sabar dulu,Panglima,”Panglima Kahar menahan.”Elok kita alas perut dulu.”

Tanpa disuruh,kedua-dua hamba suruhan itu menghulurkan sarapan ubi rebus kepada Bujang dan Panglima Kahar.Diam-diam mereka menjamu selera sambil memerhati ke darat.Mereka makan ala kadar sahaja.Selepas mengalas perut,Bujang pun mengikut Panglima Kahar naik ke darat sementara dua orang hamba suruhan itu tinggal menjaga rakit dan barang-barang. Sesuai dengan kawasan perkampungan awal orang Melayu sejak ribuan tahun yang lampau,banyak kedapatan rumah-rumah kediaman bentuk lama yang dibina mengikut pengaruh Hindu dan Budha.Tokong dan kuil peninggalan zaman lampau masih teguh berdiri meskipun tidak digunakan lagi.Sebuah masjid tersergam indah,bentuknya seakan-akan chandi agama Hindu. Di samping kerbau,lembu,ayam dan itik,kuda padi juga turut dipelihara sebagai haiwan tunggangan dan untuk menarik pedati.

Keadaan pasar mula dipenuhi orang ramai biarpun matahari baru tinggi segalah. Suasana hingar-bingar dengan suara tawar-menawar antara pembeli dan penjual.Bujang rasa bangga mendengar bahasa Melayu digunakan dengan meluas di sini dan dia dapat memahaminya meskipun dituturkan mengikut lenggok bahasa daerah masing-masing.Bila Panglima Kahar mengajaknya membeli-belah,dia tidak menolak. Kesempatan itu digunakan untuk mencari barang-barang kecil keperluannya yang boleh dibawa dalam kampitnya.Termasuklah ubat bedil dan peluru kegunaan dua pucuk pistolnya yang dirampas di Singapura.

Pada saat itu juga,sebuah lancang yang berbentuk seperti kapal Bugis belayar menuju ke Pulau Jawa.Lela Wangsa tercegat di atas geladak memerhati Kuala Musi yang semakin jauh ditinggalkan,tanpa menyedari bahawa orang yang sedang dicarinya itu berada di situ.Kerana terlalu asyik,dia tidak sedar lancang itu berselisih dengan kapal Nakhoda Mamat yang baru hendak berlabuh di muara.Jauh di hadapan,kapal yang dinaiki Nakhoda Ali turut sama belayar menghala ke Betawi. Turut sama berada di atas kapal itu ialah Daeng Ratna Sari yang ditemani Daeng Andika serta beberapa orang pengawal.

Matahari semakin tinggi.Kedinginan pagi beransur hilang diganti bahang siang.Angin tidak putus-putus bertiup dari laut menyegarkan badan. Puas berjalan-jalan dan membeli-belah, Bujang pun mengikut Panglima Kahar pulang ke rakit.Mereka terperanjat melihat seorang perempuan muda yang membimbit buntil pakaian sedia menunggu di situ.Panglima Kahar terpinga-pinga kerana tidak mengenali perempuan itu.Teapi.Bujang lebih dari kenal.

“Tini buat apa di sini?”terpancut soalan itu dari mulut Bujang,nada suaranya tawar.

“Mencari abanglah,”balas Kartina sambil memeluk suaminya tanpa segan-silu di hadapan Panglima Kahar.”Diam-diam sahaja abang lari meninggalkan Tini.”

Menyedari perbuatan mereka menjadi perhatian,lekas-lekas Bujang menolak badan Kartini dari dakapannya.”Datuk Panglima,ini isteri hamba Kartini dari Melaka.”

“Oh,kalau begitu,tak apalah,”Panglima Kahar tersengih lalu naik ke atas rakit.

Bujang menarik tangan Kartini pergi jauh sikit dari situ.

“Buat apa Tini datang kemari?”Bujang mengulangi pertanyaannya.

“Bukankah Tini isteri abang yang sah?”Kartini bertanya kembali.

“Kalau tak silap,Tini tak mahu mengikut abang dan ingin menetap di Melaka,”Bujang mengungkit kisah lama mereka.”Kalau itu kehendaki Tini,abang sedia melepaskan Tini.”

“Abang tak boleh lepaskan Tini,”tegas Kartini.

“Mengapa tidak?”ujar Bujang.”Hajat Tini sudah terlaksana. Kenikmatan berumah-tangga telah dirasa.”

“Kenikmatan bersama telah membuahkan hasil,”Kartini menyampaikan berita yang tidak disangka-sangka itu.Belum sempat Bujang mencelah,Kartini meneruskan lagi.”Selepas abang pergi,Tini merasa loya dan muntah-muntah.Kata Kak Milah,Tini jadi begitu kerana pembawaan anak di dalam perut.”

“Anak di dalam perut?”Bujang terkebil-kebil kehairanan.

“Tini mengandung,abang,”Kartini berterus-terang.”Anak ini anak kita berdua.”

‘Bagaimana Tini tahu abang berada di sini?”Bujang menyembunyikan rasa gembiranya.

“Tini menumpang sebuah lancang,”jawab Kartini tanpa ingin mengulas lanjut.”Kami berlabuh di sini.Ketika berjalan-jalan tadi,Tini ternampak kampit abang di atas rakit itu.”

“Lancang siapa yang Tini tumpangi?”Bujang bertanya lagi.

“Entah,tak kenal pun,”Kartini cepat-cepat mengubah tajuk.”Yang penting,Tini sudah berjaya berjumpa dengan abang di sini.”

Bujang memandang arus sungai yang mengalir ke laut.”Tetapi,abang masih gagal mencari Chendana.Abang tidak akan berhenti berkelana sehingga berjaya menemuinya.Andai jasadnya tidak ditemui,melihat kuburnya pun sudah memadai.”

“Marilah kita sama-sama mencarinya,abang,”pujuk Kartini sambil memaut lengan Bujang.

“Tini sanggup berhujan-berpanas bersama abang?”Bujang menduga.

“Tini sanggup mengikut abang ke mana sahaja,”Kartini melafazkan janjinya.

“Baiklah,”balas Bujang sambil tersenyum lalu membisikkan sesuatu ke telinga isterinya.

“Sabarlah,di sini bukan tempatnya,”Kartini menolak dengan lembut walaupun matanya tiba-tiba galak penuh bernafsu.”Mari kita cari rumah tumpangan di sana.”

Bujang mengangguk riang. Lantas dia beredar ke rakit mengambil kampitnya.

“Datuk Panglima,”pinta Bujang penuh hormat.”Nampaknya,hanya setakat ini sahaja kita dapat bersama. Datuk pulanglah ke Jambi.Sampaikan salam hamba kepada Pangeran Ratu.”

“Apa ini?”desak Panglima Kahar bila Bujang menghulurkan beberapa keping wang emas.

“Sedikit sumbangsih,sebagai menghargai jasa Datuk pada hamba,”jelas Bujang.

“Hamba tidak mengharapkan balasan,”Panglima Kahar menolak pemberian Bujang dengan lembut.”Apa yang hamba lakukan adalah semata-mata menjalankan titah-perintah Yang Mulia Pangeran Ratu.”

“Hamba menjunjung kasih ke bawah Yang Mulia,”Bujang menghulurkan wang emas yang digenggamnya itu kepada salah seorang hamba suruhan.”Wang emas bukan gantinya. Jasa kebaktian baginda akan hamba kenang hingga ke mati.”

Bujang menghulurkan tangan kepada Panglima Kahar. Mereka bersalaman dan berpelukan. Kemudian,Bujang lekas-lekas menggalas kampitnya mendapatkan Kartini.Mereka terus meninggalkan tempat itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Sementara kedua-dua hamba suruhan itu berebut-rebut melihat wang pemberian yang diterima,Panglima Kahar hanya memandang pemergian Bujang dengan wajah yang muram sambil menggelengkan kepala seolah-olah ada sesuatu yang kurang berkenan di hatinya.

“Panglima…Panglima Agung,”Bujang yang sedang berjalan di celah orang ramai bersama Kartini tiba-tiba disapa dari Belakang.Mengenali suara yang menyapanya,dia berhenti lantas lekas-lekas menoleh. Awang Sulung kelihatan tersengih-sengih mendapatkannya.Mereka bersalam dengan gembira.

“Tak sangka kita berjumpa lagi,Panglima,”luah Awang Sulung sambil melepaskan tangan Bujang yang digenggamnya erat-erar”Tiang layar sudah dibaiki.Kami singgah di sini untuk membeli bekalan makanan sebelum belayar ke Betawi.”

“Bila kamu semua hendak belayar?”tanya Bujang sambil mengeluarkan seuncang wang dari kampitnya.

“Tahun baru nanti,”selamba Awang Sulung menjawab.”Kita berihat dua hari di sini.”

“Tahun baru?”Bujang belum faham maksud rakannya.

“Besok akhir Zulhijah,lusa kita sambut Awal Muharam tahun baru Hijrah,”Awang Sulung menerangkan.”Tuan Nakhoda nak buat kenduri kesyukuran sikit kerana mendapat harta karun dari Pulau Besar dulu.”

“Kau bawa barang-barang ini ke kapal,”Bujang menyerahkan kampit itu kepada Awang Sulung  lalu mencapai tangan Kartini.”Kami suami-isteri hendak bersiar-siar sambil membeli-belah.”

“Hamba faham,Panglima,”balas Awang Sulung sambil tersenyum lebar.

“Apa yang disenyumkan itu?”Tunku Balqis menegur Chendana dari belakang.

“Tak ada apa.Kak,”Chendana masih tersenyum memerhati telatah Wan Fatimah terkial-kial mengejar ayam bersama Mak Siti dan Datuk Temenggung.”Teringat masa kita kecil-kecil dulu di Kedah.Begitu cepat masa berlalu.”

Tunku Balqis tertawa kecil lalu duduk di atas buaian di samping Chendana.

“Kita ni sama-sama berat,”usik Tunku Balqis.”Agaknya siapa gerangan yang bakal menyambut cahaya mata terlebih dahulu.”

“Tentulah Kak Balqis,”ujar Chendana.”Kakak yang menikmatinya lebih awal.”

“Hidup suami-isteri memang penuh nikmat,”Tunku Balqis menyokong.”Tapi yang menanggungnya kita orang perempuan.Sembilan bulan sepuluh hari lamanya.”

Chendana dan Tunku Balqis sama-sama ketawa.

Ayam yang dikejar berjaya ditangkap.Wan Fatimah mengikut datuk dan neneknya untuk melihat ayam itu disembelih.

“Apa rancangan Kakak seterusnya?”Tanya Chendana selepas habis ketawa.

“Entahlah,Chendana,”Tunku Balqis memahami maksud yang tersirat.”Kita tidak tahu di mana Abang Bujang berada sekarang.Entah hidup entah sudah….!”Tunku Balqis tidak dapat meneruskan kata-katanya,hanya hampu merenung cincin emas batu delima yang tersarung di jari manisnya.

“Chendana yakin Abang Bujang masih hidup,”Chendana turut sama merenung cincinnya yang serupa dengan cincin madunya.”Gerak hati dan firasat mengatakan begitu. Kepada Lela Wangsa sudah diperintahkan belayar ke Betawi mencarinya di sana.”

“Mengapa tidak mencarinya di Tanah Bugis,”Tunku Balqis menyarankan.

“Tanah Bugis? Makasar?”Chendana terpinga-pinga,tidak terlintas  langsung pada fikiran.

“ Mengikut cerita Chendana semalam,Kakak yakin suami kita akan ke sana,”Tunku Balqis member buah fikiran.”Dia percaya Chendana dilarikan ke Tanah Bugis.”

“Barangkali benar juga tekaan Kakak,”Chendana bersetuju.”Tapi,apa daya kita sekarang? Lancang abang Bujang sudah dibawa belayar oleh Lela Wangsa.”

“Kapal Kakak masih berlabuh di sini,dikawal oleh pendekar dan hulubalang Kedah,” Tunku Balqis member perangsang.”Kalau Chendana bersetuju,akan Kakak titahkan mereka bersiap- sedia.”

“Molek sekali,”balas Chendana dengan wajah berseri-seri.”Akan Chendana usulkan perkara ini kepada ibu dan ayah. Mereka pasti membantah kemahuan kita.Tetapi,tahulah Chendana memujuk mereka…!”

Dua hari kemudian iaitu pada hari  Selasa 1 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 24 Oktober 1652 Masehi, kapal dagang yang diketuai oleh Nakhoda Mamat pun belayar meninggalkan Kuala Musi. Kerana Bujang hendak cepat sampai di Betawi,kenduri kesyukuran sempena menyambut tahun baru Islam diadakan di atas kapal demi menjimatkan masa. Meninggalkan Kartini di dalam kurung yang ditempah khas,Bujang meraikan majlis tersebut bersama semua anak kapal. Mereka menjamu selera sambil menikmati hembusan nyaman udara pagi.Bujang agak terperanjat bila terserempak dengan Panglima Kahar di atas kapal itu.

“Apa Datuk Panglima buat di atas kapal ini?”tegur Bujang lantas duduk bersila di sebelah Panglima Kahar.”Hamba kira Datuk sudah kembali ke Jambi.”

“Tugas hamba belum selesai sepenuhnya,”dengan tenang Panglima Kahar menjawab sambil menikmati juadah yang disajikan.

“ Tugas?”Bujang masih belum mengerti maksud Panglima Kahar itu.

“ Hamba ditugaskan Yang Mulia Pangeran Ratu membantu Panglima sehingga isteri Panglima berjaya ditemui dengan selamat,”Panglima Kahar menjelaskan dengan panjang-lebar. “Itulah janji hamba pada baginda Yang Mulia.Lagipun,ada sesuatu tentang diri Panglima yang membuatkan hamba ingin terus berdamping dengan Panglima.”

“Tentang apa,Datuk?”Tanya Bujang sambil mengunyah.

“Entahlah,”balas Panglima Kahar.”Sukar nak hamba terangkan.Mungkin juga kerana kita sama-sama berdarah Acheh.Mungkin juga kerana Keris Sempana Riau yang pernah dimiliki sepupu hamba almarhummah Tengku Chut Narasari.”

“Arwah emak hamba sepupu Datuk?”Bujang tersedak.”Jadi..maksud Datuk….!”

“ Tepat sekali,Panglima,”Panglima Kahar mengiyakan.”Hamba paman Panglima dan panglima anak kemanakan hamba.”

“Kemanakan?”Bujang tidak dapat menyembunyikan kegembiraanya. Panglima Kahar dipeluknya,menyebabkan hulubalang tua itu hamper-hampuir tersedak.

“Dari kata dan kiasan,awal-awal lagi Bujang sudah menduga siapa Paman sebenarnya,” Bujang melepaskan Panglima Kahar dari pelukan lalu meneguk secangkir minuman.”Kiranya dugaan Bujang tidak meleset.”

“Air dicincang takkan putus,Panglima,”sambut Panglima Kahar dengan bangga.

“Bujang,Paman,”Bujang membetulkan.”Tak payahlah kita berpanglima lagi.”

Sebagai jawapan,Panglima Kahar hanya ketawa terbahak-bahak tanpa menghiraukan anak-anak kapal lain yang berada berhampiran.Mereka yang tidak mengerti apa-apa turut sama tersenyum melihat telatah hulubalang tua itu.

Rupanya kegembiraan itu tidak dikongsi oleh Daeng Ratna Sari. Termenung di atas geladak sambil melemparkan pandangan jauh ke tengah laut,dalam kotak fikirannya hanya terbayang seraut wajah tampan yang menjadi kegilaannya siang dan malam.Kendatipun bermisai dan berjambang,wajah itu sungguh tenang,air mukanya jernih bagaikan terpancar dari setulus hati yang suci-murni.Kalau ditakdirkan bertemu jodoh,dia rela sehidup-semati di saat susah dan senang di samping pria berdarah Melayu-Acheh itu.Begitu mendalam rasa kasih-sayangnya, sehingga tidak terasa air mata mengalir membasahi pipi yang gebu itu. Demi ternampak kelibat sepupunya menghampiri dari sudut matanya,lekas-lekas dikesatnya air mata dengan lengan bajunya.Dia berpura-pura seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Daeng Andika mendekati sepupunya dan sama-sama memandang di kejauhan.

“Dari berita yang diterima melalui rakan-rakan,ternyata Panglima Agung dalam perjalanan ke Batavia,”Daeng Andika membuka tajuk perbualan.

Naiga?”Daeng Ratna pura-pura bertanya.”Siapa?”

Daeng Andika tersenyum mendengar pertanyaan itu.

“Kali pertama aku bersua muka dengan pria itu,hatiku berdebar-debar,”Daeng Andika mengenang kembali.”Kuat sungguh daya tarikannya.Seakan-akan pria itu memiliki tenaga dalam yang sungguh luar biasa.Ternyata benar.Jika daku seorang lelaki bisa tertawan hati,betapa pula seorang puteri Bugis bernama Daeng Ratna Sari.”

“Tak adalah,Andi,”tersipu-sipu Ratna menangkis tuduhan sepupunya itu.

Daeng Andika tersenyum lagi.”Mulut berkata tidak,hati berkata mahu,”selarnya.”Usah risau dan gusar,ini rahsia kita berdua.Takkan ketahuan pada Paduka Ayahanda dan Bonda.Namun, andai Ratna bertemu jodoh dengan Panglima Agung,dakulah orang yang paling gembira di dunia ini.”

“Bagaimana dengan dikau,wahai anak Samarinda?”tanya Ratna.”Belum adakah perawan yang berkenan di hati?”

“Soal itu dilupakan dulu,”Daeng Andika menarik nafas kelegaan.”Daku ingin terus mengembara mencari ilmu di dada dan berbakti pada Angkatan Fisabilillah.”

“Daku risau andainya bertepuk sebelah tangan,”Ratna menyuarakan kebimbangannya.

“Andai sudah jodoh,takkan ke mana,”pujuk Andika.”Ayahku Tok Kilat berpendapat Panglima Agung juga ada hati padamu.Masanya akan tiba tidak berapa lama lagi.”

“Harap-harap begitulah,”Ratna menuturkan.”Tak tertahan hati ini menanggung rindu.”

“Kami dalam Angkatan Fisabilillah akan melakukan apa sahaja untuk membantu Panglima Agung,hatta menggadai nyawa sekali pun,”kata Andika penuh bersemangat sebelum beredar pergi.Mendengar itu,Ratna seperti mendapat kekuatan baru dalam dirinya.Diam-diam dia berdoa agar saat bahagia itu segera tiba.Ingin dia memperhambakan diri kepada Panglima Agung sebagai isteri yang taat-setia hingga ke akhir hayat.

“Jauh benar Bujang bermenung,”tegur Panglima Kahar petang itu di atas geladak.

Bujang hanya tersenyum tetapi tidak membalas kata-kata itu. Mereka sama-sama menyaksikan kebiruan air laut yang bertemu dengan awan gemawan merah di kaki langit.

Di sebelah kiri kelihatan berbalam tanah daratan Sumatera.Kapal mereka terus juga meredah ombak menghala ke Selat Sunda.Cuaca petang itu cukup indah seolah-olah bukan di musim tengkujuh.

“Kalau cuaca terus begini,tiada ribut taufan,insyaAllah besok atau lusa sampailah kita di Batavia dengan selamat,”sambung Panglima Kahar lagi untuk menghiburkan hati  anak saudaranya itu.”Laut China Selatan khabarnya bergelora hebat di musim tengkujuh ini.”

“Memang,”Bujang mengaku.”Paman pernah ke sana?”

“Tak pernah,cuma dengar cerita orang,”Panglima Kahar gembira kerana Bujang akhirnya membuka mulut.”Laut di mana-mana pun sama jua,ada masa tenang dan ada masanya bergelora.Itu semua lumrah alam,pasang atau surut Allah yang menentukan.”

Bujang terasa sindiran halus itu ditujukan padanya.

“Entahlah,Paman,”dia mengeluh mencurahkan isi hati.”Diluah mati ayah,ditelan mati emak. Serba-salah Bujang dibuatnya.”

Panglima Kahar tidak suka mencampuri urusan orang lain,apa lagi jika urusan itu berkaitan dengan rumah-tangga.Namun,kerana Bujang itu anak saudaranya,dia merasa terpanggil untuk member sepatah-dua nasihat.”Di mana Bujang mengenalinya?”

“Di Kedah,”balas Bujang.”Kami berkawan sejak dari kecil.”

“Bukan Tun Chendana yang Paman maksudkan,”Panglima Kahar membetulkan salah-faham kemanakannya.”Anak gadis Datuk Temenggung Johor  itu Paman kenal. Begitu juga dengan isterimu Tunku Rahimah. Bujang kenal Panglima Paringgit?”

“Panglima Paringgit?”Bujang mengimbas kembali kenangan silam.”Kami sama-sama berjuang menentang Belanda sepuluh tahun yang silam bersama Panglima Dermang.”

“Panglima Paringgit itu rakan seperguruan Paman,”Panglima Kahar mendedahkan rahsia.” “Dialah yang banyak bercerita tentang kehebatan Bujang semasa berperang di Kuala Kedah dulu. Nama Bujang terkenal ke seluruh pelusuk Alam Melayu setelah Bujang dikatakan terkorban.”

“Subhanallah,”tutur Bujang.”Di mana Panglima Paringgit sekarang?”

“Membantu ayahnya memerintah Deli.Dia bergelar Panglima Besar menjaga keamanan dan keselamatan negeri,”jelas Panglima Kahar.”Ayahnya Sultan Gocah Pahlawan Sultan Deli sekarang.”

“Banyak yang berubah sejak kehilangan Bujang,”Bujang merumuskan, kemudian berdiam diri bila teringat kembali perkara sebenar yang ditanya bapa saudaranya. Dia juga seboleh-bolehnya tidak mahu membuka pekung di dada mendedahkan keburukan Kartini yang baru dikawininya.

Panglima Kahar juga bagaikan mengerti perasaan anak saudara-nya itu.Dia pun segera mengubah tajuk perbualan.”Sekali air bah,sekali pantai berubah.Perubahan membawa kebaikan dan keburukan.Terpulanglah pada kita untuk menilai baik-buruknya,”dengan kata-kata itu dia menepuk bahu Bujang beberapa kali sebelum meninggalkan Bujang seorang diri. Bujang terus bermenung di atas geladak itu mengenangkan seribu kemungkinan yang bakal berlaku. Dia hanya mampu berdoa minta dijauhi Allah semua bala dan malapetaka.

“Mengapa abang diam saja sejak siang tadi?”Kartini bertanya sambil membetulkan rambutnya yang kusut masai.Badannya yang berpeluh dan terdedah itu dibiarkan sahaja dibelai angin malam yang mencuri masuk menerusi jendela.

“Mungkin abang dah jemu memandang wajah Tini,”Kartini mengeluh merajuk hati.

“Bukan begitu,”Bujang bangun mengenakan kain,kemudian beredar ke jendela memerhati bintang yang berkerlipan di langit yang hitam pekat.Agak lama juga dia bermenung di situ. Melihat Kartini terus membisu seribu bahasa,dia pun mencapai kain basahan untuk pergi mandi membersihkan diri dari hadas besar.Mandinya ringkas sahaja.Dengan berpaut pada tangga tali di luar kapal,dia menyelam ke dalam laut.Dua-tiga kali selam,setelah diyakini sah dan air sampai ke seluruh badan,dia pun naik menuju ke bawah geladak.Air tawar dari tempayan dijirus untuk membuang sis-sisa air laut yang masin.Kembali ke kurung,didapati Kartini sudah pun tidur.Dia pun menukar pakaian lalu mendirikan sembahyang sunat.Sengaja dikuatkan suara supaya Kartini terjaga tetapi isterinya tetap membatu di perbaringan,hanya nafasnya sahaja kedengaran turun-naik.Akhirnya dia memilih untuk berbaik sangka pada isterinya.Barangkali isterimya  keletihan kerana sekian lama berhempas-pulas melayan nafsu.Barangkali hatinya belum cukup tenang untuk menghadap diri ke hadrat Allah.Barangkali pembawaan anak di dalam perut.Selesai menunaikan sembahyang sunat malam,baru Bujang berjaya melelapkan mata di sisi Kartini.Seperti biasa,dia memasang niat untuk bangun semula sebelum subuh supaya dapat mengerjakan sembahyang tahajud dan witir.

Di Kampung Panchor,Tunku Balqis membetulkan kain selimut yang menutupi badan Wan Fatimah setelah mendapati anak tirinya itu sudahb tertidur keletihan.

“ Macam arwah Teratai,”bisik Chendana pada madunya.”Wajah Wan Fatimah sebiji macam wajah ibunya.” Tunku Balqis mengangguk lalu memadam api lilin.

“Mak dan ayah Chendana sudah tidur?”Tanya Balqis melirik ke arah bilik tidur  yang dihuni Temenggung dan Mak Siti di hujung sekali. Bilik itu gelap gelita dan senyap.

“Agaknya,”Chendana membawa Balqis ke anjung.

“Sudah Chendana usulkan rancangan kita kepada mereka?”Balqis terus bertanya sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang.Kerana tiada orang lain di situ, mereka duduk bersila seperti lelaki.

“Sudah,”Chendana menarik bekas pinang dan mula mengapur sirih.

“Apa kata mereka?”Balqis tidak sabar-sabar lagi ingin tahu,matanya memerhati Chendana memasukkan cebisan buah pinang dan gambir ke dalam lipatan sirih.

“Mak dan Ayah tak keberatan,”Chendana memberikan sehelai sirih berlipat itu kepada madunya,sehelai lagi dikunyahnya.”Tapi,biarlah kita tunggu sampai habis bersalin.”

“Sampai habis bersalin?”kening Balqis berkerut.”Masakan begitu,Chendana. Sembilan bulan rasanya terlalu lama.Tak payah pergi pun tidak mengapa.”

“Ertinya,secara halus Mak dan Ayah melarang kita pergi ke sana,”ujar Chendana.

Balqis terdiam,hanya kedengaran mulutnya mengunyah sepah sirih.Begitu juga dengan Chendana.Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.

“Jauh kah Tanah Bugis dari sini?”Balqis bertanya akhirnya.

Chendana tersenyum kerana memahami maksud Balqis.”Kata orang,jaraknya lebih-kurang seminggu pelayaran dari Batu Sawar. Kapal Kakak masih berlabuh di pengkalan?”

Balqis  membalas senyuman madunya.” Masih berlabuh di sana,dikawal oleh pendekar dan hulubalang dari Kedah. Nakhoda dan anak kapal semua bermalam di sana.”

“Kakak pergi dulu ke kapal,nanti Chendana menyusul kemudian,”Chendana menyarankan.

“Bagaimana dengan Wan Fatimah?”Balqis menjengok ke arah bilik anak tirinya.

“Tinggalkan saja dia di sini bersama Mak dan Ayah,”saran Chendana lagi.”Kita pergi bukannya lama,cuma seminggu-dua.”

“Tidak tergamak kakak meninggalkannya,”Balqis membantah.”Walaupun dia cuma anak tiri,Kakak sudah menganggapnya seperti anak sendiri.Dari sejak lahir Kakak memeliharanya.”

“Kalau begitu,bawalah Wan Fatimah bersama,”Chendana memberi cadangan.”Kakak pergi kejutkan dia. Kita berjumpa di bawah pohon rambutan di hujung halaman.”

Mereka bangun hampir serentak lalu menikus menuju ke bilik masing-masing.

Malam itu juga,lancang dari Kedah yang berlabuh di Batu Sawar membongkar sauh dan belayar menyusuri Sungai Johor menghala ke Makasar,membawa dua orang serikandi berhati waja.Bujang

3 responses »

  1. Asasalamualaikum Tuan .boleh kah tuan menolong saya untuk mengetahui kisah selanjutnya.

    Reply
  2. Tlg donk klanjutan kisahnya

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: